Monday, July 20, 2009

Aku ke negeri Hang Tuah untuk Seni tapi teringat Sejarah

Assalamualaikum / Good Day.....

Kapal Dagang Dari Seberang
Sarat Muatan Kayu Meranti

Dari Jauh Tuan Datang
Orang Melaka Sedia Menanti

Sudah hampir 2 tahun aku tidak ke Bandar raya Bersejarah Melaka.
Kali terakhir ialah ketika bersama Bahagian Buku Teks (BBT) menjadi panel penilai Buku Bahasa Arab Tahun 1 di Mahkota Hotel Melaka, Mac 2007.
Fax yang aku terima minggu lepas dari BPK akan membawa aku kembali ke negeri asal Hang Tuah ini selama 4 hari (20-23 Julai 2009).

Ini adalah lanjutan Pemurnian Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) SV Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Seni (SS) yang kami bengkelkan di KB pada bulan Mei lalu. (baca di sini)


Seingat aku sejak tahun 1991 hingga 1995, aku sering bermesyuarat di Melaka.
Hotel yang selalu menjadi tempat penginapan kami ialah Hotel Metropole, bersebelahan sebuah pusat membeli belah dan stesen bas utama Bandaraya Melaka.
Ketika itu aku dijemput sebagai panel menghasilkan sebuah buku khusus untuk program Self Acess Learning Centre (SALC). Ianya juga anjuran PPK (Pusat Perkembangan Kurikulum nama asal BPK).


Teringat lagi teman-teman panel seperti Cik Mokulus Rowter (BPK), Mustakim Ishak (P.Pinang), Arif (Batu Pahat) dan Rahmah (JB) baru terjumpa blognya di sini . Kami masih berhubungan walaupun tidak kerap kecuali Mokulus yang terputus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Moga komunikasi kembali pulih dan bermakna. Hubungan siber dan wireless dalam era ini memungkinkan pelbagai.

Melaka merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan budayanya yang tersendiri.

Negeri yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396 yang menamainya bersempena pokok Melaka. Sejak itu, Melaka mula menjadi tumpuan negara-negara timur dan barat dari segi perdagangan.

Melaka mempunyai tarikannya yang tersendiri. Di antaranya ialah menaiki beca di tengah-tengah kota, menaiki bot menyusuri Sungai Melaka ataupun bersiar-siar di kawasan bersejarah yang mengimbau tentang peperangan dan penyeksaan, percintaan dan penyesalan.

Berada di negeri bersejarah Melaka, membuka jendela nostalgia sekukuh kubu A Famosa dan segagah Stadhuys.

Perbalahan epik Hang Jebat- Hang Tuah akibat difitnah dan salah sangka serta episod cinta terlarang Tun Teja dengan Hang Tuah terimbas diingatan.

Hang Tuah yang meneruskan khidmatnya kepada Sultan Mansur Shah selepas kematian Hang Jebat telah diutuskan untuk meminang seorang puteri yang tinggal di puncak Gunung Ledang, Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah.
Antara dialog menarik Laksamana Tun Tuah dengan Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah sebagaimana yang dituturkan dalam filem Puteri Gunung Ledang:

"Kanda lupa cinta dinda seagung maya" - Hang Tuah
"Cinta kanda? Bukan semesta luasnya?" - Gusti Putri
"Masih kecil berbanding cinta dinda!" - Hang Tuah
"Tapi kanda ke mari juga" - Gusti Putri
"Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga" - Hang Tuah


Cinta sejati, menjangkau hakikat dalam pertemuan yang terlewat.
Satu impian yang indah di taman yang abadi.

Beliau dikatakan gagal dalam tugas itu, dan disebabkan perasaan malu, Hang Tuah terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Aku teringat juga kata-kata Hang Tuah yang agung,

"Tak Melayu Hilang di Dunia"

tetapi beliau sendiri yang hilang tanpa jejak.

Melaka yang juga dikatakan tempat bermulanya sejarah kesultanan Melayu kini tidak lagi diperintah oleh seorang Sultan Melayu.

Ironis!

Yang tinggal hanya sejarah dan kenangan.

KT-KL-Melaka-KL-KT

'kecelaruan- kenangan-kesepian'

Beib cuba menerapkan nilai murni dari satu episod...

...epik yang heba T
diabadikan dalam kalb U
kisah teladan, taat setia, kasih sayang dan cint A
yang termaktub dalam lipatan sejara H

2 comments:

azza_irah said...

masih adakah lagi cinta secekal epik cinta Hang Tuah dan Gusti Putri..?
menongkah arus, melawan badai..?
menjangkau hakikat membina impian..?




...ingin sekali berada dalam episod epik itu..

BEiB said...

masih ada lagi...cuma ianya tidak dizahirkan secara umum.
ya..
impian ada kalanya melampaui hakikat...
mustahil bagi kita, tapi tidak padaNYA....




...Laila Majnun, Romeo Juliet...adalah antara episod epik itu...indah tapi tragik...