Wednesday, December 31, 2008

Pertemuan ngilu..

Assalamualaikum / Good Day.....
Aku rasa sesiapa pun akan cuba mengelakkan diri dari bertemu doktor gigi walau gigi sakit macamana pun.
Ramai yang beranggapan, berdepan dengan doktor gigi amat menyakit dan mengilukan. Pengalaman mengangakan mulut pada doktor gigi memang perit. Rujuk sini.
Oleh kerana, perlu memeriksa gigi secara berkala, aku terpaksa gagahi juga bertemu doktor.
Adeq ikut juga.
Adeq tiada masalah kerosakan gigi. Doktor menasihatkan agar Adeq menjaga gigi dengan baik. Kalau dibiarkan tanpa pemeriksaan atau penjagaan yang rapi, ada potensi gigi akan rosak.
Pertemuan ini adalah untuk membaiki filling gigi hadapanku(maxillary central incisor) yang telah retak.
Kali terakhir aku restore gigi ini ialah pada tahun 1988-89. Dah hampir 20 tahun dulu semasa aku di Gelugor, Pulau Pinang.
Kata orang "it's high time" aku pulihkannya semula.
Lagipun ianya penting untuk penampilan diri.
Siapa yang tidak mahu senyumannya kelihatan menarik?
Hehehe.....

Inilah saat yang mendebarkan bila bertemu Dr Gigi. Saat di mana jarum atau drill digunakan. Jantung akan berkocak deras, tangan menggenggam kemas, kaki berlunjur kaku menahan ngilu.

Dr Sam memasukkan handpiece/drill dan menggunakan 'burs' untuk memotong enamel bagi menanggalkan bahagian gigi yang rosak. Saiz dan bentuk 'bur'bergantung pada lokasi kerosakan.

Dr. Sam sedang membentuk ruang untuk memasukkan filling. Berbagai jenis filling memerlukan bentuk yang berbeza bagi memastikan filling melekat kuat di tempatnya.

Filling jenis composite dimasukkan secara perlahan dan berhati-hati agar ianya melekat kuat dan tidak comot. Base atau liner dimasukkan dahulu untuk menahan sakit di tooth pulp yang mempunyai saraf. Segalanya dilakukan dengan cermat dan sopan. Aku hanya mengangakan mulut sahaja. Segalanya selesai dalam masa 20 minit. Alhamdulillah.

Adeq juga diperiksa gigi bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik dan sihat. Dia diingatkan supaya sentiasa membersihkan gigi. Jangan makan terlalu banyak coklat dan gula-gula bagi mengelakkan gigi rosak.
Memang banyak coklat yang Adeq makan minggu ni sebab Papanya banyak beli masa ke Langkawi tempohari. Hehehe....
Moga segala nasihat Dr. Sam dapat diamalkan oleh Adeq.

Beib berharap kita akan menjaga dengan baik...
anugerah Tuhan yang berharga dan agun G
ini hingga akhir nant I
agar tidak rosak, sakit atau berluban G
moga ia terus berfungsi I

Tuesday, December 30, 2008

Pug dan Kelisa


Assalamualaikum / Good Day.....
Dah hampir sebulan Peugeot (Pug) aku tak begerak. Sejak aku ke Sawahlunto lagi.

Kabel baterinya aku cabut supaya baterinya terus berfungsi. Ada sekali aku lupa cabut, akhirnya terus kong!
terbang RM250.00 untuk bateri yang baru.
Pug kena bergerak semula. Pug kena meronda.

Pug sudah hampir 18 tahun bersama aku, namun dia masih gagah.

Aku sentiasa percaya dan manjakan Pug.

Pug telah banyak berjasa kepada aku dan famili.

Pug bertuah.


TRIOS the old faithful

Semua anak-anak aku membesar dengan Pug.
Sekarang masanya Pug kembali merempit di jalanraya sebab Kelisa akan pergi.
Kelisa akan menjadi warga Wilayah Persekutuan KL.
Walaupun Kelisa warganegara Malaysia tapi Kelisa belum pernah menjejakkan tayarnya di KL.

Pug sudah, walaupun Pug berasal dari negara Menara Eiffel.
Jika selama ini Kelisa menemani Vios, mulai petang ini Pug akan berada di sisi Vios.
Pug pernah bertiga bersama Saga dan Charade.
Pug pernah bertiga bersama Saga dan Rusa.
Pug pernah bertiga bersama Saga dan Satria.
Pug pernah bertiga bersama Satria dan Pajero.
Pug pernah bertiga bersama Kelisa dan Trajet.
Pug pernah bertiga bersama Kelisa dan Vios.
Kini Pug akan bersama Vios sahaja. Kelisa akan merantau jauh.
Mana tahu mungkin nanti Pug dan Vios akan ditemani oleh yang lain pula.

