Friday, January 30, 2009

Sanggupkah kita...


Assalamualaikum / Good Day.....

Semalam, dalam kesibukan menghabiskan tugasan di akhir minggu, pejabat kami didatangi oleh ADUN Seberang Takir, YB Ahmad Razif Abdul Rahman. Sebagaimana biasa, pertemuan ini dianggap rutin kerana YB merupakan mantan staf di sini selama lebih 5 tahun sebelum berpindah ke IPG dan kemudiannya bertanding dan menang dalam PRU ke-12 Mac 2008 lalu.

Beliau kini merupakan Pengerusi JK Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu. Beliau pernah bersama aku di sini.


Kedatangannya kali ini agak luar biasa kerana beliau diiringi oleh 2 orang anggota polis. Ada kes jenayah ke? Tidak pula aku dengar mengenainya.

Setelah YB berbual beberapa ketika dengan aku dan rakan-rakan lain, aku dipelawa mengikutnya ke bahagian belakang kompleks bangunan yang sedang dibina. Dua orang anggota polis turut serta.

Sambil meredah pelbagai bahan binaan yang bersepah disekitar kawasan, aku dimaklumkan tentang kes 2 orang kanak-kanak tempatan yang diserahkan kepada sepasang warga Indonesia. Mereka menjalankan perniagaan warung makanan di tapak pembinaan tersebut.

Kes ini terbongkar apabila dimaklumkan kepada YB oleh salah seorang pekerja di tempat kami. Isu ini boleh melibatkan urusan diplomatik dua negara berjiran.

Aku jadi bungkam.
Apakah ibu bapa kandung kanak-kanak ini tidak sayang kepada anak-anak mereka?
Adakah apa-apa disebalik kes ini?
Adakah ia melibatkan wang?
Segalanya belum terungkai.

Sesampainya kami di warung makan itu, kami temui seorang wanita dalam lingkungan 35 tahun yang sedang menguruskan warung. Dia agak gelabah bila melihat kami datang bersama anggota polis.

Setelah aku memperkenalkan YB kepadanya, dia menjadi lebih gementar.
YB terus bertanyakan hal berkaitan dengan kanak-kanak yang dijaga oleh dia dan suaminya.
Penerangannya jelas dan telus.

Ibubapa kedua kanak-kanak tersebut sudah berpisah. Ibu berusia 19 tahun dan bapa berusia 25 tahun. Anak sulung, perempuan berusia 4 tahun dan yang kedua, lelaki berusia 2 tahun. Ini bermakna ibunya berusia 15 tahun bila melahirkan anak pertamanya. Terlalu muda!

Kami dimaklumkan bahawa kedua-dua kanak-kanak tersebut telah diserahkan oleh ibubapa mereka secara suka rela. Ahli keluarga mereka juga tidak membantah penyerahan itu.

Sedih memikirkan bahawa tiada seorang pun sanak saudara atau ahli keluarga yang ingin memelihara mereka malah sanggup pula menyerahkan kepada pasangan dari Surabaya ini.

Pasangan ini, dengan pengetahuan ibubapa mereka, telah cuba mendapatkan pasport antarabangsa sehari sebelum ini untuk membawa mereka kembali ke Surabaya. Oleh kerana masalah teknikal di Jabatan Imigresen, usaha mereka terbantut seketika.

Tidak dapat aku bayangkan jika mereka dibawa dan terus menetap di sana maka akan hilanglah hak-hak mereka sebagai warganegara Malaysia.

Setelah disoal oleh YB dan aku, beberapa hal yang berkaitan dengan famili kanak-kanak itu dimaklumkan oleh wanita tersebut.

Setengah kemudian 2 orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiba bersama seorang lagi pegawai polis.

Kes ini seterusnya diambil alih oleh mereka. YB dan aku beredar dari situ.

Mengingati kembali kes ini, aku merasa amat terkilan. Sanggup sepasang suami isteri menyerahkan anak-anak mereka buntang-buntang kepada keluarga asing yang berpindah randah begitu.

Apa yang dirisaukan oleh YB dan aku ialah masa depan kanak-kanak itu.
Terjaminkah mereka?
Teruruskah mereka?
Terbelakah mereka?
Bagaimana dengan masa depan mereka?

Aku berharap pihak JKM akan berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka. Masa depan 2 nyawa itu amat berharga. Mereka perlu pembelaan dan penjagaan.

Kepada ibubapa mereka, sampai hati buat begitu kepada anak kandung!
Moga ALLAH berikan hidayah kepada kalian dan semua yang terlibat.
Menyerahkan anak sendiri untuk dipelihara oleh orang asing (bukan warganegara) walaupun seagama adalah tidak wajar.

