Monday, October 29, 2007

Sedikit bakti

Panel pemantau dan staf SS Kuching
Yours truly, Ashari, Reduan, Rizlina, Girlie dan Rafaei
Assalamualaikum / Good Day.....

Setelah berehat selama dua hari selepas kembali dari urusan SS, aku dijemput menghadiri satu lagi mesyuarat bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di KL mulai 29 Oktober-2 November 2007.

Menerangkan Dasar SS

Ini juga berkaitan dengan PSV. Aku berharap agar dapat menyumbangkan sekelumit buah fikiran dan tenaga dalam membantu meningkatkan kefahaman serta perkembangan seni visual di peringkat sekolah dalam negara.
Nampak gayanya tak dapatlah aku menghadiri Jamuan Akhir Tahun staf yang akan diadakan pada 31 Oktober nanti. Tahun lepas, aku hampir terlepas. Mujurlah mesyuarat yang dihadiri tamat cepat.
Walau apa pun, profesion dan khidmat tetap aku utamakan. Ini sajalah sedikit bakti yang dapat aku sumbangkan dalam pendidikan anak bangsa dan negara.

Bersama Rafaei 'sorting' bahan pemantauan

Beib berharap dapat..

menyumbang sesuatu tanpa alasan dan seba B
membantu dengan rel A
memberi kepada yang ha K
menolong mencapai haja T

balasan sewajar dari ILLAH I

Monday, October 22, 2007

Kreatifkan?

Inilah kreatif namanya
Assalamualaikum / Good Day.....
Aku baru tiba dari Kuching jam 5.55 petang, setelah selesai menjalankan tugasan sehari di sana. Sementara menunggu penerbangan ke JB jam 9.05 nanti, aku nak masukkan satu entri yang pendek tetapi menarik. Semasa membeli ikan terubuk masin dekat Pasar Tamu DBKU petang tadi, aku terlihat papan tanda yang menarik ini. Khas buat warga UiTM.
Beib suka juga makan samada..

digoreng, rebus atau sala I
kerana tiada lema K
tapi memberi tenag A
disamping menambah protie N

Saturday, October 20, 2007

Seni Sana Sini Lagi

Berlatar belakangkan anggota pentadbiran tertinggi KPM
Assalamualaikum / Good Day.....
Esok, 21 Oktober 2007, aku akan memulakan tugasanku yang baru iaitu menjalankan kajian/soal selidik serta temuduga tenaga pengajar dan murid Sekolah Seni (SS) di Kuching dan Johor Bahru.
Ini adalah lanjutan dari Mesyuarat Pembinaan Instrumen Terhadap Beban Kerja Bidang Kesenian Murid-Murid SS yang dianjurkan oleh Urus setia SS, JPJS, KPM yang diadakan di Putrajaya pada 9-11 Oktober lalu.
Aku akan mengetuai panel jawatankuasa seramai empat orang menjalankan tugas memantau dan menyiapkan laporan mulai dari 21 - 25 Oktober 2007.
Hasil laporan pemantauan ini akan dibentangkan kepada YB Dato Sri Hishamuddin b. Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia.
Satu tugasan yang berat bagiku.
Walau bagaimanapun, aku terima lantikan dan tugasan ini dengan penuh yakin dan berharap agar ianya dapat membantu meningkatkan bidang kesenian dalam pendidikan.
Aku berharap agar aku tidak mabuk udara dengan perjalanan yang ligat dan padat ini.
Apa tidaknya, lihatlah perjalananku: KT-KL-KCH-KL-JB-KL-KT.
Mengalahkan Pak Menteri.
Doakan aku berjaya menjalankan tugasku dengan sempurna.
Beib akan cuba laksanakan tugas dengan penuh...
semangat dan tanggungjawa B
demi agama dan bangs A
memartabatkan sen I
hingga ke punca K

Thursday, October 18, 2007

Bersuka di Rumah Terbuka

Kak Wan menyediakan juadah satay dan nasi dagang
Assalamualaikum / Good Day.....
Dah hampir seminggu aku dan KakWan bercadang nak mengadakan Rumah Terbuka(RT) sempena Aidilfitri tahun ni. Kesuntukan masa dan ruang menyebabkan hasrat kami tertangguh. Pada Hari Raya kedua semasa masih di Kedah kami berbincang dan bersetuju untuk mengadakan RT pada hari Khamis 18 Oktober 2007 mulai dari jam 10 pagi.
Beberapa perkara terutama menu makanan kami bincangkan dengan panjang lebar. Akhirnya kami bersetuju untuk menyediakan satay dan nasi dagang serta lain-lain juadah yang sesuai dengan sambutan Hari Raya.

