Friday, February 27, 2009

Chef yang best...

Sous Chef Jusoh: Makan selagi belum kena makan ubat

Assalamualaikum / Good Day.....
Baru tiga hari di hotel penginapan di Shah Alam, aku sudah merasakan keenakan masakannya.
Hampir setiap kali sesudah makan aku akan thumbs-up padanya. Jika ada kesempatan dia ada melayan tetamu hotel yang sedang menjamu selera pada waktu itu.
Waktu kerjanya di syif pagi.
Se awal jam 7.15 pagi, aku dan teman-teman akan ke Gardenia Food Court (GFC) untuk menikmati juadah sarapan pagi.
Dari roti canai ke roti Perancis, dari sambal ke salad, dari tomyam ke thousand island semua disediakan olehnya bersama pembantu-pambantu di dapur GFC.


Setelah sebelas tahun bergelumang dengan masakan, Sous Chef Jusoh menjadikan Hotel ini sebagai rumahnya yang kedua.
Sous Chef yang berasal dari Kelantan ini merupakan penolong kepada Executive Chef dan merupakan second-in- command.
Beliau juga bertanggungjawab untuk penjadualan dan menggantikan executive chef bila dia off-duty.
Sous Chef juga akan mengambil alih tugas atau membantu chef de partie (line cook) jika perlu.
Dalam operasi yang kecil Sous Chef mungkin tidak ada, tetapi dalam operasi yang besar Sous Chef mungkin ada beberapa orang.
Kepada Sous Chef Jusoh, aku berharap agar masakannya terus enak dan dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat dalam dan luar negara.
Terima kasih atas layanan mesra chef.

Beib teruja dengan tugas Chef yang pandai.....
menyediakan berbagai juadah dari pagi sampai mala M
berusaha memenuhi seler A
dengan masakan masam, masin,manis dan peda S
resepi tempatan serta antarabangs A
berkhasiat, lazat serta ena K

* kekadang suka juga makan nasi kerabu goreng...

Thursday, February 26, 2009

Penilaian bermula...


Assalamualaikum / Good Day.....
Ini hari kedua aku di Shah Alam.
Sekali lagi aku bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk bersama-sama menjayakan program kelolaan KPM.
Selaku AJK Teknikal, aku ditugaskan untuk memastikan bahan grafik dan aspek teknikal penerbitan seperti format, saiz, tipografi, reka letak halaman, jenis bahan grafik, persembahan dan lain-lain yang berkaitan dengan grafik dibuat mengikut spesifikasi.
Ini bertujuan memastikan bahan yang diterbitkan dinilai tepat mengikut kriteria penilaian yang ditetapkan oleh KPM.
Tahap kualiti setiap komponen akan dinilai samada boleh diterima atau ditolak sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran.
Justeru, komitmen setiap AJK panel penting bagi memastikan penilaian dibuat secara berkesan dan sempurna.
Kewibawaan kami diuji.
Semoga usaha dan sumbangan kami diberkati.

Menjalankan tugas bersama Ustaz Yusof Yaacub, lulusan Al Azhar, Mesir dari Pulau Pinang. Broadband yang dipinjamkannya mengeratkan silaturahim dan jalinan kasih.

Ustaz Tn. Hj. Mohamad Rahim memberi taklimat mengenai mesyuarat yang akan berlangsung selama lebih seminggu. Beliau menggantikan Ustaz Hamdan Muda, selaku Penyelaras Projek. Ustaz Hamdan bercuti kerana uzur. Moga Ustaz Hamdan segera sembuh dan kembali bertugas seperti sediakala.

Antara AJK Panel yang terdiri dari Ustaz Yusof, Dr.Hakim (UDM), penulis, Ustaz Mohd.Zahar dan Ustaz Annuar sedang mendengar taklimat mengenai Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Tahun 3.
Aku turut cuba memahami untuk memastikan penilaianku terhadap elemen grafik sesuai dan berkesan.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, penglibatanku dalam program seperti ini akan membuka minda dan jambatan persahabatan. Inilah faedah sampingan yang aku perolehi. Moga lebih ramai lagi yang aku kenali.

Beib berbangga menjadi
penilai.....
....bahan, meneliti dari satu bab ke satu ba B
bagi membantu anak bangsak U
dengan bahan terbai K
moga menjadi manusia berilm U
*Nilai diri terletak pada hatibudi...
terdetik juga di hati...bagaimana orang menilai diri kita...?

Wednesday, February 25, 2009

Rutin yang terencat...

menunggu MH1327

Assalamualaikum / Good Day.....

Meninggalkan meja jepun yang mengalas laptopku serta orang yang tersayang selama 10 hari bukanlah sesuatu yang aku inginkan.
Namun tugas dan tanggungjawab perlu dipikul. Amanah juga turut dikendong.
Jemputan oleh satu Bahagian KPM untuk mesyuarat penting aku sambut dengan tangan terbuka. Ini sudah masuk kali ke 7 aku terlibat dengan program ini. Aku rasa dihargai.
Aku juga amat berharap agar dapat bertemu rakan lama dan kenalan baru di tempat mesyuarat nanti.

bagasi 10 hari

Ini merupakan satu lagi sumbangan kerdil dariku untuk anak bangsa dan generasi Ulul Albab.
Pemergian ini walaupun selama 10 hari dan tidak sejauh ke Sawalunto, Indonesia, ianya tetap memberi impak yang mendalam.
Rutin akan terbantut, namun interaksi tetap dituntut.
Dalam apa jua situasi, usaha dan ikhtiar perlu dibuat supaya rutin tidak
terganggu dan konsentrasi tetap tekal.
InsyaALLAH, kematangan mengatasi emosi, walaupun teringat dan teringin.

