Saturday, November 28, 2009

Bila Emosi Itu Bersatu, Lantas Intim Nian

Di pusara Pak di pagi HRAA

Assalamualaikum / Good Day.....

Lima hari berada di sisi Mak terasa sangat singkat. Sambutan HRAA juga berlalu dengan pantas. Berbual, menemaninya makan, istirehat dan tidor tidak cukup untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang aku kepadanya.

Mak tidak uzur cuma kekuatan fizikalnya agak terhad lantaran bongkok akibat terjatuh kerusi beberapa tahun dahulu.

Hasratku ialah untuk membawanya pulang bersamaku ke KT. Bersantai rehat di kediamanku selama beberapa minggu, kalau dia sudi.

Memujuk insan sepertinya memanglah sukar. Di usia 85 tahun, rumah dan kampung sendiri bagai sudah sebati dan susah untuk ditinggalkan.

Puas aku berusaha slow talk dan membelai Mak dengan kata-kata manis agar Mak mahu mengikutku balik ke KT.

Sehingga lewat pagi tadi, aku masih belum mampu mengumbuk Mak supaya masuk ke dalam keretaku.

Tiba-tiba, sesudah sarapan pagi dan selesai aku memasukan beg pakaian ke dalam kereta, Mak dilihat bersedia dengan beg pakaian kegemarannya.

Betul ke ni..?
Bila masa dia berubah hati?
Ada anak cucu lain yang meyakinkan dia untuk ikuta aku balik KT?
Syukur...

Hatiku berbunga. Akhirnya, Mak akan menemaniku selama 7 jam berkereta balik ke KT.

Emosiku berbaur.
Gembira.
Terharu.

menyelesakan diri dalam perjalanan
Aku akan pastikan Mak selesa di tempat duduk belakang kereta, berehat dan menikmati suasana sepanjang perjalanan sejauh 500 km. merentasi 4 buah negeri serta Banjaran Titiwangsa.

Satu kemenangan yang besar bagiku dapat memujuk dan membawa Mak ikut balik kekediamanku setelah beberapa tahun berusaha. Kali terakhir Mak mengunjungi kediamanku ialah lebih kurang 5 tahun dahulu sebelum Pak kembali ke Rahmatullah.

Sesungguhnya pengorbanan Mak untuk berjauhan dari rumah dan kampungnya membuatkan aku sebak.

Sebagai balasan pengorbanan Mak, aku akan pastikan Mak dalam keadaan sihat, selesa, bahagia, tenang dan tenteram selama bersamaku.

Perjalanan ini amat bermakna sekali. Jauh dari jangkaan.
Orang yang kusayangi ada bersama, precious cargo yang tak ternilai harganya. Akan ku jaga, belai dan tatang bagai minyak yang penuh. Itu janjiku.

bermakna... terkesan

Lebih bermakna bila Mak dapat dipertemukan dengan insan tersayang. Segalanya bagaikan fantasi. Impian indah yang didambakan selama ini menjadi kenyataan dan akan kekal abadi dalam ingatan. Semuanya dengan kehendak Allah.

Kelunakan azan maghrib dari masjid di tepi sungai menambahkan syahdunya suasana. Aku yakin ianya akan berbekas dan terkesan kekal sepanjang hayat. Ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menduga.

Untuk insan yang menyambut HRAA di kampung halaman, segala pengorbanan yang dilakukan menjadi sangat bermakna jika dihayati sepenuhnya. Kesempatan yang amat terhad ini dimanfaatkan sebaik mungkin. Ia mungkin datang sekali dalam hidup.

Moga sentuhan tangan meleraikan rindu dendam yang terkumpul dibenak selama ini. Pelukan mesra mengeratkan silaturrahim. Sapaan lembut menguntum senyum. Keintiman terserlah.

Aidiladha kali ini ialah pengorbanan, Takbir dan takdir.

Siapa pun tidak menyangka.
Waima aku sendiri.
Bertuah...

Beib bangga dan terharu kerana masih ada...
...insan yang ingin bertemu dan bersala M
memeluk dan menyap A
Mak yang membuatkan hati aku menjadi seba K

Friday, November 27, 2009

Pastinya Sendu Lebaran: HRAA

AB: Hening Aman di Lebaran Indah Nian

Assalamualaikum / Good Day.....