Kelisa hanya akan pulang menzirahi Pug dari masa ke semasa.


Pug akan jarang bersama Kelisa selepas ini

Untuk sementara Pug waktu bersahabatlah dengan Vios.
Pug telah lama di sini dan akan terus bersama aku.
Aku sayang Pug.

Abang akan bawa Kelisa pergi


Moga Abang dan Kelisa selamat sepanjang masa


Senyuman anak teruna bersama Kelisa


Lambaian perpisahan sementara


Berlepas pergi ke destinasi baru


Beib sentiasa yakin dengan...

enjin dan cengkaman Pug yang manta P
sesekali Pug dipecut laj U
membakar jalan gagah dan garan G

Saturday, December 27, 2008

BABE dan Baru

Buat mender tu aaa..?
Assalamualaikum / Good Day.....
Sejak balik dari Langkawi tempohari, aku tak keluar rumah. Cuma kelmarin pergi solat Jumaat di Masjid UDM KUSZA.
Pagi ni KakWan (KW) ajak keluar mencari sesuatu. Aku rasa macam nak rehat saja. Entah kenapa terasa sangat letih berjalan sejak kebelakangan ni.
Oleh kerana KW mendesak, akhirnya aku ikut saja. Lagipun, elok juga ambil angin luar.

Kami ke sebuah kedai jualan barangan terpakai di Manir. Kalau di Bandung, dalam lawatan kami ke sana 3 tahun lepas, ianya disebut BABE atau RANGKAS.


BABE bukan berbunyi dan bermaksud Beib macam nama aku, tapi ianya singakatan BArang BEkas. Begitu juga RANGKAS, bermaksud baRANG beKAS.


Unik kan bahasa Indonesia? Semua nak dipendekkan.
Bak kata Pak Sanusi, OTA (Orang Tua Angkat) aku semasa di Sawahlunto,
" Di Indonesia banyak perkara diringkaskan namanya."

Walikota menjadi Walkot (Datuk Bandar)
Pendidikan Nasional = Diknas
Bandar Udara = Bandara (Bandara Internasional Minangkabau - BIM)
Banyak lagi yang tak mampu aku nyatakan di sini.

Sebenarnya, kami ingin membeli kepingan karpet terpakai yang diimpot dari negara jiran untuk dipasang di dalam bilik Qaqaq menggantikan yang sediada yang agak lusuh.
Walaupun terpakai, ialah masih baik. Harganya pun berpatutan, cuma RM1.80 sekeping. Jika yang baru, harganya ialah RM 8.50 sekeping (18"x18").
Kami beli 80 keping dengan harga cuma RM210.00 sahaja. Bayangkan jika harganya RM8.50 sekeping, tentu sahaja RM680.00. Perbezaan sebanyak RM470.00. Banyak bezanya serta menjimatkan. Harap-harap ianya pilihan yang tepat.

Selesai dengan karpet, kami ke suatu tempat lagi di bandar KT.
Sudah lama ingin ke sini cuma masa dan kesempatan agak terbatas.Benda yang hendak lihat dan dibeli telah sediada. Bukan terpakai atau BABE tetapi brand new. Harganya juga berpatutan dengan tawaran yang istimewa. Tertarik kami.
Setelah berbincang dan mencuba, akhirnya kesepakatan tercapai. Esok kami akan datang dengan bayaran serta segala dokumen yang diperlukan.
Bayangkan dengan bayaran proses sebanyak RM300.00 benda ini akan dapat dimiliki dan pasti menjadi bualan ramai teman dan kenalan.
Sesekali terasa macam membeli barang di pasar malam sahaja. Mudah sangat keputusan dibuat.
Seperti karpet tadi, ianya buatan luar negara dan harga pun sangat berpatutan. Perbezaan harganya amat ketara dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.
Aku perlu balik, merangka strategi serta memastikan pilihanku ini tepat dan berbaloi.

Ini sebenarnya ialah gantian pada suatu benda yang akan diserahkan kepada Abang, anak sulungku. Dia akan bawanya kembali ke kampus minggu depan. Lantaran itu, aku perlu pengganti kepada benda tersebut.
Apakah bendanya itu? Tunggu di lain entry.

Tapi sebelum itu, anak-anak sudah menelefon ajak bermain boling. Dah lama tak main boling, hampir setahun dah. Rujuk sini.
Molek juga. Dah lama tak beriadah.
Apa susahnya leretkan bola boling?
Kalau nasib baik tepat, dapat STRIKE!
Jom boling!

