Thursday, May 28, 2009

Tugasan nasional lagi..

Backdrop jelas menerangkan
Assalamualaikum / Good Day.....

Balik dari Persembahan Choralsical petang tadi aku bergegas ke Hotel Midtown untuk satu mesyuarat bersama pegawai-pegawai dari beberapa bahagian KPM.
Mesyuarat kali ini penting dalam memastikan perjalanan 2nd Malaysia ASEAN School Linkage Programme 2009 (MASLP) yang akan diadakan pada 14-22 June 2009 di KL dan KT lancar serta berjaya.
Ini ialah program peringkat antarabangsa yang memerlukan perancangan yang rapi dan teratur.
Negara-negara yang terlibat ialah:
Brunei, Cambodia, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Philippines, Singapore, Thailand dan Vietnam.
Ada 9 semuanya, setelah Myanmar menarik diri.
Program ini merupakan satu Visi ASEAN.
Hasrat utamanya ialah untuk mengukuhkan semangat persaudaraan ASEAN yang berkaitan dengan keamanan, keharmonian dan kestabilan kearah komuniti ASEAN yang penyayang menjelang tahun 2020.
Kumpulan sasaran khusus ialah pelajar-pelajar dari Sekolah Seni atau pelajar yang terlibat secara langsung dalam tarian tradisional atau kebudayaan dari negara masing-masing.
Sedikit tentang program ini boleh dibaca di sini dan sini.
Selain dari menyediakan task atau tugasan kepada pelajar-pelajar dari 9 negara ASEAN untuk diselesaikan, aku juga merupakan Liaison Officer(LO) yang bertanggungjawab memastikan pelajar dan guru pengiring yang diraikan berasa selesa dan tenang semasa mereka bersama keluarga angkat di Homestay Teluk Ketapang (HSTK).
Aku juga akan menjadi bapa angkat kepada 2 orang pelajar, bukan 3 sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
Negara- negara mereka belum dikenalpasti lagi. Cerita terdahulu di sini.

AJK Penyelaras Program bermesyuarat
Pn. Adibah (BDHA) dan Pn. Faridah (BSSK)

Selaku salah seorang dari fasilitator/LO aku dan rakan-rakan akan bergabung tenaga dengan AJK HSTK, KT dalam melaksanakan program-program yang melibatkan:
- Lawatan ke sekolah
- Gotong royong
- Sukaneka
- Penanaman pokok
- Persembahan kebudayaan negara-negara ASEAN
- Lawatan 'Jejak Warisan Terengganu'
- Terengganu River Cruise
- Lawatan ke Muzium Negeri
- Jamuan Negeri


Kejayaan program ini bergantung kepada kerjasama dan kesepakatan antara KPM, JPNT, PPD dan HSTK
Sebagai AJK HSTK tugas-tugas sampingan yang lain akan menyusul.
Komitmen penting dalam merealisasikan kelancaran program.
Dalam kesibukan tugas utama mendidik anak bangsa, peluang untuk menabur bakti dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa seperti ini tidak harus dilepaskan.
Apa yang penting ialah pengurusan masa dan jadual harian yang perlu diselaraskan.
Sesibuk mana pun, aku harus memberi ruang pada waktu-waktu tertentu untuk berada ditalian (online = on9).
Petang, malam dan awal pagi.
Ianya rutin dan penting.
Kegagalan berbuat demikian akan memberi impak yang tak tersangkakan.
Pada aku, keterlibatan dalam aktiviti sebegini memberikan satu kepuasan pada diri.
Ramai kenalan yang kita dapat, disamping menambahkan pengalaman dan ilmu dalam bidang pendidikan.
Tapi...ada seorang teman tu... dia lebih suka 'bergolek' dan 'menchubbykan diri.
Kenalannya juga ramai dengan hanya melalui linkage internet.
Semuanya dalam santai lepak di dalam bilik.
Hehehehe...jangan marah...

Beib gembira kerana dapat berkhidmat dengan ...
...warga KP M
menganggotai AJK pelaksan A
dalam menjalankan tuga S
mengurus pelbagai ha L
hingga segalanya sia P

Choralsical: Turut Menghibur...

barisan belakang 4 dari kanan

Assalamualaikum / Good Day.....

Pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang lalu (baca di sini) aku hanya sebagai fasilitator yang memerhati dan menyanyi dari tepi pentas.
Kali ini aku turut bersama di atas pentas dengan 34 orang rakan yang lain, sama-sama bercerita, sama- sama menyanyi.

santai sebelum naik pentas

Biarlah ada dalam resume peribadi aku bahawa diusia setengah abad, aku mampu menyumbangkan suara dalam choralsical dan menjadi ahli kumpulan yang ter senior.
Moga menjadi inspirasi pada semua.

berbaris di belakang pentas penuh debaran

Persembahan Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu kali ini diadakan di Dewan Berlian, Kemaman.
Dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat pendidik, ia merupakan satu saluran mempamerkan entiti baru dalam bidang persembahan penceritaan.

