Thursday, August 21, 2008

Arigato! Misaki....

Adeq, Qaqaq, Misaki Yamamoto dan Acik

Assalamualaikum / Good Day.....
Bila diberitahu bahawa satu rombongan pelajar dari Jepun akan tiba di KT dan tinggal bersama keluarga angkat selama 4 hari aku rasa amat teruja.
Panggilan telefon dari Syed, S/U Belia Teluk Ketapang aku panjangkan kepada KakWan dan anak-anak. Mereka setuju. Acik dan Adeq tak sabar menunggu kehadiran kakak angkat mereka. Qaqaq, yang sedang menghabiskan cuti semesternya pun
turut gembira nak sambut ahli keluarga sementara yang baru.
Sebelum ni kami belum pernah mengambil anak angkat samada dalam negeri atau luar negara. Peluang yang diberikan oleh Persatuan Alumni Malaysia Japan (PAMAJA) dengan kerjasama Persatuan Belia Teluk Ketapang amat kami alukan. Bila ditawarkan seorang anak angkat, aku terus menerima.

Aku diberitahu bahawa anak angkat yang akan datang ke KT ialah seramai 10 orang dan berumur antara 13 – 17 tahun. Mereka terdiri dari pelajar pelbagai sekolah – Junior dan High School di Toyokawa.

Aku memilih pelajar perempuan yang berumur 13 tahun. Sebaya dengan Adeq dan Acik.

Sesampainya mereka dari KL, Majlis penyerahan anak angkat diadakan. Aku sendiri saspen untuk mengetahui siapakah anak Jepun yang akan aku jaga selama 4 hari.

Akhirnya terjawab juga bila MISAKI YAMAMOTO, 13 diserahkan kepada kami sefamili.

Baru sejam sampai dah mesra dengan famili menjamu selera di meja Jepun

Berasal dari Ikebata, Kanazawacho. Toyokawa City, Aichi Prefecture, Misaki boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan baik. Ini memudahkan komunikasi.

Dalam sekejab masa sahaja Misaki diterima baik oleh ahli keluarga aku.

Orangnya berdisiplin dan lembut.

Adeq menerima cenderamata dari Misaki

Pelbagai hadiah dan cenderamata yang kami terima darinya. Rupanya dia telah dimaklumkan mengenai latar belakang keluarga kami. Berapa dewasa, lelaki, perempuan dan peringkat umur.

Selama empat hari kami mempelajari pelbagai karektor dan budaya insan Jepun ini.

Mempamerkan budaya Melayu dan menerapkan nilai murni Islam, membuatkan dia amat tertarik bersama kami. Hinggakan dia menyatakan hasratnya untuk terus berada di sini. Kami sekeluarga amat terkesan.

Menikmati kemeriahan Pasar Malam, Pak Tuyu

Aku katakan, jika dia ingin kembali ke sini di masa akan datang, dia amat dialukan.

Tambahan pula pelbagai barangan Jepun yang ada di sini yang membuatkan dia terasa seperti berada di tempat sendiri. Apa tidaknya kami bawa dia menaiki Toyota Vios, menonton TV Sony, mengambil foto menggunakan Nikon DSLR. Dia mandi dengan hot shower Panasonic dan berada dalam bilik dengan pendingin hawa National. Menghantar e mel kepada ayahnya menggunakan lappie Acer. Membasuh bajunya dalam mesin basuh Hitachi, makan menggunakan meja Jepun dan yang paling istimewa menyarung selipar Jepun berjalan disekitar rumah. Apa lagi yang tidak diJepunkan?

Beli belah di Pasar Payang

Bagi Acik, Adeq dan Qaqaq, pengalaman berinteraksi dengan Misaki menjadikan mereka lebih matang dan terbuka.

Banyak juga yang diajar dan dipelajari oleh Misaki mengenai adat resam dan budaya Melayu. Makan nasi tanpa chopstick, merasakan pelbagai masakan dan buah-buahan tempatan, duduk bersimpuh, memakai baju kurung serta bertudung, malah turut mengaminkan doa sebelum makan.

Mencuba baju kurung

Adat resam Melayu cuba diamalkan

Main selambut bersama cucu saudara

Durian....oh! tak sanggup dijamah langsung

Aku harap pengalaman ini memberi keyakinan diri yang tinggi kepada anak-anak aku untuk lebih mengenali manusia dari pelbagai budaya serta latar belakang seperti firman ALLAH dalam Al Qur'an yang ertinya:

"Wahai Manusia, Kami ciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia diantaramu disisi Allah adalah yang paling takwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal". Al Hujuraat: 13

Tiga lagi sahabat dari Jepun yang turut bertandang ke rumah

Salah satu pokok perintah yang secara jelas dapat kita lihat dalam Surat Al Hujuraat ayat 13 adalah perintah agar kita saling mengenal dengan masyarakat sekeliling kita, tanpa harus membezakan bangsa, agama, suku ataupun dari golongan mana individu tersebut berasal. Dengan kata lain salah satu kewajiban yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk hidup bermasyarakat, yang tentunya tidak dapat lepas dari konsep tentang hubungan antara manusia sebagai individu yang merupakan unsur terkecil dalam membangun sebuah masyarakat.

Kehadiran Misaki membuatkan anak-anak aku lebih memahami hidup bermasyarakat. Sifat bertolak ansur, berdisiplin, hormat menghormati serta nilai-nilai murni yang sarankan oleh semua pihak diterapkan secara tidak langsung.

Tahun depan mungkin kami akan cuba dapatkan anak angkat dari negara lain pula bagi merealisasikan ayat 13 Surah Al Hujarat di atas.

Misaki (kanan sekali) telah menjadi sebahagian dari famili kami

Beib berharap dapat melawat Misaki dan negaranya...

walaupun bersama pake J

untuk menghayati kabuki, yukata, sushi, mangga, origami serta anim E

Aku sangat berhara P

Disuatu wakt U

Malaysia juga akan seperti NIPPON, terus mapa N

Sunday, August 17, 2008

Permatang Pauh @ Pasar Payang?


Assalamualaikum / Good Day.....
Membeli belah sambil photo shoot di Pasar Payang, KT menemukan aku dengan signage menarik. Kehangatan bahang pilihanraya kecil (PRK) di Permatang Pauh menjalar hingga ke Pasar Payang.
Yang menarik tentang signage ini ialah PP yang bermaksud Pasar Payang juga sinonim dengan Permatang Pauh. Manakala 44, ialah nombor kedai yang bersamaan dengan kawasan Parlimen 44.
Di Pasar Payang pembeli harus bijak memilih barangan,tetapi di Permatang Pauh pengundi perlu bijak membuat pilihan. Masa depan negara tidak harus digadaikan, seperti kata Nabil Raja Lawak "Lu pikirla sendiri".
Terkilan juga kerana tak dapat merasakan suasana PRK yang terhebat di abad ini.
Beib berharap pemilih di Permatang Pauh tidak akan mensia-siakan ....
peluang untuk memilih wakil rakyat bar U
yang akan mengekalkan perpaduan serta membawa perubaha N
berkhidmat kepada rakyat sebagai satu jiha D
tanpa memikirkan kepentingan dir I

Monday, August 11, 2008

BIBIR MANIS

Tengok papan tanda pun dah terliur
Assalamualaikum / Good Day.....
Antara makanan kegemaranku ialah satay. Selain dari itu, koayteow.
Satay yang dianggap popular di Malaysia ialah Satay Kajang Haji Samuri (SKHS). Biasa juga aku pekena samada di Kajang berhampiran dengan Stadium Kajang, di Putrajaya atau di R&R Awan Besar jika aku bermesyuarat di Putrajaya.
Oleh kerana SKHS nun jauh dari tempat aku, maka pilihan yang terdekat ialah Satay Bibir Manis. Walau tidak sehebat SKHS namun ianya menepati selera kami anak beranak.
Dengan harga RM1.00 untuk tiga cucuk/batang, satay ini menjanjikan kepuasan. Memang harganya murah teramat jika dibandingkan dengan SKHS atau lain-lain satay. Yang pasti, kualiti rasanya boleh dibanggakan.
Jika ingin mencuba Satay Bibir Manis bolehlah ke Gong Badak atau bertandang ke rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri aku nanti.
Jumpa di sana......
Beib suka makan satay...
tapi tidak melebihi ha D
kerana kesihatan mesti dijag A
bimban G
takut dapat darah tingg I
nanti bergantung pada ubat-ubatan N
selain dari pelbagai pantan G

Wednesday, August 6, 2008

Dari AUSTRIA penuh ceria...

Peter dan Gabi dengan air gelas besar
Assalamualaikum / Good Day.....
Setelah sekian lama menanti dan saling berutus e mel akhirnya kenalan internet aku ni selamat sampai di Malaysia, Terengganu dan Gong Badak (rumah aku).
Jam 9 malam aku dan seisi keluarga telah menanti mereka di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu.
Siangnya aku cuba hubungi MAS untuk mendapat kesahihan mengenai penerbangan mereka berdua namun nama mereka tiada dalam pangkalan data penumpang. Aku cuba hubungi Airasia, gagal kerana telefon tidak dijawab. Jadi, aku cuma tawakkal dan berharap mereka akan sampai di LTSM pada malamnya sebagaimana yang diberitahu oleh Gabi .
Sesampainya aku di depan pintu Balai Ketibaan, ternampak aku akan wajah yang aku kenali dalam e mel. Gabi dan Peter dah betul-betul sampai. Mereka terkejut bila mendapati aku menanti mereka kerana hasrat mereka ialah untuk menaiki teksi sahaja ke rumah kami.
Di tangan Gabi ialah salinan entry blog dan alamat rumah kami untuk rujukan mereka dan pemandu teksi. Bersungguh nampaknya mereka.
Setelah bersalaman dan bertanya khabar, aku bawa mereka ke kereta untuk dibawa pulang ke rumah. Oleh kerana dahaga, aku terus membawa mereka menikmati Air Gelas Besar Piyor yang masyhur di Seberang Takir, KT.
Sambil minum kami bertanya khabar dan mengalu-alukan kehadiran mereka yang pertama kali ke Malaysia. Aku amat berharap Terengganu akan meninggalkan kenangan yang manis buat mereka nanti. Kehadiran mereka selama 3 hari 2 malam juga memberi seribu makna kepada keluarga kami dan Wankay Homestay(WKH)
Tekun mendengar perihal sirih dan bunga melur (Jasmine) yang ada di Laman Nyaman
Beib teruja mendapat tamu dari..

luar negar A
berkongsi pengetahuan dan ilm U
menambah pengalaman dalam tuga S
sambil memperkenalkan pelbagai tempa T
budaya tempatan turut diaja R
agar mereka lebih mengenal I
hati budi rakyat Malaysi A

Sunday, August 3, 2008

Dengar ke tak ni?

Berhadapan lebih 250 orang
Assalamualaikum / Good Day.....
Bila saja aku menerima fax dari pihak JPNT yang memohon aku untuk memberi taklimat mengenai Sekolah Seni Malaysia (SS), aku berasa sangat teruja kerana hasrat untuk menyampaikan maklumat yang telah lama tersimpan ini akan dapat dilaksanakan.
Matlamat utama ialah untuk menerangkan dasar, proses permohonan, kemasukan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan SS. Bacaan lanjut sini dan sini.
Majlis yang berlangsung dari jam 2.00 petang telah dihadiri oleh lebih kurang 250 orang GPK II dan HEM sekolah rendah dari seluruh negeri Terengganu.

Sebahagian peserta yang mula memenuhi dewan

Perjalanan taklimat lancar walaupun sedikit panas akibat dari bahang cuaca. Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) hampir padat dengan hadirin yang datang dari seluruh pelusuk negeri.

Aku amat terharu bila mendapati ramai yang berminat dan tekun mendengar taklimat yang turut disampaikan oleh wakil dari Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK)KPM.

Moga penjelasan mengenai SS akan membuka mata dan minda guru serta ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap kerjaya dalam bidang seni.

Sepertimana yang pernah aku nyatakan dulu bukan senang berhadapan dengan pelbagai karenah pendengar dari belakang rostrum. Namun , Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan aku berpuas hati dengan komitmen dan perhatian yang diberikan oleh audiens.

Kepada teman-teman yang belum pernah mencuba berada di belakang rostrum, why not try once? Masa itu barulah kita tahu betapa siksanya berada di situ. Hanya melalui latihan, keyakinan serta keberanian kita akan dapat melakukan dengan jayanya.

