Saturday, June 4, 2011

Aku Ikhlas....


Assalamualaikum / Peace be upon you...

Mesej ini aku terima dalam inbox FB tidak berapa lama dahulu.
( Maaf, nama dan panggilan diedit atas dasar kemaslahatan)

As Salam..
Tadi dalam perhimpunan, GB ingatkan cikgu2 psl Minit Curai.
Mulai hari ini, cikgu2 diwajibkan membuat Minit Curai tiap kali kembali berkursus. Ayatnya..
"...hanya seorang saja guru disekolah ini yang mebuat Minit Curai tiap kali kembali berkursus...iaitu Cikgu Z... samada beliau pergi mesyuarat Data atau Ko..kembali sja.. akan sampai pd sy satu, simpanan sekolah satu.
Cikgu2 yg tak tahu camna nak buat, boleh amik contoh dari sy atau Cikgu Z..datang bertanya bgmana nak buat...."

Jutaan terima kasih utk cg..
sememangnya satu ilmu yg sgt berguna utk sy.
tkasih..

Responsku ...

TAHNIAH!
Nama disebut dlm perhimpunan satu penghormatan.
Moga akan terus disebut kerana kecemerlangan serta komitmen dalam segala usaha dan tugas. Tumpuan tak terjejas kerana tiada gangguan serta berfokus kini. Alhamdulillah.
Usaha dan contoh yg baik untuk warga SKA. Teruskanlah. Didoakan agar mendapat APC pulak tahun ini dengan komitmen yg tinggi itu.
Tak perlu berterima kasih pd sy. Sy tak buat apa-apa, sy hanya panjangkan contoh shj. Yg menyiap dan menyerahkannya ialah cg.
"The milage is yours, congrats"
Berkongsilah dengan sesiapa yg difikirkan perlu.
Moga kebahagiaan dan ketrujaan terserlah dgn perkongsian itu.
Sikap positif yang sedia ada dimantapkan.
Manfaatkanlah..
terima kasih atas makluman.
iklas,
 
Habib Rejab
March 28

Teruja rasanya menerima mesej dari seorang yang amat dikenali. Terasa kepuasan serta nikmat dapat membantu dan berkongsi ilmu. 
Moga terus dimanfaatkan.
Andaikata aku pergi dahulu atau tiada lagi di dunia ini dan ditakdirkan dia panjang umur, aku berharap agar dia akan sentiasa  ingat bahawa ilmu yang dikongsi dan dimanfaatkan itu akan membantu 'menjaga'ku di sana nanti.
Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud:  
 
"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan ada tiga perkara (yang tidak terputus); iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan ibu bapanya". (Hadis riwayat Muslim).
 
"Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lainnya." (Ungkapan hikmah Nabi Muhammad SAW riwayat Bukhari dan Muslim).


Beib berharap agar diberkati ALLAH melalui perkongsian...
...sedikit ilmu yang dikurnia ILLAH I
  moga terus diama L
dan tidak dipenda M
 demi kemaslahatan teman-teman gur U
 * air dicincang tak akan putus...

Monday, March 21, 2011

Ulang Tahun Kelahiran: Hanya ulang tayang dengan angka berbeza...

 tiada sambutan istimewa meraikan...
tiada lilin..tiada bunga..tiada hadiah beriben...tiada kek..
yang ada hanya sekeping hati yang berbaur..

Assalamualaikum / Peace be upon you...

Ia datang lagi. Saban tahun. Diingati, diperingati. Disambut, dirai, merai.
Sering kali, ramai yang akan meuar-uarkan tentang kehebatan serta kemeriahan sambutan ulang tahun hari lahir mereka, mengenai kek, hadiah, bunga, ucapan, keraian dan berbagai.
Bagi aku, ia telah menjadi rutin setiap tahun sampai tahap klise.
Kalau aku masukkan entry pun mungkin hampir sama dengan tahun-tahun lepas.
Tiada apa yang nak dihebohkecohkan lagi. Maklumlah bilangan tahun makin meningkat.
Sudah lebih dari setengah abad.
Malah ucapan yang aku terima kali ini ada yang melangkau tahun, melebihi umurku yang sebenarnya hari ini. Walau apa pun, terima kasih atas ingatan dan keperihatinan terhadap tarikh. Sangat-sangat hargai.
Ada baiknya juga angka yang dicatatkan terlajak setahun sebab tahun hadapan belum tentu dapat meraikannya atau berkesempatan diucapkan selamat. Mungkin talqin mengiringi kita.
Dikesempatan ini, cukuplah dengan tulisan yang ringkas sebagai catatan entry sempena tarikh keramat mengingatkan betapa payahnya Mak melahirkan diri ini.
Menceritakan mengenai sambutan dan keraian dengan penuh elaborasi kadang-kadang membuatkan kita dipandang 'mengada-ada', 'syok sendiri' apatah lagi diusia sebegini. Cukuplah sebagai catatan peribadi diabadikan dalam blog sebagai diari maya.
Lantaran itu, yang paling penting dan bermakna bagiku ialah kesedaran tentang peningkatan usia.
Perasaan dan emosi waktu ini walaupun hanya sedetik akan terpatri dan tersemat dalam kalbu hingga akhir hayat.
Sebagaimana yang aku pernah ungkapkan dalam entry dulu.

Perjalanan hidup ini umpama melalui lebuhraya yang berbagai kondisi.
Penuh dengan kenangan.
Kaya dengan ekspresi.
Padat dengan emosi.
Sendat dengan nostalgia.
Aku mau mengingatinya hingga akhir hayat nanti.


Terima kasih Mak kerana melahirkan.
Syukur..Alhamdulillah..Ya ALLAH...kerana panjangkan usia hingga saat ini.

Beib terima hakikat sudah ber...
...umur dan semakin singkat wakt U
moga ALLAH berikan yang terbagu S
dirahmati dan diredha I
hingga sampai ke san A
*segalanya makin berlalu pergi...keprihatinan serta keutamaan sudah lusuh...
hingga angka sudah dan mudah dilupa kerana emosi yang membara.
Khilaf itu dimaafkan setulus hati...tiada dendam dihati...aku ingin pergi dengan redha ILLAHI..

Friday, March 4, 2011

Lamaran Hati: Teruja Menanti

 Dyza tinggalkan  impak dalam genre  penulisan
Assalamualaikum / Peace be upon you...
Aku sebenarnya tidak pernah menduga dan menjangka bahawa di tempat aku bertugas ada nama tersohor dalam bidang yang diceburinya. Rupa-rupanya the art of communication itu penting dalam mendapatkan maklumat serta respons.
Perkenalan singkat selanjutnya menjalinkan rasa percaya dan yakin. Perbualan meningkatkan tahap komunikasi. Luahan rasa hati bagai air mengalir. Jernih dan lawas.
Pertama kali mendengar namanya disebut, aku merasakan seolah-olah berada dalam dunia sastera yang pernah aku lewati  di tahun-tahun 80'an dulu. Nama pena bagi kelompok penulis telah menjadi sinonim kini. Semua akan menggunakan nama yang muluk-muluk, indah dan berbunga sebagaimana watak-watak dalam tulisan mereka.
Terdetik di hati untuk bertanya khabar, bila terlihat sebuah novel yang terselit di antara ratusan di sebuah gedung buku di Singapura di akhir Disember lalu.
Nama penulisnya bagai biasa didengar.
Terlintas nama itu disebut dan dipanggil di tempat aku bertugas. Unik dan menarik. Adakah aku tersalah dengar atau nama itu bunyinya seakan-akan?
Dengan sekeping gambar kulit novel yang aku rakamkan melalui kamera telefon bimbit, aku beranikan diri untuk bersua dengan insan yang berkenaan.
"Cg Zainun ni Dyza Ainun ke?" sambil tanganku menghulurkan gambar yang tertera di skrin telefon bimbitku.
Orang yang disoal hanya memandang gambar kulit novel sambil tersenyum simpul.
"Betul ke cg. Zainun...Dyza Ainun?" tanyaku lagi untuk kepastian.
Masih tersenyum seakan sinis.
Aku terdiam, sambil memandang tepat ke matanya.
"Alaaa...cg. Habib tak tahu ke?" sampuk teman setugas yang duduk selang dua buah meja dari kami.
"Ni lah Dyza Ainun, penulis novel yang tersohor di sekolah kita ni" tambahnya lagi.
Aku terpegun.
Rupa-rupanya yang duduk di kerusi didepan mejaku ialah seorang penulis yang telah menghasilkan beberapa buah novel genre romance.
Dia kemudiannya mengangguk dan terus melirikkan senyuman.
"Isyh...tak sohor mana laa..," responsnya ringkas, berdialek Kelantan
Aku semakin pasti dia ialah orangnya yang menulis novel Lamaran Hati.
Sejak dari itu, kami berkawan baik sehingga banyak perkara yang selama ini tersimpan disudut hatiku terluah dan dalam pengetahuannya.
Dia menjadi pendengar dan pengulas yang setia.
Aku jadi sangat yakin dan percaya padanya. Setiap hari, ada sahaja seloroh guraunya yang ditujukan padaku. Segalanya mengeratkan silaturahim.
Paling meriangkan ialah apabila dia memaklumkan bahawa coretan peristiwa yang aku alami dan lalui akan dijadikan bahan untuk novelnya yang akan datang.
Aku sangat-sangat teruja.
Rentetan pengalaman yang aku harungi telah aku luahkan kepadanya. Walaupun secara sepintas lalu dan tidak terperinci, sebagai seorang novelis, dia amat menghayati. Aku pula sangat menghargai.
Aku ada memaklumkan kepada seorang kenalan bahawa ada seorang penulis yang sangat berminat untuk mendokumentasikan perjalanan kisah hidup ini melalui novelnya dan temanku ini sangat-sangat teruja. Baginya, ini adalah satu penghargaan yang amat hebat dan dokumentasi yang akan kekal sebagai kenangan hingga ke akhir hayat.
Dyza berjanji akan melunaskan niatnya sesudah novel yang sedang dihasilkan kini siap. Paling lewat sebelum penghujung tahun 2011.
Aku tidak sabar untuk menunggu draf pertama beliau dikarang dan dibaca. Pastinya, aku yakin dia akan abadikan segala rentetan itu dengan penuh makna dan rasa.
Pagi tadi, Dyza datang ke mejaku. Raut wajahnya bagai sekuntum bunga layu.
"Cg. Habib....saya kena tukar sekolah," suara sayu seolah meraih simpati terpancul dari mulut Dyza.
" Haaah!...betul ke ni?" aku tergamam, sedih berbau kecewa.
" Yaa...kena tukar ke SKTJ," nada suaranya sebak.
Kami berbincang panjang mengenai pertukarannya. Keperluan perkhidmatan tidak dapat dielakkan.
Segalanya bagai luruh dan menyedihkan. Dia terharu dan sebak, begitu juga aku.
"Dah tu macamana dengan projek novel kita?" soalku dalam sebak.
"Beginilah Cg. Habib....cg. tulis sendirilah cerita yang kita janji nak buat novel tu berdasarkan pengalaman diri sendiri. Itu lebih baik...realistik dan original."
Aku terkedu. Aku sebenarnya belum pernah menulis cerpen, drama atau novel.
Namun, Dyza dengan penuh yakin memberi semangat dan dorongan kepadaku supaya menulis sendiri.
Dia sanggup membantuku dalam proses berkarya.
Selama sejam kami berbincang tentang plot, tema, tajuk dan isi cerita di biliknya.
Tips serta panduan asas penulisan diajar dan ditunjukkan kepadaku .
Keyakinanku makin kuat dan mantap.
Dia yakin aku akan berjaya menuruti jejaknya sebagai novelis.
Diriku masih tertanya-tanya, adakah aku akan berupaya menghasilkan satu dokumentasi sastera yang akan dibaca dan ditelaah oleh semua golongan masyarakat di negara ini?
Dyza sangat yakin aku mampu....!
Aku masih ragu-ragu.
Selesai solat hajat dan bacaan surah Al Qalam, aku akan memulakan penerokaan kreatifku dalam bidang penulisaan.
Insya ALLAH...berkat doa dan keazaman, aku akan abadikan segala kisah dan impianku dalam satu bentuk dokumentasi yang agung.
Aku sendiri yang teruja menanti hasilnya dan segalanya aku dedikasikan demi kasih dan sayang.
Mampukah aku...?
Maaf jika aku gagal. Namun aku tahu aku telah mencuba.
Bak kata cerdik pandai : I have failed is much better than I am a failure.

