Monday, August 31, 2009

Tetap Merdeka

Assalamualaikum / Good Day....

Sekali lagi kita berada diambang ulangtahun kemerdekaan. Ulangtahun yang ke 52. Dua tahun lebih dari usiaku. Dalam angka sematang itu, apakah yang kita fahami dengan kemerdekaan...?


Bagi setiap individu erti kemerdekaan tentu saja berbeza . Ia juga memberikan penghayatan yang berbeza di antara generasi kini dan generasi pra merdeka.

Erti sebenarnya kemerdekaan perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia. Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud terlepas dari cengkaman penjajah dari golongan manusia yang rakus, yang mengongkong hak beragama, pendidikan, ekonomi dan budaya malah perlu juga merdeka dari segi kongkongan minda yang jumud dan beku. Maksudnya, ia melangkau penjajahan fizikal, dan menerobos ke dimensi spiritual, mental dan emosi.

Aku berpendapat agama mesti menjadi tunggak dan tunjang utama kepada masyarakat bagi mengekalkan kemerdekaan negara. Ini perlu diikuti dengan pendidikan. Nilai-nilai agama yang suci dan murni serta sistem pendidikan yang holistik mampu membawa negara ke mercu kejayaan. Lantaran itu, masyarakat hari ini perlu mengutamakan nilai-nilai agama dan pendidikan dalam kehidupan seharian mereka.

Kemerdekaan yang dikecapi kini amat bermakna. Kita harus bebas bukan hanya daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Keupayaan kita membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing wajib disertai dengan usaha yang gigih untuk bangkit sebagai bangsa yang bermaruah. Kekuatan politik sahaja dalam memperolehi kemerdekaan tidak mencukupi. Ia perlu didokong dan disokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan dan ekonomi. Ini akan menjadi katalis untuk mempercepatkan proses pembangunan dan kemajuan negara.

Mengimbau apa yang diharungi oleh generasi pra merdeka, menjadi tanggungjawab rakyat generasi hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Generasi kini tidak lagi perlu menggalas senjata, sebaliknya menggalas beg berisi buku dan laptop untuk memenuhi dada dan minda dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan tidak bermakna kerana nilai jatidiri menjadi rapuh dan goyah.

Generasi kini perlu cekal dan tekal serta bersedia menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran dalam usaha untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Pelbagai cabaran pahit getir telah dilalui oleh rakyat Malaysia (Tanah Melayu - Malaya) terdahulu. Kemerdekaan yang amat bernilai ini perlu dinikmati dan dihayati oleh semua dengan iltizam yang tinggi untuk memelihara dan memartabatkan kekuatan politik, ekonomi dan sosial.

Agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa juga tidak boleh diabaikan. Perbezaan dan jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di antara pelbagai kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan. Ini wajar agar semua dapat menikmati erti sebenar kemerdekaan.

Bersama Mohan Raj dan Tan Boon Taik. Kenapa harus ada prejudis? baca sini

Perpaduan yang terjalin semenjak pra merdeka, sewaktu usaha memperolehi kemerdekaan dan selepas kemerdekaan, perlu diteruskan dan dipupuk dengan lebih mantap supaya rakyat menjadi semakin bersatu.

Pemimpin-pemimpin negara yang memperkenalkan pelbagai Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju.

Begitu juga dengan Dasar pendidikan yang bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan warganegaranya daripada belenggu kejahilan dan kejumudan. Anak bangsa Malaysia kini menjadi masyarakat moden dan berketrampilan.

Sebagai seorang pendidik dan knowledge worker (Peter Drucker), aku turut berbangga kerana profesionku secara tidak langsung membantu memanusiakan manusia. Memerdekakan minda dari penjajahan illiteracy. Memangkin kepada penguasaan ilmu dan menjana pengetahuan.

Kemerdekaan telah menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat. Kita bebas mengatur hala tuju sendiri mengikut acuan dan kemahuan kita bagi membentuk jati diri bangsa Malaysia. Ini cuba direalisasikan melalui slogan 1Malaysia.