Satay hidangan kegemaran

Persiapan lokasi dan peralatan juga penting. Peralatan seperti pinggan, sudu dan garfu serta gelas kami gunakan jenis pakai buang. Kakitangan tak cukup nak membasuh dan membilas alatan-alatan tu. Mudahnya, dapatkan dari supermarket. Harga murah, kegunaannya mudah.

Kuah nasi dagang
Nasi dagang ditempah sebanyak 3 gantang dan satay 500 cucuk untuk tetamu yang diundang seramai lebih kurang 150 orang.

Nasi Dagang istimewa

Selepas SMS dihantar, ramai juga yang membalas dan memaklumkan tidak dapat hadir kerana masih beraya di kampung halaman masing-masing.
Apa-apa pun, the show must go on...
Jam 8, kerusi meja serta peralatan yang perlu telah siap di tempat masing-masing. Anak-anak yang ada digunakan sepenuhnya sebab Papa dan Mama dah mula rasa semput dah...heheh
Seawal jam 10.10pg dah ada tetamu yang sampai.
Mulai saat itu, sepanjang hari majlis RT berjalan lancar dan ligat.
Penat juga melayan tetamu rupanya. Macamanalah bila nak menyambut menantu suatu hari nanti..?Heheheheh...
Walaubagaimanapun, antara tetamu yang hadir selain teman, rakan dan saudara mara yang paling istimewa ialah rakan blogger sdr. mad redo1, Linda, Berg dan Nina.
(lagi foto dan komen oleh mad redo1 disini)
Bersama madredo1, Linda, Acik, Adeq, Berg dan Nina
di Laman Nyaman
Pertama kali menatap wajah dan berjabat tangan serta bebual mesra serasa seolah-olah telah berkurun berkenalan. Moga persahabatan terus berkekalan.
Bloggers yang lain, bila lagi nak singgah rumah.
Andai kata 'tersesat' kat KT, hubungi aku. Bilik 'Homestay' kat rumah aku dah siap menanti.( butiran lanjut dalam entri yang lain)
Jom! Melawat Terengganu....

Beib berharap dapat jemput semua..

rakan blogge R
sama sama raikan hari ray A
yang jauh tinggal di HOMESTA Y
berkenal mesra, menjalin saudar A

