Di belakang Rumahku (1986), akrilik.
Koleksi peribadi
Assalamualaikum / Good Day.....Bila saja aku terpandang catan yang tergantung di dinding ruang tamuku, imbauan ke kampung halaman mencengkam di kalbu.
Aku tahu ramai diantara bloggers yang berasal dari kampung atau desa.
Begitu juga dengan aku.
Sesekali bila memandu melintasi kampung, teringat pula akan kenangan silam semasa kecil.
Kenangan dilahir dan dibesarkan di kampung atau desa sentiasa menjadi sesuatu yang nostalgik.
Kerana itulah, setiap kali Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha kita akan didendangkan dengan lagu-lagu yang mengimbau kenangan semasa berada di kampung atau desa.
Bahkan istilah 'balik kampung' menjadi sesuatu yang keramat di musim perayaan bagi orang Melayu, terutamanya.
Maka teringatlah suasana bermain di sekitar kampung. Di waktu itu, keseronokan bersama kawan melebihi segalanya.
Tiada internet, siber cafe, PS3, video game serta lain-lain alat elektronik yang menceroboh minda kita.
Yang ada hanyalah guli, gasing, wau, bulu ayam, konda kondi, aci sorok, tarik upih, congkak, batu selimban/selambut, galah panjang atau toi, sepak raga dan lain-lain yang memerlukan tenaga fizikal yang banyak.
Sebab itulah, ramai kanak-kanak di zaman itu lasak dan aktif.
Selesai bermain, ramai-ramai akan mandi-manda di kali, sungai, tali air, tasik, telaga atau perigi.
Bagiku, Sungai Anak Bukit yang jernih kehijauan sentiasa menjadi pilihan. Lama berendam dan berenang ' memerahkan mata' dan mengecutkan kulit.
Di situ jugalah aku mula belajar berenang dan mengayuh/mendayung perahu.
Pun begitu, tempat mandi yang paling aku rindui ialah di belakang rumah Pak.
Tersorok dari pandangan umum.
Santai, damai, tenang dan ringkas.
Dengan memakai kain cukin(istilah orang Kedah: kain basahan) atau berseluar pendek, aku akan mandi sepuasnya dari air paip yang bertakung di dalam tempayan.
Kedinginan menyejuk dan menyegarkan.
Walaupun tempat mandiku itu sudah tiada, aku sempat abadikan dalam foto dan catan yang aku namakan "Di belakang Rumahku".
Ianya menjadi ingatan dan menyedarkan aku bahawa sesekali aku perlu 'balik kampung'....
Beib teringat masa...
kecil bersama teman, bercampur gau L
bermain dan mandi-mand A
tak pernah duduk dia M
penuh aktiviti dari pagi hingga gela P
namun masih ingat pesan ibu bap A
agar jangan lupa menuntut ilm U
bermain dan mandi-mand A
tak pernah duduk dia M
penuh aktiviti dari pagi hingga gela P
namun masih ingat pesan ibu bap A
agar jangan lupa menuntut ilm U
2 comments:
kesimpulannya....GI CEPAT BALIK KAMPUNGGGG!!!
ahakkkk:p
Ila..
nak balik sesangat ni..jom ikut..heeheh
Post a Comment