Beib kepingin menjadi seperti...

ahli pidat O
yang berupaya menarik pendenga R
menghayati angka dan fakt A
yang terbit dari minda serta mulu T
pemidat O
yang tersoho R

Saturday, August 2, 2008

Acik marah Pa lagi...?

Acik menerima sijil dari YB Datuk Rahin b. Dato' Hj. Muhd Said
EXCO Belia dan Sukan Negeri Terengganu
Assalamualaikum / Good Day.....
Siapa yang tidak gembira jika anakandanya berjaya dalam pelajaran. Aku tak terkecuali. Acik, yang masih di Tingkatan 2, menerima anugerah kerana pencapaiannya yang cemerlang dalam Bahasa Inggeris. Tahniah Acik!
Dalam mata pelajaran lain, perbezaan markah yang tipis menyebabkan dia terkeluar dari senarai penerima anugerah. Walau bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana ada peningkatan yang ketara menjelang PMR tahun 2009.
Harapan kami sefamili agar Acik akan terus maju jaya menandingi Abang dan Qaqaq yang mencapai 9A dan 8A dalam PMR mereka.
Qaqaq turut menerima anugerahnya tahun lepas. Lihat sini.
Menyusul nanti ialah Adeq yang akan mengambil UPSR tahun depan.
Hari Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Mesyuarat Agung PIBG kali ke 6 SMK Kompleks Gong Badak ini juga turut melibatkan aku sebagai AJK PIBG.

Tekun mendengar soalan ahli PIBG

Pelbagai isu berkaitan kecemerlangan pelajar dibincangkan. Ahli mesyuarat begitu komited dalam memastikan peningkatan dan kemajuan akademik serta kokurikulum pelajar.

Moga prestasi pendidikan terus diangkasakan dalam memartabatkan modal insan.
Beib ingin terus menyumbang dalam...
pendidikan sebagaimana yang dihara P
membantu meningkatkan prestas I
akademik, kokurikulum dan ada B
menjadikan pelajar Cemerlang, Gemilang dan Terbilan G

Monday, July 28, 2008

Ditakdirkan jumpa Qadir

MH1326 bersama Abdul Qadir di tempat duduk 20 A
Assalamualaikum / Good Day.....
Memilih tempat duduk dalam kapal terbang kadang-kadang satu perjudian juga. Maksud aku, adakalanya mendapat jiran yang peramah dan kadangkala sebaliknya.
Penerbangan pagi dari KLIA -KT dua hari lepas menemukan aku dengan Abdul Qadir dari Sudan. Beliau bersama 59 orang rakan, baru tiba dari Khartoum melalui Doha dan KL menuju ke KT. Destinasi mereka ialah Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) yang merupakan salah satu dari dua pusat latihan di bawah kelolaan PETRONAS Management Training Sdn Bhd (PMTSB).
INSTEP yang kampusnya seluas 130 ekar bertempat di Batu Rakit, Kuala Terengganu. Ia bermula sebagai pusat latihan aperantis teknikal pada tahun 1981 dan dulu dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Petroleum (ILPP).
Institut ini menyumbang kepada aktiviti luar negara PETRONAS dengan memberi khidmat kepada rakan kongsi luar negara seperti Premier Oil (Myanmar), PetroVietnam and Sudapet (Sudan).
Abdul Qadir dan rakan-rakan adalah pelatih muda yang dihantar untuk mengikuti latihan selama enam bulan di sini.
Perbualan selama hampir sejam dalam penerbangan memberikan aku pengalaman baru berinteraksi dengan warga Sudan yang beragama Islam ini.
Pelbagai topik yang kami bincangkan dari perihal Omar Hasan Ahmad al-Bashir, Presiden Sudan, matawang Sudanese Pound (SDP)berbanding RM, USD dan Euro dan harga laptop di Malaysia.
Di akhir perbualan, Abdul Qadir menyatakan keinginannya untuk memperisterikan orang Malaysia setelah melihat keayuan beberapa orang pramugari yang melayani kami.
Qadir...Qadir...baru 5 jam di Malaysia dah jatuh hati...
Beib gembira kerana dapat berkenalan dengan warga...
asing tanpa mengira ra S
bertukar fikiran dan menambah ilm U
tanpa ha D
meramaikan kenalan, dalam dan luar negar A
hubungan silaturrahim dapat dijali N

Friday, July 18, 2008

Adeq dah Qatam Al Quran

Majlis Qatam dah masuk era digital.
Bacaan Al-Quran menggunakan perisian dalam laptop

Assalamualaikum / Good Day....
Al-Ghazali berpendapat: "Kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas dari ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang dicenderungkan kepadanya". (Al-Ghazali, 1296H, Dalam Hasan Langgulung, 1979)

Aku masih ingat di masa dulu bila pendidikan agama di laksanakan secara tidak formal di kampung-kampung.
Pengajian Al-Quran dan agama di ajar kepada kami yang berumur 4 tahun ke atas oleh tok-tok guru. Selalunya kami belajar mengaji Al Quran di rumah tok guru. Masa yang di tetapkan untuk mengaji Al Quran adalah mengikut kehendak tok guru. Kebiasaannya pada waktu selepas asar atau pada waktu malam. Kalau bersekolah pada waktu petang, kami akan pergi mengaji dari jam 8.00 hingga 10 pagi.
Aku diajar membaca muqaddam dan Al Quran sehinggalah lancar dan betul. Kebiasaannya kami akan qatam Al Quran sebanyak tiga kali.
Setelah qatam Al Quran, Pak dan Mak akan membuat kenduri pulut kuning sebagai tanda aku telah tamat mengaji Al Quran dan sebagai ucapan terima kasih kepada tok guru yang telah mengajar aku.
Sebenarnya Pak dan Mak juga mengajar ramai anak-anak kampung mengaji Al Quran di rumah. Aku turut diajar mereka sehingga aku masuk sekolah rendah. Kemudian aku diserahkan kepada seorang guru Al Quran di kampung seberang sehingga aku qatam beberapa kali.
Pendidikan agama yang dijalankan secara tidak formal ini masih lagi berlaku sekarang.
Ustaz Hisham memaklumkan majlis bahawa Adeq dah Qatam

Anak-anakku, Acik dan Adeq, dihantar kepada guru mengaji Al Quran yang bertauliah, lulusan Universiti Al Azhar, dan memanggilnya ustaz.
Dengan bayaran RM 50.00 sebulan, Ustaz Hisham menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi mengajar kedua-dua anakku dua kali seminggu.
Cenderamata buat Ustaz Hisham dari Adeq

Teman-teman Adeq yang hadir di Kelas KAFA Fathul Mukmin
Sumbangan nasi kunyit buat yang hadir

Alhamdulillah, selepas dua tahun Adeq telah qatam Al Quran. Majlis Qatam dengan bacaan Surah Lazim dan doa selamat telah selamat dijalankan. Walaupun, Adeq tidak disenaraikan dalam Majlis Qatam ramai-ramai yang diadakan dekat tempat kami, aku tidak terkilan. Cuma doaku agar Adeq dapat mencontohi arwah Tokwan yang telah qatam sebanyak 117 kali. Lantaran itu, Adeq masih meneruskan pengajian Al Qurannya.
Al Fatehah untuk Tokwan.
Beib masih mahu.....
kembalikan yang ha Q
terus membac A
ibu segala Mukjiza T
yang diturunkan kepada Rasullullah yang Muli A
pembawa rahmat ke seluruh ala
M

Wednesday, July 2, 2008

KEMBOJA

Rehat santai di Laman Nyaman
Assalamualaikum / Good Day.....
Ramai juga teman dan kenalan yang bertanya kenapa dah lama tak update blog? Aku sendiri pun tidak pasti kenapa semangat dan keinginan untuk memasukkan entri terbaru pudar. Sepanjang bulan Jun banyak entri yang hanya tinggal sebagai draft. Aku akan post juga nanti walaupun ada yang menganggapnya sebagai basi.
Mungkin juga kerana sibuk dengan tugas dan melayan tetamu di WKH menyebabkan aku terlalu letih untuk menyiapkan entri aku. Dalam pada itu, sempat juga aku bersantai dan bermuhasabah diri.
Mulai 2 - 5 Julai 2008, aku akan berada di Cambodia untuk satu Program Misi Kemanusiaan.
Aku akan cuba update bila pulang nanti.
Doakan keselamatan dan kejayaan kami.

Bunga Kemboja di Laman Nyaman

Beib berharap dapat menjayakan...

matlamat progra M
disamping membantu sesama insan I
yang menderita, memerlukan serta tertinda S
agar mereka juga hidup lebih berert I

Saturday, June 28, 2008

Agenda Seni di Putrajaya

Pengerusi mesyuarat En.Jalaludin Otman, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi dan Kejurulatihan BSSK

Assalamualaikum / Good Day.....

Demi memartabatkan seni tanah air, aku turut terlibat walaupun secara minimal. Setelah dilantik sebagai Panel Seni Visual Sekolah Seni Malaysia, aku rasa bertanggung jawab memastikan guru, jurulatih dan pelajar di Sekolah Seni (SS) Kuching dan Johor Bahru tidak dibebani dan sentiasa gembira menjalankan tugas masing-masing.

Salah satu aspek yang cuba diringankan ialah kandungan mata pelajaran bagi mata pelajaran seperti Geografi, Pendidikan Siviks dan Kewarganegaraan(PSK) serta Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).
Oleh itu, satu mesyuarat telah diadakan bersama beberapa bahagian dan unit KPM bagi menetapkan kaedah dan perlaksanaan yang sesuai tanpa melanggar akta pelajaran, Surat Perkelilingan Iktisas, dasar serta kehendak kurikulum dan peraturan yang berkaitan.
Ini perlu bagi membantu Sekolah Seni ke arah pencapaian yang baik terutamanya selepas lawatan kerja Y. B. Menteri Pelajaran ke Bali dan Cina di mana tahap/mutu persembahan, penampilan dan kreativiti pelajar di sana sangat tinggi.
Y.B. berhasrat untuk merealisasikan kepada murid-murid yang layak mengikut arus kurikulum yang digubal mengikut kemampuan murid. Oleh yang demikian, semua pihak wajar berganding bahu dalam menentukan hala tuju ini di samping mematangkan Komponen Sekolah Seni.
Murid di SS terpaksa mempelajari semua bidang seni (Seni Visual, Seni Teater, Seni Muzik dan Seni Teater). Oleh itu, pihak sekolah dan guru perlu mengambil sikap terbuka apabila membentuk murid di SS termasuk hal disiplin dan kerenah murid. Murid juga perlu dipupuk dengan rasa selesa dan seronok bila berada di SS.

Bersama Hasnul Hadi Ahmad (LPM) dan Shamsul Bahri Ismail (IPBBM)

Matlamat utama mesyuarat bersama LPM, BPK dan lain-lain bahagian adalah untuk membantu KPM bagi merealisasikan satu pendekatan P&P yang terbaik mengikut kebijaksanaan guru. Salah satunya ialah pembelajaran secara pengintegrasian dengan bidang kesenian bagi meringankan beban murid, selain dari cadangan mengurangkan kandungan dalam mata pelajaran Geografi, PSK dan PJPK.

Kata sepakat telah dibuat oleh ahli majlis untuk membantu meringankan beban murid dan guru di SS. Mereka perlu faham bahawa mata pelajaran yang diajar adalah sebagai alat dan bukan matlamat disamping menyedari kepentingan aspek akademik dalam pembelajaran mereka.
Beib teruja menjadi...
ahli panel dan berhara P
SS akan sentiasa maju jay A
mengangkasakan kesenian kebangsaa N
serta memartabatkan idealism E
yang unggu L

Sunday, June 22, 2008

Akai tadak ka?