Beib akan menginap di...
... sini selama 10 hari untuk bertuga S
memerah keringat, berdiskusi, menjustifikasi, meransang mind A

Tuesday, February 17, 2009

Ketam Udang Sotong

Pantai Teluk Ketapang...redup dan nyaman
Assalamualaikum / Good Day.....

Dengan pantainya sepanjang lebih kurang 224 km, banyak perkara yang boleh dibuat, dilihat dan dinikmati.
Beachcombers dan pencinta matahari, ya'ni mereka yang gemar berjemur, akan mendapati jajaran pantai di Terengganu sebagai satu taman permainan mega yang tidak berkesudahan. Dengan pasiran pantai yang terpanjang di tanahair, Terengganu, sebuah negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, menawarkan rangkaian pantai-pantai yang menarik. Ada yang dipagari oleh pokok-pokok palma dan ada yang hebat dengan beachfronts. Semua pantai ini mudah diakses melalui jalan pantai yang menarik.

Salah satu pantai yang popular dan cantik berhampiran dengan kediaman aku ialah Pantai Teluk Ketapang. Hanya 1.5 km sahaja dari rumah.
Pantai yang dahulunya sepi kini mula dibanjiri pelawat apatah lagi setelah Lapangan Terbang Sultan Mahmud diperbesarkan.
Ada beberapa aktiviti yang disediakan di sini untuk pelancong seperti menunggang kuda, memancing dan bermain layang-layang.
Apa yang tidak diketahui orang ramai ialah jualan ikan, udang atau ketam pada waktu pagi dan lewat petang oleh pemancing dan pemukat individu. Harga yang berpatutan dan hasil laut yang segar memang menguntungkan penjual dan pembeli.
Dengan harga RM10.00 sekilo, ketam butang yang segar mudah berpindah milik.
Jadi, kalau kebetulan melintas di Pantai Teluk Ketapang dan terlihat bot kecil sedang ditarik ke pantai, berhenti dan bertanyalah. Mungkin anda akan membawa pulang hasil laut yang segar untuk santapan kelaurga.

Menikmati ketam rebus Teluk Ketapang

Selain dari menikmati panorama yang menarik serta membeli hasil laut yang segar, pengunjung boleh juga menjamu selera dengan makanan istimewa tempatan iaitu sotong celup tepung, ikan celup tepung dan keropok lekor.

ICT di Batu Rakit

Jika Teluk Ketapang tidak memikat, anda bolehlah teruskan perjalanan sejauh 15 km lagi dari Pantai Teluk Ketapang.
Terletak 30km dari Kuala Terengganu atau 15 km dari Merang di utara, Pantai Batu Rakit menganjur tanpa cemar dan dihiasi dengan bot nelayan yang berwarna -warni serta pohon nyior yang melambai.

Ada beberapa kampung nelayan yang selari dan bersebelahan pantai, jika melintas di sini perhatikan bot-bot nelayan yang baru berlabuh di pantai di waktu petang. Mungkin sebagaimana di Pantai Teluk Ketapang, kita akan dapat membeli perbagai jenis ikan, udang dan sotong yang segar di sini.
Malah ada juga gerai-gerai sementara yang didirikan untuk menjual hasil laut di sini.
Yang paling menarik di sini ialah gerai yang menjual keropok lekor. keropok losong, otak-otak dan satar.
Dikala cuaca baik, Pulau Redang dan pulau penempatan orang hanyut dari Vietnam, Pulau Bidong dapat dilihat dengan jelas dari Pantai Batu Rakit.

Cubalah ikan celup tepung (ICT) atau seafoods tempura yang ada di Batu Rakit. Pelbagai jenis tempura dihidangkan seperti ikan, ketam, sotong, udang, ikan pari keropok dll. Pantai ini juga terkenal dengan char koew tua.
Berjamulah jangan jemu.
Sambil menghirup angin Laut Cina Selatan yang segar, kita akan merasa terungkai segala perasaan atau prasangka yang buruk.
Atau mungkin juga ada lagi sisa-sisa memori lalu, bagai.....
"Ombak memukul pantai....pasir menangis tak siapa yang tahu...."

Beib gemarkan pantai dan.....
jangan lupa merasa apa yang dijua L
hasil laut yang dibuat tempur A
sambil makan merenung pula U
yang jauh terasa deka T.


*

...BUKIT...

Pemandangan Gunung Keriang dari Anak Bukit (foto: Beib)

Assalamualaikum / Good Day.....

Sekarang ini heboh pasal bukit. Orang politik tentu sahaja tak lekang menyebut tentang bukit-bukit yang terlibat.

Selepas kejadian tanah runtuh di Bukit Antara Bangsa pada 7 Disember 2008, kita digemparkan dengan runtuhnya kerajaan negeri Perak yang turut melibatkan Bukit Chandan.

Ini diikuti dengan situasi di Bukit Gantang , Perak dan Bukit Selambau, Kedah di mana PRK akan diadakan pada 7 April 2009.

Terbaru ialah isu Ahli Parlimen Bukit Lanjan.

Aku tak mahu komen tentang isu-isu ini. Banyak yang telah diperkata dan dibahaskan oleh ahli politik, pemerhati politik serta penulis-penulis blog.

Aku hanya tertarik dengan perhatian yang diberikan oleh semua terhadap bukit-bukit yang terlibat.

Aku berharap sangat agar kampungku, ANAK BUKIT tidak menjadi limelight yang tidak sewajarnya. Aku sayangkannya.

Biarlah Anak Bukit tetap kekal aman, santai seperti dahulu.Begitu juga dengan penduduk di bukit-bukit lain yang berselerakan di serata negara.
Moga tenang dan selesa.

Beib sentiasa ingat akan kampung halaman di .....
....mana tinggalnya ibu dan (arwah) bap A
sebuah daerah yang tenteram dan ama N
walaupun ditinggalkan sewaktu remaj A
masih terkenang zaman kanak-kana K
di mana tidak ada bebanan tanggungjawa B
bermain, mengaji, belajar bersama kawan dan sepup U
ke dusun, ke bendang, ke sungai dan ke dalam sema K
bergaul, berjiran, mematangkan dir I
tanpa mengira usia dan pangka T
*Seronok dan istimewa sebenarnya tinggal di bukit...

Sunday, February 15, 2009

Rayuan - Rosak- Sabar

Assalamualaikum / Good Day.....

Selesai Bengkel ETP jam 2 petang, aku dan KakWan bergegas ke Pejabat Datuk Bandar, Bandaraya Kuala Terengganu di tingkat 7 bangunan PERMINT.
Kami diminta hadir untuk membincangkan isu pengurangan bayaran cukai taksiran berdasarkan rayuan yang telah kami hantar beberapa bulan lalu ke Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Ini berdasarkan kepada pemberitahuan yang disiarkan dalam laman web rasmi MBKT:

Bantahan Terhadap Notis Kadaran


Seseorang yang terkilan dengan cadangan nilai tahunan di dalam notis kadaran, bantahan boleh dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Mesyuarat Rayuan Cukai

Pemilik hartabenda yang membuat bantahan diberi peluang menghadirkan diri di hadapan Jawatankuasa Rayuan Cukai dalam Mesyuarat Rayuan Cukai bagi mengemukakan alasan-alasan kepada bantahannya. Sekiranya pemilik tidak dapat hadir dalam mesyuarat tersebut, pemilik boleh mewakilkan orang lain bagi pihak dirinya dengan syarat wakil tersebut hendaklah mengemukakan 'Surat Kuasa' yang telah ditandatangani oleh pemilik tersebut. (rujuk sini)

Kehadiran kami pada jam 2.30 petang disambut oleh pegawai-pegawai dari MBKT dan dijemput masuk ke bilik mesyuarat.
Sedia menanti di dalam ialah Dato' Hj. Mat Razali bin Kassim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta pegawai-pegawai yang lain.

Datuk Bandar MBKT (kiri sekali)

Mesyuarat dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar. Beliau memberi peluang kepada yang hadir untuk mengemukakan bantahan dan komen. Aku turut mengemukakan alasan mengapa cukai taksiran bagi kediaman kami harus dikurangkan.
Antaranya:
1. Sistem perparitan yang tidak memuaskan.
Limpahan air hujan sering memenuhi longkang. Ini ialah kerana tiada longkang besar yang mengalirkan air hujan keluar dari kawasan perumahan kami. Jika hujan berlarutan 2 atau 3 jam, jalan di hadapan rumah akan dipenuhi air kerana water table atau water level sudah meningkat.
2. Kutipan sampah.
Tong sampah yang agak jauh dari premis serta kutipan yang tidak konsisten.
3. Potongan rumput
Rumput di bahu jalan tidak dipotong dengan konsisten dan terlalu lama jarak antara setiap pemotongan. Adakalanya sehingga 3 bulan.
Aku kemukakan semua ini untuk menjustifikasikan pengurangan cukai premis kami.
Alhamdulillah....semua diambil perhatian oleh pihak MBKT.
Kami perlu menunggu keputusan rayuan dalam masa 2 minggu dari sekarang. Kesabaran perlu.
Moga rayuan diterima dan perkhidmatan MBKT bertambah efisien.


Pegawai-pegawai MBKT dan empunya premis yang hadir dalam mesyuarat memerhatikan aku mengemukakan hujah.

Ini pula kisah handphone aku yang rosak tempohari sebagaimana yang aku catatkan di sini.
Oleh kerana terlalu lama masa yang diambil untuk dibaiki, aku terpaksa dapatkan yang baru seperti foto di atas. Yang penting bagi aku ialah ia mempunyai 3G serta lain-lain features yang asas. Tidak terlalu sofiskated dan user friendly.
Utamanya: Murah tetapi Menarik.
Dah lama aku pinjam handphone Nokia 6070 Acik sebagai ganti sementara dan dia menggunakan Motorola Ambassador yang antik tu. Kesian Acik, aku kena pulangkan pada Acik.
Dalam pada itu Nikon D60 aku pulak buat hal.
Kamera yang berusia 8 bulan ini tidak boleh di 'on' kan juga. No power. Terpaksa hantar ke kedai semula. Nasib baik masih dalam warranty.
Nampak gayanya dalam sebulan ini ada beberapa gadget elektronik aku yang menimbulkan masalah.
Aku tetap terima dengan berlapang dada. Hakikat barang buatan manusia memang begitu. Rosak dan tidak kekal lama.
Moga isu-isu yang begini terus menjadikan aku lebih matang, sabar, waras dan wajar.

