Saturday, January 24, 2009

Acik: Qada Qadar dan nasib baik.....

genggaman erat Acik menahan sakit

Assalamualaikum / Good Day.....

Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, Allah menetapkan kaum wanita dan bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila.

Wikipedia menjelaskan percaya kepada qada dan qadar adalah mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah semata-mata.

Sebagai seorang Islam wajiblah kita sedar bahawa kita adalah makluk yang lemah, bahawa Allah itulah yang maha Perkasa dan maha Berkuasa dan segala sesuatu adalah berlaku dengan ketetapanNya sahaja. Lantaran itu kita wajib beriman kepada takdir, bahawa segala sesuatu telah ditentukan oleh Allah.

Walaupun begitu kita masih boleh berusaha dan berdoa kerana dengan limpah rahmatnya, Allah mampu mengubah takdir kita.

Kata orang 'malang tak berbau'. Itulah yang berlaku petang semalam.

Dressing di tempat luka oleh doktor

Acik terkena pintu grill dekat rumah petang semalam. Bahagian tumitnya luka sepanjang lebih kurang 3 sentimeter. Darah tak banyak cuma isi (flesh) nampak jelas, keputihan.
Setelah dicuci dan disapu minyak gamat, yang selama ini amat kami yakini kemujarabannya, bahagian yang luka itu dibiarkan sahaja begitu. Tidak dibalut.

Malamnya, aku bercadang untuk membawa Acik ke klinik tapi dia tidak mengadu sakit. Tawakkal saja lah, moga luka itu akan pulih seperti biasa.

Hari ini, hati rasa gelisah memikirkan kesan dari luka semalam.
Acik terhencot-hencot berjalan. Kebimbangan melanda.
Adakah achilles tendon atau calcaneal tendon Acik terkoyak?
Tercederakah calcaneus atau heel bone Acik?
Mungkinkah plantaris juga luka?

Darah sudah kering. Luka nampak bertangkup. Tapi aku tidak berani mengambil risiko untuk membiarkan begitu sahaja.

Jam 9.30 pagi kami sudah berada di Klinik An-nisa', Bt 6, klinik yang kami sentiasa kunjungi jika tidak sihat. Rujuk sini.

Dr. Che Faridah sedang bercuti.
Doktor pengganti yang kami temui memaklumkan bahawa luka itu perlu dijahit. Agak serius katanya walaupun tendon tidak terkoyak atau putus. Nasib baik!

Tapi klinik itu tiada surgical suture dan rawatan itu tidak dapat dibuat. Aku pun heran, setahu aku klinik sekecil mana pun patut ada alat ini untuk minor surgery. Tak apalah, aku dapatkan nasihat serta gunakan kaedah lain.

Aku dinasihatkan membawa Acik ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, KT atau ke klinik berhampiran yang lain yang ada perkhidmatan pembedahan kecil.

Kami: Acik, Adeq dan aku, kemudiannya singgah di satu klinik swasta lain lebih kurang 500 meter dari Klinik An-Nisa.

Setelah diberitahu bahawa ada perkhidmatan pembedahan kecil, kami mendaftar dan menanti giliran.
Hampir 20 minit menunggu, akhirnya kami dapat berjumpa dengan doktor yang bertugas.
Melihat keadaan tumit Acik, beliau mengesyorkan agar jahitan dibuat bagi mengelakkan jangkitan kuman pada bahagian yang luka.
Pemeriksaan dibuat untuk memastikan tiada tendon atau saraf yang tercedera.
Alhamdulillah..seperti mana yang disebutkan doktor awal tadi, cuma luka kecil tetapi agak dalam dan panjang.


Bahagian tumit (calcaneous) yang luka dicuci dengan bersih menggunakan iodine sebelum jahitan dilakukan. Aku agak fobia dengan darah tetapi dalam waktu-waktu tertentu aku jadi kuat dan berani. Aku mesti tunjukkan sikap dan sifat itu kepada Acik dan Adeq supaya mereka yakin dan tabah.

Acik menahan pedih akibat cucian dibahagian yang luka. Tidak perlu dressing dengan bandage atau gauze kerana ia akan disapu dengan gel. Ini adalah penting untuk mengelakkan luka dijangkiti kuman atau infection.

Pembantu klinik menyiapkan alat dan bahan untuk melakukan sutures pada bahagian yang luka. Sebelum itu satu suntikan pada bahu kiri dilakukan untuk mengelakkan jangkitan tetanus. Ini penting sebagai pencegahan akibat dari kesan luka yang dalam yang diakibatkan oleh bahan yang tercemar ( contaminated) terutamanya besi atau logam. ( Pintu grill yang mencederakan itu adalah dari bahan besi).

Doktor melakukan suntikan bius (Injection (intravenous anaesthetics) terlebih dahulu bagi mengurangkan rasa sakit dan seterusnya melakukan interrupted suture bagi mencantumkan bahagian yang luka agar proses penyembuhannya kemas dan tidak berparut.

Walaupun telah diberikan suntikan bius, Acik masih tidak dapat menahan sakit. Sesiapa pun dalam keadaan itu akan menangis:

1. Sakit disuntik anti tetanus

2. Sakit kerana disuntik bius (anaesthetics)

3. Sakit kerana dijahit( sutures).

Selesai di sutures, doktor menyapu gel bagi menghalang luka dari dicemari habuk serta kotoran. Ia juga dapat melindungi bahagian luka dari terkena air yang mungkin mengakibatkan pedih dan sakit.

