Sunday, October 17, 2010

Bahasa Inggeris: Lakukan Sesuatu Positif

Penglibatan kecil dalam menjayakan hasrat negara
~selaku panel penggubal kertas konsep, hakim dan anakanda - penyertaan-~

Assalamualaikum / Good Day.....

Sedar atau tidak, mahu menerima atau tidak, penguasaan bahasa Inggeris dalam kehidupan masa kini,ternyata begitu penting dan tidak boleh dinafikan.

Di negara kita, ia merupakan salah satu bahasa utama bagi mendalami ilmu pengetahuan. Ia juga merupakan bahasa untuk jaringan perniagaan global atau antarabangsa serta untuk perhubungan diplomasi.

Dengan penguasaan yang mantap, seseorang individu itu bukan sahaja dapat mengangkat pencapaian ilmu dan pelajarannya tetapi juga dalam komunikasi serta bidang kerjaya yang penuh cabaran dan saingan.

Ini pernah aku tekankan dalam entry ini dan semasa memberi ceramah mengenai kepentingan bahasa Inggeris di sini.

Hakikat kini di peringkat sekolah, antara pengukur prestasi pelajar dalam mengejar kecemerlangan ialah pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Dalam beberapa situasi ia menjadi penentu.

Semasa di bangku sekolah, perlu diterapkan peri pentingnya penguasaan dwibahasa, yang akan menambahkan keyakinan seseorang individu terhadap diri dan keupayaannya.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri serta pelbagai sektor dan agensi berterusan berusaha untuk melonjakkan pencapaian bahasa Inggeris yang masih belum dipertuturkan secara meluas oleh pelajar di luar bilik darjah.

Di Terengganu, Program A Moment in English anjuran JPNT dengan kerjasama serta dibiayai oleh syarikat ExxonMobil menyaksikan pelajar-pelajar memperagakan bakat mereka seperti pengucapan awam, koir, drama, nyanyian beraksi, choralsical, bercerita, deklamasi puisi, sketsa dan nyanyian. Ianya telah diadakan sejak 2002.

Kini, satu lagi program yang bermula pada tahun 2010 anjuran serta pembiayaan Yayasan DiRaja Sultan Mizantelah mengorak langkah dengan beberapa aktiviti tambahan seperti Speech Choir - in betweens Choral Speaking dan Choralsical - serta Smart English. Aku turut berbangga kerana terlibat secara langsung. Baca di sini.

Semua ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang penuh dengan keyakinan dan bersemangat di samping menunjukkan bakat dalam pelbagai persembahan berteraskan bahasa Inggeris.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kemahiran berbahasa dan menyemaikan kesukaan pelajar untuk mengamalkan penggunaannya.

Secara tidak langsung meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui pendekatan kreatif dan artistik serta menghiburkan.

Ini juga peluang untuk pelajar dan guru-guru berkolaboratif dalam satu pendekatan untuk meningkatkan kemahiran dan kreativiti.

Sebagai seorang guru yang telah lama cuba menekankan peri pentingnya berbahasa Inggeris, aku sentiasa menyokong program-program berbentuk pendidikan seperti ini. Aku amat berharap melalui program-program seumpama ini dapat menanam dan menerapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi muda di negeri ini.

Aktiviti di luar bilik darjah seperti ini amat unik. Pembelajaran Bahasa Inggeris nyata lebih menarik, menawan hati dan menyeronokkan. Melalui aktiviti ko akademik ini, penggunaan bahasa sentiasa dilatih dan dijadikan amalan oleh pelajar.

Aku turut teruja dengan pembabitan kecilku dalam program-program seperti ini termasuklah dalam penubuhan 'English Theme Park' dalam usaha melahirkan lebih ramai anak muda fasih berucap dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Rujuk sini, sini dan sini.

Tertarik aku dengan seorang kenalan yang bijak fasih berbahasa Melayu serta analitikal dalam setiap perkataan dan ayat. Anak buah Munsyi Dewan ini bisa mematahkan hujah dengan soalan dan inkuiri yang padat dan bernas.

Harapanku agar penutur bahasa Inggeris yang sedang dilatih dan diajar ini akan menjadi kritikal dan analitikal sebagaimana temanku yang ini.

Bagi aku, tidak perlu ke London untuk belajar bahasa Inggeris. Semuanya boleh dipelajari di sini. Yang penting, kehendak dan kemahuan perlu tekal dan cekal.
Pastikan Semangat Lancar...

Beib ingin terus memperjuangkan penggunaan...
... bahasa ini tanpa alasan dan seba B
sebagai satu cara meningkatkan nilai dir I
*sakit...

No comments: