Sunday, September 6, 2009

Aku mungkin penakut tapi bukan pengecut..


Assalamualaikum / Good Day.....

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapatkan sagunya.

Kita mungkin tidak sedar bahawa ada perkara yang menjadi lebih teruk sebelum bertukar menjadi baik. Ada pendapat yang mengatakan:

"Revolusi tidak akan berlaku jika perut kita penuh. Orang yang biasanya kenyang akan menjadi malas macam ular sawa, berlingkar santai, lali dalam kebuncitan. Kita harus menjadi lapar dan kebuluran untuk membolehkan sesuatu revolusi berlaku."

Dalam perkataan lain, terdesak, tertindas dan tertekan. Benar atau tidak kenyataan itu bergantung kepada situasi dan emosi.

Bagi kebanyakkan kita, jika ekonomi bagus dan mempunyai dana yang mencukupi, kita tidak akan bersungguh untuk melakukan perubahan. Kita perlu berada dalam situasi terdesak baru kita mula mengangkat tangan dan bersuara untuk menuntut perubahan. Oleh itu, kita kadang kala tidak kisah atau peduli serta bimbang walau apa pun yang berlaku waima pada ekonomi kita.

Sekiranya ekonomi merudum...?

So what?

Tetapi ironisnya, bila terjadi sahaja situasi begitu barulah kita hendak melakukan sesuatu. Reaksi biasa kita. Sudah terhantuk baru terngadah.

Kita sebenarnya hendak mencari cahaya baru, masa depan yang cerah. Tetapi sebelum datangnya suria baru, kegelapan akan melanda dahulu. Mahu tidak mahu, kita mesti sama-sama lalui saat kegelapan dengan tabah dan yakin. Hanya selepas kita melalui kegelapan, kita akan dapat melihat sinar baru.

Harapan baru.

Lihat senario ini:

Seorang ibu menangis terisak-isak bila dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa anaknya yang ke empatnya terbunuh di medan perang. Bila dinyatakan betapa kesalnya mereka di atas kehilangan anaknya, ibu itu menyatakan bahawa dia menangis bukan kerana anaknya telah gugur di medan perang tetapi kerana dia tidak lagi mempunyai anak lelaki untuk di serahkan sebagai pejuang.

Ya, tiada ibu yang sanggup kehilangan anak. Tetapi jika matlamat itu murni dan lebih penting dari diri sendiri, maka kehilangan semua anak sekalipun lebih bermakna dalam mencapai hasrat dan cita-cita.

Ramai di antara kita yang takutkan pergolakan dan kecelaruan. Aku juga takut, tetapi kalau terpaksa, aku akan harungi juga . Itu bukannya bererti aku berani tetapi sebenarnya penakut. Bukan keberanian, tetapi ketakutan yang membuatkan aku buat apa yang aku buat.

Aku sebenarnya takut dan bimbang dengan apa yang akan berlaku seterusnya. Aku takut jika tidak dilakukan sesuatu kita akan musnah. Ketakutan akan berlakunya sesuatu dimasa depan menyebabkan aku sanggup menghadapi apa saja yang datang sekarang demi mencapai matlamat yang dicita-citakan.

Ya, aku seorang penakut tapi aku bukan pengecut!

Ketakutan inilah yang menyebabkan aku bimbang jika aku tidak melakukan sesuatu sekarang. Orang yang berani akan berkata, datanglah apa sahaja, dia akan hadapinya. Tetapi penakut seperti aku akan berkata bahawa aku tidak sanggup menghadapi masa depan yang gelap atau sengsara lantaran itu, aku akan melawan untuk merubah halatuju sejarah.

Jika ini menyebabkan kekalutan, keberantakan, kecelaruan maka aku akan hadapi. Lagi pun kalau dibiarkan, lambat laun ia akan berlaku juga, hanya menanti masa sahaja dan kalau aku hanya menanti saat-saat itu, aku tidak akan dapat menyelamatkan apa-apa sebab ianya sudah runtuh dan musnah. Dengan cara ini, kalau ia runtuh sekarang, sekurang-kurangnya ada juga sedikit benda yang boleh diselamatkan.

Betul juga pendapat yang mengatakan:

We must first destroy to be able to build.

Sebelum kita tanam pokok, kita perlu potong atau tebang dan bakar hutan. Kemudian barulah kita dapat menanam tumbuhan sebagai makanan untuk menyelamatkan umat manusia. Sesiapa sahaja yang membaca kitab suci akan sedar bahawa Tuhan juga memusnahkan sesuatu supaya manusia dapat hidup lebih baik di masa depan.

Kaum Nabi Noh, Nabi Luth, Firaun dan Abrahah contoh yang jelas. Tuhan juga memusnahkan untuk dibina semula. Dan jika itu baik bagi Tuhan maka ia juga baik bagi kita, manusia, hambanya.

Aku pada ketika tertentu amat takut akan kemusnahan, keruntuhan dan kehilangan. Aku bimbang sangat-sangat.

Aku takut kehilangan kasih sayang yang telah terjalin. Rasa sepunya yang mendalam, keinginan untuk memiliki serta terus bersama. Dalam takut, aku sanggup ambil risiko...

Ironiskan..?

Aku buntu...

...walaupun aku seorang penakut dan pengalah, aku bukan pengecut...

PadaNYA aku berserah

Beib tahu semua orang ada rasa...

... begini biarpun sering mengaku hebat dan kua T

kerana ini adalah sifat lemah manusi A

yang tiada siapa mampu tola K

kau dan juga ak U

kerana sesungguhnya Allah lebih heba T

Tuesday, September 1, 2009

AB : Anak Bukit : Aku Balik

Solat Tarawih di masjid Alor Madi...nostalgia tahun 60 dan 70an

Assalamualaikum / Good Day.....

Masih tak puas menceritakan tentang kampung halaman yang lama ditinggalkan. Sesekali balik terasa sangat nostalgiknya. Kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Rujuk sini, sini, sini, sini dan sini.
Tiga hari berkelana di kampung sendiri membuatkan hati tenang dan tenteram. Keselesaan dikelilingi kehijauan melega dan meredakan tapi perasaan rindu pada yang disayangi tetap bergelora.
Bagaimana nak atasi?
Aku sendiri tidak tahu. Mungkin berada di sisi setiap masa akan jadi pengubatnya.

Kereta sub compact inilah yang membawa aku balik kampung. Ia sebenarnya sarat dengan rindu dan kasih sayang. Itulah penemanku selama lebih kurang 7 jam sewaktu aku memandu berseorangan sejauh 456 km. Sepanjang jalan, kenangan dan ingatan berlegar di minda.
Masih samakah?
Masih pristine kah?
Tenang dan damaikah?
Bagiku, kasih sayang yang mekar di hati dan jiwa tetap kekal walau apa pun yang terjadi. Aku mungkin dianggap tidak rapat lagi seperti dahulu. Tapi bila sudah melekat di hati, jiwa dan minda tidakkah itu buktinya ia tidak berubah dan akan terus kekal hingga ke akhir hayat?

Sungai Anak Bukit yang menyimpan beribu kenangan semasa kecilku terus mengalir tetapi lesu.
Ia mengingatkan aku tajuk novel karya Sasterawan Negara, A. Samad Said, Sungai Mengalir Lesu, yang jalan ceritanya adalah mengenai sekumpulan manusia antaranya, Mak Buruk, Dalim, Tuminah, Zainab, Topang, Basir dll. yang mengharungi pahit getir kehidupan di pinggir sebatang sungai akibat bencana perang.
Sungai yang digarapkan dalam novel tersebut sangat kotor. Sungai Anak Bukit tidak begitu, cuma airnya tidak lagi jernih, menghijau kebiruan seperti duhulu.
Teringat semasa kecil, aku mandi manda, berenang menyusuri dan menyeberangi sungai ini. Menjala, memukat, mengail (menyua) serta menyelam menangkap ikan dan udang adalah mainan aku dan kawan-kawan masa dulu.
Yang tinggal kini hanya kenangan abadi.
Sebak dan sayu memikir dan mengenangkan saat-saat indah itu.

Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Muadzam Shah yang baru dirasmikan berhadapan dengan rumah arwah Pak, diseberang sungai, kelihatan tersergam indah.
Dulunya tapak kilang padi yang dikenali sebagai Government Rice Mill (GRM). Ianya wujud sejak sebelum perang lagi. Gudang padi dan beras terbesar di negeri Kedah.
Kemudian, ia dikenali sebagai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan di swastakan pada Januari 1996 selepas diambilalih oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Kompleks yang dibangunkan oleh Kementerian Kerja Raya di atas tapak seluas 16.1 hektar, melibatkan 2 fasa. Mempunyai 7 blok setinggi 6 tingkat dan berharga RM151 juta. Baca laporan di sini.
Siapa pernah sangka satu projek kompleks sebesar dan cantik itu dibangunkan di depan rumah arwah Pak?
Sedihnya, Pak tidak sempat melihat kemajuan dan pembangunan yang tersergam di depan rumahnya.

pandangan dari bekas pangkalan perahu

Serenity yang tergambar memang menenang dan mengujakan. Pandangan dari bekas tapak pangkalan perahu semasa aku kecil dahulu. Disinilah aku belajar berenang, mengayuh perahu dan berakit. Mandi manda sepanjang hari hingga merah menyala biji mata.

pangkalan perahu yang meninggalkan nostalgia

Tidak akan kembali lagi segala yang sudah berlalu. Ia akan hanya dikenang dan terpahat dalam memori. Kadang-kadang kita rasa amat perit, pedih dan sakit mengimbau sesuatu yang sepatutnya kita miliki. Kemudian, kita tersedar bahawa itu bukan milik kita. Ianya berada didepan mata, tetapi tak dapat disentuh atau digapai. Lelehan airmata, waima berdarah sekali pun, tidak akan dapat merubah keadaan. Doa sebagai penenang dan pengubat rasa.
Nostalgia dan pengharapan menusuk jiwa dan raga.

Aku cuba menjadi seorang optimis. Mengharap agar masa lalu dan masakini dapat berbaur dengan harmoni.
Mustahil hanya sifat yang ada pada kita tetapi tidak pada Allah. DIA lah yang Al Wahhab, Al Muqit dan Al Mujib. (rujuk sini).

Seperti kata seorang teman baik, "...merindu sepanjang hayat.."

Beib rindukan....
... kampung dan segala isiny A
mahu lihat pembangunannya seimbang dan menjadi satu hu B

Monday, August 31, 2009

Tetap Merdeka

Assalamualaikum / Good Day....

Sekali lagi kita berada diambang ulangtahun kemerdekaan. Ulangtahun yang ke 52. Dua tahun lebih dari usiaku. Dalam angka sematang itu, apakah yang kita fahami dengan kemerdekaan...?


Bagi setiap individu erti kemerdekaan tentu saja berbeza . Ia juga memberikan penghayatan yang berbeza di antara generasi kini dan generasi pra merdeka.

Erti sebenarnya kemerdekaan perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia. Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud terlepas dari cengkaman penjajah dari golongan manusia yang rakus, yang mengongkong hak beragama, pendidikan, ekonomi dan budaya malah perlu juga merdeka dari segi kongkongan minda yang jumud dan beku. Maksudnya, ia melangkau penjajahan fizikal, dan menerobos ke dimensi spiritual, mental dan emosi.

Aku berpendapat agama mesti menjadi tunggak dan tunjang utama kepada masyarakat bagi mengekalkan kemerdekaan negara. Ini perlu diikuti dengan pendidikan. Nilai-nilai agama yang suci dan murni serta sistem pendidikan yang holistik mampu membawa negara ke mercu kejayaan. Lantaran itu, masyarakat hari ini perlu mengutamakan nilai-nilai agama dan pendidikan dalam kehidupan seharian mereka.

Kemerdekaan yang dikecapi kini amat bermakna. Kita harus bebas bukan hanya daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Keupayaan kita membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing wajib disertai dengan usaha yang gigih untuk bangkit sebagai bangsa yang bermaruah. Kekuatan politik sahaja dalam memperolehi kemerdekaan tidak mencukupi. Ia perlu didokong dan disokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan dan ekonomi. Ini akan menjadi katalis untuk mempercepatkan proses pembangunan dan kemajuan negara.

Mengimbau apa yang diharungi oleh generasi pra merdeka, menjadi tanggungjawab rakyat generasi hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Generasi kini tidak lagi perlu menggalas senjata, sebaliknya menggalas beg berisi buku dan laptop untuk memenuhi dada dan minda dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan tidak bermakna kerana nilai jatidiri menjadi rapuh dan goyah.

Generasi kini perlu cekal dan tekal serta bersedia menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran dalam usaha untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Pelbagai cabaran pahit getir telah dilalui oleh rakyat Malaysia (Tanah Melayu - Malaya) terdahulu. Kemerdekaan yang amat bernilai ini perlu dinikmati dan dihayati oleh semua dengan iltizam yang tinggi untuk memelihara dan memartabatkan kekuatan politik, ekonomi dan sosial.

Agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa juga tidak boleh diabaikan. Perbezaan dan jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di antara pelbagai kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan. Ini wajar agar semua dapat menikmati erti sebenar kemerdekaan.

Bersama Mohan Raj dan Tan Boon Taik. Kenapa harus ada prejudis? baca sini

Perpaduan yang terjalin semenjak pra merdeka, sewaktu usaha memperolehi kemerdekaan dan selepas kemerdekaan, perlu diteruskan dan dipupuk dengan lebih mantap supaya rakyat menjadi semakin bersatu.

Pemimpin-pemimpin negara yang memperkenalkan pelbagai Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju.

Begitu juga dengan Dasar pendidikan yang bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan warganegaranya daripada belenggu kejahilan dan kejumudan. Anak bangsa Malaysia kini menjadi masyarakat moden dan berketrampilan.

Sebagai seorang pendidik dan knowledge worker (Peter Drucker), aku turut berbangga kerana profesionku secara tidak langsung membantu memanusiakan manusia. Memerdekakan minda dari penjajahan illiteracy. Memangkin kepada penguasaan ilmu dan menjana pengetahuan.

Kemerdekaan telah menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat. Kita bebas mengatur hala tuju sendiri mengikut acuan dan kemahuan kita bagi membentuk jati diri bangsa Malaysia. Ini cuba direalisasikan melalui slogan 1Malaysia.

Perjuangan mempertahankan kemerdekaan tidak pernah berhenti. Kegemilangan yang dicapai sepanjang lebih 50 tahun ini patut menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan selanjutnya. Inspirasi dari pengorbanan generasi terdahulu perlu diambil iktibar oleh kita untuk terus berusaha lebih gigih menjadi bangsa yang maju dan moden. Juga sebagai sebuah negara bangsa yang unggul yang dihormati dan disanjungi.

Selain dari itu, jiwa, hati dan minda juga mesti merdeka. Jangan dibelenggu oleh sifat - sifat mazmumah seperti keras hati, cemburu dan ego . Perasaan inilah yang selalunya akan menimbulkan bibit perbalahan dan pertelingkahan. Mungkin juga akan membarah sehingga belakunya konflik antara dua entiti yang lebih serius. Apa yang penting ialah hakikat diterima, sepakat dicari.

Moga kemerdekaan fizikal, spritual dan emosi dapat menjalinkan kasih sayang yang utuh untuk kebahagiaan dan kesejahteraan semua.

Beib bangga menyambut...

...ulangtahun ke 52 kemerdekaan dengan penuh aza M
dan semangat patriotism E
yang lahi R
bersama usia setengah aba D
tanpa mengaitkan isme-ism E
yang muluk-mulu K
cuma cita-cita yang boleh dicapai oleh jiwa merdek A

Saturday, August 22, 2009

Anak Lelaki Mak Ada...

Berbaring bersama Mak macam dulu-dulu

Assalamualaikum / Good Day.....

Alhamdulillah...
Selamat sampai kepangkuan Mak petang semalam. Mak tergamam menyambut kepulanganku. Mak hampir tidak percaya aku akan balik juga.
Sebagai anak yang rindukan Mak, aku tetap pulang walaupun sekejap.
Terima kasih kepada teman yang mendoakan keselamatanku disepanjang perjalanan.
Salam teman kepada Mak telah aku sampaikan dan Mak menjawab dengan senang dan tenang.
Aku perasan wajah Mak yang sayu melihat aku berada didepannya. Riak gembira terselit di antara senyuman puasnya.
Aku tahu Mak sangat berbesar hati kerana aku balik menjenguknya. Aku juga sangat teruja berjumpa Mak.
Banyak perkara yang Mak bualkan denganku seolah-olah aku masih lagi anak kecilnya seperti dahulu.
Walau apa pun tanggapannya terhadapku, aku akur aku masih lagi anak Mak. Bagaimana sekalipun layanannya kepadaku, aku terima.
Dia kan Mak aku?
Jangan dibantah atau diderhakai.
Tidak bau syurga nanti!
Aku berbaring disisi Mak seperti biasa aku lakukan.
Mak luahkan segala apa yang terlintas difikirannya.
Aku menjadi pendengar yang sangat sedia dan setia .
Aku menyerap segala cakapnya.
Aku melayan karenah, cerita, rungutan, luahan rasa dan perasaan hatinya.
Mak perlukan seseorang untuk mendengar celotehnya.
Aku sedia mendengar.
Mak bercerita sehingga nada suaranya terasa puas dan lega.
Maaf Mak, ada kalanya aku terlelap, bukan kerana bosan memasang telinga menyerap kisah-kisahmu tetapi kerana keletihan.
Mak memang hendakkan perhatianku.
Anak lelaki Mak ada.....
Aku ada untuk itu.

Semua ini mengingatkan aku pada lirik lagu Ibu (Ito - Blues Gang)
dan Lagu Untuk Seorang Ibu (M Nasir - Kembara).

Lama tidak bersua, banyak ceritera yang Mak sampaikan.
Aku terleka dengan pengkisahan dan ingatannya.
Mak memang hebat!

Sudah berjela cerita Mak.
Kita tidor dulu Mak. Kita sama-sama letih. Mental dan fizikal.
Esok kita sambung lagi.
Cerita lain.
Kisah berbeza.
Aku sedia mendengar.
Malam ini kita tidor awal.
Kalau boleh aku nak tidor di bawah ketiak Mak sebagaimana waktu kecilku dulu. Enak dan selesa.
Lagipun Mak boleh kejutkan aku awal pagi esok.
Esok pagi kita kena bangun awal sebelum subuh.
Esok dah mula puasa Ramadhan.
Mak......kita bersahur dan berpuasa bersama-sama di bulan Ramadhan tahun ini.
Tentu sahaja Mak gembira bersahur bersama-sama. Macam dulu-dulu.
Aku juga teruja, sebab itulah aku balik untuk bersama Mak.
Nak meraikan Mak sambil bertanya khabar pasal Mak.
Kita berehat dulu Mak?
Kita masuk tido...

juadah berbuka

Hari ini hari pertama kita berpuasa.
Mak kelihatan masih gagah dan sihat menjalani ibadat puasa walaupun sudah berusia 85 tahun. Aku kagum dengan kesihatan Mak.
Alhamdulillah...
Setahu aku tarikh lahir yang tercatat dalam kad pengenalan lama Mak ialah 1924. Tetapi dalam MyKad telah dicatatkan sebagai 241120-02-****.
Moga Mak sentiasa diberkati.