Wednesday, October 17, 2007

Hampir Raya di Lebuh Raya

Assalamualaikum / Good Day.....
Dalam kegembiraan dan keriangan menyambut Hari Raya Aidilfitri pelbagai kisah dan tragedi berlaku sebelum, semasa dan selepas Hari Lebaran. Kesemuanya ada iktibar dan hikmahnya.
Aku juga mengalami sedikit insiden yang, jika tidak ditangani dengan berhemah, akan merosakkan agenda Hari Raya kami sefamili.
Perjalanan balik ke Anak Bukit pada pagi Jumaat lepas dijangkakan berjalan dengan lancar dan selamat. Doa naik kenderaan yang dibacakan oleh Adeq dan diaminkan oleh semua, mengiringi perjalanan kami dengan Jet hitam.
Jet Hitam aku
Jam dah menunjukkan pukul 10 pagi, lewat dari kebiasaan kami bertolak balik ke Kedah.
Lebih kurang jam 10.20 pagi kami singgah di Petronas Merang untuk mengisi minyak penuh. Aku memeriksa keadaan Jet sekali lagi. Tayar, body dan enjin nampak ok je.
Perjalanan diteruskan sambil selang seli mendengar Traxx FM dan Radio ERA. CD/VCD dalam Jet kaput beberapa minggu lepas dan tak sempat nak baiki.
Biasanya anak-anakku lebih santai menonton filem-filem kegemaran mereka dalam perjalanan. Aku dan Kak Wan akan berborak tentang berbagai perkara untuk menghilangkan rasa mengantuk dan leka.
Memandu 7-8 jam memerlukan tenaga dan konsentrasi.
Setelah 3 jam perjalanan, kami berhenti solat qasar dan jamak Zohor/Asar di surau Batu Melintang.
Jam 2 petang, kami meneruskan perjalanan setelah berhenti rehat selama lebih kurang 45 minit. Perjalanan melalui Lebuhraya Timur Barat dari Batu Melintang ke Sungai Rui, Gerik biasanya mengambil masa 1 jam 45 minit.
Sepanjang 30 minit perjalanan, keriangan untuk berbuka puasa dan berhari raya di kampung semakin memuncak.
Tiba-tiba, Qaqaq memberitahu Jet kami seolah-olah bergoyang di sebelah kiri. Aku dengan segera memberhentikan Jet. Tak nampak apa yang tak kena dengan Jet kami sehinggalah aku terpandang tayar belakang sebelah kanan kempis dan 'steel wire'nya terkeluar.
"Serious ni", fikirku.
Semua dalam Jet kuarahkan turun. Dalam masa yang sama, hujan sudah mula renyai-renyai.
Dengan bantuan Abang, kami sama-sama keluarkan tayar ganti dibawah perut Jet dan terus 'jack-up' Jet.
Selesai tayar pancit dikeluar dan digantikan dengan tayar 'spare', kami sama-sama merendahkan jack untuk menurunkan Jet.
Abang membantu menukarkan tayar

Apalah malang, tayar ganti pun kempis juga!

Kak Wan dan anak-anak dah mula panik.
Hujan makin lebat. Hari makin lewat. Tempat insiden lebuhraya Timur Barat. Bantuan susah nak dapat. Macam-macam yang diingat....

Qaqaq dan Abang mengawasi trafik

Aku masih lagi tenang, cuba mencari jalan menyelesaikan kekusutan yang ada. Bantuan mesti diminta. Kami mula melambaikan tangan, mengharap bantuan dari pengguna jalan raya yang lalu lalang. Rupanya, ramai yang bersimpati dan berhenti bertanya khabar. Waima, bas ekspres pun turut berhenti.Yang aku perlukan ialah sebuah pam angin yang boleh digunakan untuk mengepam tayar ganti yang tak berisi tu. Namun, tak seorang pun yang ada.

En Yassin, seorang insan yang cuba membantu, mengesyorkan agar tayar dibawa ke stesen minyak di Banding untuk diisi angin. Jarak dari tempat kami ialah lebih kurang setengah jam perjalanan. Adus! jauh tu....tapi apakah pilihanku..?

Jet menanti tayar ganti
Dalam masa yang sama ada seorang Hamba Allah bernama FARIZ menawarkan diri untuk membantu. Dia sanggup membawa Abang bersama tayar ganti ke stesen minyak untuk diisi angin dan menghantarnya kembali ke Jet kami.
Alhamdulillah...ada juga insan yang sanggup membantu.
Kak Wan dan anak-anak letih menunggu
Jam menunjukkan pukul 5.05 petang. Penantian selama sejam penuh debaran, gelisah dan bimbang dalam hujan yang lebat. Akhirnya, FARIZ dan Abang muncul semula.
Setengah jam kemudian, kami mula bergerak menuju ke Banding dengan penuh hati-hati diiringi oleh FARIZ.
Di stesen PETRONAS Banding, aku memeriksa tayar Jet bagi memastikan ianya tidak kempis dan selamat. FARIZ ingin berehat di Banding tapi aku perlu meneruskan perjalanan.
Tidak sesen pun diambil dariku walaupun aku menghulurkan RM50 sebagai saguhati. Kami hanya mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya.
"Tak pa lah abang, saya tolong ikhlas, lagipun nak Hari Raya ni" katanya selamba. Aku tak putus-putus mengucapkan terima kasih dan menyatakan bahawa dia telah dihantar oleh ALLAH untuk membantu kami. Maka ALLAH jua yang akan membalas jasa dan budinya.
Kami meneruskan perjalanan ke Gerik dan FARIZ akan meneruskan pemanduannya ke Pokok Sena.
Tiba di Gerik jam 6.45 petang, aku terus ke kedai tayar untuk menukar tayar baru.
Sepanjang perjalanan, aku peringatkan kepada anak-anakku bahawa tidak salah berbuat baik dan menolong orang. Jadilah seorang yang sudi membantu seperti FARIZ.
Aku nyatakan kepada anak-anak bahawa selama ini aku juga sering membantu orang dan kini akan ada orang yang akan menolong walaupun orangnya bukan orang yang pernah kita bantu sebelum ini.
Kami selamat sampai di Anak Bukit jam 11.30 malam. ALHAMDULILLAH..

Kereta sahaja yang sempat dirakamkan, tuannya tidak mau bergambar

Kepada FARIZ dari MOFAZ Damansara, aku ingin rakamkan jutaan TERIMA KASIH moga ALLAH rahmati saudara.

Kalau tidak kerana bantuan saudara, kami mungkin BERAYA di Lebuhraya.....
Beib takkan lupa...

budi dan ada B
insan yang sudi membant U
tanpa mengira jarak dan ha D
moga sentiasa dirahmati ILAH I

Friday, October 12, 2007

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Assalamualaikum / Good Day.....
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
BUAT SEMUA
PENGUNJUNG BLOG INI
TERUTAMA
SAHABAT SAHABAT BLOGGER
dan
BAKAL-BAKAL SAHABAT BLOGGER
MOGA LEBARAN KALI INI MEMBERI SERIBU MAKNA
dari
beib
Kak Wan
Abang Syafiq
Adeq Syazana
Qaqaq Syafiqa dan Acik SyafizaLamanNyaman
Doakan kami selamat sampai ke destinasi kami di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah untuk bertemu dengan yang dikasihi disana......
Perjalanan KT- Anak Bukit akan mengambil masa lebih kurang 7 jam melalui Lebuhraya Timur Barat....
Kami akan berangkat pada jam lebih kurang 9 pagi nanti menaiki JET persendirian kami iaitu, TRAJET....InsyaALLAH...
BON VOYAGE!

Seni dan Raya

Mengetuai panel pembinaan instrumen
Assalamualaikum / Good Day.....
Dalam kesibukan Muslimin membuat persiapan Hari Raya, aku sekali lagi dijemput menghadiri satu mesyuarat di Putrajaya bermula dari 8 Oktober hingga 11 Oktober.
Agenda mesyuarat berkaitan dengan pembinaan item kurikulum bidang kesenian di Sekolah Seni Malaysia (SSM).
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, En. Abdul Ghafar bin Mahmod melibatkan empat orang tenaga pengajar Seni termasuk aku, seorang pegawai dari EPRD, seorang dari PPK dan Penyelaras SSM dari JPJS.
Mesyuarat ini bertujuan mengenalpasti beberapa isu yang berkaitan dengan pengoperasian SSM. Antara objektifnya ialah:
1. Kearah pembentukan Kurikulum Kesenian SS yang lebih efektif dan diterima pakai hingga peringkat antarabangsa
2. Melihat sejauhmana keberkesanan kurikulum Kesenian dan P&P kepada murid murid-murid dan guru SSM.
3. Mendapatkan cadangan untuk penambahbaikan bagi setiap pengkhususan bidang kesenian dengan pengurusan dan pelaksanaan yang mantap pada masa depan bagi kurikulum kesenian.
4. Melihat persediaan terhadap minat, bakat dan kemampuan murid dan guru terhadap komponen-komponen SSM.
Mungkin agak teknikal bagi semua. Mudahnya, kami diamanahkan untuk menyiapkan satu instrumen kajian bagi guru dan murid SSM dalam mengenalpasti tercapainya objektif di atas.
Pening juga dibuatnya.
Dalam masa tiga hari, aku sebagai ketua panel, terpaksa memastikan item-item instrumen siap untuk digunapakai dalam pemantauan yang akan kami kendalikan mulai dari 21- 24 Oktober 2007 di SS Johor Bahru dan SS Kuching.
Alhamdulillah...berkat kerjasama En. Rafaie Ismail (Seni Teater),Pn. Ridzlina Riduan (Seni Muzik) dan Cik Thoh Hui Chin @ girlie (Seni Tari) kami berjaya menyiap dan memurnikan instrumen yang dikehendaki...Terima kasih geng!
Sampai sahaja aku di Lapangan Terbang Sultan Mahmud jam 4 petang tadi, aku disambut oleh isteriku, KakWan dan semua anak-anakku. Abang dan Qaqaq baru sahaja pulang dari KL jam 2.30 petang untuk menyambut Aidilfitri.
Majlis berbuka puasa meriah dengan kehadiran semua ahli famili dan makanan western pilihan mereka.

Acik menanti giliran

Adeq tak sabar nak berbuka

Mama dengan gelas besarnya

Abang dan Qaqaq dengan gaya masing-masing
Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan lebih meriah di LamanNyaman kami, walaupun hanya bermula pada Raya ketiga. Pada pagi Jumaat kami akan bertolak balik kampung di Anak Bukit, Kedah menyambut Aidilfitri disana bersama Mak dan ahli keluarga yang lain.
Kampung Alor Madi, Anak Bukit akan menyaksikan kepulangan kami sefamili. Yang pasti, kubur arwah Pak akan kami ziarahi....
Beib akan terus cuba memartabatkan....
seni melalui amanah dan tuga S
memastikan lengkap semua it E m
dilaksanakan dengan berkesa N
penuh minat dan dedikas I

Saturday, October 6, 2007

Dah bayar zakat fitrah?

Menyerahkan bayaran zakat fitrah kepada amil yang dilantik Assalamualaikum / Good Day.....

"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat".

Surah An-Nur (ayat 56)

Dah nak hampir penghujung Ramadan dah. Ada lagi perkara penting yang perlu diselesaikan sebelum kita meninggalkan Ramadan AlMubarak, ia itu, Zakat Fitrah.

Semalam, surau di kawasan perumahan aku telah mengadakan majlis berbuka puasa. Tiga ekor kambing dan sepuluh ekor ayam disediakan untuk ahli jemaah dan jemputan. Surau AlMuttaqin, memang selalu mengadakan majlis-majlis seperti ini. Tahun lepas kami makan daging rusa dan kambing. Tahun ini, tuan punya rusa tak mahu jual sebab rusanya tu bunting. Mungkin tahun depan kot.

kaum ibu sibuk menyediakan jamuan
Majlis ini juga sempena tamatnya kami bertadarus pada malam Nuzul Quran tempohari. Lega rasanya bila selesai menjalankan aktiviti yang dituntut dalam bulan Ramadan ni.

Tadarus bersama sahabat-sahabat

Selesai solat tarawih, aku dan beberapa orang sahabat turut melaksanakan tugasku sebagai seorang Muslim dengan membayar zakat fitrah kepada amil yang turut hadir di majlis berbuka puasa.

Bayaran yang aku telah buat ialah sebanyak RM 33.00 sahaja dengan kadar RM5.50 seorang. Tanggungan aku ialah seramai enam orang.


Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Surah At Taubah:103

Bila dah buat bayaran zakat fitrah awal-awal, maka yang tinggal hanyalah menghabiskan puasa yang ada 6 hari sahaja lagi.

Jangan lupa bloggers Muslim sekalian, kewajipan kena laksanakan. Nanti raya tak lengkap...

Dari ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.

Beib cuma nak pesan supaya selesaikan zakat...
andai kata tidak dibuat, tiada maa F
fardu yang tidak boleh diingkar I
lagipun bukan susah nak keluarkan zaka T
kita harus seda R
ia adalah hak insan fakir, miskin dan pap A
kita hanya meminjam dari ALLA H

Thursday, October 4, 2007

LamanNyaman: Update

Assalamualaikum / Good Day.....
Tak ada apa yang nak aku ceritakan kali ini, cuma nak kongsi keseronokan aku dengan kalian kerana lamanku dah hampir siap...
Minggu depan aku akan pastikan sistem pencahayaan siap dan berfungsi.
Sementara itu, lihat dan nikmatilah...
"A picture paints a thousand words"
foto 1foto 2foto3foto4foto5foto6foto7

foto8

foto9foto10foto11foto12

foto 13

Beib harap semua akan turut..

merasa teruja dan pua S

menikmati laman hijauk U

menjadi tempat aku sefamili melepa K

menghilang penat, memulih tenag A