Masih terasa penatnya berurusan dengan syarikat penerbitan, pengedar dan penjual buku selama dua hari berturut-turut.
Bermula dengan surat panggilan ke Sesi Diskusi Pemuafakatan Strategik Projek Inovasi Bahasa Inggeris Bersama British Council, aku sudah terhidu keseronokan program ini.
Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri Terengganu sebenarnya telah menggagaskan satu program untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tok Jiring, KT. Ini dikenali sebagai Taman Tema Bahasa Inggeris atau English Theme Park (ETP).
Aku dilantik sebagai panel Pendidikan Seni bagi membantu menjalankan pelbagai aktiviti seni dalam Bahasa Inggeris.
Tugas aku kali ini ialah untuk mengenalpasti buku-buku Seni yang perlu dibeli untuk kegunaan aktiviti seni di ETP nanti. Aku dimaklumkan lebih dari RM30,000.00 dikhaskan untuk pembelian buku-buku rujukan Bahasa Inggeris dan Seni Visual.
Perjalanan dari KT ke KL menaikki MPV bersama dua lagi panel diskusi, Rohaida Ngah dan Mat Sabri Ismail serta Kyra Anuar Mc Afee, anak dara Rohaida, menjanjikan satu trip yang menghiburkan serta bermaklumat.
Berlepas pada jam 9.30 pagi kami menelusuri Jalan KT-Kuantan. Sudah lama aku tak berkereta ke KL. Its a nice break, kata orang, bila berpeluang melintasi pekan-pekan Marang-Dungun-Paka-Kerteh-Kijal-Kemasik-Kemaman-LPT-Karak- Gombak-KL.
Perjalanan lebih kurang 8 jam dipenuhi dengan borak-borak kosong dan info terkini dalam pelbagai isu.Antara yang menarik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ialah kehadiran BOB yang mengawal lalu lintas di kawasan pembaikan jalan. Dari jauh BOB kelihatan seperti manusia biasa, tetapi bila dihampiri rupanya robot ini tidak mempunyai bahagian bawah tubuhnya.
Dengan uniform pekerja lebuhraya, bercermin mata, bertopi keras serta memegang bendera BOB kelihatan sebagai petugas yang gigih menjalankan tanggungjawabnya.
Di kawasan pembinaan /pembaikan jalan BOB gigih mengawal pergerakan lalu lintas tanpa menghiraukan hujan atau panas.
Kami cuba meneka apa itu BOB yang tertera di jaket orennya. Setelah pelbagai tekaan dibuat, aku mendapat idea bahawa BOB itu mungkin merupakan kependekkan Bukan Orang Betul.
Walaubagaimanapun, perjalanan lancar dengan kerjasama BOB.
Kami singgah di R&R Temerloh untuk makan tengahari. Aku terpegun bila melihat signage atau papan tanda yang unik di atas. Di sini rupanya tempat menyalin (fotokopi) bayi...hehehe...
Mat Sabri, tuan empunya MPV merupakan pemandu yang cekap serta berhemah. Kami selamat sampai di tempat penginapan kami di Hotel Grand Season, KL pada jam 4.30 ptg, setengah jam lebih awal dari jangkaan. Dua orang lagi anggota panel sudah berada di sekitar KL.
Kyra, gadis sunti kacukan Canada Terengganu merupakan ahli panel tidak rasmi yang akan membantu memilih buku-buku cerita kanak-kanak yang akan di tempatkan di ETP. Kegemaran membaca membolehkan dia mengesyorkan naskah literatur yang sesuai dengan usia remajanya.
Penerbit buku yang pertama yang kami lawati ialah Penguin Books Malaysia, satu bahagian syarikat Pearson Malaysia. Waahh! buku yang bermutu serta harga diskaun yang ditawarkan kepada kami memang mengujakan. Aku seronok mencari buku-buku yang sesuai sehingga tidak sedar sudah mula melutut. Kaedahnya mudah. Cari-tarik dari rak-belek-sesuai-letak atas troli (troli pembelian).Selesai dengan pemilihan buku di Pearson kami beralih ke Publishers Marketing Services (PMS). Satu lagi syarikat pengedar buku bermutu yang beroperasi di Phileo Damansara. Melihat pada
himpunan buku di syarikat tersebut aku jadi tenggelam. Buku seni terutamanya, amat berkualiti dan sudah tentunya mahal. Karen, Country Manager di PMS menawarkan aku potongan 25% untuk setiap buku yang aku beli secara individu. Thats a good bargain!.
Seterusnya pada sebelah tengahari kami ada temujanji dengan personel di British Council (BC) di Jalan Ampang.