Jika mereka dibawa pulang ke negara keluarga angkat dan terus menetap di sana maka kelak akan hilanglah keistimewaan sebagai warganegara bagi anak cucu mereka.
Kesan jangka panjang rupanya tidak dilihat oleh ibubapa kanak-kanak ini kerana mungkin mengharapkan ganjaran jangka pendek yang sedikit.

Di Malaysia, terdapat dua cara untuk mendapatkan anak angkat. Cara yang pertama ialah dengan secara terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat. Cara yang kedua ialah melalui permohonan kepada JKM.

Oleh itu, perlu membuat permohonan pengambilan anak angkat melalui JKM. Faktor utama yang dipertimbangkan oleh JKM ialah kebajikan kanak-kanak tersebut. Maka, selain daripada mengisi borang permohonan, satu temu duga akan dijalankan untuk menentukan sama ada seseorang itu mampu dan layak menjadi ibu angkat kepada kanak-kanak tersebut.

Antara perkara-perkara yang yang dipertimbangkan oleh JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan pemohon menjadi keluarga angkat. Ini kerana pertimbangan utama ialah kebajikan anak itu. Selain itu, syarat-syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi.

Antara syarat-syarat perundangan yang perlu dipenuhi ialah:

- Ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu;

- Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun;

- Ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Semasa menemu bual pemohon, pegawai JKM akan cuba membuat penilaian-penilaian seperti kemampuan pemohon untuk memberi kasih sayang, jagaan dan perlindungan yang sempurna kepada anak angkat itu nanti, pemohon faham implikasi dan cabaran menjadi keluarga angkat, pemohon mampu memelihara anak itu dari segi ekonomi, kesihatan, sosial, emosi, mental dan sebagainya.

Walaupun pada kebiasaannya pemohon anak angkat ini adalah pasangan yang telah berkahwin, namun tiada halangan dalam Akta bagi seorang yang bujang untuk memohon anak angkat.

Perlulah membuktikan kepada JKM bahawa keluarga itu sanggup mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kebajikan kanak-kanak tersebut akan terpelihara.

Oleh sebab tujuan utama JKM ialah memelihara kebajikan anak angkat tersebut, maka JKM berusaha untuk memberikan institusi keluarga yang sempurna kepada anak angkat itu.
( rujukan: SIS)

Hari ini aku masih lagi terfikirkan nasib kanak-kanak yang 'malang' itu. Moga kesilapan ibubapa mereka dapat diperbetulkan oleh pihak yang berwajib dan mereka akan diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Beib harap semua akan sentiasa menyayangi...
serta mengambil berat berkaitan anak-anak kit A
jika ada perkara yang yang melibatkan anak-anak, jangan lepas tanga N
itu tanggungjawab sebagai ibubap A
moga mereka membesar menjadi orang yang berakhlak K

4 comments:

ILA said...

Salam sir,
aha...sudah terbiasa kita mdengar anak2 warga indonesia di anak angkatkan oleh warga tempatan.Tapi yg ni lain pula kesnya??

Utk Pak beib..hendak ila minta nasihat sikit.berapa peratus yg bley kita perolehi utk berjaya mdapatkan anak angkat??

ehhh..napa ambik gambar kat tempat salin baby?? pak beib buat pe kat situ??? :P

azza_irah said...

salm cikgu beib..

lain org lain pengalaman dan kesukaran yang dialami. tidak semua dari kita bernasib baik. setiap tindakan dan perbuatan kita psti ada sebab meusabab mengapa jalan/pilihan itu yang kita jadikan keutamaan. faktor luaran kita nampak..namunyang etrsurat tidak keta ketahui. ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak...mngkin tuntutan situasi, desakan hidup atau tekanan yang membuatkan tindakan nekad sebegitu diambil..

peranan org2 seperti cikgu dan YB yang menyedari akan situasi ini penting sebagai penyelamat atau penunjuk jalan bahawa ruang dan peluang masih terbuka dan tidak seharusnya membuat pilihan yang sebegitu..

BEiB said...

Ila...
Ini kes terpencil dan mungkin jg ada di tempat lain berlaku yg sama. Kalau cukup syarat,kemungkinannya amat tinggi.
Hehehee...kat situ nk fotokopi baby....

BEiB said...

azza..
Yang menjadikan kita terkilan ialah tindakan mereka yg agak luar biasa.Walau apa pun, pendapat pihak ketiga harus diambil kira dan itulah yg mereka gagal buat..
Saya hanya membantu setakat yg mampu...