Showing posts with label Qaqaq. Show all posts
Showing posts with label Qaqaq. Show all posts

Tuesday, February 15, 2011

Pendidik Sangat Luhur: Aku Bangga!

 puas... dapat memahamkan konsep Seni kepada murid seawal usia 10
Assalamualaikum / Peace be upon you...
"Bila turun ke Sekolah Rendah (SR)?"
"Jadi Guru Besar SR?"
" Seronok dok SR..?"
Inilah antara soalan yang aku hadapi bila ramai orang mendapat tahu bahawa aku telah ditempatkan di sekolah rendah (SR).
Pelbagai reaksi, pandangan serta tanggapan yang aku terima. Segalanya kuserapkan secara positif. Tidak ada apa yang hendak dimalukan.
Ada ketika soalan yang di kemukakan seolah-olah mengherdik, sinis dan merendahkan. Macamlah SR ni lekeh dan leceh.
Ada yang bernada terkejut serta hairan dan aku tahu ianya iklas kerana ramai kenalanku selama ini tahu aku betugas lebih dari 30 tahun di sekolah menangah (SM). Aku pernah menjadi pensyarah di sebuah Maktab Perguruan atau kini dikenali sebagai IPG selain dari menjadi tutor kepada mahasiswa di sebuah IPT sejak 1990 hingga saat ini.
Sebenarnya sifat inkuiri atau inquisitive ini lumrah dalam kehidupan kita seharian. Aku terima sebagai sesuatu yang positif dan mematangkan aku.
Namun, aku agak terkilan apabila perkataan 'turun ke SR' digunakan.
Apakah jika kita berada di SR bererti jatuh darjat?
Hilang pangkat?
Tidak glamour?
Tidak setaraf dengan mereka yang mengajar di SM, IPG atau di IPT?
Ada ketikanya aku membidas pertanyaan sinis ini dengan membetulkan ayat soalan.
" Bukan saya diturunkan ke SR tapi saya ditempatkan di SR"
"Kalau tidak ada SR, takkan ada SM dan IPG malah IPT sendiri.." Itulah yang sering aku tegaskan.
Teringat seseorang yang mengajar di SR selama lebih sepuluh tahun dan bergelumang dengan kanak-kanak istimewa dalam kelas Pendidikan Khas (PK).
Ramai yang memandang remeh dan menganggap dia berada dalam kelas atau kelompok guru yang tidak setaraf dengan guru yang mengajar di arus perdana.
Bagiku, orang yang berfikiran serong dan kolot begini yang sebenarnya tidak ada 'kelas', jumud dan dhaif.
Tahukah mereka, boleh dikatakan semua guru yang terlatih boleh mengajar di kelas arus perdana, sedangkan untuk mengajar di kelas PK memerlukan kepakaran khusus yang ramai dari kalangan guru arus perdana tidak memilikinya.
Kelebihan dan kepakaran ini cuma ada pada segelintir guru yang terpilih, iaitu guru PK.
Inilah yang sering aku peringatkan kepada anak keduaku yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PK.
"You should be proud of yourself....you are the selected one!"
Begitu juga dengan aku.
Ditempatkan di SR setelah lebih setengah abad mendidik pelajar di SM terutamanya di Tingkatan 4 dan 5, membuka lembaran baru dalam mendidik anak bangsa.
Pengalaman terbaru selama  5 bulan ini berada di SR dan mendidik murid tahun 4, 5 dan 6 lebih mematangkan aku.
Sehingga saat ini, aku masih dalam zon teruja dalam mencurahkan ilmu kepada anak didik di SR. Aku bangga dengan kelebihan yang ada padaku.
Maksudku, bukan semua orang berpeluang mendalami dan mempraktikkan kurikulum SR, SM selain dari di IPT. Aku bersyukur kerana aku diberi peluang itu.
Biarlah mereka yang skeptik bertanggapan herot. Mereka sebenarnya adalah golongan yang kurang  intelektual dan profesional. Membuat tanggapan tidak berdasarkan sifat keilmuan.
Aku, sehingga kini amat berbangga dan terus bersemangat untuk mendidik  anak bangsa yang aku tahu amat dahagakan ilmu.
Aku amat tahu kedudukan dan fungsiku selaras dengan gelaran yang aku terima dari KPM. Malah aku berbangga kerana aku adalah salah seorang dari berpuluh ribu di kalangan pendidik dalam negara yang terpilih untuk tugasan ini. Syukur kepada Illahi kerana anugerah ini.
Inilah yang memacu aku untuk terus berbakti kepada anak didik.
Biarlah Luncai terjun dengan labu-labunya.
Buat teman dan rakan yang mengajar di mana-mana jua dan di peringkat apa pun, anggaplah tugas mendidik ini sesuatu yang sangat mulia.
Bak kata pendita, "Teaching is a noble profession"
Begitu juga buat anda yang mengajar di kelas PK. Anda sangat tinggi darjatnya.
Kita mesti berbangga menjadi pendidik.
Ini tersemat kuat dalam diriku dan aku abadikan di tie clip ku.

