Showing posts with label anak angkat. Show all posts
Showing posts with label anak angkat. Show all posts

Saturday, November 14, 2009

Pak walikota dari SawahLunto....


Assalamualaikum / Good Day.....

Berjabat tangan dengan Ir. H. Amran Nur, Bapak Walikota (Dato Bandaraya) Sawahlunto, Sumatera Barat, mengembalikan nostalgia pertemuan pertama dengannya pada tanggal 26 November 2008 di kantornya di Sawahlunto.

Selaku Ketua Pegawai Pengiring Program Pertukaran Pelajar Terengganu - Sumatera Barat, aku berpeluang berbual dan bertukar fikiran mengenai banyak hal terutamanya tentang kemajuan Kota Sawahlunto di waktu itu.

Pengalaman di Sawahlunto boleh dibaca di sini dan sini.

Sudah hampir setahun pertemuan yang bersejarah itu dan kini kami bersua lagi tetapi di Laman Budaya, Homestay Teluk Ketapang, KT.

Turut serta dalam rombongan ini ialah isteri Bapa Walikota Sawahlunto, Ketua DPRD Kota Sawahlunto Ali Yusuf dan Sdr. Dirwan Ahmad Darwis, Pengarah DSS Bridge Asia SB, sebuah syarikat konsultansi perhubungan antara bangsa.

Pertemuan singkat ini turut disertai oleh YB Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri.

Berbagai perkara menarik yang dibincangkan dalam kunjungan singkat sehari Bapak Walikota. Antara yang menarik perhatian ialah Majlis Makan Bajamba yang diadakan di Kota Sawahlunto pada setiap 1 Disember sempena menyambut Hari Ulangtahun penubuhan Kota Sawahlunto.
Aku coretkan pengalamanku di sini.

Idea untuk mengadakan majlis yang seperti ini mengujakan YB Ahmad Razif yang juga merupakan ADUN Seberang Takir.

Satu lokasi yang sesuai di Teluk Ketapang atau Seberang Takir turut dicadangkan. Dalam gurauan, majlis ini mungkin dinamakan Majlis Makan Bersila.

Bagi aku, ini merupakan satu gagasan yang baik untuk kemajuan pelancongan. Antara perkara yang perlu dikenal pasti ialah lokasi, tarikh, penglibatan, sumber kewangan, logistik dan tidak terkecuali komitmen serta kesungguhan pelaksanaan.

Faktor-faktor lain boleh dibincangkan secara terperinci jika idea ini ingin dijadikan kenyataan.

Aku berharap sangat agar ianya menjadi realiti. Banyak kesan positif , spin-off atau offshoot yang akan muncul dari majlis ini. Malahan, keunikan program ini akan menjadikan lokasi ini satu daya tarikan pelancong yang unik.

Teluk Ketapang tidak akan lagi seperti yang kita kenal dulu. Di masa ini pun pembangunan pesat sedang dijalankan. Satu projek integrasi, perumahan, kedai dan rekreasi sedang dilaksanakan. Ianya dijangka siap menjelang akhir tahun 2010. Aku juga punya visi di situ. Ini akan aku kongsi bersama kemudian.

Seorang teman pernah tinggal di kawasan Telaga Daeng, bersebelahan Kampung Teluk Ketapang, lebih kurang 20 tahun dahulu. Dia kini bertugas di utara semenanjung. Jika dia kembali ke sini, tentu saja akan terpegun dengan perubahan yang sedang berlaku. Pengalamannya berbasikal ke sekolah serta bermain di Pantai Teluk Ketapang (PTK) akan hanya menjadi sesuatu yang amat nostalgik.

Dengan kemajuan dan perubahan masa, aku yakin dia kini telah berjaya dan bergaya dalam hidup. Tidak lagi 'karat' seperti masa dulu. Masih ingat temanmu ini?.

Sesungguhnya, lawatan singkat Walikota Sawahlunto diharap dapat memberikan inspirasi untuk membangunkan daerah ini. Aku tumpang gembira dan aku yakin temanku juga.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Beib percaya ada orang yang masih ingatkan...

... kenangan yang telah lama di pera P
bermain, bergaul dengan teman-teman terdeka T
berbasikal, berkejaran, menyusup serta bermain masak-masa K

Saturday, October 31, 2009

I'm Russian, Always Happy

Makarov Sergey dan Krasnov Roman, tetamu dari Russia..

Assalamualaikum / Good Day.....


Aku menerima SMS dari teman pagi tadi yang meminta aku hadir ke majlis sambutan tetamu dari luar negara di balairaya Teluk Ketapang (BRTK). Aku difahamkan tetamu ini dari Russia. Aku tidak mengharapkan mereka bertandang ke rumahku kerana mereka tidak ramai, hanya 11 orang. Mungkin ahli Homestay yang lain diberi keutamaan.

Sesampainya aku di BRTK, aku dimaklumkan bahawa dua orang warganegara Russia ini akan diserahkan kepadaku sebagai tetamu selama 2 hari 1 malam.
Aku tergamam.
Dari Russia..? Hmmm....

Setahu aku mereka adalah ahli rombongan agensi pelancongan dari Moscow. Kedatangan mereka adalah untuk meninjau peluang mengadakan pakej pelancongan dengan Homestay Teluk Ketapang (HTK).

Sambutan meriah diberikan kepada mereka mengikut tradisi Melayu siap dengan silat pulut, bunga manggar, taburan bunga rampai dan gendang silat.Terpegun mereka melihat sambutan yang begitu hebat.

Leonid Isaev, selaku ketua rombongan begitu kagum dengan layanan dan resepsi yang diberikan. Dia menyatakan terharu melihat persembahan yang menarik meraikan kedatangan mereka ke sini.

Sudah seminggu mereka di Malaysia, melawat KL, Melaka, Pulau Pinang dan Langkawi. Sambutan di sini amat mengujakan, katanya.

'Anak angkat' dewasa dari Moscow

Selepas ucapan aluan diadakan majlis penyerahan ahli rombongan kepada keluarga angkat.

Aku menerima Mr. Krasnov Roman dan Mr. Makarov Sergey. Kedua-duanya dari Moscow. Walaupun penguasaan Bahasa Inggeris mereka agak terhad, kami cuba berhubungan dengan bahasa isyarat dan gesture. Aku yakin mereka memahami walau pun tidak sepenuhnya.

Selesai majlis, mereka dihidangkan dengan pelbagai kuih muih Melayu Terengganu serta pertunjukan kraf tradisi Terengganu. Demonstrasi lukisan batik lukis (canting), menyirat jala, melukis inai, permainan congkak, sepak raga bulat dan kraf lidi kelapa menarik perhatian mereka.

Acara kemuncak ialah upacara bersanding olok-olok yang sangat memikat ahli rombongan dari Russia ini. Apatah lagi apabila diberi peluang untuk merenjis air mawar serta dihadiahkan dengan bunga telur.

"Its nice, its beautiful", kata Ms Isaeva Svetlana, isteri Leonid yang juga General Manager sebuah syarikat pelancongan terbesar di Moscow.

Kelulusan dan persetujuan Leonid dan Isaeva akan memungkinkan HTK sebagai destinasi pelancongan bagi warga Russia ke sini.

Sambutan meriah rombongan dari negara terbesar di dunia

Kami warga HTK, berharap agar kunjungan wakil-wakil pelancongan Russia ini dapat membuka mata dan minda orang-orang Russia tentang keharmonian rakyat Malaysia amnya dan rakyat Terengganu khasnya.

Roti canai dan teh tarik hidangan untuk tetamu istimewa

Roman dan Sergey yang menjadi 'anak angkat' aku terpegun dengan kemajuan dan keindahan sekitar KT.

Walaupun penguasaan BI mereka agak terhad, mereka menyatakan bahawa taraf kehidupan di sini jauh lebih baik dari di Russia.

"Teacher here rich, teacher in Russia no money", kata Roman sambil thumbs up untuk rakyat Malaysia. Aku merasa terharu dan bangga dengan kenyataan iklas Roman. Dia memberikan komen itu setelah aku maklumkan bahawa ramai jiranku adalah guru. Dia tidak sangka rumah guru sehebat yang dilihatnya.

Aku nyatakan bahawa rumahku bukanlah hebat mana berbanding dengan rumah guru lain disekitar kawasan perumahanku. Dia tersenyum.

Di Russia, bukan sahaja guru malah pegawai kerajaan Russia yang lain tidak mampu memiliki kereta apatah lagi rumah yang sehebat yang dilihatnya di sini. Aku katakan kepada Roman dan Sergey bahawa semuanya blessings from God.

Aku harap mereka faham dan terima walaupun aku sendiri tidak tahu pegangan agama mereka.

Cenderamata dan tanaman pokok sebagai kenangan

Pengalaman selama 2 hari bersama warga Russia amat berharga walaupun komunikasi agak terhad.

Pertemuan dan perkenalan yang singkat dengan tetamu dari negara bekas USSR ini memberi banyak pengajaran kepadaku. Erti kehidupan menjadi lebih bermakna. Moga kita bertambah kesyukuran bila membandingkan kehidupan di negara kita dengan negara mereka.

Susah payah kehidupan di bawah pemerintahan Russian Federation tidak diperlihatkan oleh kedua tetamu aku ini. Mereka tetap kelihatan ceria dan puas. Itu yang aku nampak. Di dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu.

Namun sepatah kata Roman, " I always happy".

Beib harap akan dapat lagi tetamu dari....
...negara lua R
supaya dapat menambah pengetahuan dan ilm U
mengenai kehidupan pelbagai ra S
disamping berkongsi pengalaman mani S
merai tetamu di rumah sendir I
bersama dengan ahli keluarg A

*ada seseorang happy nak pergi berkursus...moga selamat...makin cekal...dan berjaya menjadi JL!

Thursday, June 18, 2009

Anak Angkat (AA) : Singapore dan Lao PDR

Lotchana (Lao PDR) dan Mei (Singapore)

Assalamualaikum/ Good day


Rupa-rupanya mengambil anak angkat (AA) mengujakan. Sesi berkomunikasi dan bersosial menambahkan ilmu mengenai pelbagai perkara. Tambahan pula anak-anak angkat yang diambil dari luar negara dan dari pelbagai latar belakang sosio budaya.
Lanjutan dari keterlibatan aku dengan program 2nd Malaysia ASEAN School Linkage,(sila rujuk sini) aku ditawarkan 2 orang AA.
Sehingga ke saat akhir aku tidak tahu siapa dan dari negara mana AA yang akan bersama famili aku selama 4 hari 3 malam.
Walaupun ditugaskan sebagai AJK Sekretariat, aku tidak diberi keistimewaan untuk memilih AA sebagaimana juga keluarga angkat yang lain.
Bagi aku, siapa sahaja yang menjadi AA akan aku terima dengan tangan terbuka.
Setelah berpengalaman menerima AA dari Indonesia dan Jepun serta pernah menjadi AA kepada keluarga di Sawahlunto, Sumatera Barat, aku menjadi semakin ghairah untuk berkongsi pengalaman dan kehidupan dengan AA dari pelbagai bangsa, adat, budaya serta agama.
Sepertimana yang telah aku nyatakan dalam entry ini meneladani apa yang disebut dalam AlQuran:

"Wahai Manusia, Kami ciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia diantaramu disisi Allah adalah yang paling takwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal".
Al Hujuraat: 13

Foto kombo di atas menceritakan bagaimana perhubungan kami sefamili bersama AA dari Singapore dan Lao PDR.
Cheah Mei Sing, 35, seorang pengajar balet dari faculty of dance SOTA, Singapore menjadi AA yang periang, cool dan berhemah.
Manakala Lotchana Anoulaek, 18, pelajar seni persembahan dari Vientiane, Lao PDR agak pemalu lantaran penguasaan BI nya yang agak terhad.
Kehadiran mereka selama 4 hari memberi impak yang positif dalam keluarga kami. Hormat menghormati serta bertolak ansur dalam pelbagai perkara menjadikan kehidupan lebih menarik.
Dalam kesibukan dengan urusan seharian, dapat juga diluangkan masa untuk meraikan mereka.
Urusan peribadi yang rutin tidak dikesampingkan.
Mereka telah disediakan dengan pelbagai program menarik anjuran Homestay Teluk Ketapang dari hari pertama mereka berada di sini.
Mei dan Lotchana merupakan dua insan yang terdidik dengan hemah dan pekerti yang baik.
Panggilan 'Papa' dan "Mama" bagi kami mendekat dan mengeratkan silaturahim.
Semua AA yang kami terima memanggil kami dengan panggilan tersebut.

Perpisahan adalah adat dunia

Kemesraan dan keakraban yang terjalin dalam masa yang singkat mampu juga menitiskan airmata di hari perpisahan.
Kami terasa kehilangan bila mereka terpaksa pulang kepangkuan keluarga masing-masing setelah 3 malam bersama kami.
Jaringan perhubungan dan 'kekeluargaan' merentas sempadan usia, bangsa dan agama.
Lao dan Singapore tidak akan menjadi asing jika kami ke sana nanti.
AA ini telah berjanji dan bersedia untuk menerima kami andainya kami bertandang ke negara mereka.
Maka, 'rumah kedua' kami terus bertambah selain dari Toyogawa, Jepun, Sawahlunto serta Bukittinggi di Sumatera Barat.
Paling menarik tentang menjadi hos AA ini ialah keprihatinan kita terhadap AA yang tinggal bersama kita. Makan minum, penginapan dan kebajikannya dijaga dengan baik.
Kegagalan memastikan keselamatannya akan membawa akibat yang tidak baik dari segi diplomatik.
Sebagai ibu bapa angkat kepada AA ini, kita mestilah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi memastikan keselesaan mereka.
Keupayaan kita mengenengahkan adat resam, budaya dan cara hidup Melayu Islam akan membuka mata dan minda AA.
Inilah masanya untuk membetulkan persepsi serong atau negatif terhadap Islam yang mungkin mereka kutip dari berita-berita yang mengelirukan.
Kitalah duta kecil yang boleh membantu serba sedikit.
Peranan itulah aku cuba mainkan.
Harapan...moga dapat memulihkan sedikit sebanyak.
Ini kisah seorang teman yang mendapat perkhabaran bahawa aku suka menjadi hos kepada AA. Dia menawarkan dirinya untuk dijadikan AA.
Katanya, "Pakcik, saya nak juga jadi AA Pakcik, boleh tak?"
"Saya jeles tengok AA Pakcik."
"Hehehehe...."
Jawapan aku....Boleh saja!
Buatlah permohonan melalui saluran yang sah..hehehe...
Aku tahu pasti dia akan gembira dan teruja bersama Pakcik ...

Beib memang suka menjadi hos kepada AA dari luar....
...negara atau tempata N
inikan pula dari Lao dan Singapor E
memberi banyak peluan G
berkenal, bermesr A
pelbagai budaya, adat resam dan lataR
menjadikan kita lebih peka tentang pelbagai negara dan bangs A