Kategori apakah pemilik kereta di atas? Cacat anggota atau cacat otak?
Assalamualaikum / Good Day.....
Sekali pandang foto kereta di tidak menampakkan apa apa yang istimewa. Tetapi bila direnung dan diperhatikan betul-betul kita akan sedar bahawa pemilik kereta berkenaan samada tidak perihatin atau memang 'cacat'.
Perkara ini sering berlaku di merata tempat. Sikap sambil lewa, mementingkan diri sendiri serta cuai menimbulkan kemarahan orang kebanyakan.
Aku sendiri rasa adalah wajar sesuatu dilakukan terhadap golongan yang tidak perihatin ini. Salah satu caranya ialah dengan menghebahkan perlakuan ini melalui internet.
Foto di atas aku terima dari kenalan melalui e mel.
Beberapa hari kemudian aku terjumpa sendiri manusia yang berperangai seperti pemilik kenderaan di atas.
Bayangkanlah, setelah puas 'tawaf' mencari tempat pakir, tiba-tiba yang ada telah diambil orang. Kalaulah diambil dengan 'sopan' aku boleh terima, tapi kalau begini caranya memang 'akai tadak laaa"...
Ramai pemilik kenderaan yang bersungut, memaki hamun terhadap pemilik kereta Kancil ini. Tak pasal-pasal kena kutuk oleh ke'mengongan'(bengong tahap tertinggi) sendiri.
Entah apalah yang ada dalam fikiran pemilik Kancil ini atau mungkinkah otaknya memang kosong?

Lihatlah bagaimana Kancil ini diletakkan di tempat pakir Batas Baru, Kuala Terengganu

Beib harap kita tidak menjadi orang yang....

tama K

penting dir I
bangg A
cula S
serta dung U

Friday, May 30, 2008

Selamba tukar ang!

Assalamualaikum / Good Day.....
Aku terpaksa menarik diri dari menghadiri mesyuarat di Langkawi minggu ini kerana perlu memenuhi hasrat anak-anak untuk bercuti. Lagipun dah lama tak ke destinasi ni.
Menanti feri di jeti
Hampir 26 tahun tidak menjejakkan kaki di lokasi ini, aku terpegun dengan keindahan yang masih kekal walaupun ada perubahan yang besar dari segi infrastruktur. Kehijauan tumbuhan dan kebiruan laut amat mengujakan.
Berbaloi bersama famili mengharungi Laut China Selatan selama 1jam 20minit menaiki bot dari jeti Syahbandar, Kuala Terengganu ke destinasi ini. Perjalanan dengan bot "Sejahtera" yang didaftarkan di Kuching ini, selesa dan selamat. Cuaca yang baik serta laut yang agak tenang melancarkan perjalanan kami. Kalau dulu aku ke sana menaiki bot nelayan yang disewa dan mengambil masa hampir 3 jam untuk sampai, kini dengan tambang RM30.00 sehala kita boleh bersantai sambil menonton tayangan VCD di dalam bot yang berhawa dingin. Gelombang dan alunan ombak pun tak terasa, sedar-sedar dah pun sampai ke destinasi.


Inilah destinasinya. Pulau Redang, Taman Laut Malaysia yang dilindungi dan salah satu pulau paling popular di Malaysia untuk aktiviti snorkelling dan menyelam kerana banyak dan kayanya kepelbagaian terumbu karang (coral reefs) dan lain-lain hidupan marin.
Waktu cuti sekolah begini ramai pelancong dalam dan luar negara yang aku lihat berbondong-bondong ke pulau ini.
Setelah berehat, solat dan makan tengahari di Pusat Koku JPN Terengganu, kami dibawa ke satu lokasi dekat Tanjung Mak Cantik bersama jurulatih renang pada jam 3 petang untuk aktiviti water confidence. Aktiviti ini ialah bertujuan untuk memastikan kami berupaya
membenamkan kepala dalam air, terapung secara menelentang dan meniarap di atas air dengan menggunakan jaket keselamatan, terjun ke dalam air, berenang di laut dalam dan
menggunakan snorkel dengan betul
Latihan water confidence sangat membantu semasa snorkeling

Kami berlatih hampir 2 jam di dalam air. Banyak tenaga yang diperlukan untuk aktiviti ini. Betullah kata orang, berenang merupakan satu senaman yang baik untuk tubuh badan kita. Malah Nabi Muhammad SAW menuntut agar kita ajar anak-anak kita terutamanya yang lelaki untuk memanah, berenang dan menunggang kuda. Walaupun meletihkan namun, pengalaman ini amat berguna semasa snorkeling nanti.

Berbot mengelilingi pulau - island hopping

Mengelilingi pulau atau island hopping yang mengambil masa hampir 2 jam amat menarik sekali. Biar pun panas membakar kulit, namun semua di atas bot masih ceria menikmati keindahan alam.