Beib selalu berdoa agar lebih...
wara S
dalam apa-apa jua dilem A
tidak melulu tanpa seba B
memikirkan secara saksam A
agar perbalahan dapat dihinda R

ETP dan sumbangan kerdilku...

Assalamualaikum / Good Day.....

Sehari lagi di ETP, Tok Jiring.
Melaksanakan pelbagai perkara berkaitan dengan persiapan awal perasmian yang dijangkakan pada 16 April 2009.
Semua ahli panel sibuk dengan tugas masing-masing.
Aku diminta membantu menyiapkan Tok Jiring Bistro (TJ Bistro). Satu sudut di bahagian luar bangunan PKG yang akan dijadikan Bistro. Ia akan yang turut dilengkapi dengan vending machine, kerusi dan meja santai serta hiasan grafik yang bercirikan Bistro.
Papantanda atau singnage adalah dalam Bahasa Inggeris.Kemudahan wifi juga disediakan.
Matlamat utama TJ Bistro ialah untuk membolehkan pelajar berehat, bersantai sambil membaca atau melayari internet.
Satu sudut akan menempatkan sebuah kiosk multi media dengan touch screen yang akan mengandungi maklumat tentang ETP.
Kemajuan projek ini akan dimasukkan dalam entry yang akan datang.
Lain perkembangan atau berita mengenai ETP boleh dibaca di sini.ETP merupakan perkongsian pintar yang unik atau a unique smart partnership di antara ExxonMobil dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).
JPNT /BTPN sebagai pelaksana dan Exxon Mobil penyumbang dana bertujuan menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Di sini, ditempatkan stesen indoor dan outdoor seperti ‘rides’, “Vocabulary Shack” dan “Graffiti Wall” serta lain-lain sumber pembelajaran tambahan seperti buku, komputer, alat pandang dengar / multimedia CD dan realia.
Aku berharap agar sumbangan yang amat sedikit dariku ini akan dapat membantu anak bangsa dalam peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris.

Beib sangat teruja terlibat dengan...
...pembikinan layout, landskap dan singag E
serta berharap agar projek ini mencapai matlama T
sebagaimana yang dihara P

Friday, February 13, 2009

Naik pentas lagi....?

Teruja memikirkan tentang partisipasi

Assalamualaikum / Good Day.....

Satu lagi hujung minggu yang penuh dengan aktiviti keilmuan.
Bila saja mendapat fax dari JPNT menjemput aku menghadiri satu mesyuarat yang ada kaitan dengan persembahan Hari Guru Peringkat
Kebangsaan 2009, aku jadi teruja.
Sambutan kali ini akan diadakan di Kuala Terengganu.
Ini peluang yang tak harus dilepaskan. Dapatlah aku menambah satu lagi catatan penglibatan dalam resume atau CV aku. Bukan selalu dan semua orang dapat peluang begini.
Kata orang " Sometimes some things come once in a life time".
Kalau selama ini, berbelas tahun, aku hanya menjadi hakim atau adjudicator bagi pertandingan ini, dalam semua peringkat, kini tibalah masa untuk aku pula menjadi pesertanya. Tentu seronok menjadi sebahagian dari sejarah nanti. Apatah lagi persembahan di depan penonton terhormat di tempat sendiri.
Membuat persembahan sempena hari yang begitu bermakna bagi golongan pendidik tak wajar dibiarkan begitu sahaja.
Oleh itu, sebagai persiapan awal kami harus menyediakan skrip yang sesuai dengan tema dan persembahan.

Membuat retreat ke resort yang aman damai di pinggir KT ( ada kenalan yang tak suka tempat ini, tak tahu kenapa), aku dan enam orang rakan ( Yzel Sumarno, Rohaida, CK Rohaya, Quek Soh Theng dan Julia Shereen) mula merangka sinopsis cerita.Berdasarkan tema yang telah ditetapkan, kami berkongsi idea memastikan skrip menarik dan padat.

Masing-masing cuba memasukkan elemen-elemen penting yang ada kaitan secara langsung dengan kerjaya di bidang pendidikan. Persembahan ini diharap akan membuka mata penonton dalam memahami aspirasi dan tuntutan kerja sebagai pendidik.

Perbincangan dan sesi brainstorming memberikan input yang tak terduga. Pengalaman dan pembacaan mengayakan skrip.

Aku amat berharap agar persembahan kami nanti akan memberi impak yang berkesan dan mendalam. Mengambil bahagian dalam sesuatu yang baru memungkinkan sesuatu yang menarik.
Ianya tidak sama seperti penglibatanku mewakili Terengganu dalam Debat Bahasa Inggeris Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsan yang aku sertai beberapa tahun yang lalu.
Ini sedikit blurb mengenai apa yang akan dipersembahkan nanti.