Perjuangan mempertahankan kemerdekaan tidak pernah berhenti. Kegemilangan yang dicapai sepanjang lebih 50 tahun ini patut menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan selanjutnya. Inspirasi dari pengorbanan generasi terdahulu perlu diambil iktibar oleh kita untuk terus berusaha lebih gigih menjadi bangsa yang maju dan moden. Juga sebagai sebuah negara bangsa yang unggul yang dihormati dan disanjungi.

Selain dari itu, jiwa, hati dan minda juga mesti merdeka. Jangan dibelenggu oleh sifat - sifat mazmumah seperti keras hati, cemburu dan ego . Perasaan inilah yang selalunya akan menimbulkan bibit perbalahan dan pertelingkahan. Mungkin juga akan membarah sehingga belakunya konflik antara dua entiti yang lebih serius. Apa yang penting ialah hakikat diterima, sepakat dicari.

Moga kemerdekaan fizikal, spritual dan emosi dapat menjalinkan kasih sayang yang utuh untuk kebahagiaan dan kesejahteraan semua.

Beib bangga menyambut...

...ulangtahun ke 52 kemerdekaan dengan penuh aza M
dan semangat patriotism E
yang lahi R
bersama usia setengah aba D
tanpa mengaitkan isme-ism E
yang muluk-mulu K
cuma cita-cita yang boleh dicapai oleh jiwa merdek A

Saturday, August 22, 2009

Anak Lelaki Mak Ada...

Berbaring bersama Mak macam dulu-dulu

Assalamualaikum / Good Day.....

Alhamdulillah...
Selamat sampai kepangkuan Mak petang semalam. Mak tergamam menyambut kepulanganku. Mak hampir tidak percaya aku akan balik juga.
Sebagai anak yang rindukan Mak, aku tetap pulang walaupun sekejap.
Terima kasih kepada teman yang mendoakan keselamatanku disepanjang perjalanan.
Salam teman kepada Mak telah aku sampaikan dan Mak menjawab dengan senang dan tenang.
Aku perasan wajah Mak yang sayu melihat aku berada didepannya. Riak gembira terselit di antara senyuman puasnya.
Aku tahu Mak sangat berbesar hati kerana aku balik menjenguknya. Aku juga sangat teruja berjumpa Mak.
Banyak perkara yang Mak bualkan denganku seolah-olah aku masih lagi anak kecilnya seperti dahulu.
Walau apa pun tanggapannya terhadapku, aku akur aku masih lagi anak Mak. Bagaimana sekalipun layanannya kepadaku, aku terima.
Dia kan Mak aku?
Jangan dibantah atau diderhakai.
Tidak bau syurga nanti!
Aku berbaring disisi Mak seperti biasa aku lakukan.
Mak luahkan segala apa yang terlintas difikirannya.
Aku menjadi pendengar yang sangat sedia dan setia .
Aku menyerap segala cakapnya.
Aku melayan karenah, cerita, rungutan, luahan rasa dan perasaan hatinya.
Mak perlukan seseorang untuk mendengar celotehnya.
Aku sedia mendengar.
Mak bercerita sehingga nada suaranya terasa puas dan lega.
Maaf Mak, ada kalanya aku terlelap, bukan kerana bosan memasang telinga menyerap kisah-kisahmu tetapi kerana keletihan.
Mak memang hendakkan perhatianku.
Anak lelaki Mak ada.....
Aku ada untuk itu.

Semua ini mengingatkan aku pada lirik lagu Ibu (Ito - Blues Gang)
dan Lagu Untuk Seorang Ibu (M Nasir - Kembara).

Lama tidak bersua, banyak ceritera yang Mak sampaikan.
Aku terleka dengan pengkisahan dan ingatannya.
Mak memang hebat!