menuju pentas penuh konfiden
Elemen penceritaan secara beramai serta berlagu diharap dapat mencuit hati penonton dalam menghayati senario pendidikan masa kini.
Pelbagai isu dan perkara yang berkaitan dengan guru diperdengar dan dikisahkan secara melodious.
Reaksi spontan penonton membuatkan kami, ahli choralsical, teruja dan bersemangat.
Persembahan yang mantap dan dianggap berjaya ini membuka ruang pada kami untuk lebih kreatif.
Moga choralsical yang dipelopori oleh guru-guru Terengganu menjadi benchmark atau tanda aras dalam seni persembahan dan penceritaan berkumpulan kerana ia bukanlah seperti choral speaking yang biasa kita dengar yang ditaarifkan di sini sebagai:
recitation of poetry, dramatic pieces, etc. by a chorus of speakers.
Ia unik, tanpa terikat dengan undang-undang dan peraturan choral speaking yang sedia ada.

Sebahagian penonton yang memenuhi ruang dewan untuk majlis tersebut. Mereka lah pemberi semangat yang gigih.
Bertepuk dan tersenyum mendengar cerita mengenai diri mereka dalam irama serta lenggok choralsical.
Aku harap entiti baru ini akan menjadi ikutan yang positif dalam bidang pendidikan.
Terima kasih kepada rakan dan teman yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merealisasikan bentuk baru penceritaan berkumpulan ini.
Memetik kata-kata seorang teman, "Kita harus cekal dan tekal". Ianya perlu dalam mempromosi entiti baru ini.
Ia bukan lagi impian. Ia adalah sesuatu yang indah dan menjadi halwa telinga jika kena gaya dan ekspresi.
Jom choralsical...!!

Beib percaya choralsical akan menjadi entiti yang....
...akan diberi peluan G
membuat persembahan merata-rat A
dengan pelbagai cerita, lagu dan kisa H

Thursday, May 21, 2009

SENI: KB- KT- Kuantan

Fasi dan peserta tekun menjalankan tugas

Assalamualaikum / Good Day.....


Selesai dengan tugasan bersama BPK di KB aku terpaksa bergegas ke Hotel Seri Malaysia, Kuantan dengan pit stop sekejap di Gong Badak,KT. Itu pun untuk menukar pakaian.
Dari 21 - 23 Mei aku terpaksa hadiri Mesyuarat/Kursus Kerja Kursus Kajian Rekaan Seni Visual dan Kertas 3 STPM.
Memandu selama 2 jam setengah dari KB ke KT dan meneruskan perjalanan ke Kuantan lagi 4 jam adalah sesuatu yang memenatkan tapi tidak seletih memandu balik ke Anak Bukit.
Namun, demi tugas dan amanah ia harus dipikul dengan penuh komitmen.
Kali ini aku hanya menjadi pemerhati. Tugas sebagai pengacara majlis sudah beralih tangan. Pelapis perlu dicari, pengganti harus dilatih.
Pembentangan mengenai tugasan Kajian Rekaan Seni Visual (KRSV) dijalankan oleh mereka yang dilantik sebagai Pentaksir Kawasan dan Negeri.
Aku cuma hadir sebagai fasilitator dan membantu mana yang perlu. Kehadiranku pun untuk sehari semalam sahaja sebab aku punya komitmen lain pada hari sabtu.
Memerhatikan kesungguhan peserta dalam menghasilkan bahan contoh atau artifak serta portfolio KRSV untuk pelajar, meyakinkan aku bahawa hasil kerja KRSV akan mencapai tahap yang diharapkan.
Peluang bermesyuarat dan berbengkel sebegini juga memberi ruang pada guru-guru PSV dari seluruh negeri untuk berjumpa serta bertukar pandangan dan pendapat mengenai mata pelajaran PSV dan SV serta isu-isu yang berkaitan.
Diharapkan agar kumpulan-kumpulan kecil yang ditugaskan untuk menyiapkan modul dan contoh karya dapat menyelesaikan tugasan masing-masing dengan jayanya.
Janganlah jadi seperti apa yang disebut:

A Committee is a group of people who individually can do nothing,
but
as a group decide that nothing can be done

Fred Allen ,American Comedian, 1894-1956)

atau menjadi seperti:

A committee is a group of the unwilling
chosen form the unfit, to do the unnecessary.


Aku yakin tiada perkara yang diabaikan, Semua aspek diambil kira, guru dan pelajar, demi merealisasikan kejayaan dalam KRSV.
Kata seorang teman, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan harus dipikul dengan cekal dan tekal.
Mau dibahaskan?

Beib yakin dengan peranan...
... yang dimainkan oleh semua oran G
samada perserta kursus atau J.U
dalam menyiapkan bahan bantu mengajaR
bagi memastikan semua pelajar mendapt A sat U

Monday, May 18, 2009

Seni dan Bakti: Dari KB ke Kuantan

Bersama 11 orang panel Seni Halus memurnikan HSP SS

Assalamualaikum / Good Day.....

Sudah agak lama tidak memberi khidmat dan sumbangan pada Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) terutamanya yang berkaitan dengan seni.
Hampir setahun aku menyepi atau disepikan.
Tak kisahlah.
Lagipun, dalam masa itu banyak juga sumbangan yang telah aku berikan kepada Bahagian lain yang berkaitan dengan seni secara khususnya.
Bila sahaja menerima fax menjemput aku ke KB dari 18-21 Mei, untuk menghadiri Mesyuarat Pemurnian Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) SV Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Seni (SS), aku jadi teruja.
Walaupun masih terasa lelah dengan persiapan dan persembahan Choralsical, jemputan ini tidak harus dilepaskan.
KB hanya dua jam setengah perjalanan dari rumahku lagipun SS merupakan entiti yang sangat dekat dihatiku.
Selama ini aku terlibat juga secara tidak langsung dalam pembinaan Kertas Dasar SS serta terjemahannya, pemilihan/temuduga murid-murid SS, Kajian Minat Murid SS, Pembentukan SPI SS bersama LPM, SP Tingkatan 1-3 dan kini SP bagi Tingkatan 4 dan 5.
Jika ingin tahu serba sedikit mengenai SS, sila taip SS di kotak Search Blog kat atas.
Bagaimana situasi SS kini?
Setelah berlaku perubahan dan pengstrukturan semula organisasi KPM, keterlibatan aku dalam SS mula berkurangan.
Itu isu lain. Biarkanlah begitu.
Dalam sesi kali ini, banyak perbincangan dilakukan untuk memastikan kandungan HSP menepati kehendak kurikulum SS dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Seni.
Cadangan agihan modul mengikut minggu juga dibahaskan berdasarkan tajuk, isi kandungan dan tempoh.
Kurikulum Seni Visual yang mengandungi 3 jurusan ( Seni Halus, Komunikasi Visual dan Reka Bentuk) dibahagikan pula kepada beberapa mata pelajaran.
Jurusan Seni Halus:
i. Lukisan
ii. Apresiasi dan Pengurusan Seni
iii. Seni Halus
Jurusan Komunikasi Visual
i. Lukisan
ii. Apresiasi dan Pengurusan Seni
iii. Komunikasi Visual
Jurusan Reka Bentuk
i. Lukisan
ii. Apresiasi dan Pengurusan Seni
iii. Reka Bentuk
Banyak sebenarnya ilmu baru yang boleh dikutip melalui perbincangan sertas perbahasan seperti ini.
Majlis Ilmu begini memang sangat-sangat aku nantikan.
Selain dari bertemu rakan, kenalan baru dan lama, aku juga berupaya menjana minda agar lebih akademis.
Ketelitian dalam menetapkan isi, fakta dan maklumat dalam HSP perlu bagi memastikan anak didik tidak mendapat ilmu yang songsang.
Panel yang dilantik tidak boleh semberono atau tangkap muat demi menjaga kualiti kurikulum yang akan digunapakai oleh beberapa generasi anak didik kita.
Tugas ini memang berat.
Jika ada kesilapan yang dibuat, ia akan melibatkan satu generasi anak bangsa.
Aku amat bimbang tetapi sentiasa berdoa agar ianya dihindari.
Selepas ini, pada petang 21 Mei aku akan bergegas ke Hotel Seri Malaysia, Kuantan bagi menghadiri satu lagi Mesyuarat dan Kursus Kerja Kursus PSV bersama hampir 80 orang guru PSV dari seluruh negeri Terengganu.
Sesungguhnya, bagi aku selagi khidmat diperlukan aku akan cuba berikan yang terbaik dan termampu.
Jarak dan ruang boleh dikompromi.
Ada kalanya kita tidak punya kudrat atau tak berupaya mengatasi hakikat.
Keinginan serta komitmen yang tinggi mengatasi segala, waima terpaksa mengharungi lebuhraya beratus kilometer menyeberangi negeri.
Andainya pengorbanan seperti ini masih lagi tidak dihargai, ianya adalah sesuatu yang sangat malang.
Apa perasaan anda jika ianya terjadi pada diri anda?

Beib akan terus berbakti demi ...
...anak bangsa sendir I
sambil membuat ama L
sebagaimana yang dituntut dalam Isla M
salah satu yang ditinggalkan selepas mati ialah: ILMU

Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU...choralsical yang unik...

Disaksikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, TPM
merangkap Menteri Pelajaran Malaysia serta Dif-Dif Kehormat,
Choralsical ternyata membanggakan.

Assalamualaikum / Good Day.....

Hari yang bersejarah.
Aku tak mahu lagi menceritakan tentang falsafah, sejarah, matlamat serta apa-apa yang berkaitan tentang Hari Guru. Banyak telah diceritakan mengenainya saban tahun. Dah jadi klise.
Aku cuma nak menceritakan tentang Majlis Pelancaran Hari Guru Ke 38 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuala Terengganu yang meninggalkan seribu kenangan terutamanya mengenai persembahan Choralsical.
Setelah bertungkus lumus selama lebih 3 bulan, hari kemuncaknya tiba hari ini.
Dalam debar penerimaan penonton, ahli kumpulan dan aku yakin akan persembahan yang mantap setelah selesai raptai penuh.
Persembahan Choralsical yang ternyata mendapat sambutan di luar dugaan dari penonton yang hadir pada pagi itu.
Kemantapan vokal dan gaya, mengatasi persembahan koir yang membuat persembahan sebelumnya.
Ternyata Choralsical menepati namanya.
Cerita dan lagu.
Penceritaan dan lagu yang sesuai mendapat reaksi yang positif dan spontan dari para penonton.
Anda boleh saksikan Choralsical di sini. (http://www.eduwebtv.com) atau membaca komen serta pengkisahannya di sini, sini dan sini .
Ternyata latihan yang intensif serta komitmen yang tinggi dari semua ahli membuahkan hasil yang diharapkan.
Kata orang "Sepakat membawa berkat", "Bersatu bertambah mutu", "One for and all for one" dan pelbagai lagi slogan yang mencerminkan kerjasama serta kesepakatan dalam menjayakan sesuatu.
Ini dijelmakan dalam persembahan kami.
Mantap dek sepakat.
Bukan mengangkat diri atau meriak sombong, peranan jurulatih/fasilitator juga penting dalam merealisasikan tugasan ini dan aku turut berbangga menjadi sebahagian dari kejayaan itu.
Pentas utama yang dihias indah sebagai platform persembahan kami. Ia bertemakan hitam putih serta motif ukiran kepala perahu payang melambangkan kehidupan masyarakat di Terengganu.
Hitam putih laksana Yin Yang dalam kehidupan yang pelbagai. Menepati falsafah China kuno yang menyatakan Yin and yang are complementary opposites within a greater whole.

bersama ahli-ahli wanita yang ceria dan kepo
Begitu jugalah dengan pakaian batik kami. Hitam dan putih adalah warna utama. Kontra tetapi saling melengkapi.
Opposing forces are interconnected and interdependent in the natural world, giving rise to each other in turn.
Rekacorak yang aku ilhamkan ini telah digarap dengan baik oleh pembuat batik. Hampir kesemua ahli Choralsical berpuas hati dengan design tersebut.
Malah ianya menjadi perhatian peminat batik dari Kelantan ke Pulau Pinang hingga ke selatan tanahair. Terima kasih.
Namun, bahan kain yang kurang berkualiti menjadi tajuk utama perbualan hingga melahirkan kekecewaan.
Sebagai salah seorang yang bertanggungjawab dengan kumpulan ini, aku akan cuba atasi dengan pembekal kain melalui perbincangan yang rasional.
Harapanku agar ianya selesai dalam keadaan win-win situation.
End of the day, aku dapati bahawa choralsical yang disampaikan secara dwibahasa itu berupaya menjentik rasa dan minda penonton-penonton VVIP dan dengar ceritanya Tan Sri KSU akan menjemput pasukan kami ke KL untuk satu persembahan peringkat antarabangsa bulan depan.
Moga ianya menjadi kenyataan.
Tidak hanya mimpi, ilusi buatan sendiri atau impian indah yang mempersonakan di siang hari.
Biarlah choralsical ini diantarabangsakan dan aku pasti ingin bersama di atas pentas!

Beib bangga melihat ahli choralsical diatas...
...persembahan yang manta P
dengan nada dan gaya yang bukan klis E
serta pembaharua N
dan olahan yang memika T
sesuai dengan nam A
yang akan suatu hari menjadi tanda ara S

Friday, May 15, 2009

Dari pedalaman penuh dengan pengalaman....

Sebagai JK Pengurusan Meja Makan VIP
aku diamanah untuk memastikan
Y. Bhg. Dato' Hjh. Norizan Bapoo Hashim, TKPPM

dan En. Razali Daud,
Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu
berada dalam keadaan selesa dan
santai.
Assalamualaikum / Good Day.....

Seperti yang dinyatakan dalam entry bertajuk
Aku, Guru: Menjunjung Budi
yang boleh dibaca di sini, aku menerima tiga orang pendidik angkat dari Kelantan, Johor dan Pahang.
Program yang julung kali diadakan ini ialah untuk memberi peluang kepada guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman merasai suasana sambutan Hari Guru Ke-38 Peringkat Kebangsaan secara langsung yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 16 Mei 2009.
Majlis Perasmian Program Lawatan Guru Pedalaman dan Menjunjung Budi KPM dirasmikan oleh Y. Bhg. Dato' Hjh. Norizan Bapoo Hashim, TKPPM.
Walaupun jarak usia agak dekat untuk ditakrifkan sebagai anak angkat kecuali seorang, kami saling berkongsi pengalaman berkaitan dengan pendidikan.
Masing-masing punya cerita dan pengalaman tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Pengalaman mereka mengajar dan mendidik anak-anak orang asli dan anak-anak di pedalaman Pahang adalah sesuatu yang unik bagi aku.
Selama 30 tahun mengajar, semua itu tidak pernah aku lalui dan aku pasti tidak ramai yang lain turut mengalaminya.
Dua hari satu malam adalah masa yang amat singkat untuk berkongsi sepenuhnya pengalaman perit getir, suka ceria di alam pendidikan.
Masa yang terhad itu kami penuhi dengan cerita dari pengalaman masing-masing.
dari kiri: Cg. Hj. Nordin Miskam, Cg. Mustapha Awang, Cg. Zaitullah Hamzah

