Showing posts with label Hari Guru. Show all posts
Showing posts with label Hari Guru. Show all posts

Tuesday, February 15, 2011

Pendidik Sangat Luhur: Aku Bangga!

 puas... dapat memahamkan konsep Seni kepada murid seawal usia 10
Assalamualaikum / Peace be upon you...
"Bila turun ke Sekolah Rendah (SR)?"
"Jadi Guru Besar SR?"
" Seronok dok SR..?"
Inilah antara soalan yang aku hadapi bila ramai orang mendapat tahu bahawa aku telah ditempatkan di sekolah rendah (SR).
Pelbagai reaksi, pandangan serta tanggapan yang aku terima. Segalanya kuserapkan secara positif. Tidak ada apa yang hendak dimalukan.
Ada ketika soalan yang di kemukakan seolah-olah mengherdik, sinis dan merendahkan. Macamlah SR ni lekeh dan leceh.
Ada yang bernada terkejut serta hairan dan aku tahu ianya iklas kerana ramai kenalanku selama ini tahu aku betugas lebih dari 30 tahun di sekolah menangah (SM). Aku pernah menjadi pensyarah di sebuah Maktab Perguruan atau kini dikenali sebagai IPG selain dari menjadi tutor kepada mahasiswa di sebuah IPT sejak 1990 hingga saat ini.
Sebenarnya sifat inkuiri atau inquisitive ini lumrah dalam kehidupan kita seharian. Aku terima sebagai sesuatu yang positif dan mematangkan aku.
Namun, aku agak terkilan apabila perkataan 'turun ke SR' digunakan.
Apakah jika kita berada di SR bererti jatuh darjat?
Hilang pangkat?
Tidak glamour?
Tidak setaraf dengan mereka yang mengajar di SM, IPG atau di IPT?
Ada ketikanya aku membidas pertanyaan sinis ini dengan membetulkan ayat soalan.
" Bukan saya diturunkan ke SR tapi saya ditempatkan di SR"
"Kalau tidak ada SR, takkan ada SM dan IPG malah IPT sendiri.." Itulah yang sering aku tegaskan.
Teringat seseorang yang mengajar di SR selama lebih sepuluh tahun dan bergelumang dengan kanak-kanak istimewa dalam kelas Pendidikan Khas (PK).
Ramai yang memandang remeh dan menganggap dia berada dalam kelas atau kelompok guru yang tidak setaraf dengan guru yang mengajar di arus perdana.
Bagiku, orang yang berfikiran serong dan kolot begini yang sebenarnya tidak ada 'kelas', jumud dan dhaif.
Tahukah mereka, boleh dikatakan semua guru yang terlatih boleh mengajar di kelas arus perdana, sedangkan untuk mengajar di kelas PK memerlukan kepakaran khusus yang ramai dari kalangan guru arus perdana tidak memilikinya.
Kelebihan dan kepakaran ini cuma ada pada segelintir guru yang terpilih, iaitu guru PK.
Inilah yang sering aku peringatkan kepada anak keduaku yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PK.
"You should be proud of yourself....you are the selected one!"
Begitu juga dengan aku.
Ditempatkan di SR setelah lebih setengah abad mendidik pelajar di SM terutamanya di Tingkatan 4 dan 5, membuka lembaran baru dalam mendidik anak bangsa.
Pengalaman terbaru selama  5 bulan ini berada di SR dan mendidik murid tahun 4, 5 dan 6 lebih mematangkan aku.
Sehingga saat ini, aku masih dalam zon teruja dalam mencurahkan ilmu kepada anak didik di SR. Aku bangga dengan kelebihan yang ada padaku.
Maksudku, bukan semua orang berpeluang mendalami dan mempraktikkan kurikulum SR, SM selain dari di IPT. Aku bersyukur kerana aku diberi peluang itu.
Biarlah mereka yang skeptik bertanggapan herot. Mereka sebenarnya adalah golongan yang kurang  intelektual dan profesional. Membuat tanggapan tidak berdasarkan sifat keilmuan.
Aku, sehingga kini amat berbangga dan terus bersemangat untuk mendidik  anak bangsa yang aku tahu amat dahagakan ilmu.
Aku amat tahu kedudukan dan fungsiku selaras dengan gelaran yang aku terima dari KPM. Malah aku berbangga kerana aku adalah salah seorang dari berpuluh ribu di kalangan pendidik dalam negara yang terpilih untuk tugasan ini. Syukur kepada Illahi kerana anugerah ini.
Inilah yang memacu aku untuk terus berbakti kepada anak didik.
Biarlah Luncai terjun dengan labu-labunya.
Buat teman dan rakan yang mengajar di mana-mana jua dan di peringkat apa pun, anggaplah tugas mendidik ini sesuatu yang sangat mulia.
Bak kata pendita, "Teaching is a noble profession"
Begitu juga buat anda yang mengajar di kelas PK. Anda sangat tinggi darjatnya.
Kita mesti berbangga menjadi pendidik.
Ini tersemat kuat dalam diriku dan aku abadikan di tie clip ku.

Beib tidak pernah menyesal menjadi seorang...
...pendidik apatah lagi bila digelar Cemerlan G
dalam usaha mencurahkan ilm U
kepada anak didik dan juga pelaja R
moga diamalkan sepanjang hidupm U
*...aku berbangga dan sangat teruja kerana kita sebenarnya sangat berharga...

Sunday, May 16, 2010

Pendidik: Satu Luahan


Assalamualaikum / Good Day.....

Aku sudah 30 tahun bergelumang dalam alam pendidikan. Luahan ini mungkin datang pada masa aku sangat tertekan dengan isu emosi, situasi dan kerjaya.

Aku cuba jadi rasional dalam lengkongan emosi yang tak keruan. Terlalu peribadi sebenarnya. Biar aku simpan dan aku leraikan sendiri. Kata orang 'sendiri buat sendiri tanggung'.

Merenung kembali kerjaya sebagai pendidik atau guru, dan membandingkan dengan kerjaya profesional yang lain, aku terasa bagai dianaktirikan. Mungkin keluhan dan luahan ini menggambarkan apa sebenarnya.

Selain dari tugas dan beban kerja yang berat sebagai guru, aku juga ingin memaparkan persekitaran dan suasana kerja yang agak kurang selesa berbanding dengan jabatan kerajaan yang lain yang mempunyai suasana kerja yang lebih baik.

Kebanyakkan jabatan kerajaan termasuk hospital dan balai polis pada masa ini telah dilengkapi dengan pendingin hawa sedangkan guru masih berbakti dalam bilik darjah yang panas dan merimaskan.

Pendidik lelaki yang memakai tali leher terpaksa menahan rimas dan panas kerana cuaca tidak memihak kepada mereka, apatah lagi jika kipas tidak berfungsi.

Walaupun ada sesetengah bilik guru yang dipasang pendingin hawa tetapi masih banyak lagi sekolah yang tidak ada. Malah ada bilik-bilik Guru Kanan tidak disediakan/dipasang dengan kemudahan ini. Sedangkan kategori mereka melayakkan mereka mendapat kemudahan ini.

Teringatkan seorang teman yang bukan sahaja tiada kemudahan pendingin hawa di bilik guru, malah meja kerja yang digunakan ialah meja kantin yang dikongsi beramai-ramai. Nasib baik kerusi yang digunakan bukan kerusi murid.

Sesuatu patut dilakukan untuk menaikkan taraf dan meningkatkan tahap self esteem rakan-rakan guru ini. Buat teman ku ini, bersabarlah. Biar kelengkapan ala kadar, tetapi pengajaran tetap hebat.

Ada juga syarat tidak bertulis yang menyatakan bahawa pendingin hawa hanya boleh dibuka selepas jam 10 pagi.


Disetengah sekolah, kipas tidak dibenarkan dipasang pada waktu pagi. Murid hanya dibenarkan memasangnya selepas waktu rehat bagi menjimatkan kos. Tentu sahaja ia sangat tidak menyelesakan untuk belajar dalam situasi yang begini.

Guru adalah golongan profesional. Dalam masa terdekat, sekolah rendah akan dilimpahi dengan pendidik yang berijazah. Mereka seharusnya mendapat layanan yang lebih baik dari ini.

Kantin atau kafeteria di sekolah kebanyakkannya tidak berapa memuaskan. Ruang atau bilik makan yang disediakan untuk guru biasanya sempit dan menyesakkan tanpa pendingin hawa.

Penswastaan perkhidmatan membersih kawasan serta bangunan sekolah dialu-alukan. Tandas dan kawasan sekolah agak kemas dan bersih walau pun masih ada lagi kekurangan dari segi peralatan/kelengkapan.

Patut disediakan juga bilik mandi khusus untuk guru. Ini amat membantu guru-guru yang mengajar PJPK atau mereka yang stay back untuk aktiviti di waktu petang.

Menyediakan hanya cubicle sebagai tandas amat mengecewakan.

Setahu aku, kebanyakkan staf kerajaan disediakan dengan alat tulis atau stationery. Ini tidak berlaku dalam bidang pendidikan terutamanya pada guru. Guru menggunakan banyak pen dari golongan lain tetapi tidak dibekalkan.

Dewasa ini, kebanyakkan sekolah menggunakan white board menggantikan papan hitam/hijau tetapi hanya dua batang marker diberikan kepada guru di awal tahun. Marker, biasanya hanya bertahan selama seminggu. Jika habis, refills atau marker baru harus dibeli sendiri.

Walaupun ia kelihatan remeh, namun guru terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri berbanding dengan staf kerajaan yang lain.

Selain daripada itu, aku merasakan bahawa guru adalah kaki tangan kerajaan yang kurang mendapat peluang untuk kenaikkan pangkat. Ramai yang berganjak bukan mengikut merit tetapi berdasarkan time-base.

Tidak dinafikan KPM telah mula mengorak langkah membuka peluang untuk kenaikkan pangkat melalui kaedah fast track seperti Guru Cemerlang serta guru yang mengajar di Tingkatan Enam. Namun ratusan ribu lagi guru masih tersadai menanti masa untuk time-base.

Masih ramai lagi guru-guru senior tersekat dan beku di jawatan dan kategori yang disandang untuk beberapa ketika. Ini kerana tiada kekosongan jawatan. Apa yang mampu dibuat hanyalah menahan perasaan disamping bertungkus lumus menyelesaikan pelbagai tugas akademik, ko-akademik serta perkeranian.

SELAMAT HARI GURU.

Beib adakalanya terkilan, namun tetap memilih dan kekal sebagai...

...pendidik kerana ingin berjasa kepada semua oran G
mencurahkan ilm U
yang ALLAH anugerahkan melalui tunjuk aja R
moga bila mati nanti ilmu yang dimanfaatkan itu akan menjagak U

*ada insan yg bila ia sangat marah akan menjerit memanggilku .... cg.habibbb!!