Sudah berjela cerita Mak.
Kita tidor dulu Mak. Kita sama-sama letih. Mental dan fizikal.
Esok kita sambung lagi.
Cerita lain.
Kisah berbeza.
Aku sedia mendengar.
Malam ini kita tidor awal.
Kalau boleh aku nak tidor di bawah ketiak Mak sebagaimana waktu kecilku dulu. Enak dan selesa.
Lagipun Mak boleh kejutkan aku awal pagi esok.
Esok pagi kita kena bangun awal sebelum subuh.
Esok dah mula puasa Ramadhan.
Mak......kita bersahur dan berpuasa bersama-sama di bulan Ramadhan tahun ini.
Tentu sahaja Mak gembira bersahur bersama-sama. Macam dulu-dulu.
Aku juga teruja, sebab itulah aku balik untuk bersama Mak.
Nak meraikan Mak sambil bertanya khabar pasal Mak.
Kita berehat dulu Mak?
Kita masuk tido...

juadah berbuka

Hari ini hari pertama kita berpuasa.
Mak kelihatan masih gagah dan sihat menjalani ibadat puasa walaupun sudah berusia 85 tahun. Aku kagum dengan kesihatan Mak.
Alhamdulillah...
Setahu aku tarikh lahir yang tercatat dalam kad pengenalan lama Mak ialah 1924. Tetapi dalam MyKad telah dicatatkan sebagai 241120-02-****.
Moga Mak sentiasa diberkati.

Seharian berpuasa Mak tidak pernah bersungut tentang letih atau penat cuma sesekali menyebut tentang sakit urat dan lengoh-lengoh. Setakat ini Mak tidak dihinggapi sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan penyakit-penyakit kronik yang lain.
Alhamdulillah...syukur.
Mungkin kerana makanan Mak yang sederhana dan pantang larang Mak yang banyak.
Dalam keadaan bongkok, Mak masih mampu bergerak ke sana sini sendiri dengan bantuan tongkat yang setia.
Mak juga bukan jenis orang yang suka menyusahsulitkan orang lain.
Mak amat berdikari.
Aku kagum.
Aku bangga menjadi anak Mak.
Banyak lagi yang aku hendak tulis tentang Mak. Biarlah setakat ini dahulu. Lain kali aku akan tulis lagi pasal Mak seperti di sini, sini, sini, sini, sini, sini, sini , sini dan sini.
Sebagai anak, aku akan sentiasa doakan kesejahteraan Mak.
Moga ALLAH berkati hidup Mak selamanya.
Terima kasih kerana melahirkan aku ke dunia ini...
Bak kata seorang teman:
Sesungguhnya, kasihmu sesuci EMBUN...
dan itulah juga namamu MAK.

Beib...
ingat dan sayangkan...
...insan yang bertakhta di hati, siang dan mala M
kerinduan ini mendalam sentiasa dan setiap mas A
ku berdoa agar ALLAH berikan yang terbai K

buat pembaca entry ini
moga ibadat puasa menginsafkan kita
terima kasih

He's grown up...

dah besar anak teruna aku

Assalamualaikum / Good Day.....
It has been 23 long years.
I was there, in the early hours of the morning, when you were born. In fact I was the one who first 'touched' and hold you as the midwife was still on the way.
I assisted your Mama who was in labor.
It was a natural birth.
I was elated to hold you in my arms, as you cried your lungs out, right after the azan subuh. Then, I recited the azan in your right ear. You were subdued and calmed.
The azan really makes you a man right now.
I'm proud of you.
I would like to share with you a text message from a good friend of mine that might be able to make you live a better life :

Dream.........makes all things possible

Hope...........makes all things work

Love ...........makes all things beautiful

Smile..........makes all the above possible.

Be good
HAPPY BIRTHDAY
...my son...
28th August

SYAFIQ HABIB

Beib's only....
..hope is for his son's succes S
minus arrogance and eg O
and remember, life (good and meaningful), has to go o N

Friday, August 21, 2009

Terus Merindu...

Pembekal rindu?

Assalamualaikum / Good Day.....

Aku pernah ditanya oleh seseorang, "Tak penat ke drive balik kampung?".
'Tidak!", jawabku.
Ringkas dan tegas.
Perjalanan pulang ke AB sejauh 456 km. walaupun berseorangan dan mengambil masa lebih kurang 7 jam tidak meletihkan. Bukan 100 plus atau Red Bull yang membuatkan aku bertenaga tetapi bekalan kasih, sayang, cinta dan rindu.
Sesukar mana pun perjalanan ini, aku tetap merasakan bahawa kebahagiaan akan setia menanti di depan sana.
Minda dan jiwa terarah.
Hati dan perasaan berfokus.
Ini adalah perjalanan:
Mengharung rindu.
Menongkah resah.
Meredah dendam.
Kerinduan selama ini akan terungkai bila:
Mata bertemu mata.
Bibir bicara, menerpa ke telinga.
Senyum terukir, membuak rasa.
Sentuhan manja, mengulet jiwa.

Kerinduan Enterprise....saudagar rindu..

Pertemuan dengan yang disayangi bukan sahaja mengembalikan nostalgia malah mengikat lebih erat perasaan emosi.
Entah kenapa, perjalanan dan pertemuan kali ini begitu bermakna sekali.
Tidak terucap dengan kata-kata.
Tidak tertulis dengan kalam dan tinta.
Renungan mata, sentuhan serta pelukan mesra merapatkan rasa dan begitu bermakna sekali tanpa perlu ucapan atau kata-kata yang berjela.
3 bulan tidak bersua muka dan bertentang mata membangkitkan perasaan sayu hiba. Suara melalui telefon selama ini tidak cukup melunaskan rindu dendam.
Aku, ada kalanya terleka dalam keasyikan melepas rindu dendam.
Perit rasanya menahan rindu.

Pertemuan yang singkat ini seolah-olah menghimpun rindu untuk pertemuan yang akan datang.
Silih berganti, berterusan selagi nyawa dikandung badan.
Kadang-kadang terfikir kenapa ALLAH jadikan begini?.
Jawapan yang afdal ialah, ada hikmah disebaliknya.

Aku yakin ramai di antara kita yang pernah mendengar lagu yang sering dinyanyikan oleh ahli-ahli Pengakap - Bertemu dan Berpisah:
Bertemu dan berpisah
Adat manusia biasa
Hilang di mata tapi di hati tidak lupa

Berdoalah kita agar aman dan sentosa
Semoga dapat kita berjumpa di lain masa

Semoga dapat kita berjumpa di lain masa

Liriknya mudah tetapi amat bermakna. Nada dan melodinya yang sentimental mengusik jiwa, meruntun kalbu.
Pertemuan yang didambakan adalah permulaan kepada satu perpisahan.
Kata pujangga:
"Jangan salahkan perpisahan kerana pertemuanlah yang membawa kepada perpisahan".

Berjauhan dari mata dan sentuhan rasa biasanya membangkitkan emosi yang tidak menentu. Hanya komunikasi dalam talian serta panggilan telefon yang mampu mengurangkan bebanan rindu. Itu pun seketika sahaja.
Perhubungan dan pertemuan maya ini ada kalanya membakar lagi perasaan rindu.
Jenuh mengawal rasa, mengepung sendu.
Jadi, bagaimana mahu mengatasinya?
Aku sendiri tiada jawapan yang pasti.
Pelepas rasa tidak cukup sekadar ungkapan:
"I miss you"...
"rindu..."
natijahnya, tetap merindu sepanjang hayat...
Sakit dan pedihkan...?

...nostalgik memori indah di sepanjang jalan kenangan...
(foto hiasan)


Beib kadang kala sebak menahan...
...emosi dalam deba R
serta perit yang mencengkam dir I
hingga ada waktunya tidak kerua N
terasa lama seperti beraba D
menahan, menanggung di dalam kalb U

Thursday, August 20, 2009

Pulang membawa kasih, sayang, cinta dan rindu..

menanti mengharap kepulangan anak lelakinya

Assalamualaikum / Good Day.....

