Monday, March 21, 2011

Ulang Tahun Kelahiran: Hanya ulang tayang dengan angka berbeza...

 tiada sambutan istimewa meraikan...
tiada lilin..tiada bunga..tiada hadiah beriben...tiada kek..
yang ada hanya sekeping hati yang berbaur..

Assalamualaikum / Peace be upon you...

Ia datang lagi. Saban tahun. Diingati, diperingati. Disambut, dirai, merai.
Sering kali, ramai yang akan meuar-uarkan tentang kehebatan serta kemeriahan sambutan ulang tahun hari lahir mereka, mengenai kek, hadiah, bunga, ucapan, keraian dan berbagai.
Bagi aku, ia telah menjadi rutin setiap tahun sampai tahap klise.
Kalau aku masukkan entry pun mungkin hampir sama dengan tahun-tahun lepas.
Tiada apa yang nak dihebohkecohkan lagi. Maklumlah bilangan tahun makin meningkat.
Sudah lebih dari setengah abad.
Malah ucapan yang aku terima kali ini ada yang melangkau tahun, melebihi umurku yang sebenarnya hari ini. Walau apa pun, terima kasih atas ingatan dan keperihatinan terhadap tarikh. Sangat-sangat hargai.
Ada baiknya juga angka yang dicatatkan terlajak setahun sebab tahun hadapan belum tentu dapat meraikannya atau berkesempatan diucapkan selamat. Mungkin talqin mengiringi kita.
Dikesempatan ini, cukuplah dengan tulisan yang ringkas sebagai catatan entry sempena tarikh keramat mengingatkan betapa payahnya Mak melahirkan diri ini.
Menceritakan mengenai sambutan dan keraian dengan penuh elaborasi kadang-kadang membuatkan kita dipandang 'mengada-ada', 'syok sendiri' apatah lagi diusia sebegini. Cukuplah sebagai catatan peribadi diabadikan dalam blog sebagai diari maya.
Lantaran itu, yang paling penting dan bermakna bagiku ialah kesedaran tentang peningkatan usia.
Perasaan dan emosi waktu ini walaupun hanya sedetik akan terpatri dan tersemat dalam kalbu hingga akhir hayat.
Sebagaimana yang aku pernah ungkapkan dalam entry dulu.

Perjalanan hidup ini umpama melalui lebuhraya yang berbagai kondisi.
Penuh dengan kenangan.
Kaya dengan ekspresi.
Padat dengan emosi.
Sendat dengan nostalgia.
Aku mau mengingatinya hingga akhir hayat nanti.


Terima kasih Mak kerana melahirkan.
Syukur..Alhamdulillah..Ya ALLAH...kerana panjangkan usia hingga saat ini.

Beib terima hakikat sudah ber...
...umur dan semakin singkat wakt U
moga ALLAH berikan yang terbagu S
dirahmati dan diredha I
hingga sampai ke san A
*segalanya makin berlalu pergi...keprihatinan serta keutamaan sudah lusuh...
hingga angka sudah dan mudah dilupa kerana emosi yang membara.
Khilaf itu dimaafkan setulus hati...tiada dendam dihati...aku ingin pergi dengan redha ILLAHI..

