Monday, October 18, 2010

Paris Selepas London...

berada di kaki ET yang setinggi 324 m

Assalamualaikum / Good Day.....

Bila sahaja berpeluang menjejakkan kaki ke negara pembuat kereta Peugeot, aku merasa sangat teruja. Teringin rasanya melawat ke kilang membuatnya, tetapi apakan daya, masa yang amat singkat tak membolehkan aku mencapai impianku.

Yang ada dalam benakku ialah merasa french fries original, dari negara di mana nama kentang goreng diperolehi. Itu pun aku masih was-was kerana tidak pasti samada ianya digoreng secara 'halal'.

Akhirnya, kilang peugeot tidak dilawati, french fries tidak dirasai.

Namun begitu, sesuatu yang 'wajib' dilawati dan dinikmati tidak akan aku lepaskan iaitu ikon global negara ini dan salah satu struktur yang paling dikenali di dunia.
Eiffel Tower!

menaiki Eurostar dari Ashford International di Kent
ke main Paris terminus di Gare du Nord dengan kelajuan 300km/jam...mengujakan.

Sebenarnya, berada di negara ini sudah cukup membuatkan aku terpesona. Tidak lepas dari fikiran, penyajak/penyair, penulis, pelukis yang prolifik dan... Mona Lisa. Juga gaya seni bina Peranchis yang unik.

di depan muzium terbesar di dunia The Louvre Palace and the Pyramid
yang siap dibina pada tahun 1989.

Menikmati suasana dan pemandangan kota raya Paris dari dalam VW Transporter tidak menjemukan. Bersimpang siur di Avenue des Champs-Elysees dan melintasi Arc de Triomphe sangat mengujakan.


Melihat sekeliling panorama dan mengimpikan sesuatu yang indah dan romantik membuatkan aku sebak sendu. Inilah kota yang dikenali sebagai Kota Gemerlapan dan Cinta. Bersantai bersama tersayang tentu sahaja amat mengujakan.

Warga Paris yang dianggap romantik dan penuh bergaya sibuk dengan urusan peribadi. Pelancong dari pelusuk dunia pula sibuk mengambil gambar kenangan.

Paris tidak menggerunkan. Aku berasa selamat dengan kawalan keselamatannya yang rapi. Sepanjang hari berada di kota ini aku mampu menyelinap bagai warganya tanpa dihirau.


Meninjau monumen bersejarah, seni bina bangunan yang unik dan muzium seni yang terkenal di Paris, aku sangat kagum. Mau sahaja terus-terusan berjalan dan menjelajah. Tidak ada kota di dunia yang mempunyai bangunan seperti Paris. Unik dan menarik.

antara jalanraya yang terkenal di dunia

Penjelajahan pertama kali ke Paris merangkumi lawatan ke mercutanda atau 'landmark' yang menarik. Melihat dengan mata sendiri bagaikan satu mimpi. Ya...mimpi boleh juga menjadi kenyataan, dengan izinNya.

Paris mengujakan aku. Seni bina yang mempunyai nilai estetik, kepelbagaian budaya serta pemuliharaan warisan membuatkan aku jatuh cinta pada Paris. Tidak cukup dengan masa yang ada untuk meninjau semua daerah di Paris. Seperti juga di London beberapa hari sebelum ini, kunjungan ke tempat-tempat pelancongan ini terasa singkat dan padat. Tidak pernah puas.

InsyaAllah...panjang umur murah rezeki aku akan datang lagi untuk menikmati cinta di kota ini yang teguh dan tinggi melangkaui Eiffel Tower.

teringin nak bawa balik sebuah peugeot 207.
Kecil molek.

Beib sangat teruja dengan Kota...
...Cinta dan berhara P
dapat kembali dengan penuh ras A
teruja dan geta R
mengisi impian indah di hat I
selagi ada nafa S
* teringat lagu SJK...teringin...moga Allah Makbulkan.

Sunday, October 17, 2010

Bahasa Inggeris: Lakukan Sesuatu Positif

Penglibatan kecil dalam menjayakan hasrat negara
~selaku panel penggubal kertas konsep, hakim dan anakanda - penyertaan-~

Assalamualaikum / Good Day.....

Sedar atau tidak, mahu menerima atau tidak, penguasaan bahasa Inggeris dalam kehidupan masa kini,ternyata begitu penting dan tidak boleh dinafikan.

Di negara kita, ia merupakan salah satu bahasa utama bagi mendalami ilmu pengetahuan. Ia juga merupakan bahasa untuk jaringan perniagaan global atau antarabangsa serta untuk perhubungan diplomasi.

Dengan penguasaan yang mantap, seseorang individu itu bukan sahaja dapat mengangkat pencapaian ilmu dan pelajarannya tetapi juga dalam komunikasi serta bidang kerjaya yang penuh cabaran dan saingan.

Ini pernah aku tekankan dalam entry ini dan semasa memberi ceramah mengenai kepentingan bahasa Inggeris di sini.

Hakikat kini di peringkat sekolah, antara pengukur prestasi pelajar dalam mengejar kecemerlangan ialah pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Dalam beberapa situasi ia menjadi penentu.

Semasa di bangku sekolah, perlu diterapkan peri pentingnya penguasaan dwibahasa, yang akan menambahkan keyakinan seseorang individu terhadap diri dan keupayaannya.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri serta pelbagai sektor dan agensi berterusan berusaha untuk melonjakkan pencapaian bahasa Inggeris yang masih belum dipertuturkan secara meluas oleh pelajar di luar bilik darjah.

Di Terengganu, Program A Moment in English anjuran JPNT dengan kerjasama serta dibiayai oleh syarikat ExxonMobil menyaksikan pelajar-pelajar memperagakan bakat mereka seperti pengucapan awam, koir, drama, nyanyian beraksi, choralsical, bercerita, deklamasi puisi, sketsa dan nyanyian. Ianya telah diadakan sejak 2002.

Kini, satu lagi program yang bermula pada tahun 2010 anjuran serta pembiayaan Yayasan DiRaja Sultan Mizantelah mengorak langkah dengan beberapa aktiviti tambahan seperti Speech Choir - in betweens Choral Speaking dan Choralsical - serta Smart English. Aku turut berbangga kerana terlibat secara langsung. Baca di sini.

Semua ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang penuh dengan keyakinan dan bersemangat di samping menunjukkan bakat dalam pelbagai persembahan berteraskan bahasa Inggeris.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kemahiran berbahasa dan menyemaikan kesukaan pelajar untuk mengamalkan penggunaannya.

