Pengalaman di Sawahlunto, Sumatera Barat selama 10 hari amat sarat dengan pengalaman.
Perjalanan, pemandangan, warganya, persekitaran, budaya serta bahasanya mematangkan minda.
Jika nak dicoretkan, tak tercatat. Deskripsi amatan serta perasaan tidak akan terungkap dengan ayat-ayat. Pengalaman peribadi akan sentiasa terkunci dalam memori dan lubuk hati.
Hanya foto-foto yang mampu menceritakan sepintas lalu.
Aku anggarkan lebih dari 1000 keping foto aku abadikan menggunakan DSLR Nikon D60, beratus lagi menggunakan Olympus Mju dan Lumix DSC serta kamera hapey (HP= Hand phone) dalam bahasa Indonesia.
Tak mampu nak dipaparkan di sini. Hanya sebahagian dimuatkan sebagai sinopsis perjalanan ke Tanah Minang ini.
Isnin,24 Nov:
Sebagai Ketua Pegawai Pengiring untuk seramai 39 orang, aku terpaksa memastikan segala urusan kawalan dan pengendalian peserta berjalan lancar. Bukan setakat perjalanan dari KT ke LCCT, malah dalam penerbangan serta selama 10 hari berada di Sawahlunto. Tanggungjawab yang berat tetapi mampu dilaksanakan dengan bantuan 4 orang lagi Guru Pengiring serta Ketua Rombongan.
Bertolak dari SK Teluk Ketapang, KT menggunakan bas Yayasan Terengganu pada jam 5.50 ptg dan tiba di LCCT pada jam 3.40pg.
Selasa,25 Nov:
Berehat, makan serta solat di Food Garden,LCCT serta bersiap sedia untuk check-in pada jam 5.30pg. Keriangan tergambar di wajah anak-anak yang turut serta.
Selesai check-in, menantikan pesawat AK474 yang akan membawa kami ke Bandara Internasional Padang (BIM). Sedikit kekeliruan tentang tiket penerbangan tetapi berjaya diatasi dengan baik.
Penerbangan AK474 AirAsia yang menggunakan pesawat Airbus A320 yang boleh memuatkan 180 orang penumpang selesa dan tiba tepat pada waktunya. Oleh kerana penumpang tidak ramai, hampir keseluruhan pesawat dipenuhi oleh ahli rombongan.
Sesampai di BIM selepas 1 jam penerbangan, kami disambut oleh Pegawai dari Dinas Pendidikan Kota Sawahlunto (Pejabat Pelajaran Sawahlunto). Proses pemeriksaan imegresen dan Kastam berjalan lancar.
Sepanjang perjalanan, ciri-ciri budaya Minangkabau jelas kelihatan seperti Pintu Utama Universitas Baiturrahman. Rumah-rumah Gadang berderetan sepanjang laluan. Suasana yang unik bagi kita dari Malaysia.
Cantik sekali pemandangan di sepanjang laluan ke Kota Sawahlunto seperti mana yang kita biasa lihat dalam filem-filem klasik
Kami sampai di Balai Kota Sawahlunto untuk pertemuan dengan Bapak Walikota. Oleh kerana masalah penerbangan dan kelewatan tiba, pertemuan itu ditangguhkan pada esok pagi. Cuma PakGuspriadi dari Dinas Pendidikan dan beberapa wakil Kantor Walikota yang hadir untuk sesi penyerahan pelajar serta pegawai pengiring kepada ibu bapa angkat di Kecamatan Telawi. Suasana hening dan saspens menanti nama dipanggil dan diserahkan kepada Orang Tua Angkat (OTA). Ada 13 OTA yang akan melayani serta menjaga kami selama 10 hari kami di sana.
Aku, KakWan serta Adeq(Syazana) diserahkan kepada Bapak Sanusi Rasyid bersama 2 orang lagi anak angkat, Wan Nur Fitriah bt. Wan Mahdi dan Aimi Nadiah bt. Aminuddin.
Melihatkan pada usianya yang mencecah hampir 70 tahun, aku hampir tidak yakin akan keupayaannya untuk melayani kami 5 orang. Telahanku silap. Pak Sanusi memang bertenaga dan pintar. Kerjaya akhirnya sebagai Cif Inspektor banyak membantu Pak dalam berurusan dengan kami. Terima kasih Pak!
Cantik lokasi rumah seperti dalam catan-catan tradisional
Qaqaq (Syafiqa) bersama Fatin bt. Yahya yang mewakili beliawanis, ditempatkan di rumah Ibu Yuhernal di Desa Sijantang. Namanya kampung itu seolah-olah sebutan orang Terengganu bagi 'jantan' (jantang).
Rumah-rumah di lereng bukit bercahaya dari tenaga yang dibekalkan oleh PTLU( disebut Pey Tey El Uu) Pusat Tenaga Lesrik Uap yang menggunakan batu bara (batu arang). Tiada tenaga elektrik hidro di sini.
Keletihan akibat perjalanan dan acara yang menjerihkan, kami hanya sempat berkenalan dengan Ibu Rosma, isteri Pak Sanusi untuk seketika sebelum masuk tidur.
Jam 10 di sini sebenarnya sudah jam 11 malam di
Rabu, 26 Nov:
Selesai membersihkan diri, solat, sarapan dan bersiap-siap kami berjalan dari rumah OTA sejauh 600 meter untuk berkumpul di Kantor Kepala Desa Talawi Hilir.
Program pagi ini ialah pertemuan dengan Ir. H. Amran Nur, Bapak Walikota Sawahlunto yang ditangguhkan semalam.
Dalam sesi pertemuan ini, semua peserta diperkenalkan kepada Bapak Walikota. Beliau amat berharap agar program seperti ini berterusan dan menjadi agenda tahunan Terengganu, Malaysia - Kota Sawahlunto, Sumatera.
Ini selaras dengan visi dan misi beliau untuk memperkenalkan Kota Sawahlunto sebagai 'Kota Wisata Tambang yang Berbudaya'.
Dari maklumat yang aku terima, Bapak Walikota amat positif dan agresif dalam memperkenalkan Kota Sawahlunto kepada dunia. Dalam masa 4 tahun pentadbirannya, banyak kemajuan telah dicapai dan Kota ini telah dikenali ramai. Rata-rata warga Sawahlunto berbesar hati berwalikan anak tempatan ini.
Sebaik sahaja tamat majlis pertemuan dengan Bapak Walikota, kami dibawa ke sekolah angkat masing-masing. Aku bersama 7 pelajar dan 2 Guru Pengiring ditempatkan di SMPN3 (EsEmPey Negeri 3) Sawahlunto, sebuah Sekolah Menengah Rendah yang berhampiran dengan Sungai Ombilin yang cantik dan bersih
Pertemuan dengan pihak pengurusan sekolah amat mesra dan menyenangkan. Pak Haris, Kepala Sekolah SMPN3 begitu gembira menerima kedatangan kami. Selesai berbalas ucapan kami bertukar cenderamata dan termetrailah satu hubungan silaturrahim antara Malaysia-Indonesia
Kehadiran pelajar dari Terengganu adalah sesuatu yang dinantikan oleh anak-anak SMPN3. Kemana sahaja pelajar ini pergi, mereka disapa dengan mesra. Perbezaan istilah difahami dengan penjelasan dan gesture. Betul kata orang tua-tua, kanak-kanak memang cepat bergaul dan mendapat kawan
Bila sahaja kamera aku tuding talakan kepada mana-mana subjek, akan ada dikalangan mereka yang ingin masuk frem. Sesuatu yang menarik dan meriah.
Ramai yang sengaja lewat pulang dari sekolah kerana ingin berkenalan dengan tetamu dari negara seberang. Satu situasi yang memberangsangkan.
Oleh kerana mobil@kereta merupakan satu kemudahan yang mewah dan ramai yang tidak mampu memilikinya kenderaan yang popular di sini ialah motorsikal. Sebagaimana di Kemboja yang aku lawati Julai lalu dan Jakarta pada tahun 2005, motorsikal juga dijadikan sebagai kenderaa untuk mengangkut penumpang.
Ojek lebih bersifat teksi dua penumpang tanpa bumbung yang akan membawa kita kemana sahaja dengan kadar bayaran yang sangat murah.
Rp 2,000 ( RM0.80 sen) ialah bayaran dari SMPN3 ke rumah OTA yang sejauh lebih kurang 2km. Agaknya akan ada ke tidak Ojek di Malaysia?
Khamis, 27 Nov:
Ibu Rosma bangunnya awal. Sarapan dan makanan yang disediakannya amat menyelerakan. Ramai yang bertanya, "sedap tak makanan di sana?"..."boleh makan ke masakan sana?"...dsb. Bagi aku, tiada masalah. Malahan selera kami bertambah dengan hidangan ala Padang. Sayurannya yang manis segar yang dicelur dan dicicah cabe (sambal cabai/lada) membuka selera. Kata orang nasinya bagus dari beras yang juga bagus!