Cg. Nordin Miskam dari Johor dan cg. Mustapha Awang dari Kelantan merupakan pendidik yang mengajar anak-anak orang asli manakala cg. Zaitullah yang mengajar di SK Gusai, Hulu Tembeling, Pahang mendidik anak-anak orang kampung pedalaman.
Menurut cg. Zaitullah, untuk sampai ke sekolahnya terpaksa menaiki bot penambang selama 5 jam mengharungi Sungai Tembeling sejauh 150 km. yang kadang-kadang berarus deras serta berjeram.
Terdapat lima sekolah rendah di Hulu Tembeling iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, SK Kuala Sat, SK Bantai, SK Mat Daling dan SK Gusai.SK Gusai adalah sekolah yang paling jauh.
Ada berita dan foto yang boleh dilihat di sini , sini dan sini.
Menceritakan pengalamannya bertugas di SK Gusai menjadikan aku merasa amat bersyukur dengan apa yang aku ada dan alami.
Dengan hanya 48 orang murid serta 15 orang guru, SK Gusai yang tersergam ditebing Sungai Tembeling merupakan SKM (Sekolah Kurang Murid).
Kalau dahulunya murid dikelompokkan dalam 3 kelas, kini mereka diagihkan mengikut tahun/tahap masing-masing dari Tahun 1 hingga Tahun 6.
Menurut Zaitullah, kampung tradisional di Gusai dihuni oleh lebih kurang 200 orang yang mencari rezeki sebagai penoreh getah, pencari hasil hutan dan bekerja sendiri di kampung.
Bekalan elektrik disediakan tetapi sering terputus akibat perkara yang tidak terduga oleh kita.
Seekor monyet atau beruk yang bergayut pada kabel dan terkena kejutan elektrik akan menyebabkan bekalan tergendala beberapa hari. Kakitangan TNB terpaksa bertungkus lumus mencari bahagian kabel mana yang rosak dan perlu dibaiki. Inilah di antara kesulitan yang dihadapi oleh warga Gusai.
Masa dahulu telekomunikasi hanya bergantung kepada telefon solar. Kini katanya, telah dibina menara pemancar telekomunikasi bagi memudahkan perhubungan dengan dunia luar.
Namun begitu, kemudahan lain masih jauh ketinggalan.
Dengan hanya beberapa buah gerai makan serta hiburan yang terhad, kehidupan di sini amat menyiksakan bagi cg Zaitullah dipermulaan posting dulu.
Kini selepas 2 tahun, dia mula merasa selesa dan menerima hakikat bahawa kehidupan di Gusai adalah begitu caranya.
Bola sepak dan takraw adalah permainan di masa lapang yang mampu menghilangkan kebosanan.
Jalanraya sejauh 2 km sekeliling kampung hanya memerlukan motorsikal untuk bergerak ke sana sini. Selain dari itu, berjalan kaki adalah yang terbaik.
Life is a leisure here.
Menghayati pengalaman yang dilaluinya, aku merasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan.
Hampir semua kemudahan ada di tempat kita dan aku percaya kalian juga mendapat kemudahan yang hampir sama.
Sama-samalah kita berdoa agar kegigihan dan komitmen yang ditunjukkan oleh guru yang berusia 25 tahun ini berkekalan dan dapat melahirkan anak didik serta insan yang berguna suatu hari nanti.
Begitu jugalah dengan cg. Nordin dan cg. Mustapha yang berusaha merubah nasib orang-orang asli di tempat mereka bertugas dengan ilmu pengetahuan.
Tidak terkecuali juga seorang kenalan baik yang berusaha kuat, gigih dan penuh dedikasi cuba untuk merubah cara hidup anak didiknya yang istimewa dan mempunyai masalah pembelajaran. Ini semua dilakukan melalui kaedah P&P yang khusus.
Komitmen kalian aku salute.
Bertepatan dengan tema Hari Guru tahun ini
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA
ia jelas terungkap melalui tindakan, komitmen serta dedikasi kalian.
SELAMAT HARI GURU
...terima kasih cikgu!
Beib tetap sanjung jasa....
...insan-insan pendidik yang ulun G
tidak pernah bosan atau jem U
mendidik dan mengaja R
anak didik agar berilm U

Friday, May 8, 2009

Nik Rozak...kreatif dan bertuah

Nik Rozak kenalan dari Machang, Kelantan yang bertuah

Assalamualaikum / Good Day.....