Seharian berpuasa Mak tidak pernah bersungut tentang letih atau penat cuma sesekali menyebut tentang sakit urat dan lengoh-lengoh. Setakat ini Mak tidak dihinggapi sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan penyakit-penyakit kronik yang lain.
Alhamdulillah...syukur.
Mungkin kerana makanan Mak yang sederhana dan pantang larang Mak yang banyak.
Dalam keadaan bongkok, Mak masih mampu bergerak ke sana sini sendiri dengan bantuan tongkat yang setia.
Mak juga bukan jenis orang yang suka menyusahsulitkan orang lain.
Mak amat berdikari.
Aku kagum.
Aku bangga menjadi anak Mak.
Banyak lagi yang aku hendak tulis tentang Mak. Biarlah setakat ini dahulu. Lain kali aku akan tulis lagi pasal Mak seperti di sini, sini, sini, sini, sini, sini, sini , sini dan sini.
Sebagai anak, aku akan sentiasa doakan kesejahteraan Mak.
Moga ALLAH berkati hidup Mak selamanya.
Terima kasih kerana melahirkan aku ke dunia ini...
Bak kata seorang teman:
Sesungguhnya, kasihmu sesuci EMBUN...
dan itulah juga namamu MAK.

Beib...
ingat dan sayangkan...
...insan yang bertakhta di hati, siang dan mala M
kerinduan ini mendalam sentiasa dan setiap mas A
ku berdoa agar ALLAH berikan yang terbai K

buat pembaca entry ini
moga ibadat puasa menginsafkan kita
terima kasih

He's grown up...

dah besar anak teruna aku

Assalamualaikum / Good Day.....
It has been 23 long years.
I was there, in the early hours of the morning, when you were born. In fact I was the one who first 'touched' and hold you as the midwife was still on the way.
I assisted your Mama who was in labor.
It was a natural birth.
I was elated to hold you in my arms, as you cried your lungs out, right after the azan subuh. Then, I recited the azan in your right ear. You were subdued and calmed.
The azan really makes you a man right now.
I'm proud of you.
I would like to share with you a text message from a good friend of mine that might be able to make you live a better life :

Dream.........makes all things possible

Hope...........makes all things work

Love ...........makes all things beautiful

Smile..........makes all the above possible.

Be good
HAPPY BIRTHDAY
...my son...
28th August

SYAFIQ HABIB

Beib's only....
..hope is for his son's succes S
minus arrogance and eg O
and remember, life (good and meaningful), has to go o N

Friday, August 21, 2009

Terus Merindu...

Pembekal rindu?

Assalamualaikum / Good Day.....

Aku pernah ditanya oleh seseorang, "Tak penat ke drive balik kampung?".
'Tidak!", jawabku.
Ringkas dan tegas.
Perjalanan pulang ke AB sejauh 456 km. walaupun berseorangan dan mengambil masa lebih kurang 7 jam tidak meletihkan. Bukan 100 plus atau Red Bull yang membuatkan aku bertenaga tetapi bekalan kasih, sayang, cinta dan rindu.
Sesukar mana pun perjalanan ini, aku tetap merasakan bahawa kebahagiaan akan setia menanti di depan sana.
Minda dan jiwa terarah.
Hati dan perasaan berfokus.
Ini adalah perjalanan:
Mengharung rindu.
Menongkah resah.
Meredah dendam.
Kerinduan selama ini akan terungkai bila:
Mata bertemu mata.
Bibir bicara, menerpa ke telinga.
Senyum terukir, membuak rasa.
Sentuhan manja, mengulet jiwa.

Kerinduan Enterprise....saudagar rindu..

Pertemuan dengan yang disayangi bukan sahaja mengembalikan nostalgia malah mengikat lebih erat perasaan emosi.
Entah kenapa, perjalanan dan pertemuan kali ini begitu bermakna sekali.
Tidak terucap dengan kata-kata.
Tidak tertulis dengan kalam dan tinta.
Renungan mata, sentuhan serta pelukan mesra merapatkan rasa dan begitu bermakna sekali tanpa perlu ucapan atau kata-kata yang berjela.
3 bulan tidak bersua muka dan bertentang mata membangkitkan perasaan sayu hiba. Suara melalui telefon selama ini tidak cukup melunaskan rindu dendam.
Aku, ada kalanya terleka dalam keasyikan melepas rindu dendam.
Perit rasanya menahan rindu.

Pertemuan yang singkat ini seolah-olah menghimpun rindu untuk pertemuan yang akan datang.
Silih berganti, berterusan selagi nyawa dikandung badan.
Kadang-kadang terfikir kenapa ALLAH jadikan begini?.
Jawapan yang afdal ialah, ada hikmah disebaliknya.

Aku yakin ramai di antara kita yang pernah mendengar lagu yang sering dinyanyikan oleh ahli-ahli Pengakap - Bertemu dan Berpisah:
Bertemu dan berpisah
Adat manusia biasa
Hilang di mata tapi di hati tidak lupa

Berdoalah kita agar aman dan sentosa
Semoga dapat kita berjumpa di lain masa

Semoga dapat kita berjumpa di lain masa

Liriknya mudah tetapi amat bermakna. Nada dan melodinya yang sentimental mengusik jiwa, meruntun kalbu.
Pertemuan yang didambakan adalah permulaan kepada satu perpisahan.
Kata pujangga:
"Jangan salahkan perpisahan kerana pertemuanlah yang membawa kepada perpisahan".

Berjauhan dari mata dan sentuhan rasa biasanya membangkitkan emosi yang tidak menentu. Hanya komunikasi dalam talian serta panggilan telefon yang mampu mengurangkan bebanan rindu. Itu pun seketika sahaja.
Perhubungan dan pertemuan maya ini ada kalanya membakar lagi perasaan rindu.
Jenuh mengawal rasa, mengepung sendu.
Jadi, bagaimana mahu mengatasinya?
Aku sendiri tiada jawapan yang pasti.
Pelepas rasa tidak cukup sekadar ungkapan:
"I miss you"...
"rindu..."
natijahnya, tetap merindu sepanjang hayat...
Sakit dan pedihkan...?