YOU KNOW WHAT? Solo 1

WHAT? Solo 2 WHAT?solo 3 WHAT?solo 4

WE ARE TEACHERS SO WE TEACH RIGHT? Solo 1

YES WE ARE group 1

YES WE DO group2

NO, NO, NO, MY FRIENDS solo 1

YOU ARE ALL SO OUTDATED solo 1

WHAT DO YOU MEAN? Group 3

YES WE TEACH BUT THERE’S MORE solo 1

THERE’S MORE? everybody

YUP solo 1 , MORE group 1 , MORE g2, MORE all

.......................


Oh ya...lupa nak bagi tau. Ini bukan persembahan tarian poco-poco atau chicken dance tetapi aku akan menganggotai kumpulan Choral Speaking Guru-Guru Terengganu.

Beib masih bersemangat untuk melakukan sesuatu yang ...
menarik dan bermut U
serta mengadakan apa sahaja persembaha N
demi kepuasan dir I
tanpa melewati tuntutan syara K

Wednesday, February 11, 2009

Ong...


Assalamualaikum / Good Day.....

Sedang sedap menjamu selera, aku dikunjungi seorang hamba ALLAH berkopiah putih.
Dia tersengeh, memberi salam dalam Bahasa Melayu yang pelat. Aku menjawab tetapi tidak dapat menyambut huluran tangannya kerana tangan aku masih dipenuhi nasi dan gulai.
Raut wajahnya memang jelas seorang Tionghua.
Saudara baru? terdetik dihatiku.


Sambil mengepit fortfolio bag dan memegang sekeping surat akuan dari Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah, dia menerangkan hajatnya datang ke premis kami.
Memohon bantuan iklas untuk meneruskan pengajiannya mendalami agama Islam di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan.
Aku mempelawa dia duduk dan makan bersamaku. Sudah kenyang katanya lalu aku tempah minuman untuknya.
Sambil menikmati teh tarik, aku menyoal perbagai perkara mengenai dirinya. Dia bersungguh menjawab walaupun dalam bahasa Melayu yang tidak teratur.
Dia memaklumkan bahawa anak lelakinya ada tiga orang. Semuanya berada di KL menjalankan pelbagai jenis perniagaan. Sejak isterinya meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, dia dipinggirkan oleh anak-anak. Merantau dari Melaka ke Kelantan.
Bekerja di kedai kopi sebagai pembantu kedai.
Pergaulan dengan beberapa kenalan Melayu/Islam membuatkan hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagai Addeen.
Dia memberitahu bahawa beberapa malam sebelum mengambil keputusan memeluk Islam, hatinya rasa 'panas'.

"Aku rasa panas mau masuk Islam".
"Banyak malam tak boleh tidur, ingat mau masuk Islam", katanya.

Aku sendiri menjangkakan ekspresi 'panas' itu bermaksud keinginan yang amat sangat.
Sesudah itu, dia berjumpa seorang ustaz yang bertanya kepadanya sebanyak tiga kali samada dia betul-betul mahu memeluk Islam. Ustaz itu, katanya, tidak mahu dia masuk Islam untuk dua atau tiga bulan sahaja kemudian kembali ke agama asalnya.
Dengan nada yang bersungguh, dia menceritakan padaku bahawa dia mahu mati dalam Islam.
Aku rasa amat teharu. Benar-benar terharu....

Sambil membacakan Surah AlFatihah dengan pelat yang pekat, dia menyatakan bahawa dia tidak lupa menunaikan solat fardu lima kali sehari.
Dia memberitahu aku bahawa dia sangat malu, belajar membaca Al Fatihah lebih dari 4 bulan baru boleh menghafal sedangkan orang lain boleh hafal dalam masa seminggu. Aku katakan padanya bahawa, dalam umurnya yang begini memang lambat sikit untuk 'menangkap' apa yang diajar. Walaubagaimanpun, aku puji sikapnya yang cekal itu.
Dia ceritakan pernah sekali dia dihalau oleh menantunya kerana mendapat tahu bahawa dia telah memeluk Islam.
Dengan hati yang lara dia membawa diri ke Kelantan sehingga kini. Dan di sanalah dia mendapat hidayah.
Benarlah kata orang, Kelantan Serambi Mekah. Mekah kiblat Muslimin dan ada seorang lagi Muslimin yang mengadap Mekah dan orang itu ialah Ong!
Ong dalam bahasa Mandarin bermaksud nasib baik, bertuah.
Memang Ong sangat bernasib baik dan sangat bertuah.
Moga Othman Ong Abdullah menjadi Muslimin yang kekal mengadap kiblat sehingga ke akhir hayat.

Beib harap Othman akan terus mendapat hidayah dalam...
hidup sehari-har I
beribadat dengan ikhla S
ceka L
tenang jiw A
hati tentera M

Sunday, February 8, 2009

Mari kita bina jambatan....

Bersama tetamu dari PDRM

Assalamualaikum / Good Day.....