Sudah lama tidak bertemu kenalanku ini. Lebih dari 3 tahun.
Bila sms diterima darinya beberapa hari lalu, aku jadi kaget.
Kali ini datangnya adalah untuk menonton Perlumbaan Cubprix dekat tempat aku.
Minatnya terhadap perlumbaan motor memang tak pernah pudar.
Perkenalan aku dengannya pun adalah kerana perlumbaan motorsikal. Lebih tepat lagi, peraduan Grand Prix Moto GP pada tahun 1996.
Peraduan itu dimenangi oleh seorang pelajar U dan aku mendapat tempat kedua. Nik mendapat hadiah saguhati.Bermula dari sinilah kami berkenalan.
Setelah Nik memenangi 8 buah motorsikal termasuk yang di dalam foto ini yang bernilai RM98,000.00 dan empat buah kereta, kami masih berhubung dan bertanya khabar.
Boleh baca cerita menarik tentang kemenangannya di sini, sini dan sini.
Dia aktif berperaduan tapi aku hampir melupakan. Semangat setiakawannya aku sanjung. Tak pernah lokek dengan ilmu berperaduannya.
Kalau ada jawapan bagi sesuatu peraduan dia sanggup berkongsi dengan aku. Semua diberi dengan senang hati. Hanya slogan, tandatangan kreatif atau lain-lain keperluan pertandingan yang perlu kita lengkapkan.
Sebagai seorang sahabat, aku amat hargai keikhlasannya yang jarang dimiliki oleh orang lain.
Aku, sebagai sahabat, sentiasa mendoakan agar ketulusan Nik akan diberkati ALLAH dan sentiasa dimurahkan rezeki.
Sebagai seorang insan yang sering merendah diri atau down to earth, Nik adalah contoh insan yang tidak lupa diri dan mengagongkan sahabat.
Terima kasih Nik.
Bacalah berita di bawah mengenainya yang dipetik dari NST.

NST: Mechanic's 15 Year Winning Streak
"For some, once is not enough."

To the surprise and envy of friends and colleagues, Nik Rozak Nik Wel has won not one but many contests.
In all, the 32-year-old mechanic has made RM600,000 in prize earnings.
"I can't explain it," he said. "I just win every time I enter a contest."
Nik Rozak, who was at his father's motor workshop at Jalan Kota Baru- Kuala Krai yesterday, said his first win - a consolation prize in a newspaper contest - was in 1989.
Encouraged by that, the bachelor has been entering contests ever since.
"It gets better every time. I don't win big prizes all the time, but smaller prizes do come regularly."
Among his more spectacular wins were two Proton Wiras and a Perodua Kelisa.
He has also won eight motorcycles including a Honda Shadow, an Aprilla RX 125 and, more recently, a RM98,000 Ducati.
And there are the cash prizes, electrical appliances, watches and other items which he keeps winning. Nik Rozak has generously given away some of his prizes.
"I give some of the prizes to my siblings and friends and keep only what I need. After all, I don't need many cars and bikes."
And how have the locals viewed his success?
"Well, you can't run away from gossip when you keep winning prizes.
"Some say I use black magic, which is not true, of course."
Despite the success he has had, he is nowhere near satisfied with his efforts.
"It is exciting when I get a call from the contest organisers or when I hear my name being read out as one of the winners.
"It doesn't matter if I win big or small. I just love that rush of adrenalin."
Is there any secret to his success? A good luck charm, perhaps?
"No such thing," Nik Rozak said, laughing.
"Reading a lot helps. And I always say a prayer when I send in my entries.""

dipetik dari sini.

Dalam persahabatan, itulah antara perkara yang kita harapkan.
Pernah seorang kenalan juga dari Kelantan, menghantar sms yang berbunyi:
Friendship is not about becoming somebody else's
'perfect friend',
its about finding someone who helps you
become the best person you can be.

Aku amat berterima kasih kepada kenalanku ini. Ayat-ayat itu begitu bermakna sekali.
Selain dari kami memanfaatkannya, nyata bertepatan dengan niat Nik Rozak.

Beib rasa bertuah dapat sahabat seperti....
...ini yang iklas dan sopa N
sentiasa bersyukur akan nikmat yang diber I
tidak pentingkan diri, bongkak atau tama K

Sunday, May 3, 2009

Aku Balik Bertemu Mak...

Tak ada yang lebih membahagiakan dari berada disisi Mak

Assalamualaikum / Good Day.....

Dah 2 haghi balik.Bila balik Aloq Madi, mesti pi raun kampong. Tengok tengok kot-kot ada buah kayu. Yang ada sekeliling ghumah arwah Pak ialah pokok pelam. Macam-macam jenih sampai aku pun tak tau spesies apa. Yang aku tau, kait dengan galah atau tengalong (baling) dengan kayu.
Mak dok gadoh sangat sughuh pi ambik buah pelam yang dok mengendoh di pokok. Aku ni pulak jenih penyegan nak kluaq ghumah. Aku suka dok peghap mengadap laptop.
Tapi bila Mak kata,'hang pi laa ambik buah pelam noo, wak balik kat anak-anak hang", aku dah tak boleh ingkaq peghentah.
Mak sughuh...kena buat. Hat tu dia ajaq kat aku daghi aku kecik lagi.
Oghang kata "Jangan derhaka kat Mak".
Daghi ghumah KakCik ( Kak Bibah- Kak aku), kami naik kheta 2 km pi ghumah arwah Pak. MunaAqila, anak penakan, ikut sama.
Mak pghusah sungguh kalau pasai nak bagi kat anak cucu.
Dia kelaeh yang elok.
Bila sampai, tudiaa...nalaa punya banyak. Menghendoh buah. Aku caghi galah buluh, kait yang mana yang masak. Yang ghendah aku pulaeh dengan tangan ja.
Ghupanya, buah pelam, mempelam, mangga, pauh atau mango ni banyak jenih.
(Teman baik dari Klate maghah sangat kalau sebutan pelam sengaja dibunyikan macam 'anu' lelaki. Sedangkan orang Klate panggil pelam dengan sebutan pauh...hehehe..jangan maghah noo)
Mengikut wikipedia, Manga, katanya beghasai dari perkataan Portugis dan Malayalam.Nak tau lagi baca sini.
Aku kenai bebeghapa jenih ja..Harumanis, Sala, Chokanan,Nam Dok Mai dan Raja. Ada yang asai daghi Peghelih dan Siam tapi dah mola ditanam di Kedah.
Yang aku tau kerajaan negeghi Kedah becadang nak peluaeh tanaman pelam ni.
MB Kedah kata nak galakan ghakyat tanam pelam dalam kawasan ghumah masing-masing. (Bernama 30April 2009)Rujuk sini.
Jabatan Pertanian akan bagi benih dan tolong bagi khidmat nasihat.
Tu dah baguih.
Mak aku kata pokok pelam ni pun Jabatan Pertanian yang bagi dekat 20 tahun dulu. Arwah Pak yang tanam. Hasilnya, anak cucu yang ghasa.
Dengaq ceghita, ada 11 jenih mempelam. 79 jenih baka tempatan dan 32 daghi luaq negagha berjaya dihasilkan di Kedah.
Amerika Syarikat banyak beli mempelam yang siap diproses.
Tu dah kigha hebat tu..oghang Amerika beli pelam Kedah..hehehe..
Amacam? Kita pakat-pakat tanam pelam, juai kat oghang putih?
Jom.....kita jayakan program ni supaya Kedah yang juga negeghi Jelapang Padi boleh capai matlamat jadi "Holland of the East".
"Sebagai sebuah negeri yang telah mempunyai competitive advantage dalam sector pertanian, saya percaya melalui usaha berterusan bagi menjadikan Kedah modern commercial scale agriculture and agrobased region seperti yang telah digariskan dalam RMK9 negeri Kedah akan mampu muncul sebagai The Holland of the East. Tiada yang mustahil bagi mencapai matlamat ini jika kita semua bertekad untuk bekerja keras dan menggembeleng segala potensi yang kita miliki bagi menjadikannya kenyataan."
Petikan ucapan YAB MB Kedah (rujuk sini)

Mak dok pilih kapaeh. Hati Mak juga seputih kapaeh.

Dalam pada dok pghusah pasai buah pelam Mak dan lagi sughuh kait kapaeh. Dia suka kapaeh. Dulu masa Mak mai ghumah aku dia tanam sepokok tapi dah kena tebang sebab anai-anai makan pghedu pokok. Baca sini.
Mak akan kumpoi dan simpan sikit-sikit sampai boleh diisi dalam bantai.
Bantai kapaeh sedap tidoq...lembut.
Tu lah Mak. Dia dengan dunia nostalgik dia.
Aku, Anak Lelaki Mak Aku akan tetap ingat kat Mak.
Hangpa pun jangan lupa kat Mak.
Ada peluang balik la tengok, jumpa Mak.
Jangan dok ingat nak tidoq sedap jaa...
Pesan buat teman yang nak pindah ghumah atau yang beli set bilik tidoq baghu, belilah bantai bulu itik, kekabu atau kapas. Sedap tidoq. Bukan apa, takut lenguh oghang sebelah...hehehe...
Kita stop sini dulu ek...?
kalau tak berkenaan...
Abaikan!

Beib takkan puaeh balik jumpak...
...orang yang disayang apatah lagi kalau hanya beberapa ja M
rasa macam nak duduk sebelah sampai bila-bil A
nak melekat celah ketia K

Friday, May 1, 2009

Satu Pertemuan bukan Pengakhiran.....impian indah..?

Gambar hanya hiasan

Assalamualaikum / Good Day.....