...nostalgik memori indah di sepanjang jalan kenangan...
(foto hiasan)


Beib kadang kala sebak menahan...
...emosi dalam deba R
serta perit yang mencengkam dir I
hingga ada waktunya tidak kerua N
terasa lama seperti beraba D
menahan, menanggung di dalam kalb U

Thursday, August 20, 2009

Pulang membawa kasih, sayang, cinta dan rindu..

menanti mengharap kepulangan anak lelakinya

Assalamualaikum / Good Day.....

Ramadhan kembali lagi kesekian kalinya dalam masa 2 hari lagi. Sebagaimana biasa, kesyahduan menjelma secara tiba-tiba. Entah kenapa bila sahaja disebut Ramadhan, kita jadi nostalgik.
Kali ini, sempena Ramadhan yang kebetulan bermula dalam cuti sekolah, aku bercadang untuk balik kampung beberapa hari.
Bertemu Mak.
Sudah beberapa kali niatku ini tergendala akibat komitmen yang bertali arus.
Pernah kenalan baikku menganggap aku lebih pentingkan tugas dari Mak. 'Membelasah' aku dengan ayat-ayat yang pedih dan sinis kerana mahu mengingatkan aku supaya melaksanakan kewajipanku sebagai seorang anak yang baik. Berulang kali dia merayu aku pulang menziarahi Mak.
Katanya, Mak tentu sahaja menantikan kepulanganku. Sudah acap kali rancanganku tertangguh. Jangan hampakan Mak.
Kini, hampir 3 bulan tidak bertemu Mak.(rujuk sini)
Gembirakanlah hatinya. Jadikanlah Ramadhan ini sesuatu yang istimewa baginya.
Sesungguhnya syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
Aku akur.
Aku sendiri tahu dan amat faham bahawa aku kadang-kala alpa dan lalai. Mengutamakan tugas duniawi tanpa menghiraukan Mak.
Kali ini, walaupun ada tugas Jabatan yang terpaksa dilaksana dari 19-21 Ogos di Sutera Beach Resort, aku akan memohon keizinan pihak urusetia untuk dilepaskan.
Tidak boleh tidak.
Alhamdulillah...
Esok, awal pagi aku akan memandu bersendirian selama 7 jam semata-mata untuk menemui yang disayangi dan dirindui.
Ahli famili yang lain akan menyusul pada Hari Lebaran nanti.
Mak...aku pulang membawa kasih, sayang, cinta dan nostalgia yang akan aku agihkan sewajarnya...

Beib...
pulang berbekalkan rasa ...
... pua S
bersua dengan yang tercint A
after a long dela Y
bagi memenuhi tuntutan jiw A
setelah sekian lama menaha N
kerinduan yang selama ini ditanggun G
*Jom kita balik jumpa Mak (Abah)...

Sunday, August 2, 2009

Adeq: MyKad...my identity...

teruja ingin memiliki dokumen diri, MyKad

Assalamualaikum / Good Day.....

Empat hari lepas Adeq meraikan hari lahirnya. Cepat sungguh masa berlalu. Dalam diam-diam dia sudah berusia 12 tahun. Tibalah masanya untuk dia memiliki dokumen peribadi yang sangat penting.
Kad Pengenalan MyKad.
Jika di zaman aku dahulu, proses membuat Kad Pengenalan atau lebih popular dengan panggilan IC (Identity Card), mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan, kini dengan teknologi canggih ia boleh diproses dan disiapkan dalam masa yang singkat.
Aku dimaklumkan walaupun tempoh menunggu untuk mengutip MyKad yang siap diproses ialah sebulan, namun ia mungkin lebih cepat dari tempoh sebenarnya. Ada yang mendapatnya dalam masa 14 hari. Satu perkhidmatan yang membanggakan.
Proses yang mudah dan efisen ini tentu sahaja menggembirakan sesiapa sahaja yang ingin berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

cap jari yang diambil secara elektronik
Adeq teruja sangat ingin memiliki MyKad. Katanya ia akan menampakkan 'kematangannya'.
Antara perkara yang dinantikan sempena hari lahirnya ialah mengunjungi JPN.
Kini Adeq telah selesai memohon MyKad, jagalah ia dengan baik dan pastikan ia tidak hilang atau dirosakkan.
MyKad adalah identiti diri.
Ia adalah tanda dan bukti kewujudan, sebagaimana tahi lalat yang merupakan salah satu tanda unik dan jelas pada diri kita.
Di dalam MyKad tertera maklumat diri serta taraf kewarganegaraan. Adeq sebagai seorang remaja dan punya blog sendiri, perlu belajar mengutamakan satu sikap yang penting iaitu, bertanggungjawab. Penulisan Adeq dalam blog adalah tanggungjawab Adeq. Begitu juga dalam hal menjaga keselamatan MyKad.
Semoga Adeq berjaya menjadi insan yang Papa inginkan.

menanti giliran untuk disahkan butiran diri

semuanya sudah selesai, tunggu untuk mengutipnya dalam masa sebulan lagi

Beib bersyukur punya Yana, anak....
... ke 4 yang ceria serta bertanggungjawa B
dan aktif dalam kok O
Sentiasa teku N
dalam pelbagai bidan G
Seorang anak yang bagu S
dengar kata ayah dan ibU

Monday, July 27, 2009

Bersama Super Motivator: Motivasi dan Inspirasi

Assalamualaikum / Good Day.....

Bila pihak Yayasan Terengganu (YT) memaklumkan bahawa satu Program Motivasi Pelajar SPM 2009 akan diadakan hari ini di premis kami, aku jadi excited.
4 hari di Melaka dan 2 hari di KL menjadikan aku bagai terputus maklumat mengenai program yang telah, sedang dan akan dijalankan di premis kami.
Pagi semalam, secara tiba-tiba aku dimaklumkan bahawa tenaga aku diperlukan sebagai Pengacara Majlis (MC) program tersebut.
Aku terima jemputan itu dengan hati yang lapang dan profesional.

Bila dinyatakan bahawa Perunding Motivasi yang terlibat ialah YBhg. Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah b. Kamsah (DMFK) dan akan berganding dengan seorang lagi motivator tersohor,

YM Dr. Tg. Asmadi b. Tg. Mohamad (DTA), aku jadi bertambah teruja. Hampir tidak percaya.
Tugas aku menjadi lebih mencabar bila berhadapan dengan beberapa orang kenamaan seperti YB Exco, Pengarah Yayasan Terengganu serta pegawai-pegawainya dan lebih kurang 500 orang pelajar sekolah menengah sekitar Seberang Takir. Walaubagaimana pun, I have to take it easy and try to perform the best.