Secara tidak langsung meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui pendekatan kreatif dan artistik serta menghiburkan.

Ini juga peluang untuk pelajar dan guru-guru berkolaboratif dalam satu pendekatan untuk meningkatkan kemahiran dan kreativiti.

Sebagai seorang guru yang telah lama cuba menekankan peri pentingnya berbahasa Inggeris, aku sentiasa menyokong program-program berbentuk pendidikan seperti ini. Aku amat berharap melalui program-program seumpama ini dapat menanam dan menerapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi muda di negeri ini.

Aktiviti di luar bilik darjah seperti ini amat unik. Pembelajaran Bahasa Inggeris nyata lebih menarik, menawan hati dan menyeronokkan. Melalui aktiviti ko akademik ini, penggunaan bahasa sentiasa dilatih dan dijadikan amalan oleh pelajar.

Aku turut teruja dengan pembabitan kecilku dalam program-program seperti ini termasuklah dalam penubuhan 'English Theme Park' dalam usaha melahirkan lebih ramai anak muda fasih berucap dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Rujuk sini, sini dan sini.

Tertarik aku dengan seorang kenalan yang bijak fasih berbahasa Melayu serta analitikal dalam setiap perkataan dan ayat. Anak buah Munsyi Dewan ini bisa mematahkan hujah dengan soalan dan inkuiri yang padat dan bernas.

Harapanku agar penutur bahasa Inggeris yang sedang dilatih dan diajar ini akan menjadi kritikal dan analitikal sebagaimana temanku yang ini.

Bagi aku, tidak perlu ke London untuk belajar bahasa Inggeris. Semuanya boleh dipelajari di sini. Yang penting, kehendak dan kemahuan perlu tekal dan cekal.
Pastikan Semangat Lancar...

Beib ingin terus memperjuangkan penggunaan...
... bahasa ini tanpa alasan dan seba B
sebagai satu cara meningkatkan nilai dir I
*sakit...

Tuesday, May 18, 2010

Penenang: Seni... Lukisan

Aku dan 'Sepi'

Assalamualaikum / Good Day.....
Ada pendapat yang mengatakan bahawa seni itu sangat
berkesan sebagai terapi kesihatan mental dan fizikal.


To ensure good Mental-Health, we all need some means
of creative
self-expression, such as art, drama, music
or a sport or hobby.


Sila rujuk sini dan sini
.

Bagi aku, ada dua peranan positif yang dimainkan oleh
karya seni.

Pertama, seni boleh mengurangkan stress - yang
dikenalpasti
sebagai antara faktor utama yang
mengakibatkan pelbagai jenis penyakit kronik.


Kedua, seni merangsang atau stimulate otak kita.
Ini biasanya tidak berlaku dalam aktiviti "logical"
atau
"analytical".

Seni membolehkan kita menzahirkan
perasaan
kreatif - satu lagi komponen penting dalam kehidupan,
memungkinkan hayat yang lama dan sihat.


Secara peribadinya, catan banyak membantu aku
semasa aku berada
dalam keadaan stress.

Dahulu, catan merupakan evenue untuk
meluahkan rasa dan emosi. Dengan tenang dan
tekun, aku akan menghabiskan masa mewarnakan
landskap dan imejan sekeliling dia atas kanvas atau
kertas. Bila siap, kelegaan menyelinap di minda dan
jiwa. Stress hilang.

Aku mulai sedar bagaimana ia memberi kesan
atau impact dalam kesihatan dan kehidupan seharian.


Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini
internet telah mengambil alih peranan itu dalam hidupku.
Aku mulai melupakan catan secara amali.Fokus hanyalah
talian.

Cat air merupakan salah satu daripada teknik catan
yang mengujakan. Kita tidak perlu memikirkan sangat
kerana kesannya bersahaja, spontan dan unik.
Bak kata orang You just have to go with the flow.

Sepi, cat air, 2003
Rahsia catan cat air menjadikan seni dan teknik ini
melegakan. Ia mempunyai
nilai theraputic kerana ia
meningkatkan kepuasan dan kenikmatan yang kita
dapati melaluinya.

Setiap kali menghasilkan catan, terutamanya cat air,
ianya umpama bertemu dengan suasana, emosi dan
perasaan baru.

Aku perlu kembali ke situasi itu.

Buat teman yang pernah dihadiahkan catan, hargailah,
kerana ianya adalah wakilan diri, cetusan rasa dan
ekspresi hati.

“A man paints with his brains and not with his hands.”

Michelangelo

(Italian sculptor, painter, architect & poet,

considered the creator of the Renaissance, 1475-1564)


Beib hilangkan rasa resah melalui pelbagai aktiviti...
...yang ada kaitan dengan muzik dan seniluki S
dari pelbagai -isme dan genr E

sebagai landasan mencurahkan perasaa N
bagi melegakan gelodak emos I


* Catan SJK meruntun hati...mendamai jiwa...melankolik nostalgik...

Sunday, May 16, 2010

Pendidik: Satu Luahan


Assalamualaikum / Good Day.....

Aku sudah 30 tahun bergelumang dalam alam pendidikan. Luahan ini mungkin datang pada masa aku sangat tertekan dengan isu emosi, situasi dan kerjaya.

Aku cuba jadi rasional dalam lengkongan emosi yang tak keruan. Terlalu peribadi sebenarnya. Biar aku simpan dan aku leraikan sendiri. Kata orang 'sendiri buat sendiri tanggung'.

Merenung kembali kerjaya sebagai pendidik atau guru, dan membandingkan dengan kerjaya profesional yang lain, aku terasa bagai dianaktirikan. Mungkin keluhan dan luahan ini menggambarkan apa sebenarnya.

Selain dari tugas dan beban kerja yang berat sebagai guru, aku juga ingin memaparkan persekitaran dan suasana kerja yang agak kurang selesa berbanding dengan jabatan kerajaan yang lain yang mempunyai suasana kerja yang lebih baik.

Kebanyakkan jabatan kerajaan termasuk hospital dan balai polis pada masa ini telah dilengkapi dengan pendingin hawa sedangkan guru masih berbakti dalam bilik darjah yang panas dan merimaskan.

Pendidik lelaki yang memakai tali leher terpaksa menahan rimas dan panas kerana cuaca tidak memihak kepada mereka, apatah lagi jika kipas tidak berfungsi.

Walaupun ada sesetengah bilik guru yang dipasang pendingin hawa tetapi masih banyak lagi sekolah yang tidak ada. Malah ada bilik-bilik Guru Kanan tidak disediakan/dipasang dengan kemudahan ini. Sedangkan kategori mereka melayakkan mereka mendapat kemudahan ini.

Teringatkan seorang teman yang bukan sahaja tiada kemudahan pendingin hawa di bilik guru, malah meja kerja yang digunakan ialah meja kantin yang dikongsi beramai-ramai. Nasib baik kerusi yang digunakan bukan kerusi murid.

Sesuatu patut dilakukan untuk menaikkan taraf dan meningkatkan tahap self esteem rakan-rakan guru ini. Buat teman ku ini, bersabarlah. Biar kelengkapan ala kadar, tetapi pengajaran tetap hebat.

Ada juga syarat tidak bertulis yang menyatakan bahawa pendingin hawa hanya boleh dibuka selepas jam 10 pagi.


Disetengah sekolah, kipas tidak dibenarkan dipasang pada waktu pagi. Murid hanya dibenarkan memasangnya selepas waktu rehat bagi menjimatkan kos. Tentu sahaja ia sangat tidak menyelesakan untuk belajar dalam situasi yang begini.

Guru adalah golongan profesional. Dalam masa terdekat, sekolah rendah akan dilimpahi dengan pendidik yang berijazah. Mereka seharusnya mendapat layanan yang lebih baik dari ini.

Kantin atau kafeteria di sekolah kebanyakkannya tidak berapa memuaskan. Ruang atau bilik makan yang disediakan untuk guru biasanya sempit dan menyesakkan tanpa pendingin hawa.

Penswastaan perkhidmatan membersih kawasan serta bangunan sekolah dialu-alukan. Tandas dan kawasan sekolah agak kemas dan bersih walau pun masih ada lagi kekurangan dari segi peralatan/kelengkapan.

Patut disediakan juga bilik mandi khusus untuk guru. Ini amat membantu guru-guru yang mengajar PJPK atau mereka yang stay back untuk aktiviti di waktu petang.

Menyediakan hanya cubicle sebagai tandas amat mengecewakan.

Setahu aku, kebanyakkan staf kerajaan disediakan dengan alat tulis atau stationery. Ini tidak berlaku dalam bidang pendidikan terutamanya pada guru. Guru menggunakan banyak pen dari golongan lain tetapi tidak dibekalkan.

Dewasa ini, kebanyakkan sekolah menggunakan white board menggantikan papan hitam/hijau tetapi hanya dua batang marker diberikan kepada guru di awal tahun. Marker, biasanya hanya bertahan selama seminggu. Jika habis, refills atau marker baru harus dibeli sendiri.

Walaupun ia kelihatan remeh, namun guru terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri berbanding dengan staf kerajaan yang lain.

Selain daripada itu, aku merasakan bahawa guru adalah kaki tangan kerajaan yang kurang mendapat peluang untuk kenaikkan pangkat. Ramai yang berganjak bukan mengikut merit tetapi berdasarkan time-base.

Tidak dinafikan KPM telah mula mengorak langkah membuka peluang untuk kenaikkan pangkat melalui kaedah fast track seperti Guru Cemerlang serta guru yang mengajar di Tingkatan Enam. Namun ratusan ribu lagi guru masih tersadai menanti masa untuk time-base.

Masih ramai lagi guru-guru senior tersekat dan beku di jawatan dan kategori yang disandang untuk beberapa ketika. Ini kerana tiada kekosongan jawatan. Apa yang mampu dibuat hanyalah menahan perasaan disamping bertungkus lumus menyelesaikan pelbagai tugas akademik, ko-akademik serta perkeranian.

SELAMAT HARI GURU.

Beib adakalanya terkilan, namun tetap memilih dan kekal sebagai...

...pendidik kerana ingin berjasa kepada semua oran G
mencurahkan ilm U
yang ALLAH anugerahkan melalui tunjuk aja R
moga bila mati nanti ilmu yang dimanfaatkan itu akan menjagak U

*ada insan yg bila ia sangat marah akan menjerit memanggilku .... cg.habibbb!!

Thursday, May 13, 2010

Pengakuan: Sungguh Letih...


Assalamualaikum / Good Day.....

Sudah lama aku bergelumang dengan dunia pendidikan. Semakin terasa makin burn out. Yang dihadapi setiap hari menjadi rutin yang tidak tertanggung lagi.

Dalam pada itu, ada juga rutin yang baru 2 tahun usianya telah kembali menjadi normal. Maksudnya, tidak menjadi rutin lagi. Sudah hilang dan lenyap sedikit demi sedikit. Semua atas kehendak dan desakan. Terima dan redha sahajalah dalam perit pedih.

Kita tinggalkan urusan peribadi di atas dan berbalik pada kerjaya yang mulai pudar enthusiasm atau keterujaannya. Semua ini disebabkan dek tugasan yang kadang-kadang di luar bidang dan keutamaan.

Telah diumumkan baru baru ini satu jawatankuasa, yang dikemudikan oleh KPPM Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dan dianggotai oleh beberapa wakil dari pelbagai kesatuan guru untuk meneliti sungutan dan rungutan guru yang dibebani oleh pelbagai tugasan diluar bidang utama atau core bussiness mereka iaitu mengajar/mendidik.

Agak melegakan bila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merasakan bahawa ada asas pada sungutan guru-guru ini. Beliau sendiri mahukan jawatankuasa itu mengenalpasti masalah dan membuat cadangan bagaimana untuk memperbaiki kerjaya perguruan di negara ini dalam masa 2 bulan.

Aku, sebagai seorang pendidik sangat berbesar hati di atas inisiatif ini. Amat berharap ianya akan melenyapkan rasa terkilan dikalangan guru. Kami, para pendidik, sememangnya menantikan satu cadangan dan rumusan yang workable dan positif.


Sebagai seorang guru yang suka berkongsi ilmu dengan murid, aku merasa sangat bangga bila dapat melakukan sesuatu tugasan dan projek bersama murid sambil berinteraksi dengan mereka.

Walaubagaimana pun, sejak akhir-akhir ini, aku turut dibebani dengan pelbagai paper work. Banyak borang yang terpaksa diisi dan laporan perlu dikemaskinikan.

Adakalanya paper work yang kurang atau tidak relevan yang mengganggu dan menyebabkan fokus untuk mengajar dan mendidik terabai.

Kerja-kerja perkeranian begini sebenarnya patut dilakukan oleh kerani atau pembantu tadbir. Benda-benda beginilah yang membuatkan aku dan mungkin guru-guru lain merasa keterujaan untuk mengajar berkurangan. Mengecewakan jika guru-guru yang berdedikasi mulai hilang minat untuk mendidik angkara bebanan perkeranian yang makin berlambak.

Dilahir dan dibesarkan di kampung, aku 'tersangkut' dalam alam pendidikan bila menerima tawaran ke Maktab Perguruan pada tahun 1978.

Tiada bantahan dari ahli keluarga bila aku menjadi seorang guru, malah dipandang tinggi oleh orang-orang kampung pada waktu itu. Jaminan kerja dan penghormatan menjadikan aku bersemangat demi agama, bangsa dan negara.

Bila ditempatkan atau posting di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Kuala Terengganu, aku menjadi sangat teruja. Pastinya tempat baru membawa kepada pengalaman baru.

Permulaaan yang memberangsangkan. Mengajar murid-murid yang terpilih. Murid-murid yang kelihatan 'simple' dan sangat menghormati guru-guru mereka.

Mereka tidak perlukan tusyen sebagaimana hari ini. Sumber ilmu pengetahuan dan cara mereka menyelesaikan masalah hanyalah melalui guru di sekolah.

Sebab itulah hubungan guru-murid baik dan akrab. Aku boleh perhati dan catatkan perkembangan murid-murid yang berada di bawah pengawasan aku. Kami, guru-guru, sangat bermakna dalam membentuk personaliti dan karektor anak murid pada waktu itu. Aku bangga dengan hubungan itu.

Apa yang perlu dibuat di zaman itu hanyalah mengajar dan mendidik disamping mengenali anak-anak murid sebaik mungkin. Jika pun ada paperwork, ianya sangat minima.

Berbanding dengan murid sekarang, mereka lebih terdedah dan sangat berpengetahuan malah menjadikan mereka lebih egoistik. Harapan dan kehendak mereka juga lebih tinggi.

Antara tugas yang makin ringan kini ialah penyediaan soalan ujian dan peperiksaan. Waktu dahulu, ini merupakan sesuatu yang agar sukar tetapi kini komputer, internet serta teknologi multi media terkini sangat membantu dan memudahkan.

Mungkin ada yang bertanya, "Gembira menjadi guru?".

Bila aku mula mengajar dulu, gajinya agak rendah tetapi aku tetap gembira. Kini, pendapatan lebih baik, sepatutnya bertambah gembira, tetapi tidak begitu.

Kerja-kerja perkeranian yang terpaksa dibuat menjadikan aku bertambah tertekan. Sebagai guru PSV dan BI banyak persediaan, perancangan dan semakan yang mesti dibuat.

Selain daripada itu, banyak deadlines yang mesti dipatuhi. Semua pihak, termasuk jabatan pelajaran, pejabat pelajaran daerah, ibu bapa, pengetua, rakan sekerja dan murid meletakkan harapan yang sangat tinggi.

Sebagai salah seorang pentadbir sekolah, kehidupan menjadi semakin stress.

Pelbagai program akademik, dokumentasi dan sistem fail perlu dipantau.

Dalam usia menjangkau setengah abad, semakin hari terasa semakin stress, risau dan mencabar.

Tanggung jawab yang bertambah menyebabkan aku sering bertanya pada diri, "Boleh bertahan lagi ke sampai tahun depan?"

Teringat teman guru yang kembali menemuiNya semasa bertugas. Disyaki stress dan tension akibat bebanan tugas yang menimbun.

Ada juga yang mengidap kanser. Pernah aku terdengar dan terbaca bahawa sembilan dari sepuluh pesakit yang menjalani chemotherapy di hospital ialah guru. Menggerunkan!

Adakah ini akibat dari stress dan tension?

Adakalanya, aku terfikir tentang murid-murid aku yang punya muka 'blank', terutamanya yang lemah dalam akademik.

Apakah yang ada dalam kotak fikir mereka bila mereka terpaksa belajar BI? Relevan dan pentingkah bagi mereka?

Bagi sesetengah mereka, BI seolah-olah sesuatu yang sangat asing. Aku terkadang rasa semacam buang masa mengajar mereka. Ada yang tidak langsung peduli samada lulus atau gagal dalam ujian dan peperiksaan. Kenapa harus habiskan 11 tahun belajar BI dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 jika membuat ayat-ayat mudah dalam BI pun tak boleh?

Kenyataan yang mesti diterima.

Murid zaman ini terpaksa belajar terlalu banyak mata pelajaran. Ini sangat membeban serta mencabar mereka yang lemah.

Golongan ini perlu ditempatkan di sekolah vokasional yang boleh mengajar mereka tentang kemahiran hidup. Mereka ini sangat ramai, oleh itu kerajaan perlu membuka lebih banyak sekolah seperti ini.

Sekurang-kurangnya mereka ini akan menjadi pekerja mahir dan kita tidak perlu lagi mengimport dari negara luar.

Sejak akhir-akhir ini, aku terasa macam bekerja sebagai kerani kerana banyak masa dihabiskan untuk paperwork dan bukan untuk akademik per se.

Dengan bilangan murid seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kelas, kita perlu tahu kaedah pengurusan kelas yang efisyen. Bukan senang hendak mengendalikan murid-murid yang sebegini. Ramai guru-guru muda dan baru gentar bila menghadapi situasi begini.

Tugas yang makin banyak tidak memberi ruang untuk aku menjadi mentor membantu guru-guru muda dan baru di sekolah.

Ramai di antara mereka yang tiada pengalaman dan perlu dibimbing tetapi oleh kerana ramai guru senior terikat dengan tugas-tugas perkeranian, ini tidak dapat dijalankan. Potensi serta tahap konfiden mereka terabai.

Ada diantara mereka yang seolah hilang panduan dan perlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Bagi guru generasi lama, mereka lebih tabah dan cekal.

Walau pun lulusan institusi pengajian tinggi, ramai yang kurang kemahiran berkomunikasi. Bagi yang terlibat dengan PPSMI, ada yang kurang kompeten dengan penggunaan bahasa.

Sesekali aku termenung sendirian memikirkan betapa menjadi guru di waktu ini memerlukan tenaga yang amat banyak.

Aku tahu ramai murid-murid aku yang menghormati dan admire selama aku mengajar mereka. Hubungan aku dengan mereka juga bagus. Aku baik dalam tegas. Sikap kecindan serta jenaka merupakan asetku. Tetapi aku tidak akan tolerate sikap dan sifat kasar atau kurang sopan mereka.