Tempat yang tidak akan dilepaskan oleh semua pengunjung ke Pulau Redang ialah Taman Laut. Di sinilah kemahiran snorkeling dipraktikan untuk menikmati keindahan terumbu karang di dasar laut. Pelbagai spesis ikan, hidupan laut serta batu karang yang berwarna-warni dapat dilihat. Kata orang, jika ke Pulau Redang tapi tidak ke Taman Laut maka lawatan ke sini dianggap tidak sah! Memang hebat terumbu karang di sini. Malangnya aku tidak ada Nikon, Subal, Canon, Pentax atau Bonica untuk underwater photography. Yang aku ada hanya Olympus Mju400 digital, itu pun tanpa underwater housing. Maka, tidak dapatlah aku abadikan keindahan alam dasar laut Redang di sini hanya terpahat dalam kotak fikiranku sahaja.

Redang menawarkan satu pengalaman snorkeling yang selamat untuk seisi keluarga. Lautnya jernih dan tenang. Kanak-kanak, warga emas dan 'newbies' boleh melakukan snorkeling. Pakai sahaja lifejacket, mask & snorkel terus terjun ke dalam air. Memang asyik semasa berada di dalam air.

Bot biasanya tidak boleh mendarat di jeti ketika air cetek, maka terpaksalah kita turun dan mengharungi air untuk ke pantai.

Selepas 3 hari 2 malam di Redang kami pulang dengan pengalaman baru. Semasa dalam perjalanan pulang aku tertarik melihat plastik berwarna hitam yang digantung dari siling bot. Lama juga memikirkan apa kegunaannya. Kemudian aku tersedar bahawa itulah sebenarnya beg mabuk laut! Itu satu pengalaman yang aku harap tidak akan aku lalui. Keletihan membuatkan hampir semua penumpang bot tertidor. Aku juga terlelap sambil berkhayalkan tentang ikan duyung yang tidak kutemui semasa snorkeling semalam. Mungkin di lain kali kot?

Nak tau lebih lanjut tentang Redang sila ke sini

Beib gembira dapat pergi...

menjalankan aktiviti lua R
mungkin lain kali boleh belajar div E
berenang dan menyelam tanpa ha D
menjelajah dasar laut melihat keindahan ciptaan Yang Maha Kuas A
sambil mengambil iktibar dan pengalama N

dari memerhati ikan, tumbuhan serta batu karan G

Tuesday, May 27, 2008

Dari pulau ke pulau

Mungkin di lain kali
Assalamualaikum / Good Day.....
Sepatutnya aku kini berada di Langkawi menghadiri satu mesyuarat dan penulisan laporan anjuran bahagian KPM dari 26-29 Mei, tapi oleh kerana memenuhi hasrat anak-anak, aku memohon untuk menarik diri walaupun dengan hati yang amat berat. Terima kasih kepada PP di E 13 yang melepaskan aku walaupun tiket penerbangan dan bilik hotel telah siap ditempah. Aku harap mesyuarat akan berlangsung dengan jayanya walaupun tanpa aku. Inilah kali pertama aku minta dikecualikan dari menghadiri mesyuarat seperti ini.
Minggu lepas 19-23Mei, aku telah menghadiri satu mesyuarat anjuran satu lagi bahagian KPM di Johor Bharu.
Sewajarnya aku bersama famili dalam cuti sekolah ni. Anak-anak telah merancang untuk ke satu destinasi idaman mereka. Dah lama sebenarnya aku tidak berkunjung ke destinasi yang akan kami pergi esok. Aku rasa dah hampir 26 tahun. Tentu saja banyak perubahan dan kelainan dari segi infrastruktur serta landskap. Berdasarkan maklumat yang aku dapat dari carian di internet, lokasi ini bertambah maju dan membangun dengan amat pesat sekali. Jauh berbeza di kala aku lawati pada tahun 1981 dan 1982.
Tak sabar rasanya nak melihat sendiri perubahan dan menjejaki semula lokasi tersebut....
Beib tak mahu lepaskan peluang menikmati keindahan...
sebagaimana yang dihara P
melihat dan merasakan pasir, air dan bat U
serta ombak yang berpinta L
merenung langit dan laut dipenjuru mat A
menghayati kebesaran ALLAH yang sat U