Satu lagi majlis yang melibatkan personel dari luar yang memanjangkan silaturrahim.
Bagi aku, sebagai pengacara majlis kesekian kalinya, berkenalan dengan tetamu atau dhif jemputan memberikan kesempatan untuk bertukar fikiran dan mendapat maklumat.
Kehadiran Cif Inspektor Hj. Mohd Nasir, Ketua Balai, Balai Polis di kawasan aku untuk merasmikan majlis pada kali ini, membuka ruang melebarkan jaringan kenalan.
Seperti biasa aku akan "build bridges and not walls" bagi setiap perkenalan yang terjalin.
Kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi bertambah. Social etiquette menjadi mahir. Hubungan Interpersonal dipertajamkan.
Inilah antara perjalanan kehidupan yang mematangkan. Ia juga menjadikan kita bertambah wise dalam membuat keputusan serta lebih bijak menjustifikasikan segala tindakan.
Aku ingin belajar sesuatu yang positif setiap hari!

Beib sentiasa berusaha untuk menjadi lebih.....
baik dari sebelumny A
cekap dan mahi R
berinteraksi dan berkomunikas I
dengan sesiapa saja tanpa mengira kedudukan dan taraf F

*maaf/apologi ialah salah satu cara komunikasi yang meruntuhkan dinding untuk dibuat jambatan.

Kasih dan Terima Kasih

Assalamualaikum / Good Day.....

Bila saja Adeq memberitahu bahawa dia akan mewakili sekolahnya dalam acara badminton untuk peringkat daerah Kuala Terengganu Utara (KTU), aku jadi terkedu.
Adeq main badminton wakil sekolah?
Aku tak pernah sangsi dengan kebolehannya, cuma hampir tidak percaya. Walaubagaimana pun, aku tetap yakin bahawa dia berbakat dan layak mewakili sekolahnya. Mungkin kerana tidak cukup latihan dan lawan yang lebih bersedia, Adeq terkeluar di pusingan pertama.
Kalah dan menang adat pertandingan Adeq...terimalah hakikat itu.
Aku kagum dengan semangat kesukanannya. Dia sendiri begitu anxious dan bersungguh.
Bila diminta kami hadir menyaksikan permainannya, kami akur.
Sokongan moral kami berikan bukan hanya dalam sukan dan permainan malah tentu saja dalam bidang akademik.
Kami berharap Adeq akan berjaya sebagaimana Abang, Qaqaq dan Acik.
Kami luangkan masa petang ini untuk bersama kerana sesungguhnya kami KASIH kan Adeq.
Moga Adeq akan mencapai hasrat mengumpulkan 20 keping sijil sebelum Adeq tamat persekolahan sekolah rendah akhir tahun nanti.
Enam keping lagi Adeq!

Pagi tadi, aku terima satu tanda KASIH dari seseorang. Tak terjangka.Tak terduga. Ianya bukan datang dari kekasih tapi dari kenalan. ( Jangan salah anggap)
Kadang-kadang aku tertanya diri sendiri kenapakah budaya kita tidak begini?
Biasanya kita sukar untuk mengucapkan penghargaan atau dalam bahasa mudahnya melafazkan TERIMA KASIH.
Perkataannya pendek, ringkas tetapi penuh makna.
Mungkin bukan menjadi budaya leluhur kita. Kalau ada pun terlampau sedikit yang mahu membuka mulut menyatakannya.
Kad di atas aku terima dari Clare dan rakan-rakannya.
Pagi-pagi hari lagi dia datang berjumpa aku untuk menyerahkan kad tersebut. Dengan senyuman terukir, dia menghulurkannya. Aku agak terkejut.

"Mr. Habib, this is for you from all of us...ten of us".
"Thanks for your help. It was wonderful. We had a good time".
Aku minta izin untuk membuka sampul.
"Go ahead".

Memaklumkan bahawa ejaan namaku silap, dia meminta maaf bertalu-talu.
Aku faham. Budaya Mat Saleh ni begitulah.
Thank You dan I'm sorry adalah dua terma atau ungkapan yang sentiasa tak lekang dari bibir mereka.
Selesai membaca kad ucapan itu, barulah aku faham bahawa mereka cuba menzahirkan rasa penghargaan kerana bantuan aku.
Darmawisata mereka berjaya dan bermakna. Aku tumpang gembira walaupun tidak dapat bersama mereka semalam.
Huraian Clare menggambarkan kepuasan mereka bercuti di Kenyir. Aku ada ceritakan hal ini di sini.
Bantuan yang sedikit dihargai bersungguh oleh mereka. Aku turut rasa terharu.
Kalau sekadar ucapan lisan pun sudah memadai tetapi kiriman kad adalah simbol dokumentasi yang kekal.
Aku juga turut mengucapkan "THANKS" kerana keprihatinan mereka.
Aku sangat berharap agar budaya ber TERIMA KASIH dapat dipupuk dan berkekalkan dalam masyarakat.
Jadikan ia sebagai satu norm.
Tak rugi kalau diucapkan sokmo-sokmo. Malah mengeratkan lagi silaturrahim.
oleh itu ...
Lets say THANK YOU!

Beib terharu bila setiap perbuatan baik diucapkan TERIMA...
...kasih kerana ia ditujukan kepada yang ha K
tidak rugi mengucapkanny A
sebab itulah salah satu cara untuk membala S
jasa dan bud I
yang telah dicura H

Saturday, February 7, 2009

antara gajah dan bilik darjah

Learn naturally, engage interactively, speak confidently and best of all — have fun!

Assalamualaikum / Good Day.....