Beib tidak pernah menyesal menjadi seorang...
...pendidik apatah lagi bila digelar Cemerlan G
dalam usaha mencurahkan ilm U
kepada anak didik dan juga pelaja R
moga diamalkan sepanjang hidupm U
*...aku berbangga dan sangat teruja kerana kita sebenarnya sangat berharga...

Friday, November 12, 2010

Hadir Lagi Hari Lahir: 12.11.10 - Penenang Hati Papa

Assalamualaikum / Peace be upon you...
Papa tak mahu tulis panjang-panjang, cuma nak catat dan bagitau Qaqaq bahawa Qaqaq dah berusia 21 tahun kini. Sekejap saja rasanya dah besar dan dewasa.
Ada lagi beberapa tahun sebelum menamatkan pengajian dan mengikut jejak Mama dan Papa sebagai pendidik. Jadilah pendidik yang hebat.
Tambah ilmu, tinggalkan jasa.
Doa Papa sentiasa mengiringi Qaqaq supaya menjadi anak yang baik dan solehah.
Semoga catatan lalu akan memberi inspirasi pada Qaqaq. Rujuk sini , sini, sini dan sini.
Tiada apa yang lebih mengujakan melainkan melihat Qaqaq berjaya di masa depan dan dalam hidup.
SELAMAT HARI LAHIR
KE 21
~ 12.11.2010 ~
 ...be a good girl...
Papa harap Qaqaq sentiasa sejahtera di ulang tahun hari...
... ini dan kekal ceka L
pada setiap mas A
menjadi pendidik yang hebat dan ga H
berbakti kepada agama, bangsa dan pertiw I
moga terus menjadi anak yang rajin, tekun, saba R
* Kalau Pa hadiahkan Kereta Comel Kiut yang penuh nostalgia nak tak? ;-)

Sunday, February 14, 2010

Perasaan Saya Lemau...

Widuri...malar segar...
Assalamualaikum / Good Day.....

Di tempat aku, Sambutan Tahun Baru Cina (TBC), seolah-olah tidak dirasai. Jiran tetangga tiada dari ras Cina. Yang ada hanya beberapa orang kenalan Cina yang tinggal agak jauh dari kawasan kediamanku. Jadi, tiadalah letupan mercun atau percikan bunga api yang aku dengar dan lihat sempena Tahun Harimau kali ini.

Paling akhir aku 'menikmati' suasana ini ialah semasa aku menyewa di No.11A, Gerbang Minden, Gelugor, Pulau Pinang pada tahun 1987-1989. Aku percaya ada lagi rakan-rakan yang tinggal di kawasan perumahan yang berjirankan ras Cina akan merasai suasana sambutan TBC yang meriah tetapi bingit. Hakikat yang perlu diterima.

Bagi aku walaupun sudah 20 tahun berlalu, namun dentuman bingit mercun masih terasa. Letupan sepanjang malam yang membuatkan aku tidak nyenyak tidur, sebagaimana yang aku rasai beberapa malam ini. Bukan kerana letupan mercun tetapi kerana 'letusan' emosi.

Dalam situasi yang sangat tertekan ini aku tidak ingin perasaan menguasai diri. Sesuatu harus aku lakukan untuk release and relief.

Oleh kerana anak-anak turut bercuti sempena TBC, aku mengajak mereka menonton persembahan atau 'gig' oleh Adi Jagat yang menjadi resident artiste di Sutra Beach Resort (SBR), Merang. Its a free and easy nite.

Adi seorang guitarist kidal yang hebat. Petikan gitar acoustic dan suaranya yang raspy, husky ala Rod Steward memukau penonton dan tetamu di resort ini.
Aku juga teruja dengan vokalnya yang mantap.

Perkenalan secara tidak formal bermula bila aku sering ke SBR untuk menghadiri mesyuarat dan sesi perbengkelan. Selalunya, apabila selesai sahaja sesi perbengkelan malam lebih kurang jam 10.30, aku akan menyandar di sofa lounge menikmati dendangan Adi. Sepoi angin malam dari Laut China Selatan dan cahaya suram di Rhu Tapai Lounge membuatkan suasana begitu santai.

Beberapa kali aku dipelawa oleh Adi untuk menyumbangkan suara, tapi aku sering menolak walaupun hati meronta. Malu segan pada teman-teman membuatkan aku menggeleng kepada Adi.

Namun kali ini aku tidak menolak. Pelawaan Adi aku sambut walaupun dia sebenarnya belum pernah mendengar suaraku. Untuk pertama kali, Widuri dan Angin Malam gaya aku, berkumandang dengan iringan keyboard Adi.

Nyata Adi berpuasa hati dan meminta aku nyanyikan Getaran Jiwa, lagu kegemaranku. Namun, oleh kerana lagu itu tiada dalam himpunan lirik Adi, aku menolak. Dua lagi tadi sudah cukup sebagai permulaan.

Qaqaq, Acik dan Adeq turut gembira menikmati persembahan dan berpeluang beramah mesra dengan Adi yang kebetulan membawa familinya bersama. Minat mereka pada muzik sentiasa aku pupuk.