Bahagian yang luka yang telah dijahit dan disapu gel. Hanya dua jahitan dilakukan oleh doktor walaupun luka itu panjang. Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik dan lancar. Aku berharap agar Acik akan cepat sembuh dan tidak lagi berdencot bila berjalan.

Selesai menerima rawatan Acik kembali ceria menanti ubat yang akan mempercepatkan proses penyembuhan.
Lima hari lagi Acik akan kembali ke klinik ini untuk membuka non absorbable sutures yang diperbuat dari nylon. Diharap tiada parut atau scar.
InsyaALLAH, segalanya akan pulih seperti sediakala.

Beib akan sentiasa ambil perhatian dengan...
kecederaan walaupun keci L
kerana bermacam kesan boleh berlakU
akibat dari lambat bertinda K
hingga menjejaskan pergerakan anggot A

Wednesday, January 21, 2009

Analisa PRK P036 KT

Sila buat tafsiran sendiri
Lokasi: Jalan Batas Baru, KT
(foto: Acik)

Assalamualaikum / Good Day.....

Berikut adalah keputusan penuh PRK P036 Kuala Terengganu 17 Jan 2009.

Keseluruhan:
PAS 32883
BN 30252
Majoriti 2631
Undi rosak 665
Jumlah pengundi 80229
Peratus keluar mengundi 79.73%

Beib amat hargai...
walaupun sat U
tetapi ia memberi kesa N
kekuasaan yang muktama D
untuk memerintah sebuah neger I

Lagi..lagi..Langkawi...


Assalamualaikum / Good Day.....

Aku dipanggil lagi untuk bermesyuarat di Pulau Lagenda mulai 21 - 25 Januari. Sebulan yang lalu aku telah ke sana selama 4 hari atas urusan yang sama.

Tapi kali ini, aku tidak dapat bersama rakan-rakan kerana terpaksa menjadi Bapa Mithali sekali lagi. Menjaga dan mengurus 2 orang anak dara di rumah, Acik dan Adeq, sebagaimana 8 bulan yang lalu bila KakWan juga ke Langkawi.

KakWan sebenarnya sudah terbang ke KL pada 19 Januari untuk menghadiri mesyuarat bersama satu bahagian di KPM. Urusannya aku rasa amat penting kerana melibatkan kenaikan pangkat dan perubahan gaji kakitangan KPM. Satu tanggungjawab yang berat.

Aku terpaksa mengalah walaupun mesyuarat aku juga penting kerana melibatkan anak-anak didik di negeri Terengganu.

Kami tidak gemar menggajikan 'bibik' atau pembantu rumah. Rela membesarkan sendiri anak-anak. Sebab itulah jika ada pertembungan urusan luar yang memerlukan kami berdua keluar daerah, salah seorang kena mengalah. Lainlah jika ianya di musim cuti sekolah, anak-anak akan bersama sepupu atau emak saudara mereka.

Tempat penginapan sokmo-sokmo di Langkawi

Jadi untuk kali ini, Langkawi aku terpaksa abaikan walaupun diminta juga untuk hadir oleh pegawai-pegawai dari JPNT. Maaf, keluarga lebih utama.

Dalam pada itu, hikmah disebaliknya tetap ada dan aku terima dengan hati yang amat gembira. Walaupun tidak dapat ke Langkawi, aku telah dianugerahkan dengan satu tawaran yang sukar untuk dilepaskan. Ianya merupakan satu pengiktirafan dari sebuah penerbit buku tersohor di Malaysia. Tidak ramai yang berpeluang begini dan aku amat bersyukur.

surat tawaran

Pengalaman 30 tahun mendidik serta terlibat dengan pelbagai aktiviti kurikulum dan ko-akademik Pendidikan Seni kini turut diperakui oleh badan swasta. Yang pasti aku akan terlibat dengan penerbitan buku ini.

Moga sekelumit ilmu yang aku ada dapat dipanjangkan kepada anak bangsa melalui wadah ini. Itu sahaja tinggalan aku sebagai seorang pendidik.

Sebagaimana hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurayrah r.a. yang mafhumnya:

"Apabila matinya anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, sedeqah jariah (yang berkekalan manfaatnya), ilmu yang bermanfaat (yang telah diajarkannya) dan anak soleh yang mendoakannya" . [Hadith]

Begitulah juga petikan hadith ini yang berbunyi, "Sepatah perkataan yang baik yang didengar oleh seorang mukmin, lalu diajar dan diamalkannya, lebih baik daripada ibadah setahun."

"Sesungguhnya Allah, para malaikat, isi langit dan bumi, hinggakan semut di dalam lubang dan ikan dalam laut, semuanya mendoakan kepada orang yang mengajar manusia."
Riwayat At-Turmizi.

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Tidak boleh iri hati kecuali terhadap dua perkara iaitu terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan tapi dia memanfaatkannya untuk urusan kebenaran (kebaikan). Juga seseorang yang diberikan ilmu pengetahuan oleh Allah lalu dia memanfaatkannya (dengan kebenaran) serta mengajarkannya kepada orang lain."