Beib tidak pernah terfikir akan menjadi...
...seorang yang akan menggara P
satu karya dalam genr E
penulisa N
 buk U
dan nove L
berdasarkan pengalaman peribad I
yang akan kekal abadi hingga ke akhir nafa S
*....moga ini bukan sahaja impian indah tetapi tinggalan abadi dan dihargai sepanjang hayat...

Friday, February 18, 2011

Pendidik: Penghargaan Sekian Lama...


Assalamualaikum / Peace be upon you...
Petikan berita dari Sinar Harian tanggal 15 Feb 2011.
Lebih 800 guru di Terengganu terima e- book
KUALA TERENGGANU - Lebih 800 guru di negeri ini menerima e-book sebagai alat bantu mengajar secara percuma daripada kerajaan negeri.

Pemberian e-Book itu merupakan pertama kali diagihkan kepada guru khususnya mereka yang terbabit dalam pasukan Angkatan Kerja Rajin Dan Mulia (AKRAM), bidang penyelidikan dan e-pantau di negeri ini.

Menteri Besar Datuk, Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis penyerahan e-Book itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal dekat sini semalam berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM2 juta bagi membekalkan e-Book kepada guru berkenaan.

"Kerajaan amat berterima kasih kerana dengan usaha guru-guru ini (AKRAM), Terengganu berjaya mengekalkan tempat teratas selama 10 tahun dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan dua tahun dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri akan menghantar seramai 50 guru besar dan 30 pengetua ke luar negara pertengahan tahun ini dalam program lawatan sambil belajar bagi menghargai usaha mereka meningkatkan prestasi sekolah masing-masing dalam UPSR dan PMR tahun lalu. - Bernama


Nah! inilah salah satu penghargaan yang aku terima selama berkhidmat dan membantu dalam penyediaan bahan ujian serta peperiksaan di peringkat negeri Terengganu. Sebuah komputer riba atau laptop berukuran 14inci pemasangan tempatan sebagai 'a token of appreciation'
Sesetengah orang mengatakan bahawa ini adalah ' a long overdue appreciation'.
Aku menganggapnya sebagai satu penghargaan yang setimpal bagi mereka, termasuk aku, yang bertungkus lumus memerah idea dan keringat dalam mempastikan kejayaan melestarikan pendidikan di peringkat negeri.
Sumbangan aku hanya sekelumit sahaja bermula dengan penglibatan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat SPM dan kemudian mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) di peringkat SPM dan STPM.
Banyak masa dan tenaga digunakan untuk berbincang, berbengkel serta bermesyuarah dalam menghasilkan bahan ujian/peperiksaan yang standard serta menepati Jadual Spesifikasi Ujian (JSU).
Kami, Guru AKRAM, sedia maklum bahawa bahan-bahan ujian kami sentiasa mendapat tempat di kalangan pendidik di negeri lain kerana ianya menepati kesahan dan kebolehpercayaan ujian.
Inilah satu-satu keistimewaan bahan yang dihasilkan oleh guru-guru AKRAM. Antara plus factor ialah semangat camaraderie yang terjalin semasa bertugas yang membantu penghasilan bahan yang bermutu.
Tetapi dalam keterujaan menerima hadiah atau sumbangan itu, aku turut rasa terkilan kerana ada dua orang sahabat yang sama-sama bertungkus lumus 'terlepas' dari menikmati anugerah ini.
Tidak siapa pun dari kalangan Guru AKRAM, terutamanya dari kelompok PSV, yang akan mempertikaikan sumbangan mereka selama ini. Komitmen dan khidmat bakti mereka sukar ditandingi. Malah aku berani katakan bahawa ada di antara yang menganggotai kelompok PSV ini bagai 'jauh panggang dari api' dari segi kemahiran, kepakaran dan keterlibatan.
Mark my word, ada yang aku klasifikasikan sebagai passengger, menjadi liabiliti pada kelompok PSV. Maaf, aku mungkin celupar, tetapi I will not apologise for that matter.
Terusik hati bila mereka seolah terpinggir. Kalau dijumlahkan dari segi tahun pengalaman, mereka sudah terlibat hampir 40 tahun. Bermula dari peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.
Mungkin mereka boleh ditaarifkan sebagai 'terlepas kapal' kerana memilih untuk tidak bersara pada usia 58 tetapi pada umur 55. Seorang bersara pada akhir bulan November 2010 dan seorang lagi di awal Januari 2011.
Kalau tidak kerana selisih hanya beberapa hari, sudah tentu mereka akan sama-sama merasa puas dan menikmati habuan berbaloi dari sumbangan iklas dan murni mereka.
Aku mendoakan agar mereka mendapat yang lebih bermakna dari Allah SWT. Kalau tiada sesiapa yang menghargai dan menyanjung sumbangan mereka, biarlah aku yang melakukannya. Syabas dan tahniah!