Untuk mereka, aku sentiasa bersedia secara mental dan emosi. Pengetahuan yang mendalam dalam isi mata pelajaran yang hendak diajar juga perlu. Ini semua membolehkan aku mendapat reaksi yang positif dari mereka.

Perlu aku nyatakan bahawa aku merasa kembali muda bila dikelilingi mereka.

Sebenarnya, mengajar bukanlah menjadi masalah tetapi tugasan diluar bidang pengajaran dan pembelajaran yang menyebabkan aku serta ramai guru lain tertekan.

Tiada apa yang balasan yang diharapkan dari murid-murid ini melainkan mereka membesar dan berjaya dalam hidup.

Pesanan pada bakal guru dan guru-guru muda. Jadilah guru yang komited, berilmu dan bersedia untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Sentiasa ingat bahawa jika kita mahukan anak-anak kita diajar oleh guru yang baik, maka jadilah guru yang baik kepada anak-anak orang lain.

Dalam pada itu, aku makin terasa untuk bersara awal kerana bebanan tugas bukan mengajar yang makin bertimbun...

Buat mereka yang akan berkhidmat bertahun-tahun lagi, selamat menjalakan tugas dengan penuh dedikasi.

Untuk teman pendidik, bebanan tugas dan karenah rakan sekerja kita asingkan agar kita dilihat lebih profesional. Dengki irihati golongan tertentu kita kesampingkan.
Biar berapa banyak tugas yang diberikan, kita hadapi dengan tekun.

Gunakan kemahiran menggunakan ICT sebagai advantage kepada kita untuk P&P, walaupun ada yang terhegeh-hegeh, tanpa usul periksa, mengacum kepada pentadbir, "ramai cikgu yang asyik berblog dan melayan facebook".

Rumusan aku ialah, "If you are not competent in ICT, just shut up! You are only pure sour grapes."


SELAMAT HARI GURU

Beib makin terasa beban menjadi..
... pendidik waktu sekaran G
banyak tugasan lain yang kena buat selain dari mengadap buk U
yang sepatutnya dibuat pembantu pentadbi R
semua ini menjadikan aku letih,les U
*sentiasa hormati dan sayangi insan guru hinnga ke sana...

Tuesday, April 20, 2010

...Asah Bahasa Tentu Mahir...


Assalamualaikum / Good Day.....

Sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak gesaan serta desakan untuk memulih dan memperbaiki keupayaan penguasaan dalam Bahasa Inggeris (BI) dikalangan murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi. Kemerosotan ini makin ketara sejak kebelakangan ini.

Memang akan mengambil masa untuk diimplimentasikan segala program dan perancangan dan tentu sahaja mengambil masa untuk melihat kesannya.

Penekanan terhadap Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dan salah tanggap mengenai penguasaan BI ( tidak patriotik dan bahasa penjajah), ramai yang enggan dan tidak menunjukkan minat untuk mempelajari bahasa tersebut.

Dalam era yang serba maju dan canggih ini pun, masa yang lama diperlukan untuk menyedarkan rakyat peri pentingnya mempelajari BI.

Bagi ibu bapa yang berada dan memandang masa depan anak sebagai sesuatu yang sangat bermakna dan penting, mereka sanggup menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk belajar di sekolah yang menggunakan BI sebagai bahasa perantara.

Ada yang menghantar anak-anak mereka ke international schools dan tidak kurang juga yang berulang alik melintasi Tambak Johor untuk bersekolah di seberang sana.

Ada pelbagai cara yang boleh diambil untuk mepertingkatkan penguasaan BI seperti menambah waktu pembelajaran BI di sekolah serta melengkapkan makmal bahasa.

Salah satu cara yang aku rasa berkesan ialah melalui kaedah immersion di mana murid belajar dalam suasana penggunaan BI berleluasa atau digunakan sepanjang masa.

Dengan cara ini murid dapat mengasah penggunaan BI dan lama-kelamaan akan mahir melalui kaedah hands-on atau kontekstual.

Kita amat sedar bahawa Bahasa Mandarin digunakan secara meluas di SJKC, Tamil di SJKT dan BM di SMK biasa.

Oleh kerana kita mempunyai pelbagai sekolah yang memenuhi berbagai keperluan dan penggunaan bahasa, kita juga boleh mengadakan sekolah yang menggunakan BI sebagai bahasa pengantar sebagaimana yang telah pernah wujud sebelum 1974 dahulu.

Aku juga merupakan produk dari sekolah berpengantar BI atau English medium.

Tidaklah mustahil ia boleh dimulakan dengan tahun 1 dalam masa yang terdekat sebagai pengganti Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan mulai 2012.

Dengan bermulanya dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan pada 2012, diharap murid-murid kita akan kembali menguasai bahasa lingua franca ini.

Bahasa Malaysia tetap kekal dan merupakan mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah ini.

Bukankah ini salah satu cara untuk mengurangkan ibu bapa dari menghantar anak-anak mereka ke luar negara di samping menghalang aliran mata wang keluar negara dengan begitu mudah?

Beib sedar peri pentingnya....
penggunaan BI dalam semua ba B
ia juga dapat meningkatkan esteem dir I

* seorang teman suka sangat kata, "watever" bila terlalu marah.
kini ia tak kedengaran lagi...hilang..lenyap....

Friday, April 16, 2010

Love Is Not...


Assalamualaikum / Good Day.....

It was fantastic in the morning.
All well and swell.
Happy and jovial.
But later in the afternoon...
BANG!
Hell broke loose...
Anger and jealousy kills the mood...
Emotion sky high
Feelings gone haywire...

The best option is to keep quiet...
Silence is golden...

Beib hopes that it ends with a happy...
...feeling and fu N
eventh O
most of the time feelings are hur T
when time comes, the heart will be set fre E
*anger and frustration will kill the feeling...

Monday, April 5, 2010

Leraikan Hati...


Assalamualaikum / Good Day.....

Entah kenapa hati ini terasa sayu, sedih dan pilu. Segala yang ada di dalam jiwa meronta. Kepedihan dan kesakitan emosi mendesak dada.

Dicelah riang ada duka.Pengubat rasa tiada di depan mata.
Yang ada hanya La Tahzan - " Jangan Bersedih" - Don't Be Sad -
Sesekali bila aku belek dan baca, ketenangan menyelinap ke dalam jiwa. Terlerai rasa yang terbuku di hati.

Tanpa berhujah berbahas berapi-rapi, aku tangani kesedihan dan amarah yang sering berlaku dengan menelaah buku ini.

Bila emosi dan kata-kata menjadi api,
Panggilan bukan lagi terapi,
Segala ayat menyakitan hati,
Yang terbaik ialah berdiam diri....