Sawah dilereng bukit di ketinggian lebih dari 800 meter dari paras laut membuatkan tanaman padi serta sayuran lain terasa enak.
Mungkin juga lahar dari Gunung Merapi dan Gunung Singgalang yang membuatkan tanah di sekitar Sumatera Barat subur dan menghasilkan tanaman yang bermutu.
Alangkah baiknya jika dapat dipraktikan di tempat kita. Mungkin dapat mengurangkan sikap buruk dan negatif di kalangan pelajar kerana ada rasa hormat dan patuh kepada guru.
Selama 5 hari di sini, tiada insiden buruk yang kami saksikan yang melibatkan murid dengan murid dan murid dengan guru. Mungkin berkat tradisi bersalam ini.
Apel atau perhimpunan pagi menyaksikan pelajar berkumpul dalam barisan yang teratur. Perempuan di depan dan lelaki di belakang. Tidak sebagaimana di Malaysia.
Kali ini, apel pagi diadakan untuk memperkenalkan tetamu istimewa dari Terengganu, Malaysia.
Pak Joko, Koor Labor memberi laluan kepada kami memperkenalkan diri.
Berbaris panjang di atas pentas, satu persatu anak-anak Malaysia memperkenalkan diri masing-masing. Tepukan diberi tanda penghargaan. Penerimaan anak-anak siswa terhadap pelajar Malaysia begitu membanggakan. Apatah lagi semuanya sebaya dan bergaya.
Selesai sesi suaikenal, aku diminta menghabiskan masa bersama anak-anak siswa di lokal 7 (Tingkatan 1). 2 jam aku berbincang dan berinteraksi mengenai Pendidikan Kesenian (Pendidikan Seni Visual). Walaupun agak kekok dengan istilah dan loghat bahasa yang aku gunakan, mereka tetap aktif dan sedia untuk memberi respons. Tahap tingkatan 1 dan berupaya berkomunikasi dengan orang asing adalah satu pencapaian yang sangat baik.
Pengalaman aku selama 30 tahun mendidik di tanahair, jarang aku temui anak-anak peringkat ini berupaya berkomunikasi dengan konfiden. Tapi mereka ini berani dan yakin. Apa rahsia mereka?
Petangnya, kami habiskan masa menonton pertandingan sepakbola (bolasepak) antara SMPN3 menentang SMPN sempena HUT (Hari UlangTahun) Kota Sawahlunto yang ke 120. Sebagai yang dijangka SMPN3 berjaya menjadi johan untuk tahun 2008. Tahniah!
Jumaat, 28 Nov:
Kami sefamili tidak ke sekolah hari ini. Tengok tu Adeq sudah bersiap untuk ke Bukittinggi. Perjalanan ke
Supir kami, Riko, ialah anak muda yang sangat mengetahui latarbelakang daerah ini. Sepanjang perjalanan banyak perkara yang diterangkan. Bermaklumat dan berhemah. Kalaulah semua pemandu begini alangkah bagusnya.
Menuruni laluan dari rumah OTA kami diiringi oleh Ibu Rosma yang amat penyayang dan perihatin. Bila kami ingin keluar dari rumahnya, sentiasa diingatkan kami supaya menjaga diri dan berhati-hati. Sesungguhnya Ibu sangat mengambil berat tentang keselamatan kami. Terima kasih Ibu. Bapa Sanusi juga begitu.
Perjalanan kami melalui pelbagai kontur dan permukaan bumi begitu mengujakan.
Kincir air yang mengalirkan air dari Sungai Ombilin ke sawah padi yang tiada taliair kelihatan sangat klasik. Teknologi Belanda digunakan. Kincir air di Belanda mungkin lebih besar dan efesien, namun kreativiti penduduk setempat membolehkan mereka mengerjakan sawah dengan menggunakan bahan teknologi paling asas iaitu buluh.
Aku terpegun menyaksikan bagaimana air digunakan semaksima mungkin dalam mengendalikan kehidupan seharian. Aku juga diberitahu bahawa kincir air ini merupakan tulang belakang kehidupan di Sawahlunto.
1 comment:
seribu ayat takkan sama dengan perasaan yang dilalui sepanjang kembara ini. mengamati baris demi baris ayat...meneliti satu persatu gambar kenangan, rasanya tak tercerita betapa bermakna perjalanan dan pengalaman kali ini. terlalu berharga...
Post a Comment