Beib harap semua akan memanfaatkan...
ilmu yang dipelajari dalam apa jua ba B
samada kini ataupun duhul U
ke arah yang terbai K
tinggalan insan yang digelar GUR U

Thursday, January 15, 2009

Demam PRK P036 KT...

Kempen Pilihanraya di Phnom Penh
semasa aku di sana Julai 2008


Assalamualaikum / Good Day.....

Masyarakat Malaysia terutamanya peduduk Bandaraya Kuala Terengganu: Bandaraya Warisan Persisir Air sedang menghitung hari menanti tibanya satu lagi saat penentuan pemilihan wakil rakyat ke Parlimen Malaysia.


Pilihan Raya Kecil (PRK) P036 Parlimen Kuala Terengganu(KT) bakal mengambil tempat pada 17hb Januari 2009 seperti mana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya PilihanRaya Malaysia(SPR). Sebelum ini satu PRK telah diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Lihat sini.

Penamaan calon akan diadakan pada 6hb Januari 2009. PRK ini bakal menentukan halatuju kepimpinan Parlimen KT untuk tempoh lebih kurang 4 tahun akan datang. Legasi dan bakti yang cukup besar yang disumbangkan oleh mantan Ahli Parlimen terdahulu iaitu Allahyarham Dato’ Razali Ismail akan menjadi penanda aras untuk disaingi.

Ini juga merupakan satu pilihanraya bagi menentukan samada pemerintahan establishment masih diterima atau sebaliknya oleh masyarakat Malaysia umumnya dan masyarakat KT khasnya.

Bagi rakyat Malaysia dan penduduk KT, kita sewajarnya tunggu dan lihat dengan penuh sabar sambil berdoa pada ALLAH agar segalanya berjalan lancar.

Perang psikologi sedang dimainkan oleh kedua-dua badan siasah yang akan bertanding melalui pelbagai media massa terutamanya media elektronik.

Ada sahaja berita yang sensasi yang dipolitikkan dan disiarkan untuk menarik perhatian pengundi di KT.

Ini aku temui di dinding sebuah bangunan

di Bukittinggi, Sumatera pada Disember 2008.

Sepertimana semasa pilihanraya umum ke-12 pada bulan Mac 2008 yang lalu, terutamanya beberapa hari sebelum hari pembuangan undi, macam-macamlah berita akan disiarkan tetapi kali ini tentu sahaja melibatkan KT secara khusus. Semuanya adalah untuk meraih simpati pengundi-pengundi terutamanya yang 'di atas pagar' yang masih mencari-cari calon terbaik dihati masing-masing untuk mewakili mereka di parlimen.

Inikan Demokrasi?

Di Sawahlunto, Sumatera Barat, Indonesia

Pilihanrayanya ialah pada bulan September 2009.

Bendera dan 'banner' siap dipasang mulai November 2008 di Kecamatan DesaTalawi.

Perkara seterusnya yang sedang hangat dibincangkan ialah perihal calon-calon yang akan bertanding merebut tempat dalam PRK nanti dan seterusnya menjadi Ahli Parlimen KT.

Kedua-duanya diwar-warkan sebagai sangat berkaliber dan menepati citarasa sebagai pemimpin.
Calon-calon yang sudah dipersetujui oleh parti siasah masing-masing dipilih berdasarkan sensitiviti serta mentaliti masyarakat setempat yang menginginkan calon yang dianggap bersih dan mesra rakyat. Walau apapun, calon tempatan tetap menjadi pilihan.

Semoga segalanya berjalan lancar dari hari penamaan calon, semasa berkempen dan di hari pembuangan undi.

Aku amat berharap agar tidak akan timbul suasana tegang atau kekecohan yang boleh mengeruhkan suasana aman yang selama ini dinikmati oleh penduduk KT.

SELAMAT MENGUNDI KakWan, sekali lagi selepas mengundi masa ini.

Aku mengundi di DUN dan Parlimen lain.

merasakan suasana PRK di Paloh

Bukan sahaja calon malah poster juga 'berperang' sengit

Pulau Rusa menyaksikan perang poster yang hebat
(foto: Adeq)

Beib berharap emosi tidak mengatasi kewarasan dalam...
kehangatan kempen yang meruap-rua P
biarlah semua berjalan lanca R
sebagai warga dalam negara yang demokrati K

Monday, January 12, 2009

Sawahlunto: Makan Bajamba

sepanjang jalan dipenuhi ucapan HUT yang diperbuat dari kertas berbunga pada papan lapis

Assalamualaikum / Good Day.....

Bersendirian kadang-kadang mengundang nostalgia. Teringat dan teringin untuk kembali ke saat-saat manis yang telah dilalui.
Kenangan di Sawahlunto sentiasa menjelma.
Yang ditinggalkan.
Yang dilalui.
Yang dialami.
Semuanya terpahat di hati.


Makan Bajamba ialah salah satu tradisi adat Minangkabau di Sumatera Barat (Sumbar) yang dilaksanakan dlam Upacara Adat, Pesta Adat dan pertemuan-pertemuan penting lain.
Majlis ini dipenuhi dengan petatah petitih oleh pemuka adat (Datuak) serta dihadiri oleh seluruh lapisan masyarakat.