 
 Bersama Hj. Mohd Zukifli (Zolphin) dan Hj.Suib Senin, sahabat AKRAM PSV

Amat bertuah kerana ada di antara kita mendapat kepuasan diri bila dihargai. Malah sesiapa juga akan merasakan begitu. Segalanya terpampang dan diuar-uarkan dengan meriah. Menjadi bahan bualan dan tatapan kenalan dan teman. Puas dan teruja.
Walaupun dua orang sahabatku ini yang sentiasa rendah diri serta tidak memerlu dan mendapat publisiti, namun aku tahu mereka akan tetap dikenang sebagai penyumbang aktif dalam kelompok kami.
Aku sangat yakin yang tertanam dijiwa mereka juga sebagaimana yang aku terapkan dalam jiwa dan mindaku, akronim AKRAM itu sendiri - Angkatan Kerja Rajin dan Mulia.
Semoga Allah merahmati mereka diwaktu bersara mereka ini.
Syukur dan Terima Kasih kerana segala khidmat dan kerjabuat aku, yang tidak pun sebesar hama, diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri Terengganu dan JPNT.
Hadiah laptop ini sangat bermakna.
Laptop yang selama ini menghidup serta menceriakan seharianku.
Moga ia akan menjadi satu katalis untuk aku berbakti sebaik mungkin pada anak bangsa. Walaupun sumber inspirasi yang 'galak' dan bersemangat dari laptop seolah pudar dan hambar, aku yakin laptop ini tetap akan menjadi sahabat yang paling akrab sampai bila-bila.
Mungkin suatu hari nanti skrin laptop ini akan kembali berseri dengan bunga-bunga inspirasi. 
Akan ku nanti hingga ke hujung nyawa.


Beib akan terus berbakti dan menghayati semangat...
 ...murni dan muli A
sebagai seorang pendidi K
yang tugasnya juga mengaja R
menulis...mengira...membac A
sehingga anak-anak didik tahu dan faha M

* teringat kata-kata kenalan "kalau budak2 ini boleh melakukan suatu perubahan dalam masa 3 bulan, itu merupakan kejayaan yang sangat besar dan hebat"

Tuesday, February 15, 2011

Pendidik Sangat Luhur: Aku Bangga!

 puas... dapat memahamkan konsep Seni kepada murid seawal usia 10
Assalamualaikum / Peace be upon you...
"Bila turun ke Sekolah Rendah (SR)?"
"Jadi Guru Besar SR?"
" Seronok dok SR..?"
Inilah antara soalan yang aku hadapi bila ramai orang mendapat tahu bahawa aku telah ditempatkan di sekolah rendah (SR).
Pelbagai reaksi, pandangan serta tanggapan yang aku terima. Segalanya kuserapkan secara positif. Tidak ada apa yang hendak dimalukan.
Ada ketika soalan yang di kemukakan seolah-olah mengherdik, sinis dan merendahkan. Macamlah SR ni lekeh dan leceh.
Ada yang bernada terkejut serta hairan dan aku tahu ianya iklas kerana ramai kenalanku selama ini tahu aku betugas lebih dari 30 tahun di sekolah menangah (SM). Aku pernah menjadi pensyarah di sebuah Maktab Perguruan atau kini dikenali sebagai IPG selain dari menjadi tutor kepada mahasiswa di sebuah IPT sejak 1990 hingga saat ini.
Sebenarnya sifat inkuiri atau inquisitive ini lumrah dalam kehidupan kita seharian. Aku terima sebagai sesuatu yang positif dan mematangkan aku.
Namun, aku agak terkilan apabila perkataan 'turun ke SR' digunakan.
Apakah jika kita berada di SR bererti jatuh darjat?
Hilang pangkat?
Tidak glamour?
Tidak setaraf dengan mereka yang mengajar di SM, IPG atau di IPT?
Ada ketikanya aku membidas pertanyaan sinis ini dengan membetulkan ayat soalan.
" Bukan saya diturunkan ke SR tapi saya ditempatkan di SR"
"Kalau tidak ada SR, takkan ada SM dan IPG malah IPT sendiri.." Itulah yang sering aku tegaskan.
Teringat seseorang yang mengajar di SR selama lebih sepuluh tahun dan bergelumang dengan kanak-kanak istimewa dalam kelas Pendidikan Khas (PK).
Ramai yang memandang remeh dan menganggap dia berada dalam kelas atau kelompok guru yang tidak setaraf dengan guru yang mengajar di arus perdana.
Bagiku, orang yang berfikiran serong dan kolot begini yang sebenarnya tidak ada 'kelas', jumud dan dhaif.
Tahukah mereka, boleh dikatakan semua guru yang terlatih boleh mengajar di kelas arus perdana, sedangkan untuk mengajar di kelas PK memerlukan kepakaran khusus yang ramai dari kalangan guru arus perdana tidak memilikinya.
Kelebihan dan kepakaran ini cuma ada pada segelintir guru yang terpilih, iaitu guru PK.
Inilah yang sering aku peringatkan kepada anak keduaku yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PK.
"You should be proud of yourself....you are the selected one!"
Begitu juga dengan aku.
Ditempatkan di SR setelah lebih setengah abad mendidik pelajar di SM terutamanya di Tingkatan 4 dan 5, membuka lembaran baru dalam mendidik anak bangsa.
Pengalaman terbaru selama  5 bulan ini berada di SR dan mendidik murid tahun 4, 5 dan 6 lebih mematangkan aku.
Sehingga saat ini, aku masih dalam zon teruja dalam mencurahkan ilmu kepada anak didik di SR. Aku bangga dengan kelebihan yang ada padaku.
Maksudku, bukan semua orang berpeluang mendalami dan mempraktikkan kurikulum SR, SM selain dari di IPT. Aku bersyukur kerana aku diberi peluang itu.
Biarlah mereka yang skeptik bertanggapan herot. Mereka sebenarnya adalah golongan yang kurang  intelektual dan profesional. Membuat tanggapan tidak berdasarkan sifat keilmuan.
Aku, sehingga kini amat berbangga dan terus bersemangat untuk mendidik  anak bangsa yang aku tahu amat dahagakan ilmu.
Aku amat tahu kedudukan dan fungsiku selaras dengan gelaran yang aku terima dari KPM. Malah aku berbangga kerana aku adalah salah seorang dari berpuluh ribu di kalangan pendidik dalam negara yang terpilih untuk tugasan ini. Syukur kepada Illahi kerana anugerah ini.
Inilah yang memacu aku untuk terus berbakti kepada anak didik.
Biarlah Luncai terjun dengan labu-labunya.
Buat teman dan rakan yang mengajar di mana-mana jua dan di peringkat apa pun, anggaplah tugas mendidik ini sesuatu yang sangat mulia.
Bak kata pendita, "Teaching is a noble profession"
Begitu juga buat anda yang mengajar di kelas PK. Anda sangat tinggi darjatnya.
Kita mesti berbangga menjadi pendidik.
Ini tersemat kuat dalam diriku dan aku abadikan di tie clip ku.

Beib tidak pernah menyesal menjadi seorang...
...pendidik apatah lagi bila digelar Cemerlan G
dalam usaha mencurahkan ilm U
kepada anak didik dan juga pelaja R
moga diamalkan sepanjang hidupm U
*...aku berbangga dan sangat teruja kerana kita sebenarnya sangat berharga...

Wednesday, February 9, 2011

Pusat Seni: Lentur Sikap Perilaku

 Kanak-kanak dan hasil seni. Mereka sangat kreatif.

Assalamualaikum / Peace be upon you.....

Dalam menahan perasaan yang berbaur dan mengisi masa yang terluang jauh dari rutin biasa, aku ber blog walking (browsing). Aku terjumpa satu laman sesawang atau website yang menarik berkaitan dengan sebuah pusat seni di luar negara.
Pusat ini menarik bukan sahaja kerana ia berkaitan dengan seni tetapi apa yang dihasratkan dalam misinya.
Aku jadi sangat teruja. Perasaan ku membuak-buak. Teringin dan berminat rasanya untuk menubuhkan sebuah pusat pendidikan seni dalam pelbagai disiplin untuk kanak-kanak dan remaja.
Terbayang matlamat utama pusat seni ini untuk kanak-kanak dan remaja daripada kumpulan berpendapatan rendah di kawasan berisiko tinggi.
Penubuhan pusat seperti ini boleh mewujudkan persekitaran yang selamat untuk mereka selepas waktu sekolah. Sekurang-kurangnya ada premis untuk mereka mengembangkan bakat dan kebolehan dalam pelbagai bidang seni. Selaras dengan itu, sikap dan perilaku mereka dapat dibentuk dan dimantapkan.
Pusat seperti ini mampu mengurangkan masalah sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja yang sering ditinggalkan oleh ibu bapa yang bekerja.
Sitar Arts Center,(SAC) di Washington adalah satu contoh yang baik. Sesuatu dari SAC perlu diambil sebagai model dan dijadikan landasan untuk memajukan seni di tanah air.
Kalaulah aku punya akses untuk membincangkan perkara itu dengan kerajaan atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai kaedah pelaksanaan pusat berkenaan, alangkah baiknya.
Untuk setakat ini, realiti mungkin agak lambat tetapi tidak mustahil.
Seperti hal-hal yang lain, its good to dream seperti kata  Oscar Hammerstein, If you don't have a dream, how are you going to make a dream come true?

Beib akan terus ber...
usaha untuk mencapai apa yang diida M
terutamanya yang berkaitan dengan sen I
juga yang melibatkan perasaan yang mendala M 
sambil berdoa dan menghara P
suatu hari nanti akan menjadi realit I

* its not wrong to dream and hope...

Tuesday, February 8, 2011

Haiku: Azab...

sumber: AC - hanya hiasan

Assalamualaikum / Good Day.....


"...sekelip mata,
cemburu menyelinap,
musnah impian..."



Beib mula menggemari...
... bait-bait inda H
curahan ras A
dari dalam hat I
yang mendesa K
dan terbuk U
* saat dinyahpergi...lillahitaala...reladanredha...

Lestarikan Blog...

Assalamualaikum / Peace be upon you... 

Sudah agak lama laman blog ini tidak diaktifkan.
Kekangan masa dan tumpuan yang terarah ke subject matter yang lain, melumpuhkan laman blog. Komitmen yang selama ini padu menjadi kendur dan tak bermakna. Tapi sampai bila ia harus begini?
Aku bangunkan blog bukan kerana dipengaruhi oleh sesuatu atau seseorang, jadi kenapa harus sesuatu dan seseorang itu menjadi penghalang atau penyebab blog ini dormant?
Ini catatan mengenai perjalanan hidupku, sedih, riang, suka,  ceria, bangga, teruja dan segala emosi yang tersembul dalam diriku. Inilah satu-satunya avenue untuk aku luahkan rasahati sebagai dokumentasi hidup.
Facebook atau FB, satu laman sosial yang hebat dan popular, juga tidak mampu menyimpan dokumentasi sepadat dan semantap begini.
Segala catatan dalam FB adalah rentetan harian yang akan tenggelam bila dimasukkan status baru dan sukar untuk di korek semula. Ianya bagai aliran air yang mengalir terus tanpa henti.
Di saat-saat yang sukar ini, curahan rasa hati dan emosi perlu diluahkan. Ada kalanya kita punya soul mate untuk berkongsi segalanya dan di waktu yang lain catatan di diari adalah tempat pelepas rasa.
Jika kedua-duanya tiada, bloglah satu-satunya yang terbaik.
Aku perlu gagah hadapi situasi ini.
Aku tidak mahu jadi pelara.
Life has to go on...

Beib terasa lebih yakin untuk ber...
...karya dan tidak mahu isu lain jadi penyeba B
hingga catatan perjalanan hidup sendiri jadi tertingga L
akibat dari mengikut emosi dan temp O
yang adakalanya kosong dan terbuan G
*...segalanya bagai angin lalu...