Sekali lagi kita menyambut Aidil Adha. Hari Raya yang menuntut pengorbanan.
Pengorbanan yang bukan sedikit. Ketulusan dan kerelaan yang menjadi tunjang pengorbanan.

Sudah 3 hari aku korbankan ruang dan masa bersama famili semata- mata untuk bertemu yang tersayang.
Memandu meredah hujan dan kabus di lebuh raya, bersendirian.

Kesempatan yang datang ada kalanya terhad. Aku harus rebut dan maksimakan peluang dan ruang itu.
Alhamdulillah, berbaloi.

Setelah lebih dari 2 bulan berpisah, pertemuan face to face kali ini memberi sejuta makna, meleraikan banyak perkara dan mengendurkan pelbagai emosi. Sentuhan, ciuman dan pelukan erat dan hangat bagai kali terakhir. Rindu dan resah terburai seketika.

Allah telah memakbulkan doa kami untuk kembali bersua dan melangsai rindu walaupun aku tahu rasa kangen itu akan kembali memuncak selepas ini.
Pengorbanan ini terpaksa dilakukan demi cinta, kasih dan sayang.

Aku amat bersyukur.

Beib pulang membawa....
...perasaan dan emosi yang tega R
untuk melihat tersayang dan berada di sis I
bukan sekadar angan-anga N
lalu mengambil keputusan yang neka D
untuk bersua muka dan bertemU
*

Thursday, November 19, 2009

Papa....See...Lima A

You make us proud....
missyana and her tight buddy, Buha
Way to go girls..!


Assalamualaikum / Good Day.....

Its a proud day for all of us, the whole family, and especially Adeq a.k.a. Missyana of Objekpetop. Finally, she got her UPSR result after patiently waiting for about 50 days.
Yes, your guess is as good as mine. It's marvellous. The feeling is great.

Her nervousness and butterflies diminished when the result was announced. All her wreck nerve feelings were expressed here and here. It is a great day for her. She live up to her reputation and expectation. All are expressed here, sweet taste of success.

I did mention about her in this entry with these words....
I'm positively sure that you'll get through with ease.
Your preparedness and confidence will see you through.


I knew that she would perform because of her great effort and commitment.
I thank ALLAH for that. Alhamdulillah.

Adeq... Papa, Mama, all the family members and friends are proud of you. This is just a beginning of a bigger test and challenge which you will come across later in your life.

The suspense, tense and butterflies that you feel were the same as what I felt but in a different situation. I'm in no way to disclose it here. Its inside me, between me and someone.

FYI my sweetie, Adeq, I'm also waiting to get my dues and if I do, we will celebrate even merrier. Just be patient. The results will be out in a few weeks time. Let's pray for the best.
For now, lets enjoy and cherish the moment.

Beib is proud of his sweet...
... little girl who is very happy toda Y
managed to secure 5 A's
in her UPSR and having a big pla N
to further her studies at SESM A
*SESMA: SM Sains Sultan Mahmud,KT - I was one of the staffs in the early 80's

Sunday, November 15, 2009

H.A.T.I.

(foto hiasan)

Assalamualaikum / Good Day.....

Aku tak mahu heboh gemburkan peristiwa hari ini. Biarlah ianya menjadi hal peribadi. Aku sedar bahawa jika ianya diuar-uarkan, satu letusan emosi akan tempias kepadaku.

Tak sanggup rasanya menanggung sakit perit gelodak emosi dan hati. Walau pun ianya bukan berniat untuk menyakitkan, namun salah tanggap serta rasa cemburu atau jealous memungkinkan sesuatu yang tidak terduga.

Untuk mengelakkan itu, aku akan hanya masukkan link yang menceritakan mengenai peristiwa hari ini.

Penceritaan dari kacamata orang ke 3 boleh dibaca di sini.
Untuk entry tahun 2007 di sini dan 2008 di sini.
Moga tidak menghiris hati, memeritkan rasa.

Beib cuba menzahirkan perasaan...
... yang mahu setiap masa dicura H
agar emosi sentiasa leg A
jiwa bersatu dekat dan era T
kasih sayang kuat terpatr I

Saturday, November 14, 2009

Pak walikota dari SawahLunto....


Assalamualaikum / Good Day.....

Berjabat tangan dengan Ir. H. Amran Nur, Bapak Walikota (Dato Bandaraya) Sawahlunto, Sumatera Barat, mengembalikan nostalgia pertemuan pertama dengannya pada tanggal 26 November 2008 di kantornya di Sawahlunto.

Selaku Ketua Pegawai Pengiring Program Pertukaran Pelajar Terengganu - Sumatera Barat, aku berpeluang berbual dan bertukar fikiran mengenai banyak hal terutamanya tentang kemajuan Kota Sawahlunto di waktu itu.

Pengalaman di Sawahlunto boleh dibaca di sini dan sini.

Sudah hampir setahun pertemuan yang bersejarah itu dan kini kami bersua lagi tetapi di Laman Budaya, Homestay Teluk Ketapang, KT.

Turut serta dalam rombongan ini ialah isteri Bapa Walikota Sawahlunto, Ketua DPRD Kota Sawahlunto Ali Yusuf dan Sdr. Dirwan Ahmad Darwis, Pengarah DSS Bridge Asia SB, sebuah syarikat konsultansi perhubungan antara bangsa.

Pertemuan singkat ini turut disertai oleh YB Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri.

Berbagai perkara menarik yang dibincangkan dalam kunjungan singkat sehari Bapak Walikota. Antara yang menarik perhatian ialah Majlis Makan Bajamba yang diadakan di Kota Sawahlunto pada setiap 1 Disember sempena menyambut Hari Ulangtahun penubuhan Kota Sawahlunto.
Aku coretkan pengalamanku di sini.

Idea untuk mengadakan majlis yang seperti ini mengujakan YB Ahmad Razif yang juga merupakan ADUN Seberang Takir.

Satu lokasi yang sesuai di Teluk Ketapang atau Seberang Takir turut dicadangkan. Dalam gurauan, majlis ini mungkin dinamakan Majlis Makan Bersila.

Bagi aku, ini merupakan satu gagasan yang baik untuk kemajuan pelancongan. Antara perkara yang perlu dikenal pasti ialah lokasi, tarikh, penglibatan, sumber kewangan, logistik dan tidak terkecuali komitmen serta kesungguhan pelaksanaan.

Faktor-faktor lain boleh dibincangkan secara terperinci jika idea ini ingin dijadikan kenyataan.

Aku berharap sangat agar ianya menjadi realiti. Banyak kesan positif , spin-off atau offshoot yang akan muncul dari majlis ini. Malahan, keunikan program ini akan menjadikan lokasi ini satu daya tarikan pelancong yang unik.

Teluk Ketapang tidak akan lagi seperti yang kita kenal dulu. Di masa ini pun pembangunan pesat sedang dijalankan. Satu projek integrasi, perumahan, kedai dan rekreasi sedang dilaksanakan. Ianya dijangka siap menjelang akhir tahun 2010. Aku juga punya visi di situ. Ini akan aku kongsi bersama kemudian.

Seorang teman pernah tinggal di kawasan Telaga Daeng, bersebelahan Kampung Teluk Ketapang, lebih kurang 20 tahun dahulu. Dia kini bertugas di utara semenanjung. Jika dia kembali ke sini, tentu saja akan terpegun dengan perubahan yang sedang berlaku. Pengalamannya berbasikal ke sekolah serta bermain di Pantai Teluk Ketapang (PTK) akan hanya menjadi sesuatu yang amat nostalgik.

Dengan kemajuan dan perubahan masa, aku yakin dia kini telah berjaya dan bergaya dalam hidup. Tidak lagi 'karat' seperti masa dulu. Masih ingat temanmu ini?.

Sesungguhnya, lawatan singkat Walikota Sawahlunto diharap dapat memberikan inspirasi untuk membangunkan daerah ini. Aku tumpang gembira dan aku yakin temanku juga.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Beib percaya ada orang yang masih ingatkan...

... kenangan yang telah lama di pera P
bermain, bergaul dengan teman-teman terdeka T
berbasikal, berkejaran, menyusup serta bermain masak-masa K

Thursday, November 12, 2009

Luhur...Ikhlas... Niat...

Panel kertas konsep...

Assalamualaikum / Good Day.....

Bila bercakap tentang pencapaian murid sekolah rendah dan menengah bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) di negeri Terengganu, aku turut merasakan tempiasnya.

Sejak 1980 sehingga kini, aku masih mengajar BI selain dari Pendidikan Seni Visual (PSV). Aku menyaksikan perkembangan yang ketara dalam penggunaan BI sejajar dengan hasrat dan aspirasi negara. Sebagai lingua franca dan bahasa ilmu masa kini , BI terus mendapat perhatian.

Berdasarkan kepada analisis, tahap pencapaian murid di Terengganu agak memuaskan. Pada tahun 2008, murid-murid yang lulus BI dalam peperiksaan awam adalah seperti berikut:
UPSR - 76.9 % PMR - 71.3 % SPM - 72.5 %

Namun begitu pencapaian ini tidak menggambarkan situasi sebenar berkaitan dengan keupayaan dan kemahiran menggunakan BI dalam komunikasi seharian murid-murid di Terengganu.

Penggunaan BI amat terhad. Rasa malu, segan, takut dan kurang confident melanda hampir semua murid. Senario ini pernah aku jelaskan dalam syarahanku di sini.

Lantaran itu, amat jarang kita dengar murid-murid sekolah di sini bertutur dalam BI antara satu sama lain atau dengan sesiapa sahaja di tempat awam.

Langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk menggalakkan penggunaan BI dalam komunikasi. Amat malang kerana pengajian selama 11 tahun di sekolah rendah dan menengah masih tidak mampu membolehkan murid-murid bertutur dan memahami BI dengan baik. Niat dan hasrat kita terbantut dek sikap diri sendiri.

memeta konsep

Di mana silapnya? Tidak guna menuding jari mencari kesilapan sahaja. Kalau ia suatu masalah, mari kita sama-sama cuba atasi dan selesaikan. Kita perlu bersikap positif dan proaktif.

Sesuatu perlu dilakukan. Dengan segala kemudahan yang ada di alaf ini, kita sepatutnya berupaya memantapkan penguasaan BI di kalangan anak-anak kita.

Antara langkah yang berkesan yang boleh diambil ialah dengan memperbanyakkan aktiviti ko-akademik di sekolah. Ruang dan peluang yang ada akan membolehkan murid memahirkan diri dalam BI secara lisan.

Sebelum ini, aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah seperti Public Speaking, Pidato BI, English ala Parliamentary Debate, Choral Speaking dan One Act Play diadakan bagi menggalakkan penggunaan BI. Ini adalah proses pengkayaan selain dari aktiviti formal dalam bilik darjah.

Menyedari pentingnya aktiviti sokongan seperti ini, Yayasan DiRaja Sultan Mizan telah mengorak langkah untuk membiayai beberapa aktiviti tambahan yang telah disenaraikan. Antaranya, Speech Choir - in betweens Choral Speaking dan Choralsical - Story Telling, Action Song dan English in Camp.

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan membantu dan mengelolakan aktiviti-aktiviti ini.

Diharap Program Galakan Penggunaan BI di kalangan murid ini dapat melonjakkan penguasaan BI untuk komunikasi.

Menjunjung Kasih dan tahniah kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan atas keprihatinan dan dokongan. Keluhuran pihak istana memungkinkan semua aktiviti yang dilaksana dengan jayanya.

Sebagai salah seorang panel penggubal kertas konsep untuk aktiviti Speech Choir (nama yang belum dimuktamadkan lagi), aku bersama Mr. Yzel Sumarno, C.K Zarina dan Estee amat berharap agar peruntukan kewangan yang dianggarkan sebanyak RM177,000.00 dapat membantu meningkatkan penguasaan BI di kalangan murid sekolah di Terengganu.

Mesyuarat selama sehari bersama Tn. Hj. Mohd.Tamidi Sidek dan Pn. Siti Rohaya, dari JPNT yang berlangsung di PPD Hulu Terengganu memberikan aku gambaran betapa perlunya anak didik kita diperkasakan dengan penguasaan BI.

Sumbangan kecil ini membuatkan aku rasa selesa dan bahagia. Pengorbanan yang tidak seberapa ini memungkinkan anak bangsa berjaya dalam hidup.

Aku cuba lari sebentar dari PSV untuk mencari pengalaman baru. Setiap hari adalah perjuangan yang mesti dihadapi. Perjalanannya masih jauh, umpama melalui lebuh raya.

Online walaupun ikon putih...

Seperti seorang teman yang keluar dari rutinnya mengadap laptop dan mengambil langkah berani untuk merempuh halangan dan menentang fobia, aku juga perlu yakin dan cekal memasang tekad.

