Dalam perjalanan balik dari tempat bertugas, aku singgah di kedai gunting rambut berhadapan dengan UDM, lebih kurang 1 km dari rumah.
Rambut dah panjang berjurai, kerinting dan tak terurus. Tak selesa rasanya.
Aku sebenarnya tidak pernah berambut panjang melainkan semasa menunggu keputusan MCE pada pertengahan tahun 70an dan semasa di U. Itu pun panjang terkawal.
Sejak aku menetap di KT hampir 30 tahun, ini adalah tukang gunting rambut (TGR) aku yang ke 3.
TGR aku yang pertama, Ton (lelaki), masih lagi sihat walafiat, meneruskan khidmatnya di Paloh, KT.
Yang kedua, Pak Awang, masih bertenaga dan menjalankan perkhidmatannya di Kampung Tok Jiring. (baca sini).
Aku berubah TGR bukan kerana tidak selesa, tapi kerana mereka berada di luar laluan ke tempat kerja aku.
Alhamdulillah, sejak awal tahun, TGR ini tidak mengecewakan.
Kalau dulu TGR memberi khidmat berseorangan, yang ini berkumpulan - 4 orang.
Biasanya bergunting di sini bergantung kepada nasib. Tak tentu siapakah TGR yang akan menggunting rambut kita. Kalau hendakkan TGR kegemaran kita, mungkin terpaksa tunggu lebih lama andainya dia ada pelanggan di waktu itu. Kalau bersedia untuk digunting oleh sesiapa sahaja, kita mungkin akan dapat pulang awal.
Apa yang aku nak ceritakan ialah mengenai senario dikala aku hendak bergunting tadi.
Bila sahaja aku masuk ke dalam kedai gunting tersebut, semua kerusi sudah dipenuhi. Ke empat-empat TGR sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing.
Disuatu sudut kedai, di atas kerusi, seorang wanita sedang melayan 3 orang anak lelakinya yang berusia dalam lingkungan 3 - 8 tahun. Aku pasti mereka dibawa ibu untuk bergunting, maklumlah Hari Raya cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Bila sahaja selesai salah seorang pelanggan dewasa digunting, ibu muda tadi terus membawa anak nya ke kerusi tersebut. TGR meletakkan bangku kecil di atas kerusi tersebut bagi memastikan anak kecil itu duduk di paras yang sesuai untuk digunting rambutnya.
Tiga minit berlalu dan seorang lagi pelanggan siap digunting. Ibu muda tadi membawa seorang lagi anaknya ke TGR yang kedua. Aku masih menanti giliran.
Beberapa minit kemudian, seorang lagi pelanggan dewasa siap digunting. Ibu muda tadi membawa seorang lagi anaknya naik ke atas kerusi TGR ketiga.
Aku perhatikan sahaja sambil menanti giliran aku. Beberapa orang pelanggan baru masuk ke kedai.
Sebaik sahaja selesai pelanggan keempat digunting, aku pun meletakkan suratkhabar yang sedang aku baca dan mula melangkah ke kerusi tersebut.
Tiba-tiba meluru dari belakang seorang kanak-kanak kecil, naik ke atas kerusi. Aku tergamam sambil tertoleh ke belakang.
Eh! dari mana pulak datang budak kecil ni?
Ibu muda tadi mengekor dari belakang.
Rupanya, bukan tiga tetapi empat anak ibu muda ini. Yang keempat berada entah di mana sebelum ini.
Dalam masa serentak kesemua empat kerusi dimonopoli oleh anak-anak ibu muda ini.
Aku masih sabar melihat gelagat dan menunggu anak-anak kecil ini digunting rambut mereka. Malah, yang paling kecil terpaksa dipegang kepala oleh ibunya kerana tertidor ketika sedang digunting. Sesuatu yang biasa juga terjadi pada diriku.
Melihat keempat-empat mereka di kerusi aku tertanya-tanya siapa dan dimanakah ayah mereka. Sibuk agaknya atau berada di luar daerah.
Giliranku tiba bila anak kecil yang pertama tadi selesai digunting, 20 minit kemudian.
Siap digunting, aku kelihatan sedikit 'gonjeng' dan perlu menanti seminggu sebelum rambutku kembali 'matang'.
Dalam pada itu, teringat aku akan seorang teman yang sering membelai dan mencium rambutnya sendiri. Katanya, ingin menikmati keharuman syampu yang digunakannya. Sudah menjadi tabiat katanya.
Aku juga begitu semasa berambut ala hippy di zaman remajaku dulu. Kini yang dapat aku cium hanya misaiku sendiri.
Hehehe...
Beib berdoa agar tidak kehilangan...
...atau gugu R
rambut, yang juga mahkot A
yang semua orang ida M
Moga ia sentiasa segar dan lemba B
tidak ada kut U
terus hitam berkila T
rambut, yang juga mahkot A
yang semua orang ida M
Moga ia sentiasa segar dan lemba B
tidak ada kut U
terus hitam berkila T
No comments:
Post a Comment