KakWan mengenakan stoking hadiah Misaki, anak angkat Jepun

Acik, Qaqaq dan Adeq bersepatu boling

All in the family game

Berat juga bola boling ni..


Beib sering berdoa agar pilihan sentiasa...

baik dan mencapai matlama T
tidak kira benda itu baru atau BAB E
semuanya mahu diperolehi dengan penuh hara P
samada buatan tempatan atau luar negar A
yang pasti, berbaloi dan jima T

Tuesday, December 23, 2008

Idola dan selebriti..

wajah yang dikenali

Assalamualaikum / Good Day.....

Ramai di antara kita yang terlalu mengagungkan selebriti (artis dan ahli sukan) sehingga melampaui batas. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini, cuma agak terkilan kerana 'pemujaan' terhadap selebriti kadang-kadang mengalahkan cendikiawan atau ahli agama.
Budaya terlalu mengagungkan selebriti meninggalkan kesan yang negatif dan bahaya kepada generasi muda. Salah tanggap kanak-kanak terhadap kepentingan pendidikan/ pelajaran serta kerja keras membuatkan mereka leka dan hanyut. Mungkin bagi mereka, pendidikan bukan lagi penentu bagi kejayaan dalam hidup. Gagal dalam pelajaran tapi masih mampu menjadi popular dan dikenali ramai.

Bagi aku, kalau setakat popular tanpa ilmu tak ada gunanya. Glamour saja yang lebih, minda kosong.

Budaya menjadikan selebriti sebagai idola juga membantutkan usaha pelbagai pihak untuk menyemai cita-cita murni dalam mencapai kejayaan dengan cara yang betul dalam diri kanak-kanak.
Sebenarnya istilah idola itu sendiri yang sering digunapakai oleh massa, amat tidak sesuai dengan agama Islam dan mungkin boleh memesongkan akidah.

An idol is a man-made object that is venerated in some way. More specific terms include:

  • Cult image, a religion-neutral term for a man-made object that is venerated for the deity, spirit or daemon that it embodies or represents.
  • Idolatry, a term used in religion for the non-monotheism worship of cult images, termed idols.
  • Idolization, (verb: to idolize): as an excessive admiration, devotion, envy or attachment to a person or thing.
  • Murti, a point of focus for devotion or meditation in Hindu and Buddhist religion (not always man-made). sumber: wikipedia
Sila rujuk sini.

Ramai yang beranggapan bahawa tidak lagi perlu kejayaan akademik yang tinggi kerana mampu untuk meraih kejayaan dan kekayaan dalam hidup dengan hanya menjadi artis: pelakon filem, penyanyi atau bintang program realiti televisyen.
Kanak-kanak juga mudah percaya dan mahu menjadi terkenal kerana terpengaruh dengan takrifan salah kejayaan yang dipaparkan selebriti.

Kedua-dua Papa, Rock!

Sebagaimana orang lain, aku juga bimbang anak-anak muda hari ini tidak dapat menyelami erti kejayaan sebenar dan susah payah yang perlu dilalui sebelum selebriti pujaan mereka itu mencapai kedudukan itu. Mungkin bagi mereka, kejayaan sebenar adalah dengan menjadi popular.

Oleh itu, kerana tidak popular atau gagal mencapai status selebriti seperti yang diimpikan apabila mereka dewasa, generasi itu akan mengasingkan diri, tersisih dan memiliki daya keyakinan diri yang amat rendah.

Din CJ, sutradara dan sahabat yang down- to- earth

Tidak dinafikan ada selebriti yang mampu memberi inspirasi kepada anak-anak kita. Tetapi apa yang lebih kita risaukan adalah kanak-kanak yang percaya bahawa status selebriti itu mudah dan boleh dicapai sesiapa pun tanpa memikirkan kepentingan untuk belajar atau kerja keras yang menjadi asas kejayaan dalam hidup.

Orang Gong Badak betemu orang se kampung

Kegilaan anak-anak terhadap selebriti kegemaran mereka boleh menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak termasuk ibubapa, guru serta masyarakat yang prihatin yang khuatir kesan pengaruh selebriti itu kepada bentuk aspirasi kejayaan yang mahu diraih oleh anak-anak.

Apa fikiran anda?

Peringatan buat anak-anak ku....
Hidup mesti berilmu dan berjasa.
Jangan harapkan populariti dan glamour...

*foto sekadar hiasan, mereka diminati bukan di idolakan oleh aku!

Beib bimbang dengan istilah...
yang digunapakai oleh orang rama I
yang boleh mengakibatkan syirik dan murta D
jadi, janganlah diguna secara semberon O
menampakkan kita ini jahi L
jika was-was, kita rujuk pakar agam A

Monday, December 22, 2008

Langkawi: Hilang seri

dari jendela bilik hotel, Langkawi dah berubah

Assalamualaikum / Good Day.....

Dah 2 hari aku di sini.
Aku tak banyak berjalan keluar ke mana-mana melainkan ke Pekan Kuah sahaja.
Sambil berjalan aku perhatikan banyak bangunan kedai yang masih dan telah kosong.
Masih: kerana bangunan baru siap dibina dan belum berpenghuni.
Telah: ada yang nampaknya kelihatan seperti berpindah atau ditutup terus (bankrap).

Kuah kelihatan bermaya sedikit kerana cuti sekolah masih berbaki 2 minggu lagi.
Kata Abang Mad, pemandu teksi yang aku tumpangi, " cuti sekolah ni ghamai la yang mai Langkawi, 2 minggu lagi senyap sunyi.."
Aku faham apa maksudnya.
Langkawi, yang aku tahu, hanya aktif pada musim cuti sekolah sahaja. Di luar musim ini, ia kelihatan hidup segan, mati tak mau. Apa sebabnya? Aku sendiri tidak berapa pasti.

Adakah harga barang bebas cukai mahal dan tidak sebagaimana yang diuar-uarkan?
Mungkin juga barangan yang ditawarkan sudah ketinggalan zaman? atau
barangan kraf yang dijual tidak menampakkan ciri-ciri tempatan, mirip kepada budaya Indonesia, India, Vietnam serta negara-negara Asia yang lain?
Datang dan lihat sendiri.

Sejak akhir- akhir ini, aktiviti bertaraf nasional atau antarabangsa agak kurang dijalankan di sini.
Kalau sekadar mengharapkan LIMA sahaja tidak mencukupi untuk menarik pelancong asing ke sini. Lagipun, LIMA diadakan berselang tahun.
Aku diberitahu bahawa pertandingan lumba basikal bertaraf dunia, Le Tour de Langkawi yang diperkenalkan di sini dan biasanya diadakan selama 10 hari, melewati 9 buah negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak melebihi 1,200 km tidak lagi diadakan di Langkawi seperti tahun ini.

Begitu juga dengan Langkawi International Nature Challenge (LINC) yang melibatkan cabaran fizikal dan emosi selama 36 jam.
Pertarungan cabaran maraton ini melibat 12 disiplin termasuk berenang, kayak, trekking, mounting biking dan cabaran halangan yang meliputi jarak sejauh 400km dan 14 pulau di sekitar Langkawi.

Jika acara-acara bertaraf dunia sebegini tidak diadakan maka kuranglah pengunjung ke pulau sumpahan Mahsuri ini.
Mungkin acara Royal Langkawi International Regatta 2009 yang akan berlangsung pada 4-10 Januari 2009 dan Ironman Malaysia Langkawi Triathlon 2009 yang akan diadakan pada 28 Februari 2009 nanti dapat mengembalikan kerancakan suasana di pulau bebas cukai ini.
Sepanjang perjalanan dari pekan Kuah ke hotel aku lihat sekeliling dan merasa terharu memikirkan pantai dari jeti Kuah meliputi CHOGM park sehingga ke pekan Pokok Asam telah ditambaktambun hingga tiada lagi pemandangan asli pantai berselut serta pokok bakau.

Aku rindukan suasana itu.
Pantai, hutan bakau, ikan belacak, sampan dan bot nelayan, kulit kerang dan siput bertaburan di persisir pantai serta deru ombak.
Yang tinggal kini hanya kenangan.
Yang ada hanya bangunan konkrit yang masih lengang, kaku, keras, menanti penghuni dan pengunjung bertapak di bekas pantai dan laut.
Telah hilang keaslian dan kecantikan semulajadi bumi Langkawi.


sebait Haiku dari ku..

ombak memukul pantai,
pasir menangis
tak siapa yang tahu..


Beib rindukan keaslian...
bumi Langkawi Permata Kedah - LPK
yang sangat berbeza kini dari dahul U
kerana mengikut peredaran mas A
menjalani perubahan setelah tamat tempoh disumpa H

Sunday, December 21, 2008

Langkawi: secebis ilmu

Jeti Kuah tidak seperti dulu lagi
Assalamualaikum / Good Day.....

