Thursday, January 31, 2008

Di Belakang Rumahku


Di belakang Rumahku (1986), akrilik.
Koleksi peribadi
Assalamualaikum / Good Day.....
Bila saja aku terpandang catan yang tergantung di dinding ruang tamuku, imbauan ke kampung halaman mencengkam di kalbu.
Aku tahu ramai diantara bloggers yang berasal dari kampung atau desa.
Begitu juga dengan aku.
Sesekali bila memandu melintasi kampung, teringat pula akan kenangan silam semasa kecil.
Kenangan dilahir dan dibesarkan di kampung atau desa sentiasa menjadi sesuatu yang nostalgik.
Kerana itulah, setiap kali Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha kita akan didendangkan dengan lagu-lagu yang mengimbau kenangan semasa berada di kampung atau desa.
Bahkan istilah 'balik kampung' menjadi sesuatu yang keramat di musim perayaan bagi orang Melayu, terutamanya.
Maka teringatlah suasana bermain di sekitar kampung. Di waktu itu, keseronokan bersama kawan melebihi segalanya.
Tiada internet, siber cafe, PS3, video game serta lain-lain alat elektronik yang menceroboh minda kita.
Yang ada hanyalah guli, gasing, wau, bulu ayam, konda kondi, aci sorok, tarik upih, congkak, batu selimban/selambut, galah panjang atau toi, sepak raga dan lain-lain yang memerlukan tenaga fizikal yang banyak.
Sebab itulah, ramai kanak-kanak di zaman itu lasak dan aktif.
Selesai bermain, ramai-ramai akan mandi-manda di kali, sungai, tali air, tasik, telaga atau perigi.
Bagiku, Sungai Anak Bukit yang jernih kehijauan sentiasa menjadi pilihan. Lama berendam dan berenang ' memerahkan mata' dan mengecutkan kulit.
Di situ jugalah aku mula belajar berenang dan mengayuh/mendayung perahu.
Pun begitu, tempat mandi yang paling aku rindui ialah di belakang rumah Pak.
Tersorok dari pandangan umum.
Santai, damai, tenang dan ringkas.
Dengan memakai kain cukin(istilah orang Kedah: kain basahan) atau berseluar pendek, aku akan mandi sepuasnya dari air paip yang bertakung di dalam tempayan.
Kedinginan menyejuk dan menyegarkan.
Walaupun tempat mandiku itu sudah tiada, aku sempat abadikan dalam foto dan catan yang aku namakan "Di belakang Rumahku".
Ianya menjadi ingatan dan menyedarkan aku bahawa sesekali aku perlu 'balik kampung'....
Beib teringat masa...
kecil bersama teman, bercampur gau L
bermain dan mandi-mand A
tak pernah duduk dia M
penuh aktiviti dari pagi hingga gela P
namun masih ingat pesan ibu bap A
agar jangan lupa menuntut ilm U

Tuesday, January 29, 2008

TUAH

Dengan kereta bertuah
Assalamualaikum / Good Day.....
Ini adalah coretan aku dalam website peribadi pada tahun 1998 untuk santapan semua.