Lalu aku capai dan hayati kulit buku ini yang berbunyi...

Semangat dan azam untuk hidup hari ini

tanpa kesedihan,

tanpa keresahan,


tanpa kemarahan,


tanpa kedengkian


dan


tanpa kebencian.





Kelegaan menusuk perlahan di jiwa, minda dan hati...
Alhamdulillah...
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Beib tidak mahu lagi diselubungi...
... rasa sakit kerana sika P
ego dan keras hat I
dalam apa jua isu dan ha L
kerana itu semua sangat menggangg U
*kesabaranku masih tekal kerana sifat sayangku...

Tuesday, March 30, 2010

Tak Mengapa, Aku Beralah...


Assalamualaikum / Good Day.....

Realiti atau Fantasi...?

Bayangkan senario ini:

Perasaan yang teramat sakit bukan kerana ditinggalkan sendirian tetapi dilupakan. Dilupakan oleh insan yang kita tidak boleh lupakan.

Ada ketika kita tidak mahu sesuatu itu berlaku tetapi kita terpaksa menerimanya.

Ada perkara yang kita tidak mahu tahu tetapi terpaksa belajar dan ada insan yang kita tidak boleh hidup tanpanya, tetapi terpaksa melepaskannya.

Awak tak kemana kan?
atau awak memang nak tinggalkan dan pergi jauh dari saya?

Janganlah tinggalkan saya keseorangan.

Temanilah saya.

Buatkan saya gembira
.
Hidupkan saya...
dan tolonglah...
tolonglah buatkan saya gembira, ceria bahagia.

Tapi andaikata, terpaksa pergi jua...
saya rela dan redha.
..
Biar aku beralah...

I'll let you go... if you say so...

Beib terima segala ketentuanNya dengan rela dan redha JIKA semuanya sudah ...
hilang dan pada M
dari hati, jiwa dan mind A
dan jika tiada apa lagi yang leka T
melainkan bagai mimp I
*Hanya Allah Yang Maha Mengetahui...Anugerah adalah dariNya jua...

Tuesday, March 23, 2010

Bila Emosi Itu Berubah....

Assalamualaikum / Good Day.....

Semasa aku berada di Shah Alam menghadiri mesyuarat/bengkel yang berkaitan dengan buku tempoh hari, aku dapat bertemu kawan lama dan bersua kenalan baru. Ianya merupakan sesuatu yang sangat menarik. Pengalaman serta ilmu dikongsi secara tidak langsung.

Tugas aku seperti biasa, memastikan bahan-bahan grafik sesuai dan menepati kehendak dan spesifikasi sesebuah buku. Sudah berbelas kali aku menghadiri sesi seperti ini. Setiap kali datang, aku akan belajar sesuatu yang baru. Ianya memahir dan menambah kecekapanku.

Kata orang practise makes perfect.

Dalam pada itu, kebiasaan juga menjadikan kita alpa. Kita banyak take for granted. Mengandaikan bahawa segala sesuatu itu akan sentiasa diterima dan difahami. Kesilapan mengandai inilah yang kadangkala mencetuskan krisis dan konflik.

Emosi dan mood adakalanya susah dibaca. Apatah lagi jika mata tidak bertentang dan kata-kata tidak didengar. Yang wujud hanyalah perkataan, fon dan mukataip. Dibaca dengan nada dan intonasi yang bebeza.

Inilah antara situasi yang aku hadapi. Cuba memahami dan membuat interpretasi.

Kesilapan akan menyebabkan timbulnya isu. Isu membawa padah.
Sukarnya untuk dimengerti hatibudi manusia walaupun kerap berinteraksi.
Adakah kerana perasaan lain yang lebih menguasai?

Entah bila akan dapat pengertian yang sejati?

Kuserah pada masa.
Kuserah pada Yang Maha Kuasa.

Beib amat menghormati...
...bahan bacaan seperti buku, majalah, jurnal waima kita B
semuanya memberi ilm U
menjadikan kita pandai, bijak dan cerdi K
hingga kini menjadi teman baikk U
*42 jam yang bahagia....entah bila pula..

Sunday, March 21, 2010

Lima Satu - Penghormatan...


Assalamualaikum / Good Day.....

Tidak semua orang suka menyambut hari lahir (HL) jika dia sedar ia sebenarnya meraikan 'ketuaan'nya. Aku sendiri tidak kisah sangat pasal menyambut HL.

Tetapi entah kenapa kali ini disambut secara simbolik dan nostalgik.

Sukar hendak dicerita dan gambarkan bila sesuatu yang tidak disangka berlaku. Mengejutkan dengan element of surprise dan keterujaan yang tak dijangka.
Biarlah ianya menjadi simpanan peribadi.

Buat diri sendiri...
Moga usia yang melangkaui setengah abad menjadi peringatan dan menginsafkan diri.

Beib akan sentiasa kenangi sambutan hari lahir hingga ke hujung ....
nyawa dan terhentinya aliran dara H
moga kenangan dan nostalgi A
HAPPY BIRTHDA Y
tersimpan dalam jiwa dan mind A
setiap kali ianya disambu T
*besteva

Wednesday, March 3, 2010

Aku, Buku dan Teman Manjaku...


Assalamualaikum / Good Day.....

Sekali lagi aku dijemput untuk memberikan sumbangan kepada KPM. Penghargaan dan penghormatan yang tidak ternilai bagiku. Membantu menerbitkan bahan bacaan untuk anak bangsa membangkitkan rasa gah dalam diri.

Ini bukan riak atau takabbur, cuma rasa bangga teramat kerana diberi peluang yang sehehat ini yang tidak semua orang dapat.
Menjadi salah seorang ahli panel yang bertanggung jawab dalam menentukan bahan bacaan yang bermutu serta melibatkan ratusan ribu anak bangsa dan jutaan ringgit adalah sesuatu yang sangat besar. Amanah yang dipikul juga berat.

Seperti biasa, penerbangan selama sejam KT- KLIA aku penuhi dengan merehatkan minda. Sambil mengimbau kenangan manis dan membayangkan yang indah-indah. Terbang dicelah awan mencari kebahagiaan hidup. Seronok berfantasi begini.

Melihat pembangunan dari udara melalui kacamata burung (aerial view atau birds eye view) merupakan satu terapi minda. Terleka dan teruja. Bukan setiap hari kesempatan ini diperolehi melainkan kita seorang juruterbang atau anak-anak kapal yang bertugas di udara. Bertuahnya mereka.