Kami sampai di jeti Kuala Perlis jam 9.30 pagi. Feri yang membawa kami ke Kuah bertolak jam 10.15 pagi dan kami selamat menjejakkan kaki di pulau lagenda sumpahan Mahsuri jam 11.00 Walaupun dalam keadaan letih setelah 14 jam perjalanan dari KT, semuanya masih dapat mengukirkan senyuman.
Rasanya bulan Disember ini aku telah menjelajah pelbagai ceruk rantau dengan perjalanan yang memakan masa berjam-jam dan menaiki pelbagai jenis kenderaan darat, laut dan udara.
Rujuk:
Kuala Lumpur,
Sawahlunto, Indonesia
dan Anak Bukit, Kedah.

Letih tapi masih mampu tersenyum
Alhamdulillah, segalanya selamat dan berjalan mengikut perancangan.
Jadual pada hari ini agak longgar. Kami dibenarkan berehat dan menikmati keindahan pulau ini sehingga petang.
Aku sebenarnya tidak ingin sangat menceritakan tetang apa yang ada di Langkawi kerana aku percaya ramai yang sudah ke sini. Mungkin blogger-blogger lain juga ada kisah menarik mengenai perjalanan mereka ke sini. Rujuklah di sana.

Zolphin, Puad dan Riduan turut sama

Aku hanya ingin berkongsi ilmu dari ucapan perasmian oleh Ketua Sektor serta sesi interaksi pada sebelah malamnya..
Diharap secebis ilmu dan input dari Langkawi ini dapat merubah corak pemikiran kita ke arah yang lebih positif dan bermakna.
Janganlah kita terus dimakan sumpah Mahsuri yang menyebabkan minda kita turut menjadi padang jarak padang terkukur.
Meyakini dan menghayati gerak hati serta minda adalah sesuatu yang boleh merubah persepsi dan situasi.

Konsep 165:
  • Akal hati yang baik adalah berdasarkan kepada kepercayaan pada SATU Tuhan.
  • Moral yang baik berdasarkan pada 6 Rukun Iman.
  • Tindakan yang berjaya berdasarkan pada 5 Rukun Islam.
Meyakini bahawa saiz hati/jiwa itu amat penting dalam melakukan sesuatu perkara.
  • The size of your body is NOT important
  • The size of your brain is QUITE important
  • The size of your heart is THE MOST important.
Dalam menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba ini, perubahan perlu dibuat dengan memastikan hati dan jiwa terkeluar dari belenggu kejumudan.
Marilah sama-sama kita menghayati agar kita boleh merubah persepsi kita terhadap seseorang atau sesuatu perkara.
Semua perlu dilihat dengan mata hati yang positif dan penuh hikmah. Kesilapan kita dalam menghayati serta membuat persepsi terhadap 7 perkara ini akan merosakkan hati/jiwa dan menjerumuskan kita ke kancah pemikiran negatif. Pemikiran yang menghitam gelapkan hati nurani kita.
Lihatlah sesuatu dengan pandangan yang tulus, luhur dan mulus.
Janganlah hati dan minda kita terus dirantai dengan sifat-sifat Mazmumah.

7 Shackles of the HEART
  1. Prejudice
  2. Way of life
  3. Experience
  4. Self Interest
  5. View point
  6. Comparison
  7. Literature
Selain dari itu, marilah sama-sama kita,

Take time to:

THINK - source of power
READ - foundation of wisdom
QUIET - opportunity to seek GOD
DREAM - it is what the future is made of
PRAY - it is the greatest power on earth

Beib berharap dapat berkongsi sedikit...
pengalaman di Langkaw I
agar hati, jiwa dan minda terus ceka L
dalam mengharung cabaran pancaroba ala M
moga selepas ini minda tidak terus jumud dan kak U

Saturday, December 20, 2008

Langkawi: elusif, eksklusif, nostalgik

Looks familiar

Assalamualaikum / Good Day.....

Malam ini aku ke Langkawi lagi untuk kesekian kalinya.
Pemergian kali ini adalah kerana tugas rasmi arahan jabatan mulai 20 - 24 Disember 2008.
Aku akan menginap disini.

Aku sendiri tak ingat entah berapa puluh kali aku ke pulau lagenda ini.

Pertama kali aku ke sana ialah pada tahun 1973, menunggang basikal bersama 2 orang teman dari Anak Bukit ke Kuala Perlis dan
seterusnya menaiki bot ke jeti Kuah, Langkawi.
Kami ke sana setelah selesai menghadapi peperiksaan LCE di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar, Kedah.

Helmi dan Syukri, merupakan temanku berbasikal. (entah di mana mereka sekarang)
Kami berkhemah dipelbagai lokasi di sana selama seminggu.
Seluruh pulau kami kelilingi dalam musim hujan di bulan Disember.
Mencari pengalaman, menelusuri sejarah.