Sepatutnya aku sudah berlepas ke Tasik Kenyir pagi ini, menemani Clare, peserta program ETA, dan 9 orang rakannya melawat Loji Tenaga Hidro Elektrik Sultan Mahmud, Santuari Gajah, Kampung Tekila, Tasik Kenyir (rujuk santuari di sini) dan berkelah di Air Terjun Sekayu.
Antara tiga lokasi tersebut, Santuari Gajah belum pernah aku lawati (rujuk trip aku ke Tasik Kenyir).

Sudah 3 hari aku usahakan agar mereka ini dapat ke sana melawat beberapa tempat yang menarik dan melakukan pelbagai aktiviti riadah.
Malangnya aku tidak dapat turut serta. Terkilan sungguh.

Aku terpaksa menarik diri untuk menghadiri satu kursus singkat sehari.
Kursus 'Acquired Content' adalah berkaitan dengan penggunaan internet, website dan portal sebagai bahan P&P khas bagi Terengganu Cyber School Project (TCSP).

TCSP ialah program strategik tiga tahun di mana 10 buah sekolah terpilih dibekalkan dengan teknologi serta alatan komputer, hardware dan software. Kandungan bahan bertaraf dunia diharap dapat membantu P&P.
Peralatan multimedia dan kandungan web yang dibangunkan untuk pendidik diharap dapat dikongsi dalam menyebarkan ilmu.
Tiga objektif utama projek TCSP ini ialah:
  • To support Terengganu’s aspirations to achieve the best national schools in its PMR and SPM examinations.
  • To put in place a world class integrated education system (class without borders) enhanced by the latest technology enabling teaching and learning capabilities and delivery system.
  • To provide conducive ICT environment to students and teachers as catalysts to become the best “Knowledge Society”.
Dalam kursus singkat ini, aku dan tiga orang teman (Empat orang? Ya, kami hanya empat orang sahaja) didedahkan dengan beberapa website yang menarik.

Diberi pengetahuan secara hands-on yang berkaitan dengan program Language Learning with Rosetta Stone , penjelajahan maya melalui Learnz
dan mengetahui peri pentingnya penilaian berdasarkan kehendak CIE.
Kursus yang dikendalikan oleh VDSL Network banyak memberi manfaat kepadaku walaupun singkat.

Aku pulang dengan ilmu yang bertambah.
Terlepas melihat gajah tapi bermanfaat di bilik darjah.

Beib amat gembira kerana mendapat ilmu melalui...
latihan yang berimpa K
sesuatu yang baik dan bar U
perlu diseba R
selain dari memudahkan tuga S
sebagai seorang gur U
ia bermanfaat bagi setiap orang dalam kela S

*taknak berada di zaman jurassic...

ETP...another interesting weekend..

Assalamualaikum / Good Day.....
It was a weekend with a purpose. Being one of the panels for the Kuala Terengganu English Theme Park (ETP), I was asked to attend a workshop held at the Tok Jiring Teacher Activity Centre (PKG).

Joining forces with 10 other committee members, we put our heads together and come up with a program that will help the primary and secondary school students within our vicinity to acquire English Language better. This is done through lots of activities outlined such as art attack, storytelling, book talk and drama classes.


Books that were purchased during our trip to KL last November are cataloged and arranged neatly for the benefit of the learners.

Contributing ideas and creativity towards the development of ETP is one of my job. Its fun and mind stimulating. Taking charge of Art Attack activities, I will try to come up with suitable modules for primary school students. Its not easy to propose activities that will enable learners to create products while using English. One of the best ways is to refer to art books written in English and simplify the instructions. We hoped that learners will be able to comprehend and complete the tasks given.

Two other ETP panels were busy cracking their heads in producing modules for Art Attack. Their commitment and hard work are appreciated.

Other panel members are busy with their tasks. Planning the schedules, creating modules, sketching, decorating, listing down facilities and equipment needed, sketches for the landscape and setting up a blog for ETP.

Cooperation and coordination among panel members would see the ETP programme running as planned. We hope that the objectives of setting up the park will be achieved and the young learners would benefit from ETP.
End of the day, we would be proud to see these learners growing up mastering the language with the help of ETP.
Kudos ETP panel members!

Beib hopes that the learners will make full use of the ..
facilities at the centr E
for their own benefi T
and able to communicate in English with its hel P

Thursday, February 5, 2009

Wisel dan suara...

Assalamualaikum / Good Day.....

Melaksanakan sesuatu tugasan yang diberi memerlukan komitmen yang tinggi.
Aku tidak mudah mengalah dengan situasi tetapi tidak pula agresif, mendesak atau berfikiran negatif.
I take it easy but not lightly...
Bila saja ditugaskan sebagai penyelaras perbarisan sempena Kejohanan Olahraga, aku terima dengan senang hati.
Begitu juga bila dipertanggungjawabkan sebagai juruacara di Kejohanan yang sama. Dua tugas yang berat dan mencabar.
Ada suara-suara sumbang dalam mesyuarat yang menimbulkan pelbagai isu dan mengenengahkan masalah yang sangat kecil (mundane and minor).
Bagi aku pemikiran begini adalah pemikiran jurassic.
Tanpa rasional dan justifikasi yang kukuh, golongan ini selalu memulakan pernyataan dengan
"masalahnya...."
" kita ada sedikit masalah..."
"bukan tak boleh, cuma....." atau
dengan mimik muka yang mencebik, kelompok ini mahukan sesuatu program itu dibatalkan saja. Bukan kerana ianya menyalahi adat atau budaya tetapi kerana cuba lari dari tanggungjawab. Tak mau bersusah payah. Tak sanggup berusaha lebih atau kata orang Terengganu "malas caghe" (malas nak ambil kisah).
Aku bukan dididik cara begitu.
Aku akan cuba pastikan sesuatu yang diamanahkan padaku dilaksanakan dengan jayanya. InsyaALLAH, sebaik mungkin.