Makan Bajamba adalah prosesi makan secara bersama. Secara harafiah Makan Bajamba di alam Minangkabau mengandungi makna yang sangat dalam. Prosesi atau perarakan bersama ini menzahirkan rasa kebersamaan tanpa melihat status seseorang dalam masyarakat.
Biasanya Makan Bajamba dianggotai oleh 6 orang bagi setiap jamba ( wadah/talam) yang diisi dengan pelbagai menu makanan khas Minangkabau.


Walaupun makan secara bersama, semasa persiapan tidak dibenarkan berbicara, tidak boleh nasi berserakan, tidak boleh berebut dan makan secara gelojoh.
Ketertiban harus dijaga. Kesopanan diawasi.
Di Kota Sawahlunto, Makan Bajamba sudah menjadi acara tahunan dalam rangka merayakan Hari Ulang Tahun (HUT) Kota Sawahlunto yang jatuh pada tanggal 1 Disember.
Ia telah menjadi satu ikon Kota Sawahlunto di mana seluruh lapisan masyarakat, tamu serta pelancong dalam dan luar negeri bersama-sama meraikannya. Uniknya ialah keberagaman suku yang terlibat dan dilaksanakan secara multi-culture.
Pada tahun 2006, sempena HUT Kota Sawahlunto ke 118 acara ini telah dianugerahkan rekod MURI ( Museum Rekor Dunia Indonesia) bagi kategori makan bersama terbanyak serta terpanjang.
16,123 orang, 10 nagari (Kerapatan Adat Nagari), 37 Kelurahan serta 4 Kecamatan, 65 Sekolah Dasar, 9 SLTP serta 8 SLTA terlibat secara langsung dengan mengenakan busana tradisional yang beraneka ragam dari pelbagai suku yang multi-ethnic.
Inilah yang menarik.

Masyarakat yang beragam suku etnik hidup harmonis, saling menghargai biarpun berbeza latar belakang dan suku. Semuanya bergembira meraya serta memeriahkan HUT tersebut.
Bertepatan dengan motto Kota Sawahlunto " Walaupun berbeda suku dan budaya tetapi satu dalam membangun Sawahlunto menuju Kota Wisata Tambang yang Berbudaya".
Sesungguhnya, pengalaman meraikan HUT ini amat terkesan. Apatah lagi mewakili warga Terengganu sekaligus Malaysia.
Layanan VIP yang diberikan adalah sesuatu yang takkan luput dari ingatan.
Buat anda, lawatlah Sawahlunto pada tanggal 1 Disember, ia takkan mengecewakan.

Beib terkesan dengan acara Makan Bajamba di...
bawah tenda @ khema H
sambil dilayan bagai raja dan rat U
membuatkan kami rasa kage T

Sunday, January 11, 2009

Mat Saleh lagi....

Over a cup of Cappucino
Assalamualaikum / Good Day.....

Sesekali aku keluar ke bandar KT untuk minum-minum. Ketika singgah di sebuah restoran elitis (saja nak rasa ambience dan menu makanannya yang mahal giler ) aku terserempak dengan Anuar Mc Afee Abdullah. Semalam dah jumpa Mat Saleh, hari ini pun jumpa lagi!. Hehehe...

Ini membuka ruang untuk informasi terbaru. Tidak sah kalau tidak dimaklumkan tentang aktiviti birding atau bird watching yang diceburinya. Dia baru saja pulang dari Tasik Kenyir meninjau burung katanya. Tentu saja menarik di sana seperti yang aku alami.

Perkenalan kami sudah menjangkau belasan tahun. Tugasnya sebagai pensyarah BI di UDM kampus KUSZA sering menemukan aku dengannya dalam beberapa majlis tertentu dan di masjid KUSZA, Kubang Badak sewaktu solat jumaat. Sejak berpindah ke rumah baru, bulan Ramadan lepas, beliau kini menjadi ahli qariah Seberang Takir. Kini kami agak jarang dapat bersua, hanya selisih di jalan sahaja. Minatnya dulu ialah menunggang basikal. Kini telah berubah pada bird watching. Entry bersamanya boleh dibaca di S.I.N.I.

Dalam pertemuan singkat ini, aku diperkenalkan dengan Syukur, seorang pensyarah di American University of Sharjah (AUS), UAE. Beliau pernah berkhidmat di KUSZA beberapa tahun dahulu.

Perbualan kami berkisar kepada kerjaya, politik semasa dan bird watching.
Aku dimaklumkan bahawa Anuar kini telah menemui 4 lagi spesies burung yang baru di Terengganu menjadikan 439 kesemuanya. Satu yang menarik. Spesies burung di Terengganu ditemui oleh seorang Mat Salleh dan tidak warga tempatan. Aku amat kagum dengan penemuan burung enggang (Great Hornbill), oleh Anuar. Ini merupakan salah satu spesies yang unik dan lebih hebat dari spesies di Sarawak. Komitmen beliau memang aku sanjung.

Syukur sendiri menyatakan kekaguman beliau terhadap sahabatnya.
Sesungguhnya, pertemuan ini menjalinkan ukhuwah antara dua orang "orang putih" yang berasal dari Canada dan USA dengan seorang "orang kelabu"dari Kedah.
Berbual dan berbincang dengan insan berlainan budaya dan cara hidup mematangkan kita. Semangat serta roh positif diambil sebagai pelangkap hidup.
Yang pastinya, BI aku bertambah baik dan Public Relations aku bertambah bagus.