Tricia Thorlby, ELT Projects and Biz Development Manager telah bersama kami selama lebih dari 45 minit untuk membincangkan satu projek bersama yang melibatkan BC dan ETP. Perbincangan dan diskusi telah merangkumi pelbagai isu mengenai program Bahasa Inggeris yang boleh dilaksanakan di ETP.
Satu kertas kerja yang membabitkan usaha meningkatkan penguasaan BI akan dipanjangkan ke BC. Pihak BC sebenarnya tiada peruntukan untuk program luar tetapi akan cuba membantu sedaya mungkin. Berdasarkan info yg kami terima, bayaran profesional untuk sejam kuliah/ceramah ialah sebanyak RM530.00, tidak termasuk pengangkutan dan penginapan.
Satu angka yang banyak yang terpaksa ditanggung oleh BTP. Kami akan cuba mencari penaja untuk program itu.InsyaALLAH.
BC mempunyai fasiliti terkini dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa. Troli ini ialah khas digunakan untuk mencaj bateri 15 buah laptop sekali gus. Kelas yang kecil dan selesa (cozy) membantu pelajar dari pelbagai negara yang menghadiri kursus BI di sini. Anda patut pergi dan lihat sendiri. Ianya seperti berada di sebuah negara asing. Begitu metropolitan sekali.
Selanjutnya kami beralih ke Kinokuniya Books di KLCC. Di sini, aku seolah-olah berada di alam lain. Melihatkan susunan buku yang kemas dan menarik sesiapa pun akan rasa terpanggil untuk menarik keluar buku dari rak dan membeleknya. Aku sanggup berada di situ sehari suntuk jika ada kelapangan dan pernah aku lakukan beberapa tahun lepas. Buat ulat buku, inilah antara tempatnya.
Berbekalkan alat coder (betul ke istilah ini?) di tangan aku hanya perlu mengambil buku dan scan bar code untuk membuat tempahan buku. Fuh..! Aku sendiri tak sedar berapa buah buku yang telah aku scan. Banyak kali juga aku dengar "tit" berbunyi dari coder tersebut. Hampir 2 jam aku meronda dalam gedung ilmu itu mencari bahan bacaan yang sesuai untuk discan.
Selesai tugasan di situ kami beralih ke Asia Foundation.
Mr Muniandy, Penyelaras Buku menerima kami dengan penuh mesra. Buku-buku yang tersusun di rak sedia untuk dipilih dan dimasukkan ke dalam kotak.Sebenarnya buku-buku ini boleh diambil secara percuma untuk organisasi - organisasi tertentu seperti sekolah, kolej dan universiti. Penerimanya hanya perlu membawa cop jabatan dan mengisi borang permohonan untuk mendapat bekalan buku-buku bermutu keluaran syarikat penerbitan Amerika. Kami menghabiskan hampir sejam di sana sambil memilih pelbagai judul buku. 10 kotak penuh buku diperolehi. Aku menerima 22 buah buku pelbagai jodol dan berharap agar dapat kembali untuk mengambil banyak lagi khazanah ilmu di sana dalam masa terdekat. Rasanya lepas ni kena bawa kereta sendiri. Angkut seberapa banyak yang boleh.
Kalau kita biasa dengan MPH kita akan rasa teruja dengan bahan-bahan bacaannya yang juga berkualiti tinggi. Sebagai pemengang kad MPH Reader's Circle (MRC) aku memang peminat setia gedung buku tersohor ini. Apabila peluang diberikan untuk memilih bahan bacaan di sini, aku memang tidak akan melepaskan peluang. Bahkan, Zainizam, Eksekutif Jualan yang aku kenali di sini menawarkan peratusan diskaun yang paling menarik untuk aku. Ini membuatkan aku terasa ingin memiliki semua buku yang ada di situ....Kalaulah aku jutawan..?
Aku ni bukanlah ulat buku sangat, tapi buku sentiasa menjadi rujukan dan bacaan bila ada masa terluang. Kata orang BUKU ADALAH UNIVERSITI YANG BOLEH DIBAWA KE MANA-MANA.
Aku cuba menjadi sahabat buku. Menjadikan buku sebagai teman dan rakan. Moga buku dapat memberi inspirasi dalam hidupku.
Aku sering impikan sebuah gedung buku di dalam rumahku. Bergunung banyaknya dan dapat dinikmati isi kandungannya oleh semua sahabat, kenalan dan penggemar buku.
Bila masanya akan tiba ek..?
Beib senang dengan...
bahan bacaan yang berbagai ba B
menjadi santapan jiwa semua ulat buk U
disusun kemas di rak-ra K
untuk diserap segala ilm U
menjadi santapan jiwa semua ulat buk U
disusun kemas di rak-ra K
untuk diserap segala ilm U
No comments:
Post a Comment