Kata orang tua-tua "Tuah ayam nampak di kaki", tapi tuah manusia nampak di mana ya..? Inilah coretan mengenai tuah yang akan sentiasa aku kenangi dan kusyukuri sepanjang hayatku.
Telah menjadi minat dan hobiku mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan dan pertandingan yang disiarkan dalam akhbar atau majalah. Bukan apa, cuma untuk mengisi masa lapang dan menguji kebolehan menjawab soalan. Manalah tahu, kalau bernasib baik mungkin hadiah yang disediakan boleh menjadi milikku.
Namun persaingan tentu saja sengit dan hebat. Sebagai pemegang sejenis kad kredit, aku telah diberikan sekeping borang penyertaan untuk satu peraduan yang kuanggap sangat mudah tetapi mencabar.
Eh! ya ka..? Peraduan ini hanya memerlukan tiga jawapan berdasarkan petikan yang telah sedia diberikan dalam borang penyertaaan tersebut. Soalannya amat mudah dan 'straight forward'. Jawapannya pula boleh didapati dalam petikan tersebut. Cuma yang agak mencabar ialah mencipta slogan atau cogankata yang mesti tidak melebihi 15 patah perkataan.
Jam pada ketika itu menunjukkan sudah pukul 11.30 malam. Aku masih berada di bilik bacaan di rumahku. Selesai membaca ruangan pojok di akhbar kegemaranku, aku teringat akan borang peraduan tadi. Kuambilnya dari laci meja tulisku dan kuhayati kehendak soalan serta slogannya. Ketiga-tiga soalan mudah dijawab. Tapi slogannya. Susah juga untuk memikirkan satu slogan yang ada 'kick' atau ada 'punch'.
Kukeluarkan sehelai kertas kajang kosong untuk kureka-reka slogan yang sesuai. Sesi 'brain storming' pun bermula. Buntu juga mindaku mencari perkataan, istilah serta ayat yang sesuai untuk slogan tersebut. Ku perahkan juga otakku untuk mencari satu kombinasi perkataan yang mantap.
Tiba tiba, isteriku masuk ke bilik dan menghampiriku yang sedang asyik memerah otak. Dia lantas menyindirku. "Alaaa..takkan menang punya. Pergi tidur aja la. Buang masa saja."
Dia kemudiannya berlalu pergi dengan senyuman sinisnya.
Sindirannya itu tiba tiba menjadikan aku bersemangat untuk membuktikan kehandalanku.
Aku terus menjawab."Kalau menang nanti, jangan nak mengada ada.."
Aku tertarik dengan hadiahnya yang lumayan. Hadiah pertama ialah percutian ke New Zealand selama seminggu, kedua alatan elekrik begitulah seterusnya sehingga hadiah ke enam. Tetapi yang paling menarik ialah Hadiah Utamanya bernilai RM90,000.00.
Acik bergaya dengan Peugeot 405GTi
Hebat hadiahnya.
Teringin juga aku memiliki kereta yang canggih itu selain dari kereta Proton Saga merah yang kami beli di hari pelancarannya pada tanggal 17 September 1985. Kereta kedua kami pada waktu itu ialah sebuah Daihatsu Charade model 1984.
Malam itu aku bertekad untuk menyiapkan slogan peraduan tersebut. Aku sendiri tidak sedar bila aku menyiapkannya. Keletihan memaksa aku masuk tidur.
Kesokkannya, sampul surat yang berisi borang penyertaan itu aku poskan. Isteriku tersenyum sinis lagi. Aku sendiri hanya mampu membalas senyumannya dengan harapan yang menggunung.
Tiga bulan sudah berlalu. Aku sudah terlupa tentang peraduan tersebut. Impian dan harapan terhadap hadiahnya juga tak lagi kuingat.
Pada suatu hari Khamis November 1990, aku seperti biasa balik dari tempat kerja dengan memandu kereta Proton Sagaku. Sesampai di kawasan rumah, isteriku sudah pun berada dimuka pintu.
"Awal dia balik hari ni...?" fikirku.
Aku hentikan kereta untuk membuka pintu pagar rumah. Sebaik sahaja kereta kusimpan di bawah porch dan belum sempat aku membuka pintu kereta, tiba-tiba isteriku terus menerpa kearah kereta.
Cara dia berlari menuju ke arahku menimbulkan rasa cemas dihati. Yang terfikir olehku ialah sesuatu yang buruk telah berlaku.
"Kita menang bang...kita menang..." jeritnya mengatasi bunyi enjin kereta yang belum kumatikan itu.
Aku terpinga. Aku masih belum mengerti maksudnya. Sesudah kumatikan enjin dan keluar dari kereta, dia terus mengulangi kata kata yang sama.
Lalu dia terus menceritakan tentang panggilan telefon yang diterimanya sebentar tadi. Katanya, panggilan telefon tadi adalah dari Kuala Lumpur. Pemanggilnya ialah Mrs.Chan dari MBf, syarikat kad kredit .
Dia menelefon untuk mempastikan samada alamat serta nama isteriku itu betul dan tepat. Dia turut mengucapkan tahniah kepada kami kerana telah memenangi Hadiah Utama peraduan yang dianjurkan oleh syarikat itu lebih kurang 4 bulan yang lalu. Dia menyatakan bahawa surat pemberitahuan akan diposkan secara berdaftar dan dijangka sampai dalam sehari dua lagi.
Esok hari Jumaat, pejabat pos tutup kerana ianya hari minggu disini. Aduh! siksa menantikan hari Sabtu.
Aku bertambah bingung. Betul ke atau hanya sekadar gurauan oleh teman teman..? Tapi..aku sendiri tak pernah menceritakan tentang penyertaanku dalam peraduan ini kepada sesiapa pun. Heran ya..? Aku masih terpinga-pinga. Kami tidak tahu kemana harus kami hubungi untuk mendapatkan kepastian.
Selesai makan dan solat Zohor, aku kebilik bacaan untuk menyelongkar bahan-bahan yang berkaitan dengan pertandingan tersebut yang masih ada. Brosur dan keratan borang pertandingan masih tersimpan di dalam laci di meja tulisku. Dalam brosur itu terpampang senarai dan gambar hadiah yang ditawarkan. Kenangan diperli oleh isteriku masih terngiang. Aku tunjukkan brosur itu kepada isteriku dan kami terus berbincang mengenai panggilan telefon tadi. Aku masih tidak yakin selagi tidak ada hitam putih. Isteriku juga turut keliru bimbang dipermainkan atau mungkinkah salah orang?Malamnya tidur kami tidak berapa nyenyak, teringatkan panggilan telefon siang tadi.
Keesokan hari kami masih berbincang dan menilik brosur yang ada pada kami. Boleh tahan comel kereta yang ditawarkan.
Hari Jumaat ialah "Hari Keluarga" di mana semua ahli keluarga yang tiada urusan di luar daerah akan berkumpul di rumah aruah ayah. Ahli keluarga seramai lebih kurang 30 orang akan berkumpul sambil minum petang dan makan pisang goreng. Biasanya kami berbual serta berbincang mengenai isu keluarga. Dalam perbualan pada hari itu, kami telah menyatakan tentang panggilan telefon yang kami terima semalam. Ramai ahli keluarga yang tertawa dan menganggap itu hanya sebagai gurauan sahaja. Tapi, ada juga yang turut berdebar dan menyatakan rasa tak sabar menanti surat dari pihak yang berkenaan.
Malamnya kami tidak juga boleh tidur dengan nyenyak. Kami asyik berbual mengenai hadiah tersebut. Keesokan hari kami tak bercadang untuk kemana-mana. Yang kami tunggu hanyalah posmen yang biasanya sampai pada lebih kurang jam 12.30 tengahari.
Saat yang dinantikan datang jua akhirnya. Posmen yang ditunggu telah tiba. Pet..pet..bunyi hon motorsikalnya. Kami berdua berlari anak mendapatkan posmen tersebut. Dia nampak terkejut dalam senyuman. Kami dihulurkan sepucuk surat berdaftar dan sebatang pen untuk menandatangani slip penerimaan.
"Dapat cek ke? tanyanya. Kami hanya tersenyum.
Setelah siap, pen dan slip penerimaan dikembalikan. Tanpa berlengah lagi kami terus membuka sampul dan sahlah bahawa ianya membawa tuah dan rahmat.
Syukur...ALHAMDULILLAH...
Ayah dan ibuku di Kedah terus dihubungi. Kesyukuran diucapkan berkali-kali. Solat syukur aku tunaikan tanda terima kasihku kepadaNYA. Keseronokkan kami berterusan sehingga hari penyampaian hadiah beberapa minggu kemudian.
Pada 10 Januari 1992,yang kebetulan merupakan Ulangtahun Hari Lahir isteriku yang ke 32, aku, isteri, anak sulung serta abang iparku hadir di majlis tersebut di Kuala Lumpur.
Kami diraikan dalam satu majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna. Acara penyerahan hadiah dijalankan. Bila nama isteriku dipanggil untuk menerima "Grand Prize" tersebut aku hanya mampu memanjangkan kesyukuranku kepada Illahi. Kunci replika sepanjang satu meter beribon merah diserahkan kepada isteriku dihadapan kereta hadiah tersebut. Silauan lampu "flash" dari kamera pemberita memancar-mancar bagai kilat. Saat itu aku rasakan teramat bahagia kerana isteriku telah menerima hadiah harijadinya yang amat bermakna. Sebuah kereta Peugeot 405 GTI. Walaupun aku yang menjawab soalan dan mereka cogankata untuk peraduan tersebut namun nama isteriku telah aku gunakan dalam borang tersebut. Itulah tuah nama isteriku.
Sehingga kini, selepas 16 tahun, kami masih lagi menggunakan kereta tersebut kerana ia adalah lambang tuah dan kasih sayang kami sefamili. Seterusnya untuk tahun-tahun berikut aku masih menyertai beberapa peraduan dan memenangi berbagai hadiah yang menarik.

SYUKUR.....ALHAMDULILLAH.
Moralnya: Belum cuba... belum tahu
dan bersyukurlah INSYAALLAH kita akan sentiasa dilimpahi rahmatNYA

Beib akan sentiasa bersyukur kerana...

rezeki adalah rahma T
yang datang tak tentu wakt U
kekadang tanpa didug A
sesungguhnya ia dari ALLA H

Monday, January 28, 2008

Adeq demam laa KakLong..

Demam pun masih senyum..
Assalamualaikum / Good Day.....
Dalam cuaca yang tak menentu begini, kadang-kadang kita mudah dijangkiti penyakit. Kejap panas dan kejab sejuk menyebabkan suhu badan tak menentu.
Peningkatan suhu dalam badan yang melebihi 37.5 darjah Celsius boleh menyebabkan seseorang itu demam.
Sementara, bagi mereka yang kurang anti-body, bakteria dan virus mudah menyerang lantaran sistem imunisasi gagal mengenalpasti dan meneutrulisasi objek-objek asing.
Inilah yang terjadi pada Adeq.
Menanti untuk didiagnos
Dah dua hari suhu badannya panas. Aku cuma berikan dia paracetamol cair yang aku beli di farmasi. Aku berharap agar bahan analgesic and antipyretic yang terdapat didalamnya dapat melegakan demamnya. Namun, kurang berkesan. Terpaksa juga aku membawanya ke Klinik An-Nisa' yang terletak di Pekan Batu Enam, lebih kurang 4 km dari rumahku.

Adeq di depan klinik selepas dirawat

Ia merupakan klinik panel keluargaku.
Apa yang menarik ialah Doktor Che Faridah, merupakan bekas pelajarku ditahun 1980'an.
Malah aku pernah menjadi jurulatih olahraga untuk daerah KT Utara (KTU) dan MSSM Terengganu di mana Dr. Che Faridah, yang lebih mesra dipanggil Kak Long, mengambil bahagian dalam acara lontar peluru dan cekera.
Tapi yang paling manis ialah bila dia menjadi Kapten pasukan bola jaring sekolah dan daerah KT U yang telah berjaya menjuarai bawah 18 tahun negeri Terengganu dibawah bimbinganku pada tahun 1983.
Kenapa? Tak percaya ke aku merupakan jurulatih bola jaring daerah KTU pada waktu itu? Malah aku pernah ditawarkan sebagai jurulatih bola jaring negeri. Jangan terkejut ! Heheheh...(aku akan cuba imbas dan muatnaik foto-foto nostalgik tu nanti)

KakWan diperiksa tekanan darah, Adeq merenung mercury manometer

Keakraban kami kekal hingga kini.
Tahukah kalian caj rawatan di kliniknya untuk aku sekeluarga ? Biasanya antara RM15 - RM20 untuk demam dan sakit-sakit biasa.
Mungkin kerana aku ni pernah menjadi sifunya, pada tahun 2003 semasa kami sefamili hendak menunaikan Umrah (klik entry ini) dan perlu disuntik (meningococcal vaccines) iaitu anti meningococcus W135, aku tidak diminta membayar sesen pun untuk suntikan tersebut.
Bayaran satu suntikan sepatutnya ialah RM75.00.
Jumlahkanlah dengan enam orang!
Permintaannya kepada kami ialah sedekahkan beberapa kitab suci AlQuran di Masjidil Haram
dan Masjidil Nabawi.
Alhamdulillah...Itu telah kami tunaikan.
Sesungguhnya, Dr. Che Faridah merupakan antara bekas pelajar kebanggaanku.
Beib bangga Kak Long menjadi seorang...
yang berbakti tanpa ha D
membantu insan sokmo sokm O
merawat sakit, demam, bengka K
mengesyor rawatan dan uba T
sesuai dengan jawatan sebagai M O
moga jasa baikmu sentiasa subu R

Saturday, January 26, 2008

TA! TA!

Dari Terengganu ke Putrajaya
Hadapan Blok E8, KPM
Assalamualaikum / Good Day.....
Kalau difikirkan rasanya tak mau masukkan entry ni. Sedih ada, duka ada, kesal pun ada. Semua berbaur dan berkecamuk.
Hampir 5 tahun kami bersama. Suka duka dilalui dengan tabah. Perjalanan hidup sentiasa meriangkan.
Walaupun kami tak bercakap atau berinteraksi secara lisan, namun kami saling memahami.
Kehendak dan kemahuan kami sentiasa dituruti tanpa paksaan dan ingkar.
Tanggungjawab dipikul olehnya tanpa bantahan. Segala apa yang kami masukkan ke dalamnya tidak dipersoalkan.
Bukan kerana benci atau bermasalah. Tetapi keadaan semasa tidak memungkinkan kita bersama lagi.
Segala khidmat baktimu tetap akan dikenang sepanjang hayat.
Jasa kau pada kami akan kami ingati. Membawa kami ke pelusuk tanahair menyaksikan keindahan alam dan kebesaran Ilahi. Merapatkan silaturrahim serta menjalinkan persaudaraan.
Ketempat kematian dan kenduri-kendara. Membeli belah dan ke tempat kerja.
Ketahuilah bahawa Adeq, Acik dan aku sendiri merasa amat pilu melepaskan kau pergi. Semua dalam famili termasuk Abang, Qaqaq dan KakWan turut merasa demikian.
Semoga kau bahagia bersama familimu yang baru..
Terima kasih diatas segalanya.

Membawa Abang ke Kulim dan KL

Membawa Qaqaq ke Kolej Matrikulasi Phg dan IBBM, KL

Penuh dengan 13,000 biji kuih pada HRAF 1428

Pelukan terakhir Adeq

Qaqaq dan Adeq tak mau lepaskan Jet

Adeq memberi senyuman pahit dalam Jet di tempat duduk kesayangannya

Jet takkan bersama Pug dan Kel ISA lagi

Selamat Jalan Black Jet....

TAF2552 - bersama merantau dengan kami sejauh 60,000km

Beib masih sayangkan...

Jet yang membawa kami ke merata tempa T
dari utara, selatan dan seluruh pantai timu R
memberi keseronokan pada kami sekeluarg A
dalam satu pake J
termasuk IC E
mantan 'people mover' kami yang heba T

Friday, January 25, 2008

SEPUPUKU

Mad Dee dari Alor Madi
Assalamualaikum / Good Day.....
Kekadang bila dah lama berjauhan di perantauan, perhubungan dengan sanak saudara dan sepupu sepapat kian renggang. Tapi, ada juga kalanya makin mengeratkan kerana perasaan rindu dan 'kehilangan' meruntun jiwa.
Jadi, apabila dapat bertemu semula, keakraban dan silaturrahim terikat semula.
Sebelum maghrib tadi, Muhammad Md Zain (Mad Dee), sepupuku dari Kedah telah menghantar SMS menyatakan hasratnya untuk datang ke rumahku. Aku amat teruja kerana dialah antara sepupuku yang sering bertanya khabar dan menjengukku bila aku balik kampung.
Selama dua hari beliau akan menjalankan tugasan di BERNAS, Bukit Kenak, Jerteh.
Bertugas di Ibu Pejabat BERNAS di Alor Setar membolehkan dia menjalankan kerja-kerja luar di semua pejabat BERNAS di seluruh negara.
Aku masih ingat semasa kecil dulu kilang padi yang terletak di seberang sungai Anak Bukit berhadapan rumah arwah Pak dikenali sebagai Government Rice Mill (GRM). Ianya wujud sejak sebelum perang lagi. Gudang padi dan beras terbesar di negeri Kedah.
Kemudian, ia dikenali sebagai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan di swastakan pada Januari 1996 selepas diambilalih oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Sesekali makan 'western food' sedap juga

Mad Dee ni dah acapkali dia ke Jerteh, cuma tak berkesempatan untuk singgah di rumahku.
Jadi, bila ada peluang sebegini, banyaklah cerita dan berita yang kami kongsi bersama.
Sambil menanti kedatangannya, aku terbayangkan masa kecil dulu bila kami sama-sama main bola di sawah (bendang: istilah orang Kedah) yang telah dituai padinya.

Bendang yang dipenuhi pokok padi. Musim selepas menuai, menjadi padang bola.

Selain dari itu, kami sama-sama berenang menyeberangi Sungai Anak Bukit, bermain perahu, berlumba basikal sekitar kampung, main toi, main 'police and thief' dan sentry, main combat: main perang-perang menggunakan senapang kayu berpelurukan buah ceri atau main capelong berpelurukan buah cenerai.

Wau, gasing, menahan bubu di sungai dan taliair, memancing - menyua dan taut, menyerkap ikan di bendang, berbasikal mengambil buah-buahan di dusun TokWan di Kampung Bukit Pinang dan lain lain permainan yang tak terfikirkan oleh generasi kini.

Pangkalan tempat aku mandi dan main perahu
Jika ingin tahu serba sedikit berkenaan kehidupanku semasa kecil sila klik sini.
Terasa pilu bila mengenangkan zaman itu telah berlalu hampir 40 tahun yang lalu. Sesekali tergamam juga bila sedar bahawa ianya tidak akan kembali lagi dan kenangan nostalgik itu akan hanya berada dalam memori.
Selagi daya ingatan dan memori masih kuat berfungsi, semua yang dialami pada zaman 'Tok Nadok' dulu akan tetap dalam kenangan...
Selamat datang Mad Dee, sepupuku, dari Kampung Alor Madi, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah......
Beib gembira dapat jumpa...
anak Mak Ngah yang juga wari S
yang lebih dikenali sebagai Mad De E
semoga sihat, sejahtera dalam hidu P
bersama keluarga m U
Terima kasih kerana sudi singgah wapun sekeja P
kenangan lalu tak mungkin luput dari ingatank U

Sunday, January 20, 2008

Tanah Tinggi

Bersama Zolphin membincangkan aturcara
Assalamualaikum / Good Day.....
Mesyuarat JK JU Seni Visual yang diadakan baru-baru ini telah bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat dan sesi perbengkelan bahan di Cameron Highlands(CH).
Selaku S/U, aku turut gembira kerana dapat bersama lebih kurang 30 orang rakan-rakan seni selama 3 hari berkampung di sana.
CH pernah aku lawati beberapa kali dan rasa teruja tetap ada bila menyebut tentangnya.
Entah kenapa, suasana dan environmen di sana begitu hening sekali bagiku.
Harapanku agar keheningan dan kedinginannya masih kekal.
Kali terakhir aku ke sana bersama famili ialah dua tahun dahulu.
Masih dinginkah lagi? Adakah kehijauan dan kesegaran tetap kekal? Gembirakah aku ke sana nanti?
Nak tengok juga Gunung Brinchang (2,031m), adakah masih berdiri gagah atau telah ditarah oleh manusia yang tidak bertanggunjawab.
Masih hijaukah Ladang Teh di Sungai Palas?
Segarkah lagi bunga dan sayuran di Kea Farm?
Adakah pekan-pekan seperti Ringlet, diikuti oleh Tanah Rata, Brinchang, Kea Farm, Blue Valley,Tringkap, Kuala Terla and Kampong Raja masih rustic dan laid back seperti dulu?
Aku juga ingin menikmati lebuh raya baru sepanjang 260km bernilai RM316 juta, yang menghubungkan Kuala Berang di Hulu Terengganu dengan Simpang Pulai dekat Ipoh yang dikatakan ada jejambat bagi binatang menyeberangi lebuhraya. Huh! hebat.
Zolphin, sahabatku, yang telah melalui lebuh raya ini bulan lepas menyatakan bahawa keindahan alam semula jadi di sepanjang lebuh raya ini menakjubkan.
Moga perjalanan kami dari 31 Januari - 2 Februari 2008, selamat dan berjaya serta memberi manfaat kepada pendidik dan anak didik dalam bidang Seni Visual dan Muzik.
Beib kepingin untuk menikmati...
alam semulajadi yang membuat kita rasa segar dan sihat T
melawat pelbagai tempat menarik termasuk Rose Centr E
merehatkan minda, menghilangkan lela H

Thursday, January 17, 2008

TENPINBOWL

Sakit juga jari aku ni
Assalamualaikum / Good Day.....
Dalam waktu senggang atau cuti, rasanya elok juga kalau kita luangkan sedikit waktu merasakan nikmat bermain.
Anak-anak aku, seperti anak-anak zaman kini yang lain, tak mau lagi main wau, congkak, batu seremban, guli atau gasing yang memerlukan perbelanjaan yang minima.
Bagi mereka, permainan yang popular di zaman aku dulu dah tak ada 'class'.
Lantaran itu, permainan mereka menjurus kepada yang bermodal besar dan 'high profile'. Huh! hebat bunyinya.
Oleh kerana ianya permainan baru bagi aku dan KakWan, kami temankan juga tiga orang anak dara kami tu.
Abang? Memerap kat rumah tengok bola keranjang NBA. Apa kata orang, minat sejak azali...?
Ok lah, permainan yang aku nak tonjolkan di sini ialah boling.
Bowling is a sport in which players attempt to score points by rolling a bowling ball along a flat surface in order to knock down objects called pins.(wikipedia)

Tolong jangan tanya score aku

KakWan pun nak cuba juga. Asyik menggolek bola masuk 'gutter' je..

Berat bola dari Adeq

Acik menang sengih ajer..
Konon ceritanya, orang Mesir purba yang memulakan permainan ini.
Kenapa dipanggil boling? Entahlah, yang aku tahu bowl bermaksud mangkuk.
Jangan mangkok hayun dahla....
Boling memerlukan tempat khas.
Lorong yang dibuat dari kayu atau sintetik (polyurethane) diperlukan untuk menggolek bola dengan tujuan untuk mendapat mata secara menjatuhkan sebanyak pin yang mungkin.
Lorong-lorong khas ini dibina di dalam tempat tertutup seperti dewan yang dinamakan arked.


Qaqaq kerap juga meng 'gutter' kan bola
Apa pulak pin?
Pin yang dimaksudkan ini bukanlah yang digunakan untuk menyemat kain, kertas, bahan atau objek objek lain. Tidak juga AYAH PIN!
Pin ini beratnya tidak kurang dari 1.47 kg -1.64 kg. Kelihatan seperti botol coca cola.
Susah la nak terangkan benda ni. Rujuk saja kat wikipedia. Klik kat sini.
Tempat yang kami tujui untuk bermain boling ialah TERENGGANU EQUESTRIAN RESORT atau TER yang terletak di Kuala Ibai lebih kurang 20km dari rumah kami.
Ianya merupakan sebuah kompleks permainan dalaman (indoor) dan pusat ekuestrian yang baru setahun dibuka.
Sempena Tahun Melawat Terengganu 2008 datanglah jenguk sendiri kemudahan yang ada.
Barulah kali ini aku dengar dan kenal istilah boling seperti strike, spare, frame, double dan perfect game.
Istilah yang paling menarik yang aku baca mengenai boling ialah TRIOS dalam pertandingan boling anjuran WTBA World Championships.
TRIOS adalah kategori tiga orang sepasukan.
Lebih menarik lagi, kereta kesayangan aku bernombor plet mengujakan...
Ada pemain boling pro yang berminat dengan nombor plet ni..? hehehe..

Acik dan Adeq dalam boot kereta kesayangan aku TRIOS


Beib minat juga bermain...
kerana ia mengelakkan kita menjadi lemba B
menguatkan otot, menambahkan mach O
menjadikan badan, anjal dan peja L
meningkatkan kecergasan dan penampilan dir I
samada di padang, gelanggang atau tama N
hidup ceria, mental tenan G

Tuesday, January 15, 2008

BBQ

Assalamualaikum / Good Day.....
Merehatkan minda memberi banyak manfaat. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan tanpa mengerahkan keringat dan memerah otak yang banyak. BBQ adalah salah satu daripadanya.
Ianya menyeronokkan, juga mengajar kita erti kesabaran dan kerjasama.
Ada nilai atau sifat-sifat positif lain yang boleh kita terapkan secara langsung atau tidak langsung.
Selain dari mengeratkan silaturahim antara anak beranak, ia juga melahirkan kemesraan dan keintiman suami isteri.
Dengan ruang dan peluang yang ada, kami sefamili ber BBQ di LamaNyaman meraikan Tahun Baru 2008, Perisyhtiharan KT sebagai Bandaraya Warisan Persisir Air dan Maal Hijrah @ Awal Muharram.
Ini juga merupakan aktiviti keluarga bersama sebelum Abang dan Qaqaq balik ke kampus masing-masing di KL bagi meneruskan pengajian.
'BBQ grill' menggunakan arang kayu
Adeq menghidangkan air, sopan gadis Melayu gitu
Kak Wan dan Qaqaq sibuk 'grilling'Adeq, Qaqaq dan Papa mengipas api arang
siap posing lagi

Daging ayam yang menyelerakan

Abang dan Adeq menjamu selera

Seronok juga melayan karenah anak-anak ni...

Beib suka....
daging bakar atau panggan G
letakkan sos tomyam yang cai R
samada sos tomato atau cil I
cicah atau gau L
makan sekadarnya dan pastikan hala L

Thursday, January 10, 2008

TEN JAN

Kak Wan dengan senyuman menawan
Assalamualaikum / Good Day.....

Diam tak diam dah masuk sepuluh hari dalam tahun 2008. Begitu pantas masa berlalu. Terasa macam semalam baru menyambut tahun baru 2008 dan meraikan perisytiharan KT sebagai Bandaraya Warisan Persisir Air.
Adeq dan Acik beria-ia nak adakan majlis ringkas di rumah. Tak boleh tidak mesti kena buat juga.
Adeq asyik sibuk nak ajak belikan itu dan ini. Oleh kerana hari ini hari cuti Awal Muharam, aku layanlah Adeq. Kami keluar ke kedai kek berhampiran rumah mencari kek cokelat setengah kilo.
Tapi nak buat apa dengan kek tu?
Nak raikan tahun baru 2008? Dah lepas dah..
Nak rayakan perisytiharan KT sebagai Bandaraya? Dah selesai..
Hmm...sebenarnya mereka nak meraikan hari lahir Mama mereka.
Hari ni, 10 Januari ialah hari lahir KakWan.
Dah nak masuk kategori warga emas dah...hehehe..
Aku sendiri pun tak tau nak hadiahkan apa kat dia.
Cuma yang sempat aku hadiahkan ialah ucapan Selamat Hari Lahir @ Happy Birthday awal pagi tadi.
Semoga isteriku sihat, selamat, sejahtera, bahagia dan dilindungi ALLAH sepanjang masa.
Aku juga sempat selitkan sampul surat berisikan sesuatu padanya.
Moga dihargai dan dipergunakan sebaik mungkin.
Selesai majlis ringkas dan jamuan kek, aku terpaksa berkemas untuk menghadiri satu mesyuarat bersama LPM.
Nampaknya majlis makan malam meraikan 'birthday girl' akan berlangsung selepas aku kembali dari Putrajaya nanti.
Beib doakan ...
ALLAH rahmati isteriku siang dan mala M
sentiasa selamat, bahagia dan sejahter A
dijauhi penyakit, pening dan dema M
panjang umur, beriman dan bertaqw A

