Tuesday, November 25, 2008

We are on our way.....

Rombongan Program Pertukaran Pelajar Terengganu-Sumatera
Assalamualaikum / Good Day.....
Kami dah mula bergerak ke LCCT menaiki bas. 39 orang semuanya. Jam 5.50ptg kami memulakan perjalanan. Singgah di Paka untuk solat jamak qasar Magrib dan Isyak serta makan malam.
8.25 mlm meneruskan perjalanan ke LCCT.
3.40 pagi selamat sampai di LCCT. Berehat dan bersiap sedia untuk check in.
Penerbangan ke Padang, Sumatera ialah pada jam 7.50 pagi.
Doakan keselamatan kami.

Aku dan famili turut serta

Abang turut hadir menghantar kami di LCCT

akan update bila ada kesempatan....
Beib harap perjalanan...
ke Sawahlunt O
selamat dan ranca K

Monday, November 24, 2008

Bercuti di Sawahlunto

Anak angkat (Nia, Hanif dan Liya) dari Sawahlunto yang akan aku temui 25Nov-5 Dis
Assalamualaikum / Good Day.....
Buat teman blogger sekelian. Blog ini mungkin tidak akan di update mulai 25 Nov - 5 Dis 2008 kerana aku dan famili akan mengikuti rombongan Pertukaran Pelajar di Sawahlunto, Sumatera Barat, Indonesia.
Sebagai Pegawai Pengiring aku ditugaskan untuk memastikan perjalanan dan program yang dirancang berjalan dengan lancar.
Jumpa di lain entry.
Doakan keselamatan dan kesihatan kami.

Inilah anak Sawahlunto yang akan aku temui nanti

Wassalam.

Beib harap lawatan akan...
seronok dan bermanfaat di Sawahlunt O
kami akan sihat serta selamat anak berana K

Saturday, November 22, 2008

Jalan-jalan cari buku....