Walau tanpa pelindung dan pemantau jarak jauh, aku yakin dengan keiklasan kerjaku. Aku bangga menjadi sebahagian dari entiti baru Speech Choir sebagaimana aku menjadi perintis Choralsical.

Beib sentiasa yakin keikhlasan kita bergantung kepada...
... hati yang suci dan ama N
tanpa prejudis dan dengk I
atau sifat-sifat cel A
yang membuatkan kita merasa hidup itu nikma T

Lahirnya Saya di Penang...?

anak Papa dah besar

Assalamualaikum / Good Day.....

Dua dekad yang lalu bila Mama awak disorong masuk ke wad bersalin Aman Maternity Home and Polyclinic, Gelugor, Pulau Pinang, Papa dipelawa oleh salah seorang doktor yang bertugas untuk masuk menyaksikan kelahiran awak. Papa enggan. Darah boleh membuatkan Papa lemah lutut atau mungkin juga pengsan. Papa menanti di luar wad dengan penuh harap.

Dua puluh minit kemudian, terdengar tangisan awak. Mersik dan nyaring. Awak dibalut dengan kain muslin dan diserahkan pada Papa untuk diiqamatkan. Tak sedar airmata Papa mengalir kegembiraan. Begitu juga Mama.

Sejak itu, awak jadi teman Abang Syafiq dan penghibur kami. Putih gebu kulit serta keletah awak menjadi perhatian ramai hingga ada yang panggil awak "Snow White". Siapa sahaja akan mencubit hidung atau pipi chubby awak yang merah jambu itu.
Alhamdulillah...anugerah Tuhan.

Nama awak yang pendek, ringkas dan bermakna memang telah kami sediakan walaupun dalam keluarga hanya dipanggil Qaqaq. Kini mau dikenal dengan misspqa..Hmmm..

Kini setelah 20 tahun berlalu, awak masih 'putih sepuk' walau pun tanpa chubby. Sudah bergelar siswa dan akan menuruti jejak langkah papa dan mama menjadi pendidik.

Bila tamat pengajian nanti, jadilah pendidik Pendidikan Khas (PK) yang berjaya dan bergaya seperti kenalan awak. Mungkin boleh jadikan dia teman dan model pendidik PK.

Walau apa pun,
jadilah seorang insan yang berguna kepada semua.

SELAMAT HARI LAHIR
KE 20

We love you...misspqa
be the BEST in your own way

Papa ucapkan selamat untukmu di hari...
...ini dan terus keka L
sihat, gembira dan ceri A
dalam memburu segulung ijaza H
dan buktikan pada semua, terutama famili dan dir I
awak anak yang solehah yang tidak ingka R

Thursday, November 5, 2009

Perasaan Sentiasa Lekat...


Assalamualaikum / Good Day.....

Masih lagi terasa penatnya. Transit di KLIA selama lebih dari 5 jam membuatkan aku letih, fizikal dan minda.

Sambil menanti penerbangan pulang ke KT aku sempat mengisi masa dengan online. Bersendirian di kerusi rehat antara Pintu 2 dan Pintu 4 KLIA, aku belajar dan mengerti apa itu kerinduan.

Laptop teman setia.
Broadband penghubung rasa.
Segalanya indah dan nostalgik.
Sambil berlunjur menghilangkan kejang, aku menyedut 100 plus serta mengunyah snickers dan melayan perasaan.

Rupanya, berjauhan itu menyiksakan.
Walau di rimba, pulau, laut, gua atau pantai, jangan dilupa.
Harapanku, biar jauh di mata tetapi tetap lekat dan kekal di hati.

Jangan suka menganyam nyiru,
Nyiru dibawa dengan rakit;
Jangan suka menanggung rindu,
Rindu bawa jadi penyakit.

Beib mula faham erti...
...sabar dan deba R
yang sentiasa bergelora di dalam hat I
dan kadang kala tidak tertaha N
emosi diri tidak boleh di ha D
kerana lama menanggung di kalbU
*

Wednesday, November 4, 2009

Langkawi: Indah Nyaman...

Papantanda perkhidmatan Bro Mail yang ramah

Assalamualaikum / Good Day.....

Kita hentikan soal teknikal dan ilmiah mengenai kurikulum. Kita bersantai di Pulau Lagenda meronda di Pantai Cenang.