Sebagai penggemar buku motivasi serta rancangan motivasi di TV dan radio, aku merasakan inilah peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan ikon motivasi Malaysia.
Siapa yang tidak kenal dengan kedua mereka ini?
Dapat menjadi pengacara majlis mereka serta berkomunikasi dengan santai dan ceria semasa minum pagi dan makan tengah hari cukup bermakna.
Bukan senang untuk mendapat peluang bersama kedua-dua ikon ini.


Sebagai pengacara majlis, sedikit homework perlu dibuat. Segala butiran yang berkaitan dengan mereka harus dicari dan sahkan. Ini penting semasa membuka sesi dan pengenalan diri.
Biodata perlu update.
Maklumat mesti tepat.
Huraian dan penyampaian harus bersahaja.
Di waktu ini, ilmu pengacaraan dipraktikkan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Lain-lain yang berkaitan dengan DMFK boleh dibaca di sini dan sini . Mengenai DTA boleh dirujuk di sini dan sini. Moga anda beroleh maklumat serta ilmu sebagaimana juga aku.

Tidak hairanlah kalau DMFK telah berjaya memberi sebanyak 6,000 kursus motivasi dalam perkhidmatan kepada agensi kerajaan dan swasta.
Yang menarik tentang DMFK ialah menjadikan amalan membeli 10 buah buku sebulan serta mempastikan 3 -4 buah buku selesai dibaca dalam seminggu.

Manakala DTA telah mendidik seramai 50,000 orang pelajar melalui teknik Motivasi Alihan Pelajar (MAP). Kaedah yang mempunyai strategi dan teknik yang boleh membantu pelajar menjadi cemerlang dalam pelajaran dan sahsiah.
Kalaulah aku berupaya berbuat demikian!

Tapi kata mereka, kita sebenarnya berupaya dengan kadar kita sendiri.
Semuanya bermula dari dalam. Dalam hati dan minda.
Satu motivasi mudah yang meyakinkan.
Sepanjang 4 jam ceramah mereka, aku berjaya mengutip pelbagai tips yang banyak memberi manfaat pada diri sendiri. Ada di antaranya amat mudah untuk dipraktikan dan hanya memerlukan sedikit istiqamah.

Aku amat tertarik dengan kepetahan kedua mereka memberi ceramah.
Ulasan bernas mereka mengenai isu-isu yang berkaitan pendidikan serta keibubapaan sering disulami dengan lelucon dan jenaka ringan. Unsur kecindan inilah yang melariskan mereka dalam arena atau bidang motivasi ini.
Malah kepetahan mereka mengingatkan aku akan seorang kenalan yang tidak kurang hebatnya berhujah dengan bernas dan kritis. Ada kalanya aku terkedu akan bidasan dan atur bahasanya yang menyengat.
Buat kenalan istimewaku itu, syabas!
Anda memang anak murid Munsyi Dewan yang hebat.

Seperti kata DMFK dan DTA " Kita sebenarnya hebat!"

Beib pun ingin jadi manusia....
...yang berguna, sopan dan berhema H
bukan yang sombong, angkuh, berlagak atau gedeb E
atau suka melenting marah tanpa seba B
kerana ianya takkan memberi makn A
sebaliknya mahu diingat, dikenang serta dihorma T

Sunday, July 26, 2009

Teringin...

Izz Dayana Habib

Assalamualaikum / Good Day.....

Sebaik saja selesai mesyuarat selama 4 hari di Melaka, aku bertekad untuk singgah di Villa Pavilion, Taman Bukit Serdang untuk melihat anak saudara yang baru. Umurnya kini sudah 5 hari. Rujuk sini.


Adik lelaki aku mendapat cahayamata kedua setelah 7 tahun dikurniakan seorang anak lelaki.
Kehadiran bayi ini menjadikan 7 orang kesemuanya cucu perempuan Mak dan cuma 2 cucu lelaki.
Aku turut gembira kerana mendapat seorang lagi anak saudara perempuan. Moga Ibu dan anak akan terus sihat dan selamat.


Dah agak lama tidak menimang bayi kecil. Teruja rasanya. Aku sendiri teringin memiliki anak kecil, namun keadaan tidak mengizinkan. Jangan anggap aku tidak mampu!
Malah teman baikku sering mengatakan " Pakcik memang hebat".
Nah! apa lagi yang lebih baik dari itu?

Jari kecil kiut inilah yang akan menggoncang dunia suatu hari nanti.
Lentik, lembut dan panjang.


Nyenyak tidur umpama masih di dalam rahim ibunya.

Dua hari lepas, dalam kegembiraan menerima berita mengenai anak saudaraku, seorang teman baik memaklumkan bahawa dia juga ingin menimang seorang cahaya mata.

Aku terkejut kerana 3 bulan lepas semasa kami bertemu, dia masih kelihatan seperti biasa. Lansing dan cute. Cuma pipi sahaja yang chubby. Tiada tanda hamil.
Mungkin dirahsiakan kepada aku atau dia baru sahaja mendapat tahu bahawa dia berbadan dua.
Namun segalanya terjawab bila dia menjelaskan bahawa anak yang ingin ditimangnya ialah anak angkat.

Kami berbincang panjang. Aku hanya dapat memberi pandangan dan nasihat mengenai beberapa prosedur yang perlu dipatuhi jika ingin mengambil anak angkat. Dia mengerti. Teruja sangat bila dimaklumkan oleh kawannya bahawa bayi itu memang sihat.

Proses rundingan antara orang tengah (kawan teman aku) dengan ibu bapa bayi tersebut dijalankan dengan baik.
Akhirnya, ibu bapa bayi tersebut mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan anak mereka ke tangan orang lain.
Temanku agak terkilan, namun menerima dengan hati terbuka.
Setelah diberi pengharapan, dia terpaksa akur bahawa rezeki tidak menyebelahinya lagi kali ini.

InsyaALLAH.....
ALLAH akan makbulkan dalam masa yang terdekat ini. Berdoa dan bertawakkallah.
Memetik serangkap kata-kata yang aku terima melalui sms:
...jalan Tuhan, indah pada masanya!
Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan,
tapi IA memberi apa yang kita perlukan.
Kadang-kadang kita sedih, kecewa, terluka.
Tapi jauh di atas segalanya IA sedang mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita.

