
Assalamualaikum / Good Day.....
Waktu aku menerima sms dan desas desus mengenai Stadium Sultan Zainal Abidin, yang jaraknya 3 km dari rumah aku runtuh, tidak ada ribut atau tsunami. Menghairankan sebuah stadium yang gah dan boleh memuatkan 50,000 orang tiba-tiba runtuh begitu sahaja pagi tadi. Syukur Alhamdulillah, tidak ada seorang pun penonton di stadium yang popular dengan panggilan, stadium Gong Badak, ketika kejadian jam 7.30 pagi itu.
runtuh bagai dilanggar garuda
satu landskap yang ngeriKita sering bergantung harap pada kebetulan atau ‘nasib baik’. Andai nya nasib tidak menyebelahi kita atau 'we run out of luck', bagaimana? Mengejutkan stadium yang baru berusia setahun boleh runtuh tanpa gegaran gempa bumi atau ribut puting beliung.
Bandingkan dengan Stadium Merdeka yang dibina tanpa teknologi canggih 50 tahun yang lalu tapi masih lagi berdiri gagah dan megah.
Sebagai rakyat marhaen yang membayar cukai, aku juga wajar dan layak bertanya bagaimana ini boleh terjadi? Sebuah stadium yang terbesar di Pantai Timur dan menelan biayai sebanyak RM300 juta runtuh bagai kepingan domino.Perbelanjaan sebesar itu, dengan teknologi termoden dan terkini, bumbung stadium canggih tersebut dapat bertahan hanya setahun. Yang di-Pertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Tuanku Sultan Terengganu, baru sahaja merasmikannya pada Mei 2008.
Amat malang tiba-tiba 60 peratus dari bumbungnya, termasuk 'Royal Box', ruang yang menempatkan tetamu Diraja, roboh.
Pelbagai spekulasi timbul berkaitan dengan stadium tersebut yang dibina secara tergesa-gesa bagi menganjurkan SUKMA 2008. Bolehkah ini jadikan alasan keruntuhan tersebut? Rakyat tentu tidak dapat menerima alasan yang klise atau tanpa data dan fakta yang kukuh. Ini bukan kerja RM3 ribu, atau RM30 ribu, ini projek mega RM300 juta!
Kita berharap tiada hanky panky di sebalik projek pembinaan stadium tersebut.
Kajian serta siasatan terperinci mengenai kejadian ini mesti dibuat dalam masa terdekat, dan laporan hendaklah didedahkan kepada umum. Terus dan telus.

Tentu sahaja rekod-rekod mengenai projek tersebut mudah diperolehi kerana ia masih baru. Lantaran itu, siasatan pastinya tidak mengambil masa yang lama.

Punca kejadian mesti dicari. Kesilapan serta kecuaian perlu dikenalpasti. Mengejutkan, binaan sehebat dan semewah itu boleh roboh secara tiba-tiba.
Ini bukan musim tengkujuh di mana tiupan kencang ribut mungkin boleh dipersalahkan.
Dengar khabar dari teman-teman di Teluk Ketapang yang sedang bersarapan di warung berdekatan, stadium itu runtuh dalam tiupan angin sepoi-sepoi bahasa sahaja.
Janggal rasanya...
Tapi dari beberapa sms/mms dan emel yang diterima, pelbagai andaian dan telahan dibuat.
Istimewa dari kenalan yang menghantar 2 keping foto melalui emel yang menggambarkan betapa perseteruan antara ikon 'superhero' dari Jepun dan raksasa berlarutan hingga menyebabkan musnahnya sebuah landmark baru di Gong Badak yang menggunakan teknologi Korea.
Konflik ini seolah memusnahkan sebuah ikon yang baru berusia satu tahun.
Satu prank dan sindiran yang menarik.Bak kata Nabil Raja Lawak ..."Lu pikir lah sendiri!"....

Beib harap tiada lagi malapetaka melanda...
terutamanya yang sentiasa penuh dan pada T
di hari minggu atau waktu berpest A
kapasitinya jangan melebihi haD
andai berlaku kejadian yang tidak diingin I
penonton dapat dikeluarkan dengan laj U
elak nyawa dari teranca M





