Tuesday, January 29, 2008

TUAH

Dengan kereta bertuah
Assalamualaikum / Good Day.....
Ini adalah coretan aku dalam website peribadi pada tahun 1998 untuk santapan semua.

Kata orang tua-tua "Tuah ayam nampak di kaki", tapi tuah manusia nampak di mana ya..? Inilah coretan mengenai tuah yang akan sentiasa aku kenangi dan kusyukuri sepanjang hayatku.
Telah menjadi minat dan hobiku mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan dan pertandingan yang disiarkan dalam akhbar atau majalah. Bukan apa, cuma untuk mengisi masa lapang dan menguji kebolehan menjawab soalan. Manalah tahu, kalau bernasib baik mungkin hadiah yang disediakan boleh menjadi milikku.
Namun persaingan tentu saja sengit dan hebat. Sebagai pemegang sejenis kad kredit, aku telah diberikan sekeping borang penyertaan untuk satu peraduan yang kuanggap sangat mudah tetapi mencabar.
Eh! ya ka..? Peraduan ini hanya memerlukan tiga jawapan berdasarkan petikan yang telah sedia diberikan dalam borang penyertaaan tersebut. Soalannya amat mudah dan 'straight forward'. Jawapannya pula boleh didapati dalam petikan tersebut. Cuma yang agak mencabar ialah mencipta slogan atau cogankata yang mesti tidak melebihi 15 patah perkataan.
Jam pada ketika itu menunjukkan sudah pukul 11.30 malam. Aku masih berada di bilik bacaan di rumahku. Selesai membaca ruangan pojok di akhbar kegemaranku, aku teringat akan borang peraduan tadi. Kuambilnya dari laci meja tulisku dan kuhayati kehendak soalan serta slogannya. Ketiga-tiga soalan mudah dijawab. Tapi slogannya. Susah juga untuk memikirkan satu slogan yang ada 'kick' atau ada 'punch'.
Kukeluarkan sehelai kertas kajang kosong untuk kureka-reka slogan yang sesuai. Sesi 'brain storming' pun bermula. Buntu juga mindaku mencari perkataan, istilah serta ayat yang sesuai untuk slogan tersebut. Ku perahkan juga otakku untuk mencari satu kombinasi perkataan yang mantap.
Tiba tiba, isteriku masuk ke bilik dan menghampiriku yang sedang asyik memerah otak. Dia lantas menyindirku. "Alaaa..takkan menang punya. Pergi tidur aja la. Buang masa saja."
Dia kemudiannya berlalu pergi dengan senyuman sinisnya.
Sindirannya itu tiba tiba menjadikan aku bersemangat untuk membuktikan kehandalanku.
Aku terus menjawab."Kalau menang nanti, jangan nak mengada ada.."
Aku tertarik dengan hadiahnya yang lumayan. Hadiah pertama ialah percutian ke New Zealand selama seminggu, kedua alatan elekrik begitulah seterusnya sehingga hadiah ke enam. Tetapi yang paling menarik ialah Hadiah Utamanya bernilai RM90,000.00.
Acik bergaya dengan Peugeot 405GTi
Hebat hadiahnya.
Teringin juga aku memiliki kereta yang canggih itu selain dari kereta Proton Saga merah yang kami beli di hari pelancarannya pada tanggal 17 September 1985. Kereta kedua kami pada waktu itu ialah sebuah Daihatsu Charade model 1984.
Malam itu aku bertekad untuk menyiapkan slogan peraduan tersebut. Aku sendiri tidak sedar bila aku menyiapkannya. Keletihan memaksa aku masuk tidur.
Kesokkannya, sampul surat yang berisi borang penyertaan itu aku poskan. Isteriku tersenyum sinis lagi. Aku sendiri hanya mampu membalas senyumannya dengan harapan yang menggunung.
Tiga bulan sudah berlalu. Aku sudah terlupa tentang peraduan tersebut. Impian dan harapan terhadap hadiahnya juga tak lagi kuingat.
Pada suatu hari Khamis November 1990, aku seperti biasa balik dari tempat kerja dengan memandu kereta Proton Sagaku. Sesampai di kawasan rumah, isteriku sudah pun berada dimuka pintu.
"Awal dia balik hari ni...?" fikirku.
Aku hentikan kereta untuk membuka pintu pagar rumah. Sebaik sahaja kereta kusimpan di bawah porch dan belum sempat aku membuka pintu kereta, tiba-tiba isteriku terus menerpa kearah kereta.
Cara dia berlari menuju ke arahku menimbulkan rasa cemas dihati. Yang terfikir olehku ialah sesuatu yang buruk telah berlaku.
"Kita menang bang...kita menang..." jeritnya mengatasi bunyi enjin kereta yang belum kumatikan itu.
Aku terpinga. Aku masih belum mengerti maksudnya. Sesudah kumatikan enjin dan keluar dari kereta, dia terus mengulangi kata kata yang sama.
Lalu dia terus menceritakan tentang panggilan telefon yang diterimanya sebentar tadi. Katanya, panggilan telefon tadi adalah dari Kuala Lumpur. Pemanggilnya ialah Mrs.Chan dari MBf, syarikat kad kredit .
Dia menelefon untuk mempastikan samada alamat serta nama isteriku itu betul dan tepat. Dia turut mengucapkan tahniah kepada kami kerana telah memenangi Hadiah Utama peraduan yang dianjurkan oleh syarikat itu lebih kurang 4 bulan yang lalu. Dia menyatakan bahawa surat pemberitahuan akan diposkan secara berdaftar dan dijangka sampai dalam sehari dua lagi.
