Monday, August 31, 2009

Tetap Merdeka

Assalamualaikum / Good Day....

Sekali lagi kita berada diambang ulangtahun kemerdekaan. Ulangtahun yang ke 52. Dua tahun lebih dari usiaku. Dalam angka sematang itu, apakah yang kita fahami dengan kemerdekaan...?


Bagi setiap individu erti kemerdekaan tentu saja berbeza . Ia juga memberikan penghayatan yang berbeza di antara generasi kini dan generasi pra merdeka.

Erti sebenarnya kemerdekaan perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia. Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud terlepas dari cengkaman penjajah dari golongan manusia yang rakus, yang mengongkong hak beragama, pendidikan, ekonomi dan budaya malah perlu juga merdeka dari segi kongkongan minda yang jumud dan beku. Maksudnya, ia melangkau penjajahan fizikal, dan menerobos ke dimensi spiritual, mental dan emosi.

Aku berpendapat agama mesti menjadi tunggak dan tunjang utama kepada masyarakat bagi mengekalkan kemerdekaan negara. Ini perlu diikuti dengan pendidikan. Nilai-nilai agama yang suci dan murni serta sistem pendidikan yang holistik mampu membawa negara ke mercu kejayaan. Lantaran itu, masyarakat hari ini perlu mengutamakan nilai-nilai agama dan pendidikan dalam kehidupan seharian mereka.

Kemerdekaan yang dikecapi kini amat bermakna. Kita harus bebas bukan hanya daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Keupayaan kita membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing wajib disertai dengan usaha yang gigih untuk bangkit sebagai bangsa yang bermaruah. Kekuatan politik sahaja dalam memperolehi kemerdekaan tidak mencukupi. Ia perlu didokong dan disokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan dan ekonomi. Ini akan menjadi katalis untuk mempercepatkan proses pembangunan dan kemajuan negara.

Mengimbau apa yang diharungi oleh generasi pra merdeka, menjadi tanggungjawab rakyat generasi hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Generasi kini tidak lagi perlu menggalas senjata, sebaliknya menggalas beg berisi buku dan laptop untuk memenuhi dada dan minda dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan tidak bermakna kerana nilai jatidiri menjadi rapuh dan goyah.

Generasi kini perlu cekal dan tekal serta bersedia menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran dalam usaha untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Pelbagai cabaran pahit getir telah dilalui oleh rakyat Malaysia (Tanah Melayu - Malaya) terdahulu. Kemerdekaan yang amat bernilai ini perlu dinikmati dan dihayati oleh semua dengan iltizam yang tinggi untuk memelihara dan memartabatkan kekuatan politik, ekonomi dan sosial.

Agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa juga tidak boleh diabaikan. Perbezaan dan jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di antara pelbagai kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan. Ini wajar agar semua dapat menikmati erti sebenar kemerdekaan.

Bersama Mohan Raj dan Tan Boon Taik. Kenapa harus ada prejudis? baca sini

Perpaduan yang terjalin semenjak pra merdeka, sewaktu usaha memperolehi kemerdekaan dan selepas kemerdekaan, perlu diteruskan dan dipupuk dengan lebih mantap supaya rakyat menjadi semakin bersatu.

Pemimpin-pemimpin negara yang memperkenalkan pelbagai Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju.

Begitu juga dengan Dasar pendidikan yang bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan warganegaranya daripada belenggu kejahilan dan kejumudan. Anak bangsa Malaysia kini menjadi masyarakat moden dan berketrampilan.

Sebagai seorang pendidik dan knowledge worker (Peter Drucker), aku turut berbangga kerana profesionku secara tidak langsung membantu memanusiakan manusia. Memerdekakan minda dari penjajahan illiteracy. Memangkin kepada penguasaan ilmu dan menjana pengetahuan.

Kemerdekaan telah menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat. Kita bebas mengatur hala tuju sendiri mengikut acuan dan kemahuan kita bagi membentuk jati diri bangsa Malaysia. Ini cuba direalisasikan melalui slogan 1Malaysia.

Perjuangan mempertahankan kemerdekaan tidak pernah berhenti. Kegemilangan yang dicapai sepanjang lebih 50 tahun ini patut menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan selanjutnya. Inspirasi dari pengorbanan generasi terdahulu perlu diambil iktibar oleh kita untuk terus berusaha lebih gigih menjadi bangsa yang maju dan moden. Juga sebagai sebuah negara bangsa yang unggul yang dihormati dan disanjungi.

Selain dari itu, jiwa, hati dan minda juga mesti merdeka. Jangan dibelenggu oleh sifat - sifat mazmumah seperti keras hati, cemburu dan ego . Perasaan inilah yang selalunya akan menimbulkan bibit perbalahan dan pertelingkahan. Mungkin juga akan membarah sehingga belakunya konflik antara dua entiti yang lebih serius. Apa yang penting ialah hakikat diterima, sepakat dicari.

Moga kemerdekaan fizikal, spritual dan emosi dapat menjalinkan kasih sayang yang utuh untuk kebahagiaan dan kesejahteraan semua.

Beib bangga menyambut...

...ulangtahun ke 52 kemerdekaan dengan penuh aza M
dan semangat patriotism E
yang lahi R
bersama usia setengah aba D
tanpa mengaitkan isme-ism E
yang muluk-mulu K
cuma cita-cita yang boleh dicapai oleh jiwa merdek A

No comments: