Thursday, June 18, 2009

Anak Angkat (AA) : Singapore dan Lao PDR

Lotchana (Lao PDR) dan Mei (Singapore)

Assalamualaikum/ Good day


Rupa-rupanya mengambil anak angkat (AA) mengujakan. Sesi berkomunikasi dan bersosial menambahkan ilmu mengenai pelbagai perkara. Tambahan pula anak-anak angkat yang diambil dari luar negara dan dari pelbagai latar belakang sosio budaya.
Lanjutan dari keterlibatan aku dengan program 2nd Malaysia ASEAN School Linkage,(sila rujuk sini) aku ditawarkan 2 orang AA.
Sehingga ke saat akhir aku tidak tahu siapa dan dari negara mana AA yang akan bersama famili aku selama 4 hari 3 malam.
Walaupun ditugaskan sebagai AJK Sekretariat, aku tidak diberi keistimewaan untuk memilih AA sebagaimana juga keluarga angkat yang lain.
Bagi aku, siapa sahaja yang menjadi AA akan aku terima dengan tangan terbuka.
Setelah berpengalaman menerima AA dari Indonesia dan Jepun serta pernah menjadi AA kepada keluarga di Sawahlunto, Sumatera Barat, aku menjadi semakin ghairah untuk berkongsi pengalaman dan kehidupan dengan AA dari pelbagai bangsa, adat, budaya serta agama.
Sepertimana yang telah aku nyatakan dalam entry ini meneladani apa yang disebut dalam AlQuran:

"Wahai Manusia, Kami ciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia diantaramu disisi Allah adalah yang paling takwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal".
Al Hujuraat: 13

Foto kombo di atas menceritakan bagaimana perhubungan kami sefamili bersama AA dari Singapore dan Lao PDR.
Cheah Mei Sing, 35, seorang pengajar balet dari faculty of dance SOTA, Singapore menjadi AA yang periang, cool dan berhemah.
Manakala Lotchana Anoulaek, 18, pelajar seni persembahan dari Vientiane, Lao PDR agak pemalu lantaran penguasaan BI nya yang agak terhad.
Kehadiran mereka selama 4 hari memberi impak yang positif dalam keluarga kami. Hormat menghormati serta bertolak ansur dalam pelbagai perkara menjadikan kehidupan lebih menarik.
Dalam kesibukan dengan urusan seharian, dapat juga diluangkan masa untuk meraikan mereka.
Urusan peribadi yang rutin tidak dikesampingkan.
Mereka telah disediakan dengan pelbagai program menarik anjuran Homestay Teluk Ketapang dari hari pertama mereka berada di sini.
Mei dan Lotchana merupakan dua insan yang terdidik dengan hemah dan pekerti yang baik.
Panggilan 'Papa' dan "Mama" bagi kami mendekat dan mengeratkan silaturahim.
Semua AA yang kami terima memanggil kami dengan panggilan tersebut.

Perpisahan adalah adat dunia

Kemesraan dan keakraban yang terjalin dalam masa yang singkat mampu juga menitiskan airmata di hari perpisahan.
Kami terasa kehilangan bila mereka terpaksa pulang kepangkuan keluarga masing-masing setelah 3 malam bersama kami.
Jaringan perhubungan dan 'kekeluargaan' merentas sempadan usia, bangsa dan agama.
Lao dan Singapore tidak akan menjadi asing jika kami ke sana nanti.
AA ini telah berjanji dan bersedia untuk menerima kami andainya kami bertandang ke negara mereka.
Maka, 'rumah kedua' kami terus bertambah selain dari Toyogawa, Jepun, Sawahlunto serta Bukittinggi di Sumatera Barat.
Paling menarik tentang menjadi hos AA ini ialah keprihatinan kita terhadap AA yang tinggal bersama kita. Makan minum, penginapan dan kebajikannya dijaga dengan baik.
Kegagalan memastikan keselamatannya akan membawa akibat yang tidak baik dari segi diplomatik.
Sebagai ibu bapa angkat kepada AA ini, kita mestilah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi memastikan keselesaan mereka.
Keupayaan kita mengenengahkan adat resam, budaya dan cara hidup Melayu Islam akan membuka mata dan minda AA.
Inilah masanya untuk membetulkan persepsi serong atau negatif terhadap Islam yang mungkin mereka kutip dari berita-berita yang mengelirukan.
Kitalah duta kecil yang boleh membantu serba sedikit.
Peranan itulah aku cuba mainkan.
Harapan...moga dapat memulihkan sedikit sebanyak.
Ini kisah seorang teman yang mendapat perkhabaran bahawa aku suka menjadi hos kepada AA. Dia menawarkan dirinya untuk dijadikan AA.
Katanya, "Pakcik, saya nak juga jadi AA Pakcik, boleh tak?"
"Saya jeles tengok AA Pakcik."
"Hehehehe...."
Jawapan aku....Boleh saja!
Buatlah permohonan melalui saluran yang sah..hehehe...
Aku tahu pasti dia akan gembira dan teruja bersama Pakcik ...

Beib memang suka menjadi hos kepada AA dari luar....
...negara atau tempata N
inikan pula dari Lao dan Singapor E
memberi banyak peluan G
berkenal, bermesr A
pelbagai budaya, adat resam dan lataR
menjadikan kita lebih peka tentang pelbagai negara dan bangs A

Sunday, June 14, 2009

Choralsical dan CCEM: Pengantarabangsaan

Assalamualaikum / Good Day.....

Tak habis- habis lagi mengenai choralsical (CS).
Kali ini persembahan kami sempena 17th Conference of Commonwealth Education Ministers (CCEM) di K L Convention Center (KLCC) dari 15-19 Jun 2009. Baca di sini.
Kumpulan kami dijemput ke KL dari 11 - 16 Jun 2009 untuk persembahan di Majlis Welcome Tea Reception Teachers Forum pada 14 Jun di KLCC.


Pelawaan untuk mempersembahkan CS datangnya dari Tan Sri Zulkurnain Awang, KSU Kementerian Pelajaran Malaysia, setelah beliau menyaksikan persembahan kami yang menarik minatnya pada Hari Guru Peringkat Kebangsaan di KT. Baca di sini.
Satu penghargaan buat kumpulan CS dari Terengganu.
Peluang yang tidak wajar dilepaskan.
Setelah surat jemputan diterima, hanya dua orang jurulatih iatu Moke Mee Yoke dan aku, yang dapat bersama dengan ahli kumpulan CS ke KL.
Jurulatih lain tidak dapat ikut serta kerana ada komitmen yang pelbagai.
Aku turut dilantik sebagai Ketua Kontigen CS.
Tugas yang agak berat dan mencabar.
To say NO is not nice, terutamanya yang melibatkan tanggungjawab peringkat nasional dan antarabangsa. Selagi terdaya dan mampu, aku akan jalankan dengan sebaik mungkin.
Lagipun, sokongan dan dorongan teman-teman CS membuatkan aku bertambah yakin dengan tugas yang diamanahkan.
Perjalanan selama lebih kurang 9 jam dengan bas ke KL memenatkan tapi penuh keriangan dalam memenuhi misi kami.
Persembahan mesti terbaik! Itu tekad kami.

Selama 5 malam kami akan berkampung di IPG Kampus Bahasa Melayu (dahulu dikenali sebagai IPBMM) di Lembah Pantai, KL.
Di kampus ini jugalah Qaqaq, anakku sedang melanjutkan pelajarannya dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, mengkhusus dalam Pendidikan Khas (PK). Dia kini sedang cuti semester selama 3 minggu.
Aku berharap agar bila dia graduat nanti akan menjadi seorang guru PK yang setandingan dengan guru PK yang aku kenali.
Sabar, mesra, dedikasi, komited, serta bertanggungjawab pada tugas dan anak didiknya walaupun diberi beban tugas tambahan yang terpaksa dipikul hingga memenat dan memeningkan.
Aku juga mau jadi sehebat itu dalam menjalankan tugas sebagai ahli kumpulan, jurulatih dan ketua kontigen CS ini.
3 dalam 1.

Sebagai orang yang diamanahkan, perbincangan dibuat bagi menentukan jadual sesi latihan dan pergerakan ahli CS.
Kami bersetuju menjalankan latihan selama 3 jam diwaktu pagi bermula jam 8.30 di dewan kuliah aras bawah tempat penginapan kami.
Selepas jam 11.30 pagi, ahli berehat dan bebas memenuhi masa dengan ber shopping atau melawat sekitar KL.

Latihan seterusnya bermula jam 8.00 hingga 11.00 malam di dewan Zaaba, IPG KBM.
Nampak gayanya semua ahli berpuas hati dengan jadual yang ditetapkan. Komitmen mereka tinggi.
Sebagai sebahagian dari anggota CS, aku merasa amat teruja dengan semangat mereka. Kami pasti akan membuat yang terbaik.

Menjalani latihan dan raptai di bawah pengawasan Stage Manager, En. Shah BPG, serta beberapa orang anggotanya sangat berkesan. Kendaliannya profesional. Segalanya berjalan lancar dan licin.
Perubahan dan penyesuaian kepada pentas yang akan kami gunakan keesokan hari bergantung kepada pengelolaan Stage Manager.

Inilah pentas persembahan kami yang berukuran 24'x 12'. Sempit, sendat dan kompak. Sistem audionya, hebat dan canggih. Tiada rungutan. Persembahan mantap dan menarik perhatian ramai.
Teruja bila audiens yang terdiri dari delegasi pelbagai negara Commonwealth mengangkat dan melambaikan tangan semasa kami menyanyikan lagu We Are The World.
Tepukan gemuruh dan respons yang memberangsangkan diterima bila kami menyanyikan lagu-lagu evergreen yang diubahsuai berdasarkan skrip yang bertemakan Guru.
Lagu-lagu seperti Aint No Mountain High, Seasons in The Sun, Geram, Yesterday Once More memang mengembalikan nostalgia ramai audiens yang hadir.
Campuran Bahasa Melayu dan Inggeris serta loghat Terengganu didalam CS diterima baik oleh audiens. Sesuatu yang unik dan menarik.

Bagi memastikan semua ahli CS merasa selesa dan bersemangat tinggi, aku terpaksa bekerja keras mengurus dan menyelia makan minum, tempat tinggal dan pengangkutan. Dengan harapan mereka selesa dan dapat mempersembahkan yang terbaik.


Siapa sangka dalam kesibukan dan kemeriahan acara, aku bertemu dengan sahabat lama, Ismail Abd. Rahman (Mae), bersama anaknya
Mujadilah.
Mengurus pasukan caklempong selepas bersara, Mae merupakan teman lama semasa pertama kali akau posting ke Terengganu pada tahun 1980. Sama-sama bertugas di SESMA sebagai guru BI dan jurulatih Tae Kwon Do. Berbagai nostalgia bersamanya.

Selesai persembahan, kami berpeluang bergambar bersama VVIP yang turut hadir menyaksikan persembahan CS.

Dikesempatan ini, aku berpeluang bergambar bersama Y. Bhg. Tan Sri Alimuddin Md. Dom, KPPM.
Pn Haniza dan En. Norman dari Unit Dasar BPG telah banyak membantu menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan persembahan CS, penempatan dan pengangkutan.
They have been very helpful and accomodative.
Banyak tugasku sebagai Ketua Kontigen dibantu oleh mereka. Terima kasih.

Di bahagian sekretariat aku banyak dibantu oleh En. Zainuddin BPG, atau dikenali dengan Pak Din, dalam memproses tag nama untuk 40 orang ahli CS.
Penantian selama 4 jam untuk mendapatkan tag nama berbaloi kerana ianya merupakan satu-satunya momento yang istimewa sempena CCEM ini.
Sesungguhnya, pengalaman membuat persembahan di peringkat antara bangsa sangat membanggakan.
Siapa sangka choral speaking yang diubahsuai sebagai choralsical berjaya memikat hati pemerhati dan pendengar. Ada ura-ura yang aku dengar bahawa entiti ini akan dipertandingkan antara guru di peringkat kebangsaan mulai tahun depan.
Jika ia menjadi kenyataan, maka sumbangan kerdil aku sebenarnya diiktiraf juga secara tidak langsung.
Moga CS diterima semua sebagai salah satu saluran penyebar ilmu yang berkesan.
Beib bangga menjadi sebahagian dari anggota CS yang...
...sanggup mengambil peluan G
menerima jemputan persembahan untuk pelbagai acar A
dalam atau luar daera H

Tuesday, June 2, 2009

Stadium GB: Angkara Otomen?


Assalamualaikum / Good Day.....

Waktu aku menerima sms dan desas desus mengenai Stadium Sultan Zainal Abidin, yang jaraknya 3 km dari rumah aku runtuh, tidak ada ribut atau tsunami. Menghairankan sebuah stadium yang gah dan boleh memuatkan 50,000 orang tiba-tiba runtuh begitu sahaja pagi tadi. Syukur Alhamdulillah, tidak ada seorang pun penonton di stadium yang popular dengan panggilan, stadium Gong Badak, ketika kejadian jam 7.30 pagi itu.

Lebih bernasib baik juga kerana kecelakaan itu terjadi sehari sebelum satu acara sukan peringkat nasional berlangsung. Sekiranya bumbung itu roboh hari esok, mungkin ramai yang akan kehilangan nyawa atau cedera sebab esok akan berlangsung sukan kakitangan universiti-universiti setempat di stadium berkenaan.
runtuh bagai dilanggar garuda

sebahagian bumbung yang menyembah bumi

Kita tidak dapat bayangkan jika keruntuhan itu terjadi semasa Sukma 2008. Jika tidak tentu ramai yang menemui ajal dan cedera, termasuk orang-orang kenamaan yang duduk di ruang VVIP.

satu landskap yang ngeri

Kita sering bergantung harap pada kebetulan atau ‘nasib baik’. Andai nya nasib tidak menyebelahi kita atau 'we run out of luck', bagaimana? Mengejutkan stadium yang baru berusia setahun boleh runtuh tanpa gegaran gempa bumi atau ribut puting beliung.
Bandingkan dengan Stadium Merdeka yang dibina tanpa teknologi canggih 50 tahun yang lalu tapi masih lagi berdiri gagah dan megah.

Sebagai rakyat marhaen yang membayar cukai, aku juga wajar dan layak bertanya bagaimana ini boleh terjadi? Sebuah stadium yang terbesar di Pantai Timur dan menelan biayai sebanyak RM300 juta runtuh bagai kepingan domino.

Perbelanjaan sebesar itu, dengan teknologi termoden dan terkini, bumbung stadium canggih tersebut dapat bertahan hanya setahun. Yang di-Pertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Tuanku Sultan Terengganu, baru sahaja merasmikannya pada Mei 2008.
Amat malang tiba-tiba 60 peratus dari bumbungnya, termasuk 'Royal Box', ruang yang menempatkan tetamu Diraja, roboh.

Pelbagai spekulasi timbul berkaitan dengan stadium tersebut yang dibina secara tergesa-gesa bagi menganjurkan SUKMA 2008. Bolehkah ini jadikan alasan keruntuhan tersebut? Rakyat tentu tidak dapat menerima alasan yang klise atau tanpa data dan fakta yang kukuh. Ini bukan kerja RM3 ribu, atau RM30 ribu, ini projek mega RM300 juta!


Kita berharap tiada hanky panky di sebalik projek pembinaan stadium tersebut.

Kajian serta siasatan terperinci mengenai kejadian ini mesti dibuat dalam masa terdekat, dan laporan hendaklah didedahkan kepada umum. Terus dan telus.
Tentu sahaja rekod-rekod mengenai projek tersebut mudah diperolehi kerana ia masih baru. Lantaran itu, siasatan pastinya tidak mengambil masa yang lama.


Punca kejadian mesti dicari. Kesilapan serta kecuaian perlu dikenalpasti. Mengejutkan, binaan sehebat dan semewah itu boleh roboh secara tiba-tiba.
Ini bukan musim tengkujuh di mana tiupan kencang ribut mungkin boleh dipersalahkan.
Dengar khabar dari teman-teman di Teluk Ketapang yang sedang bersarapan di warung berdekatan, stadium itu runtuh dalam tiupan angin sepoi-sepoi bahasa sahaja.
Janggal rasanya...
Tapi dari beberapa sms/mms dan emel yang diterima, pelbagai andaian dan telahan dibuat.
Istimewa dari kenalan yang menghantar 2 keping foto melalui emel yang menggambarkan betapa perseteruan antara ikon 'superhero' dari Jepun dan raksasa berlarutan hingga menyebabkan musnahnya sebuah landmark baru di Gong Badak yang menggunakan teknologi Korea.
Konflik ini seolah memusnahkan sebuah ikon yang baru berusia satu tahun.

Satu prank dan sindiran yang menarik.
Bak kata Nabil Raja Lawak ..."Lu pikir lah sendiri!"....



Beib harap tiada lagi malapetaka melanda...
...di mana-mana komplek S
terutamanya yang sentiasa penuh dan pada T
di hari minggu atau waktu berpest A
kapasitinya jangan melebihi haD
andai berlaku kejadian yang tidak diingin I
penonton dapat dikeluarkan dengan laj U
elak nyawa dari teranca M