Beib berharap dengan pergaulan yang baik akan dapat menambah...
kenalan dalam dan luar neger I
berbual tentang pelbagai ha L
politik, sains, bisnes atau umu M
disamping mematangkan fikiran dan berkongsi ilm U

Saturday, January 10, 2009

Besar dah anak dara aku....

Assalamualaikum / Good Day.....

Sekolah dah dibuka. Abang dah balik ke KL membuat internship di sebuah syarikat konsultan. Qaqaq pun harus balik ke kampusnya di Lembah Pantai. Lebih dari sebulan sama-sama menghabiskan cuti di Sawahlunto dan Anak Bukit.
Pengajiannya di IPBM akan diteruskan ke tahun pertama. Minggu depan dia akan mengikuti program orientasinya. Setelah meninggalkan Kolej Matrikulasi Pahang tahun lepas, Qaqaq nampak selesa menghadiri pengajian di sini. Apatah lagi Abang ada berdekatan di UniKL. Jika memerlukan bantuan, Abang akan sedia membantu.
Pengajian Qaqaq selama 5 tahun di sini tentu saja akan mematangkan beliau dalam segala tindakan. Aku berdoa agar Qaqaq tidak akan terpengaruh dengan segala macam gejala yang negatif di kotaraya metropolitan ini. Ingat pesan papa dan mama.
Aku berharap agar Qaqaq akan berjaya menjadi seorang pendidik yang tulen.
Moga dia akan meneruskan legasi papa dan mamanya.



Mama sentiasa memantau perjalanan hidup Qaqaq dengan pandangan mata ibu.

Tolehkah ke belakang sesekali untuk melihat akar diri melalui akal budi.

Beib berdoa agar Qaqaq terus mencari...
nilai kehidupan yang murn I
selama berada di K L
tetap keimanan dalam Isla M
ingat pesanan ayah dan ib U

Warga Emas...

Papa nak beri hadiah apa?

Assalamualaikum / Good Day.....

Sekejap saja masa berlalu. Sudah beralih tahun lantas bertambah usia. Aku sendiri tak mau berceloteh panjang tentang sambutan hari lahir ini kerana jika panjang umur, hal yang sama akan dicoretkan pada tahun hadapan. Boring kan? Rujuk saja coretan lalu.

Hari ini, Kak Wan sudah masuk zon warga emas dan aku akan menyusul dalam masa 2 bulan 11 hari lagi.

Ni anak-anak punya kerja ler ni. Suruh posing.

Walaupun sambutan pada kali ini agar sederhana, namun ia tetap bermakna.
Acik dan Adeq seperti mana biasa kalau ada function, mesti nak raikan kat mana-mana. Kali ini hendakkan tempat yang pernah kami kunjungi sebelum ini.

Aku tak kisah, asalkan semua gembira. Dalam pada itu, teringat juga Abang dan Qaqaq yang berada di KL yang tidak dapat bersama meraikan ulangtahun Mama mereka ini. Hanya ucapan melalui sms sahaja yang dipanjangkan.

Perjalanan ke KT dalam seminggu dua ini bukan macam dulu lagi. Sibuk dan macetnya kadang-kadang melampaui KL. Gara-gara Pilihanraya kecil. Aku sendiri tak faham kenapa bila ada pilihanraya mesti begini. Bagi aku, pilihanraya ialah sesuatu yang demokratis. Apa perlu emosional?

Kebimbangan tentang kekacauan, rusuhan dan kucar kacir ada kalanya tidak berasas. Namun pihak berkuasa mungkin lebih mengetahui kedudukan sebenarnya. Dalam pada itu, aku berdoa agar keamanan serta kesejahteraan yang kami nikmati selama ini di KT akan terus terpelihara.

Oleh kerana restoran yang kami kunjungi sedia menjual kek, kami hanya menempah sejuring sebagai syarat. Makanan berat lain kami tempah sebagai pengalas perut.

Hadiah?...hmm..itu yang spoil tu.
Ingatkan tadi Adeq dah ambil sebab sebelum dia ke pusat tuisyen, dia telah siap membungkusnya. Rupanya Adeq tertinggal hadiah dalam bilik dia. Jadi, kami ke restoran tu tanpa hadiah la.
Walau bagaimanapun, hadiah tetap diberikan kemudian.
Sebagaimana biasa....ucapan HAPPY BIRTHDAY tetap diberikan bersama doa agar isteriku sentiasa sihat, selamat, sejahtera dan panjang umur di bawah lindungan ALLAH.

Balik rumah baru dapat hadiah.
Sebagai prelude, perfume dan sepasang kain Chinese Silk.
Nanti InsyaALLAH, akan sampai te yang sporty gitu.

Beib percaya kita akan menjadi lebih matang bersama ...
pengalaman dan ilm U
bertindak lebih wara S
saling faham dan mengert I
menjalani kehidupan yang lebih bahagi A

Mat Salleh masuk kampung...

Bersama menyambut ETA dengan sepanduk dan bunga manggar

Assalamualaikum / Good Day....

Aku tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) jam 3.15 ptg selepas dimaklumkan tentang perubahan jadual persiapan menyambut kedatangan peserta program The Fulbright English Teaching Assistantship ( ETA ).

Mengikut jadual asal, aku patut berada di sana sebagai pegawai penyambut pada jam 3.45 ptg. Disebabkan tiada pegawai lain yang tiba, salah seorang guru yang membawa pelajar untuk majlis sambutan ketibaan menelefon aku agar segera datang untuk menguruskan acara.

Jarak 4 km antara rumah dan LTSM biasanya hanya mengambil masa 6 minit sahaja. Namun, aku terkejut bila tiba di LTSM dalam keadaan penuh sesak dengan orang dan kenderaan. Rupanya, Boeing 747 MAS baru sahaja tiba dari Jeddah membawa pulang jemaah Haji.
Berasak-asaklah aku untuk ke balai ketibaan.
Ini ditambah pula dengan bilangan pengunjung yang terdiri dari pelbagai lapisan masyrakat yang datang ke KT kerana ingin'memeriahkan' PRK P036 yang sedang memuncak menjelang hari mengundi pada 17 Januari nanti.

Oleh kerana ramai sanak saudara yang menanti untuk menjemput jemaah haji yang baru pulang dari Mekah, polis terpaksa mengawal lalu-lintas dan pergerakan orang ramai keluar masuk ke balai ketibaan. Aku juga dilarang memasuki balai ketibaan. Memandangkan penerbangan akan tiba dalam beberapa minit sahaja lagi dan persiapan menyambut tetamu dari jauh ini masih belum teratur, aku mengambil inisiatif untuk berbincang dengan pegawai polis yang bertugas.
Setelah memperkenalkan diri mewakili jabatan dan menerangkan tujuan kami berada di situ, kami dibenarkan masuk ke balai ketibaan menanti tetamu dari negara Uncle Sam.

Aku kemudiannya bergegas ke kaunter MAS untuk memastikan bahawa tetamu kami berada dalam penerbangan jam 3.45 ptg.
Sah!

Jam 3.56 ptg, kesemua 23 orang tetamu muncul di pintu balai ketibaan, seorang demi seorang. Mereka kelihatan tergamam bila aku perkenalkan diri dan menyambut mereka dengan SELAMAT DATANG ke Malaysia dan Terengganu.

Sambil bersalaman aku mengumpulkan mereka serta menerangkan perjalanan sambutan kedatangan mereka di balai ketibaan.
Setelah berucap mengalu-alukan kedatangan tetamu dari benua Amerika Utara ini, kami bergambar seketika.

Tugasku selesai bila mereka selamat menaiki bas. Seterusnya perjalanan mereka akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK). Mereka akan dibawa menginap di Hotel Seri Malaysia, KT untuk beberapa hari.

Mereka akan mengikuti kursus orientasi sebelum dihantar ke beberapa buah sekolah di seluruh negeri Terengganu sebagai English Teaching Assistants(ETA) sehingga bulan November 2009.
Aku berharap agar kehadiran mereka akan menyemarakkan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Terengganu.

Apa itu ETA?
The program places American college graduates as teachers in elementary, middle, and high school English classrooms in Malaysian schools. Beginning in 2008, the Malaysian Ministry of Education and Malaysian-American Commission On Education Exchange (MACEE) is particularly supportive of the ETA program for stressing the importance of placing native English speaking teachers outside the capital of KL in the less developed areas of Malaysia. ETAs in return feel that their efforts have more meaning outside of KL in areas where the people are not yet accustomed to seeing foreigners on a daily basis.
More about ETA here , here and here.

Menanti ketibaan ETA di balai ketibaan dengan Tn. Hj. Nasir Abd Rahman, wakil PPD KT.

Mengurus perjalanan majlis sambutan kedatangan ETA dari USA

Memberi taklimat dan alu-aluan

Kedatangan disambut dengan bunga manggar

antara 23 orang yang akan berada di Terengganu sehingga November 2009

James E. Wright dari University of Arkansas akan ditempatkan di Hulu Terengganu

Selesai satu lagi tugasan aku di hujung minggu sebagaimana tugasan ku sebelum ini. Sila baca sini.
Aku cuma membantu memastikan perjalanan program lancar dan sempurna.
Sesungguhnya, anak bangsa perlu diberi perhatian dan keutamaan.

Beib harap pelajar-pelajar Terengganu akan mendapat manfaat dari...
Students Exchange Programm E
di samping penguasaan Bahasa Inggeris terus meningka T
dari masa ke semas A

Sunday, January 4, 2009

Datuk Razali yang kukenal.....

Assalamualaikum / Good Day.....

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail, 59, yang telah meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 29 November 2008, kira-kira 6.30 petang merupakan mantan boss aku semasa di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu pada tahun 1997.

Beliau juga merupakan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu sebelum menjawat jawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru dan seterusnya merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut.

dari lensa kamera D60 aku

Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan pada 17 Januari 2009 bagi kerusi parlimen P036 Kuala Terengganu. Inilah yang sedang hangat berlaku di KT sekarang.

Kematian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada KPM.

menandatangani catan yang diberikan sebagai cenderamata

Allahyarham dilahirkan di Hulu Terengganu pada 25 Jun 1949.

Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Kemudian, Razali melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang sejarah. Setelah mengajar beberapa tahun, beliau tidak melepaskan peluang untuk membuat Sarjana Pendidikan di Birmingham, United Kingdom.

menghayati keindahan catan

Memulakan kerjaya sebagai guru, allahyarham juga pensyarah di beberapa buah maktab perguruan di Malaysia.