Moga kerukunan rumah tangga tetap utuh bersama sebagaimana utuhnya kasih dan sayang.
Anak sebagai penyambung zuriat pengikat kasih.

Beib teringin sekali lagi menimang....
...cahaya mat A
lelaki maupun perempua N
pada usia begini dewas A
agar bertambah zuriat dan ana K

Tuesday, July 21, 2009

Dapat anak..... lagi..

Besar nanti jadi seorang solehah ok!?

Assalamualaikum / Good Day.....

Assalamualaikum,
Syukur kehadrat Allah SWT dan berkat doa sanak saudara serta rakan-rakan, cahaya mata kami yang ke 2,
a girl telah selamat dilahirkan pada
hari Selasa 21 Julai 2009

bersamaan
28 Rejab 1430 H pada pukul 3.20 petang tadi.
Ibu dan bayi berada di dalam keadaan sihat walafiat.

Terima kasih dari kami sekeluarga di atas doa dari semua ahli keluarga, saudara mara dan rakan sahabat sekelian.
Sekian. Wassalam.

Itulah sms dari adik aku, Sony, yang menimang cahayamatanya yang kedua hari ini. Sms ini aku terima semasa aku masih lagi bermesyuarat di Melaka.
Tahniah!
InsyaAllah, dalam perjalanan balik ke KT nanti aku akan singgah meziarahi anak penakan (anak saudara) yang baru ini.
Nak dia tengok dan kenal bapa saudaranya yang seorang ini.
Namanya belum pasti lagi. Tentu sahaja sudah disepakati oleh kedua ibu bapanya. Yang penting ia memberi makna baik seperti nama Papanya yang bermaksud Kekasih ALLAH dan nama bapa saudaranya Kekasih Agama.

mama dan papa menilik baby girl yang baru melihat dunia

menangis dalam dukungan papanya

Buat kenalan yang belum dikurniakan cahaya mata, bersabar dan bertawakkallah. Pasti akan tiba rezeki dan habuan dari Allah suatu hari nanti. Doaku agar penantian itu berakhir dengan keceriaan dan kepuasan.

Mananalah tau Allah bagi rezeki seorang baby BOY..
apatah lagi menyerupai Pakciknya....hehehe..

Impian dan harapan tetap abadi.
Mungkin lewat tetapi bukan mustahil.
Ketentuan dan hakikat berlaku seiring.
Kita terimalah dengan hati terbuka...

Beib turut teruja bila mendapat....
...khabar gembir A
ibu selamat bersali N
anak sihat sejahter A
dan kali ini, bapa menjadi sibu K

Monday, July 20, 2009

Aku ke negeri Hang Tuah untuk Seni tapi teringat Sejarah

Assalamualaikum / Good Day.....

Kapal Dagang Dari Seberang
Sarat Muatan Kayu Meranti

Dari Jauh Tuan Datang
Orang Melaka Sedia Menanti

Sudah hampir 2 tahun aku tidak ke Bandar raya Bersejarah Melaka.
Kali terakhir ialah ketika bersama Bahagian Buku Teks (BBT) menjadi panel penilai Buku Bahasa Arab Tahun 1 di Mahkota Hotel Melaka, Mac 2007.
Fax yang aku terima minggu lepas dari BPK akan membawa aku kembali ke negeri asal Hang Tuah ini selama 4 hari (20-23 Julai 2009).

Ini adalah lanjutan Pemurnian Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) SV Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Seni (SS) yang kami bengkelkan di KB pada bulan Mei lalu. (baca di sini)


Seingat aku sejak tahun 1991 hingga 1995, aku sering bermesyuarat di Melaka.
Hotel yang selalu menjadi tempat penginapan kami ialah Hotel Metropole, bersebelahan sebuah pusat membeli belah dan stesen bas utama Bandaraya Melaka.
Ketika itu aku dijemput sebagai panel menghasilkan sebuah buku khusus untuk program Self Acess Learning Centre (SALC). Ianya juga anjuran PPK (Pusat Perkembangan Kurikulum nama asal BPK).


Teringat lagi teman-teman panel seperti Cik Mokulus Rowter (BPK), Mustakim Ishak (P.Pinang), Arif (Batu Pahat) dan Rahmah (JB) baru terjumpa blognya di sini . Kami masih berhubungan walaupun tidak kerap kecuali Mokulus yang terputus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Moga komunikasi kembali pulih dan bermakna. Hubungan siber dan wireless dalam era ini memungkinkan pelbagai.

Melaka merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan budayanya yang tersendiri.

Negeri yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396 yang menamainya bersempena pokok Melaka. Sejak itu, Melaka mula menjadi tumpuan negara-negara timur dan barat dari segi perdagangan.

Melaka mempunyai tarikannya yang tersendiri. Di antaranya ialah menaiki beca di tengah-tengah kota, menaiki bot menyusuri Sungai Melaka ataupun bersiar-siar di kawasan bersejarah yang mengimbau tentang peperangan dan penyeksaan, percintaan dan penyesalan.

Berada di negeri bersejarah Melaka, membuka jendela nostalgia sekukuh kubu A Famosa dan segagah Stadhuys.

Perbalahan epik Hang Jebat- Hang Tuah akibat difitnah dan salah sangka serta episod cinta terlarang Tun Teja dengan Hang Tuah terimbas diingatan.

Hang Tuah yang meneruskan khidmatnya kepada Sultan Mansur Shah selepas kematian Hang Jebat telah diutuskan untuk meminang seorang puteri yang tinggal di puncak Gunung Ledang, Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah.
Antara dialog menarik Laksamana Tun Tuah dengan Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah sebagaimana yang dituturkan dalam filem Puteri Gunung Ledang:

"Kanda lupa cinta dinda seagung maya" - Hang Tuah
"Cinta kanda? Bukan semesta luasnya?" - Gusti Putri
"Masih kecil berbanding cinta dinda!" - Hang Tuah
"Tapi kanda ke mari juga" - Gusti Putri
"Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga" - Hang Tuah


Cinta sejati, menjangkau hakikat dalam pertemuan yang terlewat.
Satu impian yang indah di taman yang abadi.

Beliau dikatakan gagal dalam tugas itu, dan disebabkan perasaan malu, Hang Tuah terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Aku teringat juga kata-kata Hang Tuah yang agung,

"Tak Melayu Hilang di Dunia"

tetapi beliau sendiri yang hilang tanpa jejak.

Melaka yang juga dikatakan tempat bermulanya sejarah kesultanan Melayu kini tidak lagi diperintah oleh seorang Sultan Melayu.