Anggota perbarisan Lintas Hormat yang dilatih selama 3 sesi/pagi (2 jam setiap sesi) berjaya dibentuk dengan baik. Semua arahan diikuti dengan penuh disiplin. Ianya mudah jika ada rasa hormat dan patuh kepada ketua.
Setelah arahan diberi, demonstrasi dilakukan supaya setiap anggota kontijen faham arahan dan tahu membuatnya.
Setelah itu, wisel aku gunakan sebagai 'cue' arahan. Tak payah menjerit. Tiup saja wisel dan pergerakan akan dibuat dengan seragam.

Mungkin juga kerana uniform menggambarkan authority dan kuasa. (Rujuk sini) ahli kontijen menerima arahan dengan baik dan melaksanakannya juga dengan sikap yang terbuka.
Wisel juga arahan dan kuasa sebagaimana referi atau wasit menggunakannya.

Selesai tugas pertama, bergegas pulak menjalankan tugas selanjutnya - Pengacara/juruhebah - tapi tidaklah seformal Pengacara Majlis sebagaimana yang dilakukan di sini atau di sini.
Mengumum dan memaklumkan acara serta menghebahkan maklumat sambil memainkan lagu memerlukan kecekapan koordinasi mata, tangan, mulut dan minda. Aku seronok juggling begini.

Tugas aku juga memerlukan koordinasi di antara bahagian statistik dan hadiah. Pelarasan dan maklumat yang tepat perlu diberi perhatian. Kesilapan input merosakkan majlis/acara.
Pada hari sebenar, perbarisan aku perhatikan sahaja. Kemantapan pergerakan terletak pada kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada ahli kontijen. Aku cuma berdiri di tepi padang sambil memerhati. Aku mahukan ahli perbarisan felt my presence dan melakukan yang terbaik.
Alhamdulillah...segalanya berjalan lancar dan mengikut jadual.
Aku puas hati dan begitu juga tetamu. A job well done! ucap seorang teman.
Mana tidaknya, kepuasan melakukan sesuatu tanpa bantuan seseorang sangat mengujakan.


Apa lagi selepas itu?
Balik ke meja juruacara menghadap mikrofon, amplifier serta pemain CD. Tugas aku bersambung hingga lewat petang.
Kalau awal tadi wisel digunakan, kini suara sangat perlu. Intonasi dan kejelasan (bukan kejelesan) suara memainkan peranan.
Laras bahasa dan diksi yang betul dapat menarik perhatian pendengar.

Kepuasan menjalankan tugas terungkai apabila tepukan dan ucapan tahniah diberikan. Namun, bukan itu yang aku mahukan.

All I want is, a job well done
and to proof that being confident is what you need to achieve your goal.


Beib ingin buktikan bahawa kita semua punya.....
minda yang wara S
oleh itu, berilah justifikasi serta implikasi yang jit U
kenapa sesuatu acar A
perlu dibuba R
atau adakah itu helah bela diri sahaj A

* pernah dengar suara 'itik serati?'

Monday, February 2, 2009

Ada gaya ka..?

Assalamualaikum / Good Day.....
Salah satu aktiviti yang biasa dijalankan di sekolah- sekolah, rendah atau menengah, ialah kokurikulum.
Aktiviti kokurikulum merujuk kepada aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan aktiviti berpersatuan, agak lasak dan mungkin memerlukan kemahiran tertentu.
Kegiatan luar darjah ini berupaya untuk memberikan satu perspektif dan impak baru kepada pelajar dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Kelebihan menyertai kegiatan ini turut dipaparkan di dalam media massa dan membuktikan manfaat menyertainya. Jadi, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa pelbagai impak positif dalam kehidupan mereka.
Untuk mencapai matlamat tersebut, pendidik juga harus berupaya menampilkan sikap yang positif. Salah satu caranya ialah dengan memastikan mereka cukup ilmu dan lengkap dalam pelbagai kemahiran selain dari mempunyai uniform.
Inisiatif inilah yang aku kena ambil untuk memastikan matlamat kokurikulum tercapai.

Uniform yang lengkap akan meningkatkan self- esteem si pemakai. Dengan harganya agak tinggi, ia memberi impak yang mendalam kepada pelajar agar lebih menghormati si pemakai. Kuasa dan authority ada bersama uniform.
Pangkat dan aksesori yang menambahkan seri pada uniform. Nampak kemas dan hebat.
Melengkapkan uniform agar menepati spesifikasi dan kehendak badan beruniform tersebut.

Lengkap berpakaian nombor 1 dan bersiap sedia menjalankan tugas. Segak dan bergaya.

*Teringat: pernah menganggotai Pengakap, brass band dan Kadet Bersatu Malaysia semasa di KSAH 1970-1975.

Beib harap dapat jalankan tugas dengan...

penuh tanggung jawa B
taat dan seti A
penuh dedikas I
kemas dan sega K