Menjadi timbalan pengetua di Maktab Perguruan Kota Bharu sebelum dilantik pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan kemudiannya di Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Setelah itu, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

signed, sealed, delivered....

Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran pada 2002.

Allahyarham bersama Nooraini dikurniakan lima orang anak yang kesemuanya lelaki.

Sebagai seorang yang bervisi dan mementingkan peningkatan ilmu dalam bidang pendidikan, beliau sentiasa menggalakkan staf-stafnya membaca. Aku juga tak terkecuali.

Semasa aku berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu di bawah pentadbiran beliau, aku sering dinasihat serta digalakkan untuk membaca buku-buku self help.

Malah di hari pertama aku melaporkan diri pada Januari 1997, aku dikuliahkan dengan isi-isi dari buku ini. Teruja aku dengan kepetahan beliau berucap.

Tujuh prinsip utama petikan dari buku kegemaran beliau ini digarap sebegitu rupa sehingga aku kemudiannya terus membeli dan cuba menghayatinya.

Buku kegemaran beliau ialah tulisan Dr. Stephen R Covey iaitu The 7 Habits of Highly Effective People. Jika berbicara tentang buku ini, beliau akan nampak teruja.

Bagi mereka yang mengenali beliau tentu saja akan memperaku bahawa isi buku ini adalah modal utama beliau dalam hampir setiap ucapan kepada warga pendidik.

Aku terhutang budi kepada beliau kerana memperkenalkan buku ini yang memberi satu dimensi baru dalam melihat diri sendiri.

"if established as habits, the seven principles are supposed to help a person achieve true interdependent effectiveness"

Itulah sebenarnya yang ingin aku capai dan kecapi. Moga terlaksana.....

Beib doakan agar arwah dirahmati...
dan ditempatkan di syurg A
bersyukur dengan ilmu yang beliau tingga L
sehingga kini dijadikan beka L
dalam menjalani hidup, agar berjay A
meningkatkan diri, masyrakat dan umma H

Saturday, January 3, 2009

Cekal dan Cengal

Hj. Abdullah Muda - The Master Tradisional Boat Builder of Terengganu

Assalamualaikum / Good Day.....

Orang Terengganu memang mempunyai pertalian yang rapat dengan laut. Di sini, di mana bumi semenanjung bertemu dengan Laut China Selatan, terdapat hidupan marin yang kaya. Sebab itulah Terengganu dan jirannya, Kelantan masyhur dengan perdagangan ikan sejak dari zaman dahulu kala.

Seawal kurun ke 12, pedagang-pedagang ini belayar di antara negeri-negeri pantai timur ini yang dulunya diperintah oleh Siam(Thailand).

Kini perdagangan komersial ini agak hambar setelah Selat Melaka menjadi tumpuan kerana lebih selamat, teduh dan cuaca yang boleh diramalkan.

Mengikut catatan rekod purba China, di kurun ke 11, pelabuhan Kuala Terengganu (KT) dikatakan terletak di tengah-tengah pantai timur Semenanjung Malaysia yang menjadi laluan pedangang dari China ke Asia Tenggara.

Pada kurun ke 18, KT telah dikenali sebagai pusat komersial yang mengendalikan bahan-bahan seperti lada, emas, bijih timah, kapur barus (camphor) dan gula untuk di eksport.
Kapal-kapal dari negara China dan Indochina membawa masuk sutera yang cantik untuk dieksport semula ke barat oleh pedagang China dan Barat.

Fakta sejarah inilah yang mendorong aku untuk melihat sendiri pembinaan kapal dan bot tradisi di Pulau Duyong - sebuah pulau di muara sungai Terengganu yang kini popular kerana acara pertandingan perahu layar bertaraf dunia iaitu Monsoon Cup.

Replika perahu payang

Inilah tempat untuk kita menyaksikan sendiri bagaimana kapal dan bot dibina menggunakan teknologi tradisi.

"Saya belajar pertukangan kayu dan teknik membuat bot dari ayah saya dan dia belajar dari saudara-saudaranya tuanya. Semua diajarkan pada saya melalui lisan - tidak ada pelan atau catatan bertulis. Seingat saya sudah lima generasi dibuat begini," kata Haji Abdullah Muda,7o atau lebih mesra dengan panggilan Haji Lah.

Cengal untuk Perahu Payang

Menurutnya, pengalaman penting dalam memastikan bot dapat dibina dengan jayanya berdasarkan ingatan. Semasa muda, beliau ditugaskan membina semua bahagian bot dan akhirnya menjadi pakar dalam setiap inci bot.

Perahu Payang - perahu terbesar untuk menangkap ikan di perairan Terengganu

Haji Lah menjalankan perniagaan pembinaan bot dan kapal layar yang dikenali ramai terutamanya di kalangan rakyat asing. Salah satu sebab kejayaannya ialah penggunaan kayu cengal (Neobalanocarpus heimii) dalam setiap bahagian bot buatannya kecuali enjin dan metal fittings.

Sebagaimana yang kita tahu, kayu cengal memang boleh didapati di sepanjang negeri pantai timur hingga ke Thailand. Malah, pada tahun 1999, sebatang pokok cengal yang dianggarkan berusia 1,300 tahun dengan ketinggian 65 telah dijumpai di Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun, Terengganu. Rujuk sini.