Bersembang dengan pemilik/pengusaha sewaan PWC -Personal Water Craft yang beroperasi di pantai ini amat mengujakan. Salah konsep dan silap faham tentang jentera ini membuatkan aku (kita) malu sendiri.

Harga sebuah PWC boleh beli rumah

Jentera ini dikenali sebagai PWC bukan Jetski atau Sea Doo. Kita selama ini menyebut jentera ini mengikut jenamanya bukan namanya!

Kekeliruan ini juga berlaku bila kita mengaitkan semua kenderaan pacuan 4 roda (4WD) dengan panggilan Pajero, Jeep atau Trooper suatu masa dulu.
Sedangkan Pajero, Jeep dan Trooper ialah jenama bagi kenderaan jenis 4WD.

Begitu juga dengan Kodak bagi semua jenis filem fotografi. Pampers bagi semua jenis diapers atau lampin pakai buang bayi. Mee Maggi untuk semua jenis/jenama mee segera.
Jahilnya kita!

PWC yang bernilai RM145,000.00 sebuah ini boleh disewa dengan kadar RM120.00 untuk setengah jam. Memang mahal tetapi berbaloi dengan enjin dan keupayaannya.

Inboard engine dan pump jet mampu memberi kuasa sehingga 260 horse power dan boleh mencecah kelajuan 110ksj. Kuasa dan kelajuan yang hebat bagi sebuah jentera air.

Dengan enjin Rotax 4 lejang serta fuel injection, PWC ini adalah yang tercanggih dalam kategorinya. Munasabahlah dengan harganya yang begitu tinggi.

Aku tidak mampu membelinya, hanya mampu duduk untuk posing sahaja.
Sedikit ilmu yang aku dapat dari pemilik PWC di Pantai Cenang.

Bangunan resort di belakang dikunjungi teman beberapa hari lalu...selisih.

Berbual dengan Bro. Mail (Ismail Kayak), yang berasal dari Kangar, seorang pengusaha pelancongan memang seronok. Keramahan dan santainya membuatkan sesiapa sahaja terpukau dengan gayanya.

Banyak yang diceritakan mengenai situasi Bumiputera di Langkawi. Berkaitan dengan perusahaan pelancongan serta perkhidmatan berasaskan pelancongan seperti yang dijalankannya. Naik turun perniagaan di musim-musim tertentu umpamanya di bulan Ramadan. Tidak ramai pelancong yang datang hingga menjejaskan perniagaan mereka di sini.

Syarikat Travel Agency yang begitu banyak menyebabkan persaingan yang sengit. Dia adalah di antara pengusaha yang tersepit kerana saingan perkhidmatan yang hebat.

Untuk lawatan ke Kilim Geopark (Fish Farm, Eagle Feeding, Bat Cave, Mangroove Swamp, Crocodile Cave dll.) dia menawarkan harga istimewa kepadaku sebanyak RM70.00 berbanding dengan harga standard iaitu RM85.00. Malangnya, aku kesuntukkan masa. Mungkin di lain kali aku akan rebut peluang itu.

Lain pula dengan seorang temanku yang beruntung kerana dapat melawat tempat-tempat itu tanpa sebarang bayaran. Bussiness and pleasure comes in a package. Malah dia berpeluang island hopping, ke Tasik Dayang Bunting dan menaiki cable car, free!
Rezeki dan tuah seseorang sukar diramal.

Aku tak mahu menjadi seorang pendengki, irihati atau cemburu. Tuhan berikan dia rezeki begitu dan aku yakin Tuhan akan juga berikan aku rezeki dalam bentuk lain. Syukur atas nikmat yang diberikanNya.

Kalau dapat honeymoon kat sini ok gak..
pemandangan sangat-sangat cantik....
ada yang sudi nak jadi suri? heheh...


Bersama kenalan, aku di bawa ke Awana Porto Malai. Tempat yang menarik, pemandangan yang mengasyikkan. Indah dan nyaman. Memang sesuai untuk bercuti atau bersantai.

Seakan Ha Long Bay, Vietnam di Quảng Ninh province, satu lokasi yang diiktiraf sebagai UNESCO World Heritage, Porto Malai juga mempunyai landskap yang hampir serupa.

Latar belakang bukit bukau batu kapur memberi impak yang mempesonakan.
I wish I could be there longer.
Kesuntukan masa memaksa kami balik ke tempat penginapan.

Sesungguhnya, lawatan singkat ke beberapa lokasi membuka mata dan menambah ilmu dlam diriku.

Kursus dan mesyuarat yang dihadiri sebenarnya 'an eye opener'. Mata dan minda terbuka untuk pengalaman baru dalam hidup.

Oleh itu, buat teman yang hendak berkursus. Tempohilah dengan cekal dan tekal. Segala rintangan dan kesulitan ( berjemur panas, tak mandi seharian, basah kuyup kerana hujan, tiada komunikasi dll) adalah sebahagian dari latihan untuk mencekalkan diri.
Moga berjaya dan terpilih.
Biar rebah diri, jangan berubah hati.

Beib nak tenangkan diri dengan...
... berehat dan bermalas-mala S
sambil menikmati suasana Pulau Lagend A
mengambil angin dan berjalan-jala N
ke tempat peranginan yang mana sempa T
kalau dapat nak ke pantai, gunung dan gu A
hmm...jika tak sempat, kena datang sekali lag I

Tuesday, November 3, 2009

Lestarikan Sistem Pendidikan..?

Panel Meja Utama: santai menyiapkan tugasan

Assalamualaikum / Good Day.....

Mesyuarat yang berkaitan dengan kurikulum PSV Tingkatan 1 ini memang berat. Pemetaan dan penggubalannya memerlukan pemikiran yang analitikal dan kritikal.

Semua sudut perlu diambil kira bagi memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar serta menepati kehendak kurikulum itu sendiri.

Cadangan Pemetaan Modul Transformasi KBSM ini meliputi 4 Standard Pembelajaran:

1. Persepsi Estetik
2. Aplikasi Seni
3. Ekspresi Kreatif
4. Apresiasi Seni Visual

Ini semua didasari oleh model DBAE yang popular di USA.

"Discipline-based art education (DBAE) is an educational program formulated by the J. Paul Getty Trust in the early 1980s. DBAE supports a diminished emphasis on studio instruction, and instead promotes education across four disciplines within the arts, aesthetics, art criticism, art history and art production." - wikipedia

Dari kiri: Razid Karim, Dr. Halim, Nizam (terlindung)

Antara perkara yang ditekankan semasa perbincangan ialah pentingnya ahli panel memahami konsep kurikulum, falsafahnya, perkaitan dengan dengan PIPP, keperluan mengintegrasikan kurikulum dengan konsep 1 Malaysia dan halatuju kurikulum itu sendiri dalam masa 10 tahun akan datang.

Paling utama penggubalan ini mesti menepati kehendak Kurikulum Kebangsaan:

"...suatu program pendidikan yang melibatkan aktiviti kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan,dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental, dam emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan."
(Akta Pendidikan 1996: Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan)
Pendidikan 1997 (www.moe.gov.my).

Apakah yang mahu di transformasikan?
Penambahbaikan atau sekadar perubahan kecil?
...atau dilestarikan sahaja?

Akhirnya, draf Transformasi Kurikulum PSV ini dirangka melampaui kurikulum sedia ada tetapi sedikit mudah dari apa yang digubal untuk Sekolah Seni Malaysia.
Unit Pembelajaran PSV meliputi:

Bidang
Unit Pembelajaran - Pelbagai Modul
Standard Pembelajaran yang mengandungi 4 elemen di atas serta lajur-lajur:

i. Unit Pelajaran
ii. Hasil Pembelajaran
iii. Cadangan Aktiviti Pembelajaran.

Perinciannya tidak dapat aku paparkan di sini kerana ianya masih di peringkat draf dan sulit.
Maaf.

Buat teman di luar sana, walau pun kita bertugas di premis yang berbeza sama ada di lapangan atau di dalam bilik, matlamatnya masih sama untuk anak bangsa.

Hands-on dan minds-on kita integrasikan untuk pemantapan ilmu.
Sepatah kata teman:

"Walau di mana kita berada,
kita tetap memandang bulan yang sama."


Beib gembira kerana dapat meluahkan idea dalam pembikinan kurikulum walau pun masih di peringkat....
...permulaan, dan akan terus berteka D
untuk menyumbangkan buah fiki R
hingga berjay A
menghasilkan kurikulum peringkat global atau yang setara F

Monday, November 2, 2009

Langkawi: Indah...Nostalgik...


Assalamualaikum / Good Day.....