Pertemuan sering terjadi dalam hidup kita sama ada secara sengaja atau tidak. Setiap pertemuan itu sesungguhnya membawa jutaan makna.

Ia telah ditakdirkan dalam hidup. Qada dan Qadar. Siap ditulis di Loh Mahfuz. Cuma kita kadang-kadang tak terduga akan terjadi lantaran ianya ketentuan ALLAH. Semua dalam pengetahuan dan ilmuNYA. Tiada yang mustahil bagiNYA.

Memang telah tertulis pertemuan kita dengan sesiapa jua.Hari ini kita akan bertemu dengan Ali, esok mungkin kita akan berjumpa dengan Habib dan kemudian dengan orang lain pula.

Atas kebijaksanaan kitalah untuk menghargai dan mengenangkan setiap pertemuan itu. Sesungguhnya pertemuan juga ada hikmahnya secara langsung dan tidak langsung.

Ada kala pertemuan itu sesuatu yang manis, selesa, menguja dan terkesan di hati. Ada juga yang sebaliknya.

Ada pertemuan yang terjadi sepintas lalu. Kebetulan. Pertemuan yang setakat itu sahaja.

Contohnya, bertemu dengan seseorang di premis-premis tertentu. Berbual atau bersembang, kemudian membawa haluan masing-masing.

Pertemuan yang tidak sengaja dan singkat. Pun begitu ada yang dianggap "Short but sweet".

Namun ada juga yang panjang dan meleret. Pertemuan yang meninggalkan kesan dalam hidup.Yang tak pernah terfikirkan. Yang kemudiannya menjadikan ia:

something to remember...

something to look forward to.

something new in life.

Dan ada kalanya membuahkan rindu.

Tapi kadang-kadang manusia merangkai dan memberi pasangan pada pelbagai benda atau situasi.

Dikatakan sebagai adat dunia. Setiap yang dijadikan itu ada pasangannya.

Adam dan Hawa.

Siang dan Malam.

Bulan dan Bintang.

Hidup dan Mati.

Pertemuan dan perpisahan.

Ada orang yang selalu bertanya kenapa pertemuan itu disusuli dgn perpisahan?

Tidak bolehkah pertemuan itu kekal untuk selamanya?

Sukar untuk dijawab. Sesungguhnya semua itu ketentuan ALLAH. Hakikat tidak mungkin kita rombak dan rungkai.

Kita sering bertemu dengan insan lain dan kita akui perpisahan itu terlalu sukar bagi kita terutamanya jika orang yang kita temui mula melekat di hati. Dan jika ianya perpisahan yang kekal, iaitu untuk selama-lamanya, pasti sahaja ia memberikan impak pada emosi serta psikologi kita.

Oleh itu, bagi aku hargailah setiap pertemuan. Jangan biarkan ianya berlalu dengan begitu sahaja. Pastikan ia satu pertemuan yang bermakna, mengesankan dan menjadi nostalgik dalam hidup.
Menjalin ikatan ukhwah dan kasih sayang.

Seperti sebuah mesej sms yang aku terima yang berbunyi:
Hargai bila berdua,
Sayangi bila bersama,
Maafkan bila terluka,
Rindu bila berjauhan,
Fahami bila keliru,
Nasihat bila terleka,
Ingati bila sunyi,
Inilah erti sebuah kasih sayang.

Kita kadang-kadang alpa bahawa pertemuan itu adalah kehendak dan ketentuan Illahi. Pasti ada hikmah disebaliknya, biar pun pertemuan itu dianggap agak lewat atau sepatutnya tidak dikala ini.
Pada ketika tertentu, kita seolah terkilan kerana pertemuan itu berlaku diwaktu ini dan tidak lebih awal lagi.
Kenapa disaat kita sudah selesa dan bahagia pertemuan ini berlaku?
Adakah ianya ujian?
Terimalah dengan berlapang dada serta berfikiran positif.
Sesungguhnya perancangan Allah itu amat cantik.
Kita cari hikmahnya.

Kata setengah orang, kita harus tangisi satu pertemuan, bukan perpisahan.
Aneh bunyinya , tetapi itulah hakikat.
Perpisahan itu juga mungkin merupakan satu permulaan bagi satu kehidupan sebagaimana satu pertemuan.
Perpisahan bukan satu pengakhiran. Perpisahan juga bukan lama.
Kita akan bertemu lagi. Andai tidak di sini, di syurga nanti.

Moga pertemuan yang terjadi bukan sekadar satu impian indah.
Ianya kembang mekar, selesa dan intim. Saling melengkapi kehidupan. Membahagiakan.
Semuanya dari Al Khalik.
Bukankah ALLAH itu Maha segala-galanya?
KepadaNYA kita berserah.

Beib hargai setiap pertemuan yang ditentukan....
...kerana ia perancangan sempurn A
oleh Tuhan Rabbul Jali L
dan kita tidak perlu menyesa L
sama ada lewat atau cepat, singkat atau lam A
yang pasti apa yang ALLAH buat tentu ada hikma H