Ironis!

Yang tinggal hanya sejarah dan kenangan.

KT-KL-Melaka-KL-KT

'kecelaruan- kenangan-kesepian'

Beib cuba menerapkan nilai murni dari satu episod...

...epik yang heba T
diabadikan dalam kalb U
kisah teladan, taat setia, kasih sayang dan cint A
yang termaktub dalam lipatan sejara H

Saturday, July 11, 2009

Jom pi kenduri naik rumah impian...

Nak pi kenduri ni...
Assalamualaikum / Good Day.....

Kenduri dalam kehidupan bermasyarakat di kalangan orang Melayu adalah sesuatu yang lumrah. Kita sering mendapat jemputan kenduri, terutamanya kenduri kahwin. Ada kalanya dalam sehari, dua atau tiga jemputan diterima terutama pada musim cuti sekolah.

Pada umumnya, kenduri atau jamuan terbahagi kepada dua jenis, iaitu kenduri kahwin dan bukan kenduri kahwin.

Kenduri atau jamuan kesyukuran, berkhatan, sambut menantu, arwah serta jamuan hari raya ialah jenis yang kedua.

Mengikut ajaran Islam, menghadiri majlis kenduri , jika dijemput, adalah satu kewajipan. Kalangan ulama menghuraikan dengan panjang lebar mengenai jenis kenduri dan hukum menghadirinya sama ada wajib, makruh, haram atau harus berdasarkan hadis Rasulullah.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud:
"Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya."
Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."

Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib.
Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.
Apa-apa pun, kita sebolehnya tidak menguzurkan diri jika dijemput.
Dalam keadaan ada musaqqah tentu saja undangan tidak mampu ditunaikan. Kita serahkan hukum itu kepada ALLAH.

Memiliki rumah baru adalah suatu rezeki yang besar dan hebat, apatah lagi sebuah rumah sendiri buat pertama kali. Ianya merupakan suatu nikmat yg tidak terperi. Jika sebelum ini menumpang di rumah ibu bapa/keluarga atau menyewa sekian lama, mendiami rumah sendiri adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan.

Oleh itu, untuk menzahirkan rasa kesyukuran, pemilik rumah baru akan mengadakan sedikit kenduri.
Membuat kenduri naik rumah atau masuk rumah baru adalah tanda kesyukuran pemilik rumah.


Dalam pada memikirkan tentang buat kenduri naik/masuk rumah, kita kadang-kadang tidak lepas dari bertanyakan:
Apakah pengisiannya?
Menu apa untuk jemputan?
Berhidang atau buffet?
Doa selamat sahaja?
Tahlil?
Solat hajat macamana?
Nak baca Yaasin?
Siapa nak jemput?
Ramai mana?

Semua ini melibatkan kos dan logistik. Tapi kalau sudah bertekad untuk membuat kenduri, laksanakanlah seikhlas hati.

Selain dari itu, peranan imam, pak lebai, tok guru, ustaz atau orang yang dianggap ada ilmu agama di kalangan penduduk setempat
juga penting.
Di pundak merekalah diletakkan tanggung jawab untuk memimpin majlis. Biasanya pakej standard ialah solat hajat berjamaah, tahlil, doa selamat dan kesyukuran serta disusuli dengan jamuan.
Jamuan pula berdasarkan kepada bajet.

Ada majlis kenduri disediakan nasi serta lauk pauk yang beraneka
ala kampung dan ada juga hanya makanan ringkas dan ringan seperti mee goreng, laksa, kuih muih, roti canai dll. Dihidangkan atau dalam bentuk buffet.

Setahu aku di negara Arab, kenduri naik/masuk rumah baru hanya diserikan dengan jamuan makan sahaja, tidak ada tahlil dan doa selamat. Mungkin hanya di Malaysia, apa jua kenduri mesti ada acara bacaan do'a selamat atau tahlil.

Pada aku ianya tidak sampai ketahap bidaah kot. Bukankah itu untuk kesejahteraan dan kebaikan?
Rasanya budaya ini tidak perlu dipertikaikan malah lebih baik dari mengadakan pesta house warming.

Seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak:

Majlis Tahlil dan doa arwah boleh dilakukan dan tidak bertentangan dengan sunnah. Adapun mengadakannya pada masa dan hari-hari tertentu seperti 1,2,3,7,40 dan 100 hari tidak ada nas dan bahkan Bid'ah semata-mata.

Sila dirujuk di sini.
Aku sendiri kurang arif dalam hukum hakam ini. Tak mau membuat tafsiran dan menjatuhkan hukum.

Kalau dilihat dari segi positifnya, mengadakan kenduri naik/masuk rumah ada kebaikannya. Selain dari menjemput sanak saudara dan rakan taulan kita sebenarnya memberi khabar kepada jiran tetangga yang baru tentang perpindahan kita. Secara tidak langsung kita memanjangkan silaturrahim.

Majlis yang kecil pun akan dapat mengeratkan persahabatan dan membolehkan kenalan kita mengenali antara satu sama lain. Jaringan sahabat akan bertambah.
Lebih bermanfaat kenduri naik rumah itu membolehkan rakan-rakan kita mengetahui lokasi rumah baru kita. Ini memudahkan lagi urusan-urusan yang berkaitan kelak. Jika ada sakit demam atau situasi yang memerlukan bantuan rakan-rakan, mereka akan cepat dapat mengenal pasti rumah. Bantuan boleh segera dihulurkan.

Selain dari itu, doa dan solat hajat adalah untuk memanjatkan harapan kepada ALLAH agar diberikan berkat, kesejahteraan, murahkan rezeki serta dijauhkan mala petaka di premis yang baru kita.

Akhir kata, buat teman yang nak mengadakan majlis naik/masuk rumah, terima kasih kerana menjemput aku. Moga majlis yang diadakan lancar, selamat dan mendapat keberkatan.
Kalau aku tidak dapat hadir secara fizikal, pastinya aku hadir secara spiritual.
Selamat naik/masuk rumah baru.
Aku dah buat kenduri tu 18 tahun yang lalu.

Eh...terasa pulak nak pergi kenduri awak, kat mana rumah.?
Makan ala kampung ek.?
Mesti best kan? hehehe...

Beib doakan agar bahagia dan selesa dapat naik/masuk....
...premis yang luas dan besa R
tidak lagi menyewa seperti dahul U
boleh dihias, diwarna luar dan dala M
mengikut selera, kehendak juga citaras A
puas dan selesa punyai ruma H