Friday, January 4, 2008

Jengkel Jelik

Amati kapsion yang tertera
Assalamualaikum / Good Day.....
Terkedu melihat gelagat segolongan anak muda KT sebagaimana yang disiarkan dalam beberapa blog dua tiga hari ini.
Aku sendiri rasa malu dan kalau boleh tak mahu memaparkan foto-foto mereka yang menjelik dan menjengkelkan itu.
Memaparkan foto aksi mereka akan menjadi satu iklan mempromosi kumpulan mereka pulak.
Biarlah aku paparkan satu sahaja agar tak membazir ruang blog aku. Ini pun hanya sebagai maklumat dan pengajaran. Yang lain-lain anda boleh tengok dan baca komen di sini dan di sini.( dengan izin).
Apa sebenarnya yang hendak dicari dan dibuktikan?
Populariti? Tak nampak ada bakat pun... Nak tunjukkan kemewahan? Apa buktinya?
Nak tonjolkan 'glamour'? huh...lihat wajah dan pakaian masing-masing.
Nak menampakkan berilmu? jauh sekali..
Ini bukan pandangan menghina, cuma sedang menyoal diri apa sebenarnya yang dicari oleh puak-puak ini.
Cara dan gaya berpakaian nampaknya mereka macam dari kumpulan Punk. Bukan Skinheads atau Gothic .
Salah satu maksud Punk ialah A worthless person (Orang tak berguna). wiktionary.
Mungkin juga. Penampilan mereka pun seolah-olah cuba menjadi golongan modern primitive.
Di Barat, kumpulan seperti ini wujud kerana cuba menjadi penentang atau anti establishment. Ini bermula pada pertengahan 70'an di USA, UK dan Australia.
Seorang penulis, V.Vale, pernah menyatakan bahawa Punk was a total cultural revolt.
Memang, mereka ini mungkin cuba memberontak tapi ini bukan caranya. Agama dan budaya Melayu Islam tidak merelakan ini berlaku.
Apa pendapat anda?
Sedang anak-anak bangsa lain berlumba-lumba mencari ilmu di samping mengejar kejayaan dan kekayaan, anak-anak muda kita pula mengejar publisiti dan glamour yang menjatuhkan maruah agama, bangsa, keluarga dan diri.
Maka janganlah hairan jika pendatang asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan benua Afrika kian hari, kian ramai bertandang ke KT.
Mereka ingin memenuhi lompang rezeki yang ditinggalkan oleh anak-anak muda seperti ini yang cuma mau hidup dalam dunia hedonisme mereka.
Tahun Baru 2008 dan perisytiharan KT sebagai Bandaraya Warisan Persisir Air telah membuka lembaran baru dalam budaya nihilisme dan hedonisme ini.
Mereka sebenarnya sudah kehilangan jatidiri.
Ke manakah perginya warisan?....
Ya ALLAH....Jauhilah budaya ini dari anak cucuku...
Beib bertanya ...
apa lagi yang hendak dihara P
jika anak-anak muda ini tiada ilm U
maka hilanglah ima N
lenyaplah genggaman ekonomi dan politi K

Tuesday, January 1, 2008

tuzerozeroeit

Assalamualaikum / Good Day.....

Tahun baru 2008 disambut sederhana tapi meriah di KT. Ketibaan 2008 menjanjikan pelbagai peristiwa menarik di Terengganu sepanjang tahun.

1 Januari 2008 merupakan hari diisyhtiharkan Majlis Bandaraya KT (MBKT), Bandaraya Warisan Persisir Air.

Penduduknya yang seramai 357,256 dan lokasinya di muara Sungai Terengganu serta berhadapan dengan Laut China Selatan menjadikan KT sebuah bandaraya yang unik.

Di muara sungai ini jugalah sejak tahun 2005, Piala Monsoon @ Monsoon Cup pertandingan perahu layar bertaraf dunia, diadakan.

Majlis pengisyhtiharan MBKT dijalankan serentak dengan Pelancaran Kempen Tahun Melawat Terengganu 2008 di Dataran Syahbandar, KT.
Jangan lupa, SUKMA XII Terengganu juga akan diadakan mulai 31 Mei hingga 9 Jun.

Warga KT turut sajikan dengan pelbagai persembahan termasuk pertunjukan bunga api, kereta berhias dan konsert.
Tapi aku di mana waktu itu?

Bersama Kak Wan, Acik dan Adeq di terminal bas Transnasional, Gong Badak menghantar Qaqaq balik ke kampusnya di KL setelah hampir lima minggu bercuti.
Hujan yang turun tak berhenti sejak awal pagi turut membantutkan rancangan kami untuk menyaksikan persembahan dan pertunjukan di bandaraya KT, selain dari jangkaan akan berlaku 'jam' yang teruk. Ini kena refer kat mad redo1.
Walau pun tidak turut serta secara langsung, kami masih dapat melihat pertunjukan bunga api dari jauh.

Nak tengok foto-foto lain perarakan dan bunga api sila mampir kesini (dengan izin mad redo1..heheh)
Beib turut gembira dan bangga menjadi warga Bandaraya...
Warisan Persisir Air yang uni K
moga rakyatnya aman dan selama T