Perjalanan 28 minit dengan ERL dari KLIA ke KL Sentral aku penuhi dengan berada di talian. Kecanggih teknologi terkini, internet melalui broadband yang mobil, memungkinkan perhubungan antara manusia menjadi lebih dekat dan akrab. Banyak perkara dan urusan yang boleh dibincang, gambar atau dokumen boleh dihantar dan suara boleh didengar dengan hanya mengklik tetikus. Semuanya dalam talian.

Buat masa ini, laptop Aspire yang kecil ini merupakan teman manja yang akrab. Aku kelek dan gendong ke merata tempat.
Bagiku, ada kalanya lebih baik bersahabat dengan laptop dari berkawan dengan sesetengah manusia yang belum tentu hati budinya. InsyaALLAH, laptop tidak mengecewakan.

Sepuluh hari di tempat bertugas pastinya laptop ini akan menjadi bertambah akrab, sentiasa ditatap dan diketuk kibodnya.

To whoever on the other end of the line...be ready...

Beib banyak habiskan masa menggunakan...
interne T
menyelesaikan urusan peribadi dan urusan kerj A
serta lain-lain ha L
setiap har I
walau di mana sahaja berad A
dengan cepat dan efisie N

Sunday, February 14, 2010

Perasaan Saya Lemau...

Widuri...malar segar...
Assalamualaikum / Good Day.....

Di tempat aku, Sambutan Tahun Baru Cina (TBC), seolah-olah tidak dirasai. Jiran tetangga tiada dari ras Cina. Yang ada hanya beberapa orang kenalan Cina yang tinggal agak jauh dari kawasan kediamanku. Jadi, tiadalah letupan mercun atau percikan bunga api yang aku dengar dan lihat sempena Tahun Harimau kali ini.

Paling akhir aku 'menikmati' suasana ini ialah semasa aku menyewa di No.11A, Gerbang Minden, Gelugor, Pulau Pinang pada tahun 1987-1989. Aku percaya ada lagi rakan-rakan yang tinggal di kawasan perumahan yang berjirankan ras Cina akan merasai suasana sambutan TBC yang meriah tetapi bingit. Hakikat yang perlu diterima.

Bagi aku walaupun sudah 20 tahun berlalu, namun dentuman bingit mercun masih terasa. Letupan sepanjang malam yang membuatkan aku tidak nyenyak tidur, sebagaimana yang aku rasai beberapa malam ini. Bukan kerana letupan mercun tetapi kerana 'letusan' emosi.

Dalam situasi yang sangat tertekan ini aku tidak ingin perasaan menguasai diri. Sesuatu harus aku lakukan untuk release and relief.

Oleh kerana anak-anak turut bercuti sempena TBC, aku mengajak mereka menonton persembahan atau 'gig' oleh Adi Jagat yang menjadi resident artiste di Sutra Beach Resort (SBR), Merang. Its a free and easy nite.

Adi seorang guitarist kidal yang hebat. Petikan gitar acoustic dan suaranya yang raspy, husky ala Rod Steward memukau penonton dan tetamu di resort ini.
Aku juga teruja dengan vokalnya yang mantap.

Perkenalan secara tidak formal bermula bila aku sering ke SBR untuk menghadiri mesyuarat dan sesi perbengkelan. Selalunya, apabila selesai sahaja sesi perbengkelan malam lebih kurang jam 10.30, aku akan menyandar di sofa lounge menikmati dendangan Adi. Sepoi angin malam dari Laut China Selatan dan cahaya suram di Rhu Tapai Lounge membuatkan suasana begitu santai.

Beberapa kali aku dipelawa oleh Adi untuk menyumbangkan suara, tapi aku sering menolak walaupun hati meronta. Malu segan pada teman-teman membuatkan aku menggeleng kepada Adi.

Namun kali ini aku tidak menolak. Pelawaan Adi aku sambut walaupun dia sebenarnya belum pernah mendengar suaraku. Untuk pertama kali, Widuri dan Angin Malam gaya aku, berkumandang dengan iringan keyboard Adi.

Nyata Adi berpuasa hati dan meminta aku nyanyikan Getaran Jiwa, lagu kegemaranku. Namun, oleh kerana lagu itu tiada dalam himpunan lirik Adi, aku menolak. Dua lagi tadi sudah cukup sebagai permulaan.

Qaqaq, Acik dan Adeq turut gembira menikmati persembahan dan berpeluang beramah mesra dengan Adi yang kebetulan membawa familinya bersama. Minat mereka pada muzik sentiasa aku pupuk.

Kata Henry Wadsworth Longfellow, Outre-Mer
, Music is the universal language of mankind. Benar katanya dan bagi aku ia adalah satu cabang seni yang perlu dihargai.

Muzik ialah salah satu bidang/cabang seni yang turut memperkembangkan daya intelek. Muzik juga menenangkan hati dan membolehkan kita melahirkan ekspresi diri apabila mendengarnya.

Dan malam ini, aku telah cuba release dan relief. Bak kata Berthold Auerbach, Music washes away from the soul the dust of everyday life. Cervantes pula berkata, He who sings scares away his woes.

Kendatipun, isu pokok masih berakar kuat. Entah bagaimana hendak direlaikan. Segalanya berubah dengan sekelip mata. Berubah dengan hanya satu panggilan.

Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Beib cuba bertenang dengan.....
... membaca buku dan berdia M
rasa tidak mahu digangg U
adakala lebih baik mendengar lagu sentimental atau jaz Z
sambil cuba mengekspresi dir I
agar rasa tertekan dapat diela K
* Ada kala manusia melakukan sesuatu di luar jangka.
Konspirasi dan komplot menjerat anggota sendiri.

Saturday, February 13, 2010

...Lantaran Satu Panggilan...

..merenung implikasi...

Assalamualaikum / Good Day.....


Minggu yang 'meletihkan'.
Konflik diri dan peribadi muncul tiba-tiba. Salah faham dan salah tafsir menjadi isu yang menekan.

Aku merasakan bahawa ianya tidak harus berlaku. Apatah lagi, kematangan berada di peringkat tertinggi. Slow talk atau bermuzakarah ialah cara terbaik tetapi itu tidak berlaku. Kata orang "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".

Yang dikatakan terlibat di 'grill' hingga berpeluh sejuk, menggeletar dan bingung. Disoal siasat bagai berhadapan dengan FBI, CIA atau Special Branch. Berjam-jam dalam tekanan dan keperitan. Natijahnya, penafian.