Kata Henry Wadsworth Longfellow, Outre-Mer
, Music is the universal language of mankind. Benar katanya dan bagi aku ia adalah satu cabang seni yang perlu dihargai.

Muzik ialah salah satu bidang/cabang seni yang turut memperkembangkan daya intelek. Muzik juga menenangkan hati dan membolehkan kita melahirkan ekspresi diri apabila mendengarnya.

Dan malam ini, aku telah cuba release dan relief. Bak kata Berthold Auerbach, Music washes away from the soul the dust of everyday life. Cervantes pula berkata, He who sings scares away his woes.

Kendatipun, isu pokok masih berakar kuat. Entah bagaimana hendak direlaikan. Segalanya berubah dengan sekelip mata. Berubah dengan hanya satu panggilan.

Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Beib cuba bertenang dengan.....
... membaca buku dan berdia M
rasa tidak mahu digangg U
adakala lebih baik mendengar lagu sentimental atau jaz Z
sambil cuba mengekspresi dir I
agar rasa tertekan dapat diela K
* Ada kala manusia melakukan sesuatu di luar jangka.
Konspirasi dan komplot menjerat anggota sendiri.

Thursday, November 12, 2009

Lahirnya Saya di Penang...?

anak Papa dah besar

Assalamualaikum / Good Day.....

Dua dekad yang lalu bila Mama awak disorong masuk ke wad bersalin Aman Maternity Home and Polyclinic, Gelugor, Pulau Pinang, Papa dipelawa oleh salah seorang doktor yang bertugas untuk masuk menyaksikan kelahiran awak. Papa enggan. Darah boleh membuatkan Papa lemah lutut atau mungkin juga pengsan. Papa menanti di luar wad dengan penuh harap.

Dua puluh minit kemudian, terdengar tangisan awak. Mersik dan nyaring. Awak dibalut dengan kain muslin dan diserahkan pada Papa untuk diiqamatkan. Tak sedar airmata Papa mengalir kegembiraan. Begitu juga Mama.

Sejak itu, awak jadi teman Abang Syafiq dan penghibur kami. Putih gebu kulit serta keletah awak menjadi perhatian ramai hingga ada yang panggil awak "Snow White". Siapa sahaja akan mencubit hidung atau pipi chubby awak yang merah jambu itu.
Alhamdulillah...anugerah Tuhan.

Nama awak yang pendek, ringkas dan bermakna memang telah kami sediakan walaupun dalam keluarga hanya dipanggil Qaqaq. Kini mau dikenal dengan misspqa..Hmmm..

Kini setelah 20 tahun berlalu, awak masih 'putih sepuk' walau pun tanpa chubby. Sudah bergelar siswa dan akan menuruti jejak langkah papa dan mama menjadi pendidik.

Bila tamat pengajian nanti, jadilah pendidik Pendidikan Khas (PK) yang berjaya dan bergaya seperti kenalan awak. Mungkin boleh jadikan dia teman dan model pendidik PK.

Walau apa pun,
jadilah seorang insan yang berguna kepada semua.

SELAMAT HARI LAHIR
KE 20

We love you...misspqa
be the BEST in your own way

Papa ucapkan selamat untukmu di hari...
...ini dan terus keka L
sihat, gembira dan ceri A
dalam memburu segulung ijaza H
dan buktikan pada semua, terutama famili dan dir I
awak anak yang solehah yang tidak ingka R

Saturday, January 10, 2009

Besar dah anak dara aku....

Assalamualaikum / Good Day.....

Sekolah dah dibuka. Abang dah balik ke KL membuat internship di sebuah syarikat konsultan. Qaqaq pun harus balik ke kampusnya di Lembah Pantai. Lebih dari sebulan sama-sama menghabiskan cuti di Sawahlunto dan Anak Bukit.
Pengajiannya di IPBM akan diteruskan ke tahun pertama. Minggu depan dia akan mengikuti program orientasinya. Setelah meninggalkan Kolej Matrikulasi Pahang tahun lepas, Qaqaq nampak selesa menghadiri pengajian di sini. Apatah lagi Abang ada berdekatan di UniKL. Jika memerlukan bantuan, Abang akan sedia membantu.
Pengajian Qaqaq selama 5 tahun di sini tentu saja akan mematangkan beliau dalam segala tindakan. Aku berdoa agar Qaqaq tidak akan terpengaruh dengan segala macam gejala yang negatif di kotaraya metropolitan ini. Ingat pesan papa dan mama.
Aku berharap agar Qaqaq akan berjaya menjadi seorang pendidik yang tulen.
Moga dia akan meneruskan legasi papa dan mamanya.



Mama sentiasa memantau perjalanan hidup Qaqaq dengan pandangan mata ibu.

Tolehkah ke belakang sesekali untuk melihat akar diri melalui akal budi.

Beib berdoa agar Qaqaq terus mencari...
nilai kehidupan yang murn I
selama berada di K L
tetap keimanan dalam Isla M
ingat pesanan ayah dan ib U