Ramadhan kembali lagi kesekian kalinya dalam masa 2 hari lagi. Sebagaimana biasa, kesyahduan menjelma secara tiba-tiba. Entah kenapa bila sahaja disebut Ramadhan, kita jadi nostalgik.
Kali ini, sempena Ramadhan yang kebetulan bermula dalam cuti sekolah, aku bercadang untuk balik kampung beberapa hari.
Bertemu Mak.
Sudah beberapa kali niatku ini tergendala akibat komitmen yang bertali arus.
Pernah kenalan baikku menganggap aku lebih pentingkan tugas dari Mak. 'Membelasah' aku dengan ayat-ayat yang pedih dan sinis kerana mahu mengingatkan aku supaya melaksanakan kewajipanku sebagai seorang anak yang baik. Berulang kali dia merayu aku pulang menziarahi Mak.
Katanya, Mak tentu sahaja menantikan kepulanganku. Sudah acap kali rancanganku tertangguh. Jangan hampakan Mak.
Kini, hampir 3 bulan tidak bertemu Mak.(rujuk sini)
Gembirakanlah hatinya. Jadikanlah Ramadhan ini sesuatu yang istimewa baginya.
Sesungguhnya syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
Aku akur.
Aku sendiri tahu dan amat faham bahawa aku kadang-kala alpa dan lalai. Mengutamakan tugas duniawi tanpa menghiraukan Mak.
Kali ini, walaupun ada tugas Jabatan yang terpaksa dilaksana dari 19-21 Ogos di Sutera Beach Resort, aku akan memohon keizinan pihak urusetia untuk dilepaskan.
Tidak boleh tidak.
Alhamdulillah...
Esok, awal pagi aku akan memandu bersendirian selama 7 jam semata-mata untuk menemui yang disayangi dan dirindui.
Ahli famili yang lain akan menyusul pada Hari Lebaran nanti.
Mak...aku pulang membawa kasih, sayang, cinta dan nostalgia yang akan aku agihkan sewajarnya...

Beib...
pulang berbekalkan rasa ...
... pua S
bersua dengan yang tercint A
after a long dela Y
bagi memenuhi tuntutan jiw A
setelah sekian lama menaha N
kerinduan yang selama ini ditanggun G
*Jom kita balik jumpa Mak (Abah)...

Sunday, August 2, 2009

Adeq: MyKad...my identity...

teruja ingin memiliki dokumen diri, MyKad

Assalamualaikum / Good Day.....

Empat hari lepas Adeq meraikan hari lahirnya. Cepat sungguh masa berlalu. Dalam diam-diam dia sudah berusia 12 tahun. Tibalah masanya untuk dia memiliki dokumen peribadi yang sangat penting.
Kad Pengenalan MyKad.
Jika di zaman aku dahulu, proses membuat Kad Pengenalan atau lebih popular dengan panggilan IC (Identity Card), mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan, kini dengan teknologi canggih ia boleh diproses dan disiapkan dalam masa yang singkat.
Aku dimaklumkan walaupun tempoh menunggu untuk mengutip MyKad yang siap diproses ialah sebulan, namun ia mungkin lebih cepat dari tempoh sebenarnya. Ada yang mendapatnya dalam masa 14 hari. Satu perkhidmatan yang membanggakan.
Proses yang mudah dan efisen ini tentu sahaja menggembirakan sesiapa sahaja yang ingin berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

cap jari yang diambil secara elektronik
Adeq teruja sangat ingin memiliki MyKad. Katanya ia akan menampakkan 'kematangannya'.
Antara perkara yang dinantikan sempena hari lahirnya ialah mengunjungi JPN.
Kini Adeq telah selesai memohon MyKad, jagalah ia dengan baik dan pastikan ia tidak hilang atau dirosakkan.
MyKad adalah identiti diri.
Ia adalah tanda dan bukti kewujudan, sebagaimana tahi lalat yang merupakan salah satu tanda unik dan jelas pada diri kita.
Di dalam MyKad tertera maklumat diri serta taraf kewarganegaraan. Adeq sebagai seorang remaja dan punya blog sendiri, perlu belajar mengutamakan satu sikap yang penting iaitu, bertanggungjawab. Penulisan Adeq dalam blog adalah tanggungjawab Adeq. Begitu juga dalam hal menjaga keselamatan MyKad.
Semoga Adeq berjaya menjadi insan yang Papa inginkan.

menanti giliran untuk disahkan butiran diri

semuanya sudah selesai, tunggu untuk mengutipnya dalam masa sebulan lagi

Beib bersyukur punya Yana, anak....
... ke 4 yang ceria serta bertanggungjawa B
dan aktif dalam kok O
Sentiasa teku N
dalam pelbagai bidan G
Seorang anak yang bagu S
dengar kata ayah dan ibU