Apa kena mengena dengan buku?
Assalamualaikum / Good Day.....
Masih terasa penatnya berurusan dengan syarikat penerbitan, pengedar dan penjual buku selama dua hari berturut-turut.
Bermula dengan surat panggilan ke Sesi Diskusi Pemuafakatan Strategik Projek Inovasi Bahasa Inggeris Bersama British Council, aku sudah terhidu keseronokan program ini.
Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri Terengganu sebenarnya telah menggagaskan satu program untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tok Jiring, KT. Ini dikenali sebagai Taman Tema Bahasa Inggeris atau English Theme Park (ETP).
Aku dilantik sebagai panel Pendidikan Seni bagi membantu menjalankan pelbagai aktiviti seni dalam Bahasa Inggeris.
Tugas aku kali ini ialah untuk mengenalpasti buku-buku Seni yang perlu dibeli untuk kegunaan aktiviti seni di ETP nanti. Aku dimaklumkan lebih dari RM30,000.00 dikhaskan untuk pembelian buku-buku rujukan Bahasa Inggeris dan Seni Visual.
Perjalanan dari KT ke KL menaikki MPV bersama dua lagi panel diskusi, Rohaida Ngah dan Mat Sabri Ismail serta Kyra Anuar Mc Afee, anak dara Rohaida, menjanjikan satu trip yang menghiburkan serta bermaklumat.
Berlepas pada jam 9.30 pagi kami menelusuri Jalan KT-Kuantan. Sudah lama aku tak berkereta ke KL. Its a nice break, kata orang, bila berpeluang melintasi pekan-pekan Marang-Dungun-Paka-Kerteh-Kijal-Kemasik-Kemaman-LPT-Karak- Gombak-KL.
Perjalanan lebih kurang 8 jam dipenuhi dengan borak-borak kosong dan info terkini dalam pelbagai isu.Antara yang menarik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ialah kehadiran BOB yang mengawal lalu lintas di kawasan pembaikan jalan. Dari jauh BOB kelihatan seperti manusia biasa, tetapi bila dihampiri rupanya robot ini tidak mempunyai bahagian bawah tubuhnya.
Dengan uniform pekerja lebuhraya, bercermin mata, bertopi keras serta memegang bendera BOB kelihatan sebagai petugas yang gigih menjalankan tanggungjawabnya.
Di kawasan pembinaan /pembaikan jalan BOB gigih mengawal pergerakan lalu lintas tanpa menghiraukan hujan atau panas.
Kami cuba meneka apa itu BOB yang tertera di jaket orennya. Setelah pelbagai tekaan dibuat, aku mendapat idea bahawa BOB itu mungkin merupakan kependekkan Bukan Orang Betul.
Walaubagaimanapun, perjalanan lancar dengan kerjasama BOB.
Kami singgah di R&R Temerloh untuk makan tengahari. Aku terpegun bila melihat signage atau papan tanda yang unik di atas. Di sini rupanya tempat menyalin (fotokopi) bayi...hehehe...
Mat Sabri, tuan empunya MPV merupakan pemandu yang cekap serta berhemah. Kami selamat sampai di tempat penginapan kami di Hotel Grand Season, KL pada jam 4.30 ptg, setengah jam lebih awal dari jangkaan. Dua orang lagi anggota panel sudah berada di sekitar KL.
Kyra, gadis sunti kacukan Canada Terengganu merupakan ahli panel tidak rasmi yang akan membantu memilih buku-buku cerita kanak-kanak yang akan di tempatkan di ETP. Kegemaran membaca membolehkan dia mengesyorkan naskah literatur yang sesuai dengan usia remajanya.
Penerbit buku yang pertama yang kami lawati ialah Penguin Books Malaysia, satu bahagian syarikat Pearson Malaysia. Waahh! buku yang bermutu serta harga diskaun yang ditawarkan kepada kami memang mengujakan. Aku seronok mencari buku-buku yang sesuai sehingga tidak sedar sudah mula melutut. Kaedahnya mudah. Cari-tarik dari rak-belek-sesuai-letak atas troli (troli pembelian).Selesai dengan pemilihan buku di Pearson kami beralih ke Publishers Marketing Services (PMS). Satu lagi syarikat pengedar buku bermutu yang beroperasi di Phileo Damansara. Melihat pada
himpunan buku di syarikat tersebut aku jadi tenggelam. Buku seni terutamanya, amat berkualiti dan sudah tentunya mahal. Karen, Country Manager di PMS menawarkan aku potongan 25% untuk setiap buku yang aku beli secara individu. Thats a good bargain!.
Seterusnya pada sebelah tengahari kami ada temujanji dengan personel di British Council (BC) di Jalan Ampang.
Tricia Thorlby, ELT Projects and Biz Development Manager telah bersama kami selama lebih dari 45 minit untuk membincangkan satu projek bersama yang melibatkan BC dan ETP. Perbincangan dan diskusi telah merangkumi pelbagai isu mengenai program Bahasa Inggeris yang boleh dilaksanakan di ETP.
Satu kertas kerja yang membabitkan usaha meningkatkan penguasaan BI akan dipanjangkan ke BC. Pihak BC sebenarnya tiada peruntukan untuk program luar tetapi akan cuba membantu sedaya mungkin. Berdasarkan info yg kami terima, bayaran profesional untuk sejam kuliah/ceramah ialah sebanyak RM530.00, tidak termasuk pengangkutan dan penginapan.
Satu angka yang banyak yang terpaksa ditanggung oleh BTP. Kami akan cuba mencari penaja untuk program itu.InsyaALLAH.
BC mempunyai fasiliti terkini dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa. Troli ini ialah khas digunakan untuk mencaj bateri 15 buah laptop sekali gus. Kelas yang kecil dan selesa (cozy) membantu pelajar dari pelbagai negara yang menghadiri kursus BI di sini. Anda patut pergi dan lihat sendiri. Ianya seperti berada di sebuah negara asing. Begitu metropolitan sekali.

Selanjutnya kami beralih ke Kinokuniya Books di KLCC. Di sini, aku seolah-olah berada di alam lain. Melihatkan susunan buku yang kemas dan menarik sesiapa pun akan rasa terpanggil untuk menarik keluar buku dari rak dan membeleknya. Aku sanggup berada di situ sehari suntuk jika ada kelapangan dan pernah aku lakukan beberapa tahun lepas. Buat ulat buku, inilah antara tempatnya.
Berbekalkan alat coder (betul ke istilah ini?) di tangan aku hanya perlu mengambil buku dan scan bar code untuk membuat tempahan buku. Fuh..! Aku sendiri tak sedar berapa buah buku yang telah aku scan. Banyak kali juga aku dengar "tit" berbunyi dari coder tersebut. Hampir 2 jam aku meronda dalam gedung ilmu itu mencari bahan bacaan yang sesuai untuk discan.
Selesai tugasan di situ kami beralih ke Asia Foundation.

Mr Muniandy, Penyelaras Buku menerima kami dengan penuh mesra. Buku-buku yang tersusun di rak sedia untuk dipilih dan dimasukkan ke dalam kotak.Sebenarnya buku-buku ini boleh diambil secara percuma untuk organisasi - organisasi tertentu seperti sekolah, kolej dan universiti. Penerimanya hanya perlu membawa cop jabatan dan mengisi borang permohonan untuk mendapat bekalan buku-buku bermutu keluaran syarikat penerbitan Amerika. Kami menghabiskan hampir sejam di sana sambil memilih pelbagai judul buku. 10 kotak penuh buku diperolehi. Aku menerima 22 buah buku pelbagai jodol dan berharap agar dapat kembali untuk mengambil banyak lagi khazanah ilmu di sana dalam masa terdekat. Rasanya lepas ni kena bawa kereta sendiri. Angkut seberapa banyak yang boleh.

Kalau kita biasa dengan MPH kita akan rasa teruja dengan bahan-bahan bacaannya yang juga berkualiti tinggi. Sebagai pemengang kad MPH Reader's Circle (MRC) aku memang peminat setia gedung buku tersohor ini. Apabila peluang diberikan untuk memilih bahan bacaan di sini, aku memang tidak akan melepaskan peluang. Bahkan, Zainizam, Eksekutif Jualan yang aku kenali di sini menawarkan peratusan diskaun yang paling menarik untuk aku. Ini membuatkan aku terasa ingin memiliki semua buku yang ada di situ....Kalaulah aku jutawan..?

Aku ni bukanlah ulat buku sangat, tapi buku sentiasa menjadi rujukan dan bacaan bila ada masa terluang. Kata orang BUKU ADALAH UNIVERSITI YANG BOLEH DIBAWA KE MANA-MANA.
Aku cuba menjadi sahabat buku. Menjadikan buku sebagai teman dan rakan. Moga buku dapat memberi inspirasi dalam hidupku.

Aku sering impikan sebuah gedung buku di dalam rumahku. Bergunung banyaknya dan dapat dinikmati isi kandungannya oleh semua sahabat, kenalan dan penggemar buku.
Bila masanya akan tiba ek..?

Beib senang dengan...
bahan bacaan yang berbagai ba B
menjadi santapan jiwa semua ulat buk U
disusun kemas di rak-ra K
untuk diserap segala ilm U

Saturday, November 15, 2008

1511 mengintai lagi...

Sama sama mengintai masa depan

Assalamualaikum / Good Day.....
Sedar tak sedar dah 23 tahun kami bersama. Rasanya baru saja kami meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang lalu. Rujuk entry ini.
Betullah kata orang, masa berlalu terlalu pantas lantaran kesibukan serta kealpaan manusia.
Kali ini, aku sendiri tak tahu apa yang hendak dihadiahkan kepada isteri tersayang dan dia sendiri masih tercari-cari.
Aku cuba mencari perfume tetapi banyak yang tak berkenan di hati kerana baunya yang agak tengik. Bagi aku bau original yang best. Hehehehe....kalau tidak masakan bertahan sebegini lama.
Jangan ditanya apa petua kami.
Paling penting padaku: Percaya dan Gembira.
Guaner gamok KakWan?....masih mau beromantik ...
Beib berharap dapat kekal...
bersama hingga ke hari tu A
penuh rasa tanggung jawa B
pada anak, cucu dan ahli keluarg A
mencurah kasih sayang tiada ha D
hingga ke akhir hayat nant I

Tuesday, November 11, 2008

Giliran Adeq pula....

Adeq dan Papa sama bergaya
Assalamualaikum / Good Day.....
Sebelum ini Abang, Qaqaq dan Acik, malahan aku sendiri telah naik ke pentas menerima anugerah. Kini tiba giliran Adeq pulak. Telah sekian lama dia bercita-cita untuk naik ke pentas bagi menyaingi abang dan kakak-kakaknya.
Dengan hasil usaha gigihnya, dia berjaya mencapai hasrat untuk menerima anugerah di sekolahnya dengan pencapaian yang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Tahniah Adeq, sesungguhnya kesabaran, kesungguhan serta ketekunan akan membawa kejayaan.
Novel yang dipinjamkan oleh Kaklong seperti yang dinyatakan dalam entry ini harus dijadikan sebagai katalis bagi memantapkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris Adeq.
Adeq tidak lagi hanya membaca buku cerita alam kanak-kanak seperti Jacqueline Wilson, Hanna Montana dan Enid Blyton sebagaimana yang dinyatakan di sini.
Doaku agar anak bongsuku ini berjaya dalam hidup dan sentiasa naik pentas menerima anugerah.
InsyaALLAH...

Menerima anugerah dari GPK SKKGB

Menanti giliran dengan kuntuman senyuman puas

Adeq berbaris untuk menaiki pentas

Adeq bangga dan bersyukur dengan hadiah yang diterima

Persembahan Kelab Ulul Albab SMKKGB

Beib berharap agar dapat sentiasa membimbing dan memberi ilmu kepada...
semua ahli keluarg A
bagi menghadapi masa depa N
dari kecil hingga dewas A
murni jiwa, kaya ilmu, tinggi akhla K

Terlebih kenyit....

Kak Long sedang memeriksa mataku
Assalamualaikum / Good Day.....
Dah 5 hari aku terasa pedihnya. Entah kenapa tiba-tiba perit. Nak kata pasir, tak jumpa. Nak kata elemen lain, tak juga ketemu.
Kejap-kejap pedih, meleleh airmata. Nak memandu pun rasa tak selesa apatah lagi membaca.
Kesibukan sepanjang minggu dengan mesyuarat, taklimat, persiapan pameran seni dan urusan-urusan seharian membantutkan aku menemui doktor.
Tapi pagi ini, aku bertekad untuk berjumpa doktor. Bimbang juga kalau-kalau penglihatan terjejas dan makin teruk. Sudah 3 pagi mata aku berair dan mengeluarkan mucopurulent discharge.
Dr Che Faridah @ Kak Long menegurku kerana membiarkan masalah ini berlarutan. Jangkitan bacteria mungkin berlaku kerana bahagian dalam mata kelihatan sangat merah (inflamed). Walaupun nampak macam conjunctivitis, masalah ini tidak menyebabkan jangkitan kepada orang lain.
Namun, kemungkinan untuk itu tetap ada.
Kami berbincang dan aku diberitahu tentang implikasi masalah mataku. Sambil itu Dr. Che Faridah cuba mengenalpasti punca mata pedihku ini. Lihatlah apa yang dibuatnya....

gambar oleh Adeq
Bila diperiksa tiada foreign body yang ditemui. Benda asing ini can be inert or irritating. Jika ia mengganggu ia akan seterusnya menyebabkan inflammation dan scarring.
Setelah dicuci dengan cotton buds, mataku rasa agak selesa (pinjam perkataan seseorang).
Aku kemudiannya diberikan Dextracin, sejenis ubat titik mata untuk 3 kali sehari.Moga penglihatanku bertambah baik dan pulih seperti sediakala.
Buat Adeq yang turut menemani aku, Kak Long telah meminjamkan 3 buah novel untuk dibaca dalam cuti sekolah nanti.
Reader's Digest Select Editions yang memuatkan 4 novel dalam satu edisi hard cover menampilkan tulisan novelis tersohor seperti Robert Ludlum, John Mortimer dan Robert Crais.
Harap-harap Adeq akan manfaatkan bahan bacaan tersebut.
Aku pun nak tumpang se kaki bila dah baik sakit mata....hehehe...
Terima kasih Kak Long!
Beib amat bersyukur dan menghargai...
pancaindera yang meninjau ala M
pemberiaan ALLAH Ta'al A
dapat merenung, menjeling, memandang serta meliha T
lantas mengagumi ciptaan Yang Maha Es A