Aku ke Langkawi lagi. Pulau yang sentiasa menimbulkan sensasi nostalgik bak cinta Mahsuri. Perasaan itu tercatat di sini, sini, sini.

Pemergian kali ini ialah untuk meneruskan misi menyiapkan Transformasi Kurikulum PSV tingkatan 1 yang akan digunakan pada tahun 2010. Baca sini dan sini .

Amanah yang berat, tanggungjawab yang hebat. Lantikan dan jemputan yang tidak harus dilepaskan. Bukan kerana ianya diadakan di Langkawi, shopping haven bagi sesetengah orang, tetapi kerana tahap priority yang tinggi.

Air tangan sebelum bersara tentu sahaja menjadikan kita lebih mengerti nilai hidup.

"Leave something before you leave,
and make sure that its worth it."

Frasa ciptaan sendiri sebagai motivasi diri. Teringat juga kata orang tua-tua,

"Harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama."

Secara fizikal, Langkawi tidak banyak berubah. Mungkin namanya sahaja yang di telah ubahsuai. Dahulunya, gugusan 99 pulau indah ini dikenali sebagai Pulau Langkawi. Kemudian pada 15 Julai 2008, sempena Jubilee Emas pemerintahan DYMM Sultan Abdul Halim ia dinamakan sebagai Langkawi Permata Kedah.

Sebelum itu, pada 1 Jun 2007, UNESCO telah memberi status World Geopark kepada Langkawi. Tiga lokasi yang popular iaitu Machincang Cambrian Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park dikenali sebagai Langkawi Geopark.

Rebranding
atau penjenamaan semula ini menjadikan Langkawi makin gah di mata dunia. Selain dari terkenal sebagai Pulau Bebas Cukai dan perlumbaan Le Tour de Langkawi serta Pameran LIMA , Langkawi kini mashyur dalam pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan warisan geologi alam sekitar.

Bertuahlah seorang teman yang dapat melawat serta menikmati keindahan landskap Langkawi Geopark ini entah ke berapa kalinya. Aku bercadang untuk mengunjungi lokasi ini di lain kali kerana kesuntukan masa dan kesempitan ruang.InsyaAllah.

Kalau Langkawi gah dengan warisan geologinya, Terengganu pula terkenal dengan warisan budayanya. Baca sini dan sini untuk maklumat lebih lanjut.

LT Sultan Mahmud, KT akan bertaraf antarabangsa dalam masa terdekat

Meninggalkan KT menuju Langkawi melalui KLIA membuatkan hati sayu. KT tempat aku menjalani hidup dan mencari rezeki. Langkawi, merupakan sebahagian dari negeri Kedah, tempat tumpah darah dan tanah kelahiranku.Kedua-dua jajahan ini amat terkesan di hati.

Dalam penerbangan selama 1 jam, aku terfikirkan masa depanku. Adakah bila aku bersara nanti aku dan kembali ke tanah tumpah darahku atau kekal menetap di tanah aku mencari rezeki?

LT Antarabangsa Langkawi venue LIMA 09

Persoalan ini aku biarkan berlalu tanpa kata putus. Bak kata orang "disana menanti di sini menunggu". Di bawah langit dan di atas bumi Allah ini, aku akan berikan tumpuan yang sepenuhnya untuk memastikan aku tinggalkan yang terbaik setakat yang aku mampu walau di mana aku berada.
"Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung."

Mesyuarat kurikulum yang akan aku hadiri nanti merupakan sesuatu yang amat besar impaknya dalam pendidikan, terutamanya PSV.
Biarlah itu menjadi tumpuan utamaku setakat ini. Berfokus.

Aku tidak sanggup untuk hadir ke mesyuarat sebagai passengger, tanpa memberikan sebarang input dalam mesyuarat atau sesi perbengkelan.
Hanya menanti waktu untuk keluar berbelanja di H.I.G atau di Idaman Suri.

Golongan ini biasanya dikenali dengan akronim C.H.O.G.M.
yang bukan bermaksud Commonwealth Heads of Government Meeting tetapi Come Holiday On Government's Money!

Sanggupkah anda menjadi golongan ini?

Beib teringin nak ke...
... Geopar K
salah satu destinas I
yang menceritakan banyak ha L
mengenai struktur geolog I
dan kejadian ala M
*Gua ke Gua...Pulau ke Pulau...air bukan lagi fobia.