Showing posts with label kurikulum. Show all posts
Showing posts with label kurikulum. Show all posts

Friday, February 18, 2011

Pendidik: Penghargaan Sekian Lama...


Assalamualaikum / Peace be upon you...
Petikan berita dari Sinar Harian tanggal 15 Feb 2011.
Lebih 800 guru di Terengganu terima e- book
KUALA TERENGGANU - Lebih 800 guru di negeri ini menerima e-book sebagai alat bantu mengajar secara percuma daripada kerajaan negeri.

Pemberian e-Book itu merupakan pertama kali diagihkan kepada guru khususnya mereka yang terbabit dalam pasukan Angkatan Kerja Rajin Dan Mulia (AKRAM), bidang penyelidikan dan e-pantau di negeri ini.

Menteri Besar Datuk, Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis penyerahan e-Book itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal dekat sini semalam berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM2 juta bagi membekalkan e-Book kepada guru berkenaan.

"Kerajaan amat berterima kasih kerana dengan usaha guru-guru ini (AKRAM), Terengganu berjaya mengekalkan tempat teratas selama 10 tahun dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan dua tahun dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri akan menghantar seramai 50 guru besar dan 30 pengetua ke luar negara pertengahan tahun ini dalam program lawatan sambil belajar bagi menghargai usaha mereka meningkatkan prestasi sekolah masing-masing dalam UPSR dan PMR tahun lalu. - Bernama


Nah! inilah salah satu penghargaan yang aku terima selama berkhidmat dan membantu dalam penyediaan bahan ujian serta peperiksaan di peringkat negeri Terengganu. Sebuah komputer riba atau laptop berukuran 14inci pemasangan tempatan sebagai 'a token of appreciation'
Sesetengah orang mengatakan bahawa ini adalah ' a long overdue appreciation'.
Aku menganggapnya sebagai satu penghargaan yang setimpal bagi mereka, termasuk aku, yang bertungkus lumus memerah idea dan keringat dalam mempastikan kejayaan melestarikan pendidikan di peringkat negeri.
Sumbangan aku hanya sekelumit sahaja bermula dengan penglibatan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat SPM dan kemudian mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) di peringkat SPM dan STPM.
Banyak masa dan tenaga digunakan untuk berbincang, berbengkel serta bermesyuarah dalam menghasilkan bahan ujian/peperiksaan yang standard serta menepati Jadual Spesifikasi Ujian (JSU).
Kami, Guru AKRAM, sedia maklum bahawa bahan-bahan ujian kami sentiasa mendapat tempat di kalangan pendidik di negeri lain kerana ianya menepati kesahan dan kebolehpercayaan ujian.
Inilah satu-satu keistimewaan bahan yang dihasilkan oleh guru-guru AKRAM. Antara plus factor ialah semangat camaraderie yang terjalin semasa bertugas yang membantu penghasilan bahan yang bermutu.
Tetapi dalam keterujaan menerima hadiah atau sumbangan itu, aku turut rasa terkilan kerana ada dua orang sahabat yang sama-sama bertungkus lumus 'terlepas' dari menikmati anugerah ini.
Tidak siapa pun dari kalangan Guru AKRAM, terutamanya dari kelompok PSV, yang akan mempertikaikan sumbangan mereka selama ini. Komitmen dan khidmat bakti mereka sukar ditandingi. Malah aku berani katakan bahawa ada di antara yang menganggotai kelompok PSV ini bagai 'jauh panggang dari api' dari segi kemahiran, kepakaran dan keterlibatan.
Mark my word, ada yang aku klasifikasikan sebagai passengger, menjadi liabiliti pada kelompok PSV. Maaf, aku mungkin celupar, tetapi I will not apologise for that matter.
Terusik hati bila mereka seolah terpinggir. Kalau dijumlahkan dari segi tahun pengalaman, mereka sudah terlibat hampir 40 tahun. Bermula dari peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.
Mungkin mereka boleh ditaarifkan sebagai 'terlepas kapal' kerana memilih untuk tidak bersara pada usia 58 tetapi pada umur 55. Seorang bersara pada akhir bulan November 2010 dan seorang lagi di awal Januari 2011.
Kalau tidak kerana selisih hanya beberapa hari, sudah tentu mereka akan sama-sama merasa puas dan menikmati habuan berbaloi dari sumbangan iklas dan murni mereka.
Aku mendoakan agar mereka mendapat yang lebih bermakna dari Allah SWT. Kalau tiada sesiapa yang menghargai dan menyanjung sumbangan mereka, biarlah aku yang melakukannya. Syabas dan tahniah!

 
 Bersama Hj. Mohd Zukifli (Zolphin) dan Hj.Suib Senin, sahabat AKRAM PSV

Amat bertuah kerana ada di antara kita mendapat kepuasan diri bila dihargai. Malah sesiapa juga akan merasakan begitu. Segalanya terpampang dan diuar-uarkan dengan meriah. Menjadi bahan bualan dan tatapan kenalan dan teman. Puas dan teruja.
Walaupun dua orang sahabatku ini yang sentiasa rendah diri serta tidak memerlu dan mendapat publisiti, namun aku tahu mereka akan tetap dikenang sebagai penyumbang aktif dalam kelompok kami.
Aku sangat yakin yang tertanam dijiwa mereka juga sebagaimana yang aku terapkan dalam jiwa dan mindaku, akronim AKRAM itu sendiri - Angkatan Kerja Rajin dan Mulia.
Semoga Allah merahmati mereka diwaktu bersara mereka ini.
Syukur dan Terima Kasih kerana segala khidmat dan kerjabuat aku, yang tidak pun sebesar hama, diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri Terengganu dan JPNT.
Hadiah laptop ini sangat bermakna.
Laptop yang selama ini menghidup serta menceriakan seharianku.
Moga ia akan menjadi satu katalis untuk aku berbakti sebaik mungkin pada anak bangsa. Walaupun sumber inspirasi yang 'galak' dan bersemangat dari laptop seolah pudar dan hambar, aku yakin laptop ini tetap akan menjadi sahabat yang paling akrab sampai bila-bila.
Mungkin suatu hari nanti skrin laptop ini akan kembali berseri dengan bunga-bunga inspirasi. 
Akan ku nanti hingga ke hujung nyawa.


Beib akan terus berbakti dan menghayati semangat...
 ...murni dan muli A
sebagai seorang pendidi K
yang tugasnya juga mengaja R
menulis...mengira...membac A
sehingga anak-anak didik tahu dan faha M

* teringat kata-kata kenalan "kalau budak2 ini boleh melakukan suatu perubahan dalam masa 3 bulan, itu merupakan kejayaan yang sangat besar dan hebat"

Tuesday, February 15, 2011

Pendidik Sangat Luhur: Aku Bangga!

 puas... dapat memahamkan konsep Seni kepada murid seawal usia 10
Assalamualaikum / Peace be upon you...
"Bila turun ke Sekolah Rendah (SR)?"
"Jadi Guru Besar SR?"
" Seronok dok SR..?"
Inilah antara soalan yang aku hadapi bila ramai orang mendapat tahu bahawa aku telah ditempatkan di sekolah rendah (SR).
Pelbagai reaksi, pandangan serta tanggapan yang aku terima. Segalanya kuserapkan secara positif. Tidak ada apa yang hendak dimalukan.
Ada ketika soalan yang di kemukakan seolah-olah mengherdik, sinis dan merendahkan. Macamlah SR ni lekeh dan leceh.
Ada yang bernada terkejut serta hairan dan aku tahu ianya iklas kerana ramai kenalanku selama ini tahu aku betugas lebih dari 30 tahun di sekolah menangah (SM). Aku pernah menjadi pensyarah di sebuah Maktab Perguruan atau kini dikenali sebagai IPG selain dari menjadi tutor kepada mahasiswa di sebuah IPT sejak 1990 hingga saat ini.
Sebenarnya sifat inkuiri atau inquisitive ini lumrah dalam kehidupan kita seharian. Aku terima sebagai sesuatu yang positif dan mematangkan aku.
Namun, aku agak terkilan apabila perkataan 'turun ke SR' digunakan.
Apakah jika kita berada di SR bererti jatuh darjat?
Hilang pangkat?
Tidak glamour?
Tidak setaraf dengan mereka yang mengajar di SM, IPG atau di IPT?
Ada ketikanya aku membidas pertanyaan sinis ini dengan membetulkan ayat soalan.
" Bukan saya diturunkan ke SR tapi saya ditempatkan di SR"
"Kalau tidak ada SR, takkan ada SM dan IPG malah IPT sendiri.." Itulah yang sering aku tegaskan.
Teringat seseorang yang mengajar di SR selama lebih sepuluh tahun dan bergelumang dengan kanak-kanak istimewa dalam kelas Pendidikan Khas (PK).
Ramai yang memandang remeh dan menganggap dia berada dalam kelas atau kelompok guru yang tidak setaraf dengan guru yang mengajar di arus perdana.
Bagiku, orang yang berfikiran serong dan kolot begini yang sebenarnya tidak ada 'kelas', jumud dan dhaif.
Tahukah mereka, boleh dikatakan semua guru yang terlatih boleh mengajar di kelas arus perdana, sedangkan untuk mengajar di kelas PK memerlukan kepakaran khusus yang ramai dari kalangan guru arus perdana tidak memilikinya.
Kelebihan dan kepakaran ini cuma ada pada segelintir guru yang terpilih, iaitu guru PK.
Inilah yang sering aku peringatkan kepada anak keduaku yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PK.
"You should be proud of yourself....you are the selected one!"
Begitu juga dengan aku.
Ditempatkan di SR setelah lebih setengah abad mendidik pelajar di SM terutamanya di Tingkatan 4 dan 5, membuka lembaran baru dalam mendidik anak bangsa.
Pengalaman terbaru selama  5 bulan ini berada di SR dan mendidik murid tahun 4, 5 dan 6 lebih mematangkan aku.
Sehingga saat ini, aku masih dalam zon teruja dalam mencurahkan ilmu kepada anak didik di SR. Aku bangga dengan kelebihan yang ada padaku.
Maksudku, bukan semua orang berpeluang mendalami dan mempraktikkan kurikulum SR, SM selain dari di IPT. Aku bersyukur kerana aku diberi peluang itu.
Biarlah mereka yang skeptik bertanggapan herot. Mereka sebenarnya adalah golongan yang kurang  intelektual dan profesional. Membuat tanggapan tidak berdasarkan sifat keilmuan.
Aku, sehingga kini amat berbangga dan terus bersemangat untuk mendidik  anak bangsa yang aku tahu amat dahagakan ilmu.
Aku amat tahu kedudukan dan fungsiku selaras dengan gelaran yang aku terima dari KPM. Malah aku berbangga kerana aku adalah salah seorang dari berpuluh ribu di kalangan pendidik dalam negara yang terpilih untuk tugasan ini. Syukur kepada Illahi kerana anugerah ini.
Inilah yang memacu aku untuk terus berbakti kepada anak didik.
Biarlah Luncai terjun dengan labu-labunya.
Buat teman dan rakan yang mengajar di mana-mana jua dan di peringkat apa pun, anggaplah tugas mendidik ini sesuatu yang sangat mulia.
Bak kata pendita, "Teaching is a noble profession"
Begitu juga buat anda yang mengajar di kelas PK. Anda sangat tinggi darjatnya.
Kita mesti berbangga menjadi pendidik.
Ini tersemat kuat dalam diriku dan aku abadikan di tie clip ku.

Beib tidak pernah menyesal menjadi seorang...
...pendidik apatah lagi bila digelar Cemerlan G
dalam usaha mencurahkan ilm U
kepada anak didik dan juga pelaja R
moga diamalkan sepanjang hidupm U
*...aku berbangga dan sangat teruja kerana kita sebenarnya sangat berharga...

Sunday, November 7, 2010

Kursus:...Cungkil Kemahiran, Pengetahuan, Harapan & Pengalaman.

 
Assalamualaikum / Peace be upon you...
Mengagumkan...
Kehadiran penuh guru-guru yang dipanggil untuk berkursus mengujakan urusetia dan JU.
Inilah yang diharapkan. Penurunan ilmu dan perkongsian pengetahuan akan menjadi lebih bermakna.
Nampak riak-riak wajah yang dahagakan ilmu. Menanti di'isi' dengan penuh minat. Pendidik-pendidik ini yang datang dari berbagai pelusuk Dungun dan Kemaman sejak awal pagi mengharapkan sesuatu untuk dibawa balik dan dicurahkan kepada anak didik mereka.
Sambutan yang hebat ini membuatkan kami, Urusetia dan JU, tambah bersemangat.

Perjalanan Kursus Orientasi KSSR untuk guru-guru tahun satu selama 2 hari di Dungun dan Kemaman dianggap sangat berjaya.
Perhatian, kesungguhan serta keterlibatan yang mereka tunjukkan tentu sahaja mencapai objektif kursus walaupun ramai diantara mereka bukan dari kumpulan guru opsyen PSV.
Ada beberapa orang guru yang sempat aku tanya menyatakan betapa beruntungnya dapat menghadiri kursus ini. Maklumat, isi serta kaedah P&P akan membantu mereka dalam bilik darjah nanti.
Latihan praktikal dan sesi perbengkelan banyak memberi manfaat kepada mereka. Bakat kreatif mereka terserlah dalam karya-karya yang dihasilkan. Sesi apresiasi dan pembentangan membuatkan mereka lebih yakin menerapkan kemahiran yang dipelajari.
 

Tentu sahaja harapan kami tinggi untuk melihat pengetahuan serta kemahiran ini disalurkan kepada anak-anak didik.
Tidak sia-sia aku memandu selama sejam dari KT ke premis kursus di Dungun untuk memantau dan melihat wajah-wajah ceria guru yang menjalankan aktiviti.
Separuh hari di sana, aku meneruskan perjalanan sejam lagi ke Kemaman untuk bersama pendidik-pendidik dari daerah itu. Mereka juga kelihatan bersemangat dan teruja.
Aku? Lihatlah reaksi spontan bila bersama mereka dalam foto di atas. Nilaikan sendiri.
Semasa aku diberi peluang untuk berucap, aku tegaskan tentang pentingnya melaksanakan KSSR PSV dengan baik dan berkesan. Asas mengenai PSV atau foundation berdasarkan apa yang tertera dalam KSSR amat perlu supaya murid tahun satu berada di landasan yang betul dari awal lagi.
Aku tidak mahu apa yang aku lihat dan alami semasa mengajar di Sekolah Menengah selama 30 tahun berulang lagi. Kurang pengetahuan mengenai Asas Seni Reka membantutkan proses P&P. Moga kursus ini akan mentransformkan sistem pendidikan dalam era globalisasi.
Harapanku: pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang diperolehi dari kursus ini akan menjana satu semangat baru dalam diri pendidik PSV ditahun 2011.
Cukuplah dengan anggapan bahawa PSV hanya mata pelajaran tempelan. Dengan anugerah dan gelaran yang diberikan kepadaku serta keinginan yang tinggi untuk memartabatkan PSV, aku bertekad untuk memastikan andaian skeptik adalah salah.
Biarlah aku seorang yang silap mencongak perasaan serta rasa hati dan disalahtafsir walaupun bertahun bertahan, namun aku tidak mahu kesilapan dalam menyampaikan matlamat transformasi menghancurkan satu generasi anak didik.
Nauzubillah himinzaalik...
Aku tidak akan serik berusaha untuk memartabatkan PSV sebagaimana aku tetap cekal menghadapi dugaan dan ujian perasaan dari Allah.
Sesungguhnya, DIA maha mengetahui.
In HIM I trust!

Beib loves...
...arts and craft S
and consider it as an integral part of our lif E
to be taught to our childre N
as should have been taught to you and  I
 *andai berkerat rotan berpatah arang yg terbaik...

Friday, November 5, 2010

KSSR: Latihan Satu Permulaan

mengendalikan mesyuarat bersama Wan Razali Wan Nawang Penyelia PSV dan PMuzik JPNT

Assalamualaikum / Peace be upon you...
Minggu yang agak meletihkan dengan pelbagai aktiviti dan program yang perlu dibereskan. Otak masih serabut, kadang-kadang kosong, kosong sekosong-kosongnya. Entah lah!. Semua berbaur. Dugaan Tuhan memang kena terima. Rela dan redha.
Walau apapun, sikap profesional perlu dipertahankan.
Sejak dari minggu lepas, hampir berselang hari bermesyuarat di jabatan. Aktiviti yang berkaitan dengan seni silih berganti.
Transformasi Kurikulum (sedikit overview boleh dibaca di sini) yang diperkenalkan oleh KPM akan mula diperkenalkan dalam sistem pendidikan kita mulai tahun depan. Sila rujuk penglibatanku di sini, sini dan sini.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk mata pelajaran PSV akan turut digunapakai pada tahun 2011. Kursus orientasi untuk guru-guru tahun 1 mesti dijalankan sebelum sesi persekolahan berakhir pertengahan November ini. Ini bertujuan untuk memberi maklumat mengenai KSSR dan latihan asas bagaimana merujuk modul PSV.
Aktiviti hands-on juga diharap akan memantapkan penguasaan peserta kursus dalam penggunaan modul.
Untuk menjayakan kursus ini, aku turut dijemput sebagai JU dan urusetia.
Mencabar, kerana ia adalah tugas pertama sejak aku beralih ke sekolah rendah.
First hand knowledgeku mengenai KSSR agar terhad. Selama ini aku terlibat dengan kurikulum sekolah menengah dari tingkatan  1 - 6.
Namun, aku sangat yakin akan dapat menggarapkannya dengan ketekunan membaca, mentelaah dan bertanya kepada yang lebih arif.
Mesyuarat kali ini membincangkan tentang logistik serta perkara yang berkaitan dengan pengurusan kursus selama 2 hari bagi setiap daerah di Terengganu. Ada lapan daerah semuanya. Setiap pusat kursus akan aku lawati dan pantau bersama pegawai JPNT. Tentu sahaja agak sibuk tetapi tugas dan tanggungjawab lebih utama.
Moga perjalanan program dari 2 November yang akan berterusan hingga 18 November lancar dan berjaya mencapai matlamat.
Seharian bermesyuarat meletihkan minta dan jasad apatah lagi dengan insomnia yang masih berlarutan tetapi Alhamdulillah, sanity masih terkawal.
Kesibukan begini diharap akan dapat membantu minda dan jiwa.
Oleh kerana rutin biasa yang bertahun diamalkan sudah mula terhakis, aku memaksa diri untuk mengisi masa dengan sesuatu yang juga bermanfaat. Antaranya berblog dan memerapkan diri di alam pembacaan.
Sebenarnya 'gatal tangan' masih ada, tapi oleh kerana responsnya tiada, haruskah aku tebalkan muka lagi jika aku sudah tiada dalam kamus hidup? 

Beib kembali teruja terlibat dengan...
... kurikulum dan pendidikan kanak-kana  K
sambil membantu mengendalikan kursu S
yang diadakan kha S
bagi guru-guru tahun satu samada dalam atau luar banda R
*tiada lagi nota kaki yg berupaya menambat ht...