Esok hari Jumaat, pejabat pos tutup kerana ianya hari minggu disini. Aduh! siksa menantikan hari Sabtu.
Aku bertambah bingung. Betul ke atau hanya sekadar gurauan oleh teman teman..? Tapi..aku sendiri tak pernah menceritakan tentang penyertaanku dalam peraduan ini kepada sesiapa pun. Heran ya..? Aku masih terpinga-pinga. Kami tidak tahu kemana harus kami hubungi untuk mendapatkan kepastian.
Selesai makan dan solat Zohor, aku kebilik bacaan untuk menyelongkar bahan-bahan yang berkaitan dengan pertandingan tersebut yang masih ada. Brosur dan keratan borang pertandingan masih tersimpan di dalam laci di meja tulisku. Dalam brosur itu terpampang senarai dan gambar hadiah yang ditawarkan. Kenangan diperli oleh isteriku masih terngiang. Aku tunjukkan brosur itu kepada isteriku dan kami terus berbincang mengenai panggilan telefon tadi. Aku masih tidak yakin selagi tidak ada hitam putih. Isteriku juga turut keliru bimbang dipermainkan atau mungkinkah salah orang?Malamnya tidur kami tidak berapa nyenyak, teringatkan panggilan telefon siang tadi.
Keesokan hari kami masih berbincang dan menilik brosur yang ada pada kami. Boleh tahan comel kereta yang ditawarkan.
Hari Jumaat ialah "Hari Keluarga" di mana semua ahli keluarga yang tiada urusan di luar daerah akan berkumpul di rumah aruah ayah. Ahli keluarga seramai lebih kurang 30 orang akan berkumpul sambil minum petang dan makan pisang goreng. Biasanya kami berbual serta berbincang mengenai isu keluarga. Dalam perbualan pada hari itu, kami telah menyatakan tentang panggilan telefon yang kami terima semalam. Ramai ahli keluarga yang tertawa dan menganggap itu hanya sebagai gurauan sahaja. Tapi, ada juga yang turut berdebar dan menyatakan rasa tak sabar menanti surat dari pihak yang berkenaan.
Malamnya kami tidak juga boleh tidur dengan nyenyak. Kami asyik berbual mengenai hadiah tersebut. Keesokan hari kami tak bercadang untuk kemana-mana. Yang kami tunggu hanyalah posmen yang biasanya sampai pada lebih kurang jam 12.30 tengahari.
Saat yang dinantikan datang jua akhirnya. Posmen yang ditunggu telah tiba. Pet..pet..bunyi hon motorsikalnya. Kami berdua berlari anak mendapatkan posmen tersebut. Dia nampak terkejut dalam senyuman. Kami dihulurkan sepucuk surat berdaftar dan sebatang pen untuk menandatangani slip penerimaan.
"Dapat cek ke? tanyanya. Kami hanya tersenyum.
Setelah siap, pen dan slip penerimaan dikembalikan. Tanpa berlengah lagi kami terus membuka sampul dan sahlah bahawa ianya membawa tuah dan rahmat.
Syukur...ALHAMDULILLAH...
Ayah dan ibuku di Kedah terus dihubungi. Kesyukuran diucapkan berkali-kali. Solat syukur aku tunaikan tanda terima kasihku kepadaNYA. Keseronokkan kami berterusan sehingga hari penyampaian hadiah beberapa minggu kemudian.
Pada 10 Januari 1992,yang kebetulan merupakan Ulangtahun Hari Lahir isteriku yang ke 32, aku, isteri, anak sulung serta abang iparku hadir di majlis tersebut di Kuala Lumpur.
Kami diraikan dalam satu majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna. Acara penyerahan hadiah dijalankan. Bila nama isteriku dipanggil untuk menerima "Grand Prize" tersebut aku hanya mampu memanjangkan kesyukuranku kepada Illahi. Kunci replika sepanjang satu meter beribon merah diserahkan kepada isteriku dihadapan kereta hadiah tersebut. Silauan lampu "flash" dari kamera pemberita memancar-mancar bagai kilat. Saat itu aku rasakan teramat bahagia kerana isteriku telah menerima hadiah harijadinya yang amat bermakna. Sebuah kereta Peugeot 405 GTI. Walaupun aku yang menjawab soalan dan mereka cogankata untuk peraduan tersebut namun nama isteriku telah aku gunakan dalam borang tersebut. Itulah tuah nama isteriku.
Sehingga kini, selepas 16 tahun, kami masih lagi menggunakan kereta tersebut kerana ia adalah lambang tuah dan kasih sayang kami sefamili. Seterusnya untuk tahun-tahun berikut aku masih menyertai beberapa peraduan dan memenangi berbagai hadiah yang menarik.

SYUKUR.....ALHAMDULILLAH.
Moralnya: Belum cuba... belum tahu
dan bersyukurlah INSYAALLAH kita akan sentiasa dilimpahi rahmatNYA

Beib akan sentiasa bersyukur kerana...

rezeki adalah rahma T
yang datang tak tentu wakt U
kekadang tanpa didug A
sesungguhnya ia dari ALLA H

4 comments:

nieja said...

wahh
beshnye dpt kete...
snguh lucky

BEiB said...

Terima kasih...
Rezeki nieja...Syukur ajer laa...
Nieja masuk la peraduan, mana tau kot2 boleh hadiah..

nieja said...

haha..
nieja lau masuk praduan msti unlucky
akkekekke..
tu mlas tu..hekhek
but my sis suke masuk praduan2..
lucky plak tu..
even praduan tu cam bodoh2 je..akekke

BEiB said...

mana tau? belum cuba belum tahu..Rezeki dari ALLAH...
give it a shot..