Aku lebih rela berdiam diri. Bukan bererti mengaku kalah atau mengiyakan tuduhan. Aku punya cara untuk difuse kan situasi.

Kita kadang-kadang terkedu bila sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Ada juga tindakan seseorang itu yang memang luar dari kotak fikiran dan tidak terduga oleh kita. Itulah keunikan manusia.

Dalam beberapa hari ini aku terasa sangat impaknya. Aku juga percaya kesannya akan berlanjutan terus. Mungkinkah hingga infiniti?. Yang mampu aku lakukan ialah bersabar, berdoa dengan redha.

Doa dan harapanku agar semua kembali normal walaupun tidak seratus peratus. Kata orang, nasi sudah menjadi bubur tetapi masih boleh dimakan. Larangan dan sekatan yang dibuat adalah pengekang. Terpaksa diterima dengan rela dan redha. Masihkah ada ruang dan peluang?

Sesungguhnya Tuhan lebih mengetahui...

Beib memang tidak gemarkan...
...perkara-perkara yang melibatkan komplot dan konspiras I
yang dibuat dengan tuduhan yang tidak berasa S
untuk menjerat sesuat U

Wednesday, February 3, 2010

Acik: Lulus Masuk Asrama...

hidup baru di suasana baru

Assalamualaikum / Good Day.....

Dah beberapa hari Acik meneruskan persekolahannya di SMTT. Dia nampak gembira di sana. Aku pula terpaksa keluar awal untuk menghantarnya setiap pagi dan petangnya, jam 3, bergegas menjemputnya balik.

Rutin aku mula berubah. Masa makin rigid.

Acik sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk merasa pengalaman tinggal di asrama. Aku tidak menghalang tetapi mamanya agak skeptikal. Bagi aku pengalaman ini perlu supaya dia dapat belajar menguruskan diri dan masa dengan lebih baik.

Bila surat tawaran ke asrama diterima dan sedikit pep talk, kami bersetuju untuk melepaskan Acik ke asrama.

Adeq agak terkilan kerana dia akan kehilangan kakak, teman dan soulmate nya yang setia selama ini. Sejak beberapa hari Adeq sering meluahkan rasa bosannya kalau dia terpaksa bersendirian di rumah. Selama ini mereka sangat rapat dan sering melakukan aktiviti bersama. Aku faham situasinya.

Dalam masa yang sama Adeq masih menanti peluang untuk bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Cita-cita itu ditanam sebelum mengambil peperiksaan UPSR lagi. Mungkin rezekinya belum tiba. Tapi, kalau dia juga terpaksa pergi untuk tinggal di asrama nanti, aku pula yang tiada orang untuk disakat.

Tersedar kini bahawa bila anak-anak sudah mula dewasa mereka akan pergi seorang demi seorang, keluar meninggalkan rumah samada melanjutkan pelajaran atau berkerjaya. Abang dan Qaqaq sudah melangkah keluar. Kini Acik. Esok lusa Adeq pula. Hakikat yang harus diterima.

Walau apa pun, temanku yang setia di waktu ini ialah laptop. Mengikut ke mana sahaja aku pergi sama ada ke tempat kerja, bermesyuarat, berkursus atau bersantai di kopitiam. Peneman dan penghibur hati.

kalau dah anak perempuan...

Pagi tadi, setelah selesai menguruskan pendaftarannya ke asrama, segala keperluan peribadinya disiapkan. Aku tidak sangat merasa bimbang kerana jika ada apa sahaja yang diperlukan waima kecemasan, jarak antara sekolah dan rumah hanya 2 km sahaja. Dekat dan accessible.

Kemasukannya Acik ke asrama pada sebelah petang berjalan lancar. Ditempatkan di dorm Gamma 2 di tingkat satu. Segalanya selesai dalam masa 45 minit setelah
membuat pembayaran yuran asrama sebanyak setengah ribu RM dibuat.


bangunan blok Gamma

Bila melihat bangunan asrama ini, aku teringat di awal tahun 9o an di mana aku pernah menjadi hakim pertandingan kebersihan asrama peringkat daerah KT. Bersama beberapa orang rakan kami memeriksa dan menilai tahap kebersihan, keselamatan, keselesaan serta aspek-aspek lain yang berkaitan.

Gamma 2...kediaman rasmi untuk tahun ini

Meninjau blok bangunan dan mengintai dorm Acik, semuanya seolah-olah seperti sebelum millenium 2000. Masih katil bunk bed atau dikenali sebagai double decker sebagaimana terdapat di barrack tentera serta almari kayu yang agak lusuh tanpa kunci.

Hampir 2 dekad, prasarananya masih jumud. Keselesaan terbatas. Aku cuba membayangkan susunletak bilik dan kelengkapannya yang lebih kondusif dan selesa. Maksima 4 orang sebilik, tidak seperti sekarang masih 14 hingga 20 orang sebilik. Mungkin juga matlamat kenapa dibuat begini ialah untuk membentuk dan menguatkan esprit de corps di antara penghuni asrama. Mungkin juga kerana faktor kos dan penyelenggaraan. Apa pun, kena terima dengan positif.

Ramai bekas pelajar dan teman yang pernah tinggal di asrama. Malah ada juga teman yang menginap di asrama ini, kini telah berjaya dalam hidup dan kembali bernostalgia bersama rakan-rakan asrama melalui Facebook, blog serta lain-lain social networking maya. Jalinan persahabatan yang kembali hidup dan berterusan. Malah ada juga yang bertemu jodoh kerana asrama. That is another story!

Sewaktu belajar dahulu, aku juga berpengalaman menginap di dorm yang memuatkan 12 orang dan di bilik, berdua. Semuanya membuatkan aku bertambah matang dari segi pergaulan dan bersosialisasi. Ini sebenarnya memanusiakan kita.

Buat Acik, walaupun privacy agak terbatas di asrama, namun belajarlah berkomunikasi dengan berhemah. Bergaul dengan baik, berinteraksi dengan berkesan, hidupkan semangat kerjasama, toleransi dan persaingan yang sihat. Moga pengurusan masa Acik tambah berkesan dan bermakna. Get the best out of it.


Penghubung jalinan dengan famili...

Ini semua akan mematangkan Acik dalam tempoh 2 tahun berada di asrama SMTT.
All the best my sweetie.

Beib teringat zaman menginap di...
... dorm dan asram A
yang menjadikan aku cerdas dan cerga S
bersama teman-teman bersaing belaja R
melakukan aktiviti di asrama bersam A
siang dan mala M
hingga kami semua berjaya dalam hidup dan berkerjay A