Pengalaman itu membuatkan aku lebih matang dan berani menghadapi cabaran.
Rentetan dari itu, aku ke sana lagi tahun demi tahun sehingga 1985 bersama teman-teman sekelas dan sekuliah.

Antara yang kerap menjadi teman berkhemah di sana ialah Hj. Ahmad Hulmi bin Hj.Ismail, yang kini merupakan Timbalan Yang Di Pertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia(GMGBM).
Kami sering berkhemah di pantai-pantai di sekitar utara Malaysia seperti Pantai Tanjung Rhu, Pantai Syed Omar bersebelahan jeti Kuah, Langkawi; Pantai Merdeka, Kedah; Pantai Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan Casuarina, Pulau Pinang.
Mencari identiti diri, menghayati alam.

Aku tak mahu panjangkan cerita tentang pengalamanku bersamanya dan teman-teman lain. Mungkin di lain kali.

Paling nostalgik ialah berbulan madu di sana pada 3-5 Disember 1985.
Kami ke sana mencari nilai cinta Mahsuri.
Itu lain cerita.

Pertengahan tahun ini aku sepatutnya ke sana atas urusan rasmi kementerian tetapi menarik diri di saat akhir kerana bercuti dengan famili ke pulau lain. Sila rujuk sini.
Tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya acapkali aku ke sana kerana tugas rasmi jabatan, kementerian atau menghadiri LIMA.

Kali ini, selain dari tugas hakiki, aku ingin menggapai fantasi dan menjejaki realiti.
Aku berhajat menemui sesuatu yang elusif dan eksklusif dalam perjalananku ke pulau sumpahan Mahsuri ini. Doaku agar ianya dimakbulkan.
Tapi yang pasti, Langkawi sentiasa dihati kerana lagenda dan nostalgiknya pada diriku.

Beib berdoa agar dapat bertemu sesuatu yang indah di...
dalam jeja K
menuju pula U
indah dan seles A
tanpa resa H

Thursday, December 18, 2008

Laman, teman dan tangan

Losyen tangan dah sapu?

Assalamualaikum / Good Day.....

Sudah lebih 3 minggu aku tak jengok ke LamanNyaman.
Aku tinggalkan selama 12 hari untuk ke Sawahlunto, Sumatera Barat, kemudian 10 hari balik Anak Bukit jumpa Mak.
Laman aku tinggalkan terbiar.
Musim tengkujuh yang melanda KT dengan hujan yang melimpah ruah menyuburkan pokok-pokok di Laman.
Sesekali terasa seperti berada dalam hutan belukar. Daun yang semakin menghijau dan menjalar liar membuatkan aku turut risau takut-takut ada penghuni yang tidak diundang datang bertandang.
Berudu yang banyak di dalam kolam tentu saja beribu dan berbapa disekitarnya. Ini mungkin mengundang sang jelir yang turut mencari makanan.
Sesuatu perlu dibuat. Takkan nak biarkan begitu sahaja. Lagi pun aku dah lama tak keluarkan peluh dan bermesra dengan alam. Dulu masa tidak sibuk, aku rajin lakukan ini sebagai salah satu terapi minda. Boleh rujuk sini dan sini.

Sesekali patut juga kita menjamah tanah. Tanah dan lumpur memang baik untuk kulit. Tanah tidak kotor malah merupakan sebahagian dari kita.

Sambil-sambil itu harus juga menjaga tapak tangan supaya tidak jadi kasar.
Seorang teman menasihatkan agar menggunakan sejenis losyen bayi yang popular yang ada di pasaran.
Lumur dan sapu di tapak tangan serta jari untuk mengelakkan ia menjadi kasar. Selain dari melembutkan kulit dan jari, bau losyen itu juga menyegarkan.
Hmmmm...aku nak cuba amalkan selepas ini...terima kasih teman.
Sebelum itu, sarung tangan adalah pilihan terbaik untuk menjaga kulit tapak tangan.


Proses merumput, memotong lebihan daun dan batang terpaksa dibuat berhati-hati bagi mengelakkan tanaman dari terbantut dan rosak.
Rumput mutiara yang melatari laman juga perlu diberi penjagaan yang sepenuhnya agar tidak dimusnahkan oleh rumput asing dan tumbuhan liar yang lain.
Ketika inilah kemahiran dan kesabaran teruji.
Ini satu lagi nilai baik yang aku pelajari semasa menjalankan aktiviti berkebun/bertaman.
Aku harap tumbuhan di LamanNyaman yang baru berusia setahun ini akan terus membiak dan subur segar menyerikan persekitaran dengan bantuan KakWan.

KakWan turut membantu merumput

Longgokan daun dan pokok yang telah dipotong

Mengembalikan kekemasan Laman

Beib berharap dapat menjaga Laman dan...
memastikan ia tempat yang selama T
dihuni unggas dan serangg A
dihijaukan oleh rumput dan dau N
menjadikan suasana aman dan tenan G
melegakan jiwa serta mind A
lokasi bersantai dengan famili dan tema N

Thursday, December 11, 2008

Mak masih ingatkan Pak

Dalam suasana hening redup pagi, Mak bertongkat gagah menuju ke pusara Pak.

Assalamualaikum / Good Day.....
Aku sudah 3 hari pulang menziarahi Mak sempena Hari Raya Aidil Adha. Mak buat korban pada tahun ini sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.
Tapi pengorbanan Mak yang besar yang aku nampak ialah terhadap arwah Pak. Aku sering diingatkan tentang kisah-kisah Pak. Kasihnya terhadap arwah suaminya tak pernah putus dan lekang.
Sebelum tidur, Mak akan bercerita dan mengenangkan Pak padaku. Sebagai anak lelaki sulung, aku mendengar dengan penuh khusyuk. Adakalanya, aku terlelap oleh penceritaannya.
Pak meninggal dunia akibat kemalangan semasa balik dari rumah kakak untuk menunaikan solat Maghrib. Rujuk entry In memory of Pak.

Mak di pusara Pak
Walaupun sudah hampir 4 tahun 9 bulan berlalu, ingatan kami terhadap Pak masih segar.
Pengorbanan arwah Pak dan Mak akan sentiasa aku sanjungi. Pak meninggal dunia dengan tenang tanpa keuzuran yang panjang. Tidak sedarkan diri selepas dilanggar dan terus menghembuskan nafasnya dalam koma.
Sewaktu dimandi dan dikafankan wajahnya berseri dan kudus sekali. Malah Tok Bilal Masjid Alor Madi, Hj. Shaari, ada mengatakan padaku,
"Tak dak la oghang lain yang macam Pak hang. Dia tak peghenah sakitkan hati oghang lain. Pi masjid (sebelum solat) baca Quran".
Aku bersyukur kerana arwah Pak seorang yang sangat dihormati.
Yang pasti, aku terjumpa tulisan Pak di dalam se buah AlQuran usangnya yang mencatatkan angka 177 kali khatam.
Moga itu diterima ALLAH dan Pak dimasukkan ke Syurga Al Jannah.
InsyaALLAH.

Mak membersihkan pusara Pak selepas bacaan Yaasin dan doa tahlil

Kak Bibah turut sama mendoakan kesejahteraan Pak di sana


Beib berharap Mak dan kami akan terus mengingati keunggulan...
sifat dan sika P
arwah Pak selamany A
semoga dia dimasukkan ke dalam golongan orang yang soleh di akhirat kela K
ALFATIHAH

Tuesday, December 9, 2008

A plate number or a plate of rice?

Antara plet kereta yang aku idamkan.
PAK 8I8
Terserempak semasa balik solat Eid Adha
Assalamualaikum / Good Day.....
Aku sebenarnya bukan kisah sangat pasal nombor-nombor plat kenderaan ni.
Tapi sesekali terasa ingin juga memiliki plet nombor vanity yang memberi impak yang pada diri. Bukan untuk membanggakan diri atau riak, hanya sekadar kepuasan diri. Boleh tengok kat sini.
Personaliti dan karektor yang digambarkan melalui nombor adalah sesuatu yang dicari oleh sesetengah orang. Ada yang sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan kepuasan diri , Self satisfaction, samada dari golongan jutawan, ahli politik, tokoh korporat, kerabat diraja atau personaliti hiburan.
Bagi kaum Tionghua, ada yang berpendapat bahawa memiliki nombor tertentu boleh membawa tuah atau sial.
Percaya atau tidak, kadang-kadang harga sebuah nombor plat kereta itu lebih tinggi dari nilai kereta itu sendiri.
Walau apa pun, masih ramai yang ingin memiliki nombor-nombor yang istimewa ini. Ada yang mampu dan ada yang hanya berangan. Baca sini , sini dan sini.