Sunday, November 9, 2008

SENI yang SENI

Bersama Tn. Hj. Mohd. Zukifli Ariffin (Zolphin) dan Tn. Hj. Muhammad Suib aktivis Pendidikan Seni negeri yang turut terlibat mengendalikan pameran
Assalamualaikum / Good Day...
Dalam usaha memartabatkan seni tanahair, pelbagai cara dijalankan. Paling popular dan rapat dengan masyarakat ialah berpameran.
Sempena dengan Ekspo Pendidikan Terengganu, satu pameran karya seni guru dan pelajar telah diadakan di Terengganu Trade Centre (TTC).
Mesyuarat Gerakerja Pameran
Pameran yang dijangkakan berlangsung selama 4 hari memerlukan perancangan logistik, kos serta tenaga kerja yang padu.
Mesyuarat telah diadakan beberapa kali dalam memastikan perjalanan pameran kali ini lancar serta berkesan.
Selaku S/U, aku cuba memainkan peranan sebaik mungkin dalam mengendalikan pameran ini.
Sambutan serta kerjasama AJK Pameran Seni amat memberangsangkan dan ini memudahkan gerakerja.
Menjelaskan perjalanan persiapan pameran
Persetujuan dan kesepakatan bersama membolehkan pameran dijayakan. Walaupun ada sedikit kekeliruan tentang lokasi dan agihan booth, akhirnya dapat diatasi dengan perbincangan dan tolak ansur. Itulah professionalisme yang unggul.
Meninjau lokasi booth untuk Pameran Seni sambil mengenalpasti alat dan kelengkapan yang disediakan oleh kontraktor pameran. Kami disediakan dengan 4 booth untuk ruang pameran karya, demonstrasi dan sample/realia alat bahan seni.Ruang legar Dewan Pameran B TTC tempat berlangsungnya pelbagai pameran berteraskan pendidikan. Sambutan terhadap pameran karya seni amat menggalakkan. Kami amat berharap agar suatu hari nanti karya seni tempatan akan terus dimartabatkan sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi.Antara yang terlibat secara langsung dalam pengendalian pameran ini ialah Wan Razali b. Wan Nawang, Riduan Ghazali dan Ahmad Puad Abdul Aziz. Mereka merupakan juga aktivis pendidikan seni di sini. Keterlibatan mereka turut menyerikan program ini.

Kehadiran YB Dato' Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran II, Tn Hj. Ariffin bin Hj. Embong, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan lain-lain pegawai dari JPNT telah menyerikan lagi pameran ini. YB Dato' Razali Ismail turut menyaksikan demonstrasi catan oleh Ghazali Che Mat dan kemudiannya dihadiahkan sebuah catan landskap karya beliau.
Kedua-dua mereka amat tertarik dengan bakat semulajadi yang ditunjukkan oleh Ghazali. Palitan dan stroke beliau berjaya memukau penonton dan hadirin. Dengan ketekunan dan kesungguhan yang tinggi karya dapat disiapkan dalam tempoh masa yang singkat.

Demonstrasi cetakan blok teknik woodcut oleh beberapa orang pelajar berjaya menarik minat ramai pengunjung. Teknik yang bermula di negara China kuno telah berkembang ke Jepun dan Eropah. Bacaan lanjut di sini.
Beberapa contoh hasil kraf ukiran kayu turut dipamerkan. Ini merupakan karya pelajar untuk peperiksaan SPM di mana calon dikehendaki menyiapkan folio dan artifak. Masa yang diberikan untuk menyiapkan tugasan ini ialah selama 6 bulan.
Turut sama menyumbangkan tenaga dan bakat ialah Wan Khairuddi yang membuat demonstrasi batik canting dan catan cat air.

Yang paling mengujakan ialah catan akrilik yang dihasilkan oleh Ghazali Che Mat di atas. Melihat sahaja catan ini aku terkenangkan kampung halamanku.
Gunung Keriang yang terletak di belakang rumah arwah Pak sentiasa menggamit aku pulang. Lihatlah fotonya dalam entry ini dan ini .
Di kaki gunung ini terdapat Muzium Padi yang dibina dengan harga RM24.7 juta.
Anda perlu pergi ke sana untuk menghayati catan mural yang sangat realistik yang menggambarkan suasana dan proses menanam padi di Kedah.
Apa pun, pameran ini dianggap berjaya membuka mata masyarakat sekitar tentang keindahan seni.
Beib percaya ramai yang teruja melihat hasil ...
karya yang diilhamkan peluki S
dalam pelbagai ism E
samada arca, cetakan, grafik, kraf atau cata N
kerana ia adalah ekspresi dir I