Friday, March 4, 2011

Lamaran Hati: Teruja Menanti

 Dyza tinggalkan  impak dalam genre  penulisan
Assalamualaikum / Peace be upon you...
Aku sebenarnya tidak pernah menduga dan menjangka bahawa di tempat aku bertugas ada nama tersohor dalam bidang yang diceburinya. Rupa-rupanya the art of communication itu penting dalam mendapatkan maklumat serta respons.
Perkenalan singkat selanjutnya menjalinkan rasa percaya dan yakin. Perbualan meningkatkan tahap komunikasi. Luahan rasa hati bagai air mengalir. Jernih dan lawas.
Pertama kali mendengar namanya disebut, aku merasakan seolah-olah berada dalam dunia sastera yang pernah aku lewati  di tahun-tahun 80'an dulu. Nama pena bagi kelompok penulis telah menjadi sinonim kini. Semua akan menggunakan nama yang muluk-muluk, indah dan berbunga sebagaimana watak-watak dalam tulisan mereka.
Terdetik di hati untuk bertanya khabar, bila terlihat sebuah novel yang terselit di antara ratusan di sebuah gedung buku di Singapura di akhir Disember lalu.
Nama penulisnya bagai biasa didengar.
Terlintas nama itu disebut dan dipanggil di tempat aku bertugas. Unik dan menarik. Adakah aku tersalah dengar atau nama itu bunyinya seakan-akan?
Dengan sekeping gambar kulit novel yang aku rakamkan melalui kamera telefon bimbit, aku beranikan diri untuk bersua dengan insan yang berkenaan.
"Cg Zainun ni Dyza Ainun ke?" sambil tanganku menghulurkan gambar yang tertera di skrin telefon bimbitku.
Orang yang disoal hanya memandang gambar kulit novel sambil tersenyum simpul.
"Betul ke cg. Zainun...Dyza Ainun?" tanyaku lagi untuk kepastian.
Masih tersenyum seakan sinis.
Aku terdiam, sambil memandang tepat ke matanya.
"Alaaa...cg. Habib tak tahu ke?" sampuk teman setugas yang duduk selang dua buah meja dari kami.
"Ni lah Dyza Ainun, penulis novel yang tersohor di sekolah kita ni" tambahnya lagi.
Aku terpegun.
Rupa-rupanya yang duduk di kerusi didepan mejaku ialah seorang penulis yang telah menghasilkan beberapa buah novel genre romance.
Dia kemudiannya mengangguk dan terus melirikkan senyuman.
"Isyh...tak sohor mana laa..," responsnya ringkas, berdialek Kelantan
Aku semakin pasti dia ialah orangnya yang menulis novel Lamaran Hati.
Sejak dari itu, kami berkawan baik sehingga banyak perkara yang selama ini tersimpan disudut hatiku terluah dan dalam pengetahuannya.
Dia menjadi pendengar dan pengulas yang setia.
Aku jadi sangat yakin dan percaya padanya. Setiap hari, ada sahaja seloroh guraunya yang ditujukan padaku. Segalanya mengeratkan silaturahim.
Paling meriangkan ialah apabila dia memaklumkan bahawa coretan peristiwa yang aku alami dan lalui akan dijadikan bahan untuk novelnya yang akan datang.
Aku sangat-sangat teruja.
Rentetan pengalaman yang aku harungi telah aku luahkan kepadanya. Walaupun secara sepintas lalu dan tidak terperinci, sebagai seorang novelis, dia amat menghayati. Aku pula sangat menghargai.
Aku ada memaklumkan kepada seorang kenalan bahawa ada seorang penulis yang sangat berminat untuk mendokumentasikan perjalanan kisah hidup ini melalui novelnya dan temanku ini sangat-sangat teruja. Baginya, ini adalah satu penghargaan yang amat hebat dan dokumentasi yang akan kekal sebagai kenangan hingga ke akhir hayat.
Dyza berjanji akan melunaskan niatnya sesudah novel yang sedang dihasilkan kini siap. Paling lewat sebelum penghujung tahun 2011.
Aku tidak sabar untuk menunggu draf pertama beliau dikarang dan dibaca. Pastinya, aku yakin dia akan abadikan segala rentetan itu dengan penuh makna dan rasa.
Pagi tadi, Dyza datang ke mejaku. Raut wajahnya bagai sekuntum bunga layu.
"Cg. Habib....saya kena tukar sekolah," suara sayu seolah meraih simpati terpancul dari mulut Dyza.
" Haaah!...betul ke ni?" aku tergamam, sedih berbau kecewa.
" Yaa...kena tukar ke SKTJ," nada suaranya sebak.
Kami berbincang panjang mengenai pertukarannya. Keperluan perkhidmatan tidak dapat dielakkan.
Segalanya bagai luruh dan menyedihkan. Dia terharu dan sebak, begitu juga aku.
"Dah tu macamana dengan projek novel kita?" soalku dalam sebak.
"Beginilah Cg. Habib....cg. tulis sendirilah cerita yang kita janji nak buat novel tu berdasarkan pengalaman diri sendiri. Itu lebih baik...realistik dan original."
Aku terkedu. Aku sebenarnya belum pernah menulis cerpen, drama atau novel.
Namun, Dyza dengan penuh yakin memberi semangat dan dorongan kepadaku supaya menulis sendiri.
Dia sanggup membantuku dalam proses berkarya.
Selama sejam kami berbincang tentang plot, tema, tajuk dan isi cerita di biliknya.
Tips serta panduan asas penulisan diajar dan ditunjukkan kepadaku .
Keyakinanku makin kuat dan mantap.
Dia yakin aku akan berjaya menuruti jejaknya sebagai novelis.
Diriku masih tertanya-tanya, adakah aku akan berupaya menghasilkan satu dokumentasi sastera yang akan dibaca dan ditelaah oleh semua golongan masyarakat di negara ini?
Dyza sangat yakin aku mampu....!
Aku masih ragu-ragu.
Selesai solat hajat dan bacaan surah Al Qalam, aku akan memulakan penerokaan kreatifku dalam bidang penulisaan.
Insya ALLAH...berkat doa dan keazaman, aku akan abadikan segala kisah dan impianku dalam satu bentuk dokumentasi yang agung.
Aku sendiri yang teruja menanti hasilnya dan segalanya aku dedikasikan demi kasih dan sayang.
Mampukah aku...?
Maaf jika aku gagal. Namun aku tahu aku telah mencuba.
Bak kata cerdik pandai : I have failed is much better than I am a failure.

Beib tidak pernah terfikir akan menjadi...
...seorang yang akan menggara P
satu karya dalam genr E
penulisa N
 buk U
dan nove L
berdasarkan pengalaman peribad I
yang akan kekal abadi hingga ke akhir nafa S
*....moga ini bukan sahaja impian indah tetapi tinggalan abadi dan dihargai sepanjang hayat...