Kereta kesayangan dengan nombor plet kesayangan

Perlu diingat bahawa kos untuk memiliki nombor istimewa begini tidak harus melibat perbelanjaan isi rumah atau perbelanjaan dapur.
Kalau teringin juga, ianya perlu dari dana yang tidak menjejaskan wang untuk keperluan seharian.
Tapi ada juga orang yang menganggap ianya satu pelaburan. Terpulang atas tanggapan masing-masing. Mungkin ada nombor-nombor tertentu yang dicari dan diminati oleh seseorang dan sanggup membayar dengan harga yang tinggi untuk memilikinya.
Lihat apa yang ada di JPJ. Nombor -nombor ini di kategorikan sebagai:
Nombor Bernilai Utama
Nombor Menarik
Nombor Popular
Nombor Semasa
yang semuanya dijual melalui tender atau dengan harga yang tertentu.
Untuk yang kaya, berharta atau super rich kos bukanlah halangan. Glamour dan identiti merupakan salah satu ciri kehidupan mereka.
Bagi kita yang marhaen ini, cukuplah sekadar menikmati melalui memerhati. Jika ada rezeki, mungkin kita juga berpeluang merealisasikan impian memiliki nombor plat istimewa ini.
Buat sementara ini, " a plate of rice is better than the plate numbers".
Beib berangan-angan juga nak dapatkan beberapa nombor...
kenderaan yang manta P
seperti dimiliki orang-orang terkena L
tapi ada perkara lain yang lebih utam A
perlu diberi perhatian dan dibuaT

BE I8
HA 8I8 - kena ada permit teksi
WAN 8I8

Monday, December 8, 2008

Korban dan Kemajuan

Berbaju Bukittinggi dan bersongkok Sikek
di depan Masjid Alor Madi

Assalamualaikum / Good Day.....
Selamat Hari Raya Aidil Adha
buat semua kenalan dan pembaca blog ini.

Semalam aku drive sendirian balik ke Anak Bukit. Bertolak jam 11 pagi dan selamat tiba jam 6.30 petang.
Letih perjalanan sehari sebelum ini masih terasa di mana aku terpaksa mengharungi 3 jam perjalanan dari Sawahlunto ke Bandara Internasional Minangkabau (BIM) Padang, Indonesia sebelum menaiki pesawat balik ke LCCT selama 1 jam dan meneruskan perjalanan balik ke KT selama hampir 10 jam. Jumlah keseluruhan perjalanan ialah 19 jam.Ahli keluarga yang lain tak mengikut balik sama kerana urusan korban di tempat kami. Mereka akan balik hari Rabu nanti. Itulah antara pengorbanan aku dan famili.
Kemahuan dan keinginan Mak tak mungkin aku bantah. Mak hendakkan aku bersamanya di Lebaran ini kerana Hari Raya Aidil Fitri lalu aku beraya di Gong Badak. Lagipun Mak nak buat korban juga tahun ini. Aku mesti berkorban demi Mak.
Nampak gayanya tukang tompok daging di Gong Badak terpaksa diambil alih oleh orang lain tahun ini. Rujuk entry ini.

Masjid Alor Madi, Anak Bukit yang mungkin menjadi korban kemajuan

Pagi ini aku solat Hari Raya Aidil Adha di Masjid Alor Madi.
Masjid ini memang mempunyai banyak memori padaku. Masa zaman kanak-kanak dulu, disinilah tempat aku solat Jumaat dan solat waktu jika ada kelapangan. Paling terkesan ialah pada bulan Ramadan. Bersolat Tarawih dan more bersama rakan-rakan sekampung.
Imam Masjid yang baru ditauliahkan, Abang Don, memaklumkan bahawa kemungkinan besar masjid ini akan terlibat dengan Electrified Double Tracking Project iaitu projek landasan keretapi elektrik berkembar KTM yang dimajukan oleh sebuah syarikat kejuruteraan dan infrastruktur terkenal di Malaysia.
Aku dimaklumkan bahawa proses pengukuran serta pengambilan tanah sedang berjalan. Setakat ini, Masjid Alor Madi masih tersergam di tempat asal.
Adakah ia akan menjadi korban kemajuan atau kemajuan terpaksa berkorban mencari alternatif lain masih di luar pengetahuanku.
Aku berharap masjid yang terletak di atas tanah yang diwakafkan oleh tiga orang penduduk asal kampung ini akan terus kekal.
Tak sanggup aku melihat masjid yang berusia hampir 40 tahun dikorbankan begitu saja.
Doaku agar ia terus kekal bersama kemajuan dan bukan dikorbankan demi kemajuan.

Beib berdoa agar Masjid Alor Madi tidak menjadi....
mangsa kemajuan yang tama K
diusik secara hentam kerom O
tanpa perhatian yang sewaja R
bukan dikorbankan atas apa-apa seba B
kerana ia amat berjas A
lagipun tanahnya telah diwakafka N