Kayu ini amat sesuai untuk pembinaan kapal atau bot kerana ia mempunyai resin atau bahan awet semulajadi yang melindungi kayu dari serangan anai-anai.

Haji Lah masih ingat di tahun 80an, ramai pelanggannya terdiri dari warga Alaska, Eropah, Amerika dan Australia. Semasa itu harga kayu cengal masih murah dan mudah didapati. Kini, harganya sangat mahal dan agak sukar untuk diperolehi. Namun, tempahan masih ada walaupun tidak sebanyak dulu.

"Harga kayu sudah tiga kali ganda mahal, tapi kita masih boleh buat bot dengan harga RM1 hingga RM2 juta berbanding dengan harga yang sama yang dibuat di luar negara tetapi dalam USD!," kata Haji Lah.

Bagi pembuat bot tradisi seperti Haji Lah, yang paling dirisaukan ialah tenaga mahir untuk membuat bot. Kebanyakkan pembuat bot bergantung kepada saudara mara kerana tidak ramai yang berminat dalam perusahaan ini.

Haji Lah sendiri bergantung kepada anak lelaki serta menantu beliau bagi memastikan kelangsungan perusahaan ini.
"Walaupun ramai anak muda tidak berminat dalam bidang ini, saya yakin bahawa permintaan terhadap bot akan tetap ada dan perusahaan ini akan berterusan sampai bila-bila."

Cg. Rosli, menantu Hj. Lah yang turut membantu perusahaan mentuanya

Aku sentiasa berdoa agar Haji Lah yang peramah dan mesra ini akan terus sihat meneruskan perjuangannya membina bot yang unik ini. Bot-bot buatannya telah, sedang dan akan melayari pelusuk dunia, menempuh gelombang dan badai.
Moga Haji Lah terus cekal seperti pelayar dan gagah seperti cengal.

Bagi yang berminat bolehlah datang ke Pulau Duyong dan saksikan sendiri kehebatan kerja tangan Haji Lah dan anak-anak buahnya.

Beib kagum dengan kehebatan Hj. Lah dalam membina...
kerjaya dan tradisi yang berada B
berilmu, berhemah tanpa eg O
moga kita turut mendapat manfaa T

Friday, January 2, 2009

3 Te...

Align Center
Seperti melihat dalam bola ajaib @ crystal ball(scrying)

Assalamualaikum / Good Day.....

Sempena Tahun Baru 2009, aku ingin mengucapkan selamat tahun baru semoga kita bertambah ceria, bahagia, sejahtera serta diberkati ALLAH sejajar dengan peningkatan usia kita.

Sebagaimana insan lain, aku juga menyimpan hasrat, matlamat serta azam untuk mempertingkatkan diri dalam pelbagai bidang.

Memang benar nobody is perfect, tetapi kita perlu bersikap positif dan mengambil daya usaha untuk meransangkan diri supaya taraf hidup serta diri meningkat sekurang-kurang setingkat dari apa yang kita ada sekarang.

Kita juga mesti menerima realiti dan hakikat bahawa segalanya adalah ketentuan Illahi.
Paling penting bagi kita ialah berusaha dan berikhtiar. Selain dari itu, kita tawakkal.
Dalam keghairahan melangkah ke tahun baru, aku telah menetapkan 3 benda yang ingin aku capai di awal tahun.

Alhamdulillah, untuk permulaan tahun 2 benda telah aku langsaikan.
Ini semua gara-gara keinginan dan kepuasan yang tidak terlaksana selama ini.
Dengan persetujuan isteri, aku namakan impian 3 Te.(bunyi di akhir nama benda yang diidamkan)
Pelik bunyinya tapi amat bermakna.

Te pertama telah pun diusahakan dan dijangka selesai sebelum akhir bulan ini.
Segala urusan yang berkenaan sudah dibuat. Tunggu sahaja.
Bukankah sabar itu separuh dari iman?
Aku tak mahu nyatakan apa bendanya. Silalah buat spekulasi dengan merujuk bukan merajuk di disini. Hehehehe...

Te yang kedua telah pun diterima dan digunapakai sejak 1 Januari 2009.
Riuh rendah, gamat dan sensasi. Yang dipaparkan hanya kotak sahaja. Rujuk sini dan sini.
Te ketiga masih dalam proses kerana beberapa elemen di dalamnya tidak memenuhi citarasa.
InsyaALLAH akan tercapai dalam sehari dua lagi. Kiut, kecil dan comel. Nama modelnya juga bermaksud keinginan, kehendak serta kemahuan yang kuat. Memudahkan banyak perkara yang ada kaitan dengan work and leisure.

Moga rezeki yang datang dari ALLAH berkat usaha kita akan terus menginsafkan kita kepada perlunya bersyukur. Kata orang, lagi banyak dan kerap kita bersyukur maka lagi melimpah ruah rezeki yang datang. InsyaALLAH.
ALHAMDULILLAH....
segala nikmat yang dikurniakan akan digunakan sebaik mungkin.

Terasa teruja, terutamanya setelah item-item tersebut tercapai.

p/s...minta jangan salah anggap..

Beib amat bersyukur kerana memenuhi...
cita-cita untuk memilik I
apa yang selama ini diida M
dan amat berhara P
ia akan tercapa I
dalam sedikit masa dengan usah A
dan keazama N