Tuesday, January 26, 2010

Panggilan: Satu Lamaran...

tawaran...adakah pilihanku tepat?

Assalamualaikum / Good Day.....

Sejak menerima panggilan telefon dari seorang pegawai di KPM, Putrajaya semalam, aku masih merasa teruja dan bagai bermimpi.
Aku dimaklumkan tentang sesuatu yang tidak terduga. Katanya resume aku berada ditangannya. Resume aku? Hmm....

Entah dari mana dia mendapat resume itu, aku tidak pasti.
Seingat aku, tidak pernah aku panjangkan resume kepada sesiapa melainkan kepada unit Seni, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK) sahaja. Itu pun kerana aku dicadangkan sebagai ahli panel penggerak Sekolah Seni Malaysia.

Pegawai berkenaan mengusulkan lamaran untuk satu jawatan di KPM, Putrajaya. Aku terkedu tetapi teruja.

Aku? Bertugas di KPM, Putrajaya?
Pelbagai perkara berlegar di minda. Bermacam implikasi difikirkan. Justifikasi harus dibuat.
Jawatan.
Tanggung jawab.
Logistik.
Kewangan.
dan lain-lain yang berkaitan.

Menjawat jawatan di Putrajaya menjadi idaman kebanyakkan orang. Satu lonjakan dalam bidang perkhidmatan awam. Tawaran yang sangat baik tetapi bagi aku, banyak benda yang harus diambilkira.

Dalam keadaan tidak bersedia dan sedang tergesa menuju ke lapangan terbang, aku memberi keputusan untuk tidak menerima tawaran tersebut. Satu keputusan yang direspons oleh pegawai tersebut dengan kata-kata, "Confirm?".

Beliau menyatakan andai kata aku bersetuju, surat tawaran akan terus di fax ke premis tempat kerja aku, pada waktu itu.

Aku menjadi serba salah. Adakah aku silap membuat keputusan?. Segalanya datang dari gerak hati dan minda pada waktu itu. Aku berharap keputusan ini betul dan tepat.

Penolakan yang dibuat there and then sebenarnya punya implikasi yang pelbagai. Aku terpaksa membuat keputusan walaupun ada waktunya aku merasa sedikit ralat.

Dalam penerbangan selama sejam ke KLIA, aku menjadi seakan keliru namun, keputusan sudah dibuat.

Jam 3.30 petang tadi, aku menerima satu lagi panggilan telefon yang tidak disangka. Kali ini, dari satu lagi bahagian KPM. Ianya berkaitan dengan kelulusan akademik aku yang akan dipanjangkan ke satu lagi bahagian KPM.

Pegawai yang bertanggung jawab itu memaklumkan bahawa dia diarahkan untuk mendapatkan butiran itu bagi melengkapkan satu tawaran yang dikhususkan untuk aku.

Aku jadi makin teruja mengatasi apa yang aku rasakan pagi tadi. Penantian selama hampir 4 bulan nampaknya berbaloi. Tawaran yang sukar dilepaskan.

Aku berharap ianya menjadi kenyataan. Impian indah selama ini berada di depan mata. Aku akan terus berdoa dan bertawakkal. Moga Allah perkenankan.

Ada teman yang bertanya dan ingin tahu mengenai entry ku yang ini. Aku sebolehnya mengelak untuk menjelaskan kerana ianya masih di peringkat awal. Kebarangkaliannya juga pelbagai. Biarlah masa yang menentukan.

Kini masa hampir tiba. Dalam sedikit waktu, teman yang bertanya pasti akan mendapat jawapan, first hand dariku.

Jika tawaran pertama tadi ialah untuk satu 'jawatan', tawaran kedua pula ialah satu 'gelaran'.

Kedua-duanya mempunyai nilai yang tersendiri. Pilihan bergantung kepada gerak hati dan justifikasi.

Sebagaimana coretan seorang teman dalam entry beliau...
..keputusan A, B atau C..
bergantung pada pilihan, peluang dan kesempatan..

Pilihanku ialah 'gelaran'.
Kenapa?
...Allah jua yang Maha Mengetahui

Alhamdulillah...

Beib harapkan pilihan terbaik dari rasa gerak...
... naluri yang ampu H
tidak menyesal dan rasa gulan A
menolak tawaran yang dibua T
kerana setiap keputusan ada nilai dan implikasi tersendir I
*Impian indah makin menjelma...

Monday, January 25, 2010

Aku Letih Menahan Amarah...

...redha...

Assalamualaikum / Good Day.....

Ceritera fantasi diri...

Bayangkan senario ini:

Hubungi seseorang dari lapangan terbang. Perbualan agak singkat dan tegang. SMS juga seakan sinis dan ala menyindir. Bagi orang Terengganu ia lebih bersifat 'menyekik' ( bersifat mengejek atau bersifat menyindir ). Sakit dan pedih bagi mereka yang tidak biasa. Bagi yang biasa, ianya sudah mula menjadi mangli dan kalis.

Sejam penerbangan menimbulkan rasa kurang tenteram kerana cuba menjangkakan apakah yang akan muncul di skrin handphone bila dihidupkan semula nanti.

Kata-kata sinis atau manis?

Sesampai di KLIA, handphone dihidupkan semula. Berderet SMS masuk yang kebanyakkannya sinis dan menyakitkan. Apa matlamat dan tujuan, hanya Allah jua yang tahu.

Terima dengan berlapang dada. Emosi mungkin terganggu atau nyata keliru.

Hingga larut petang masih berlarutan dengan sinis dan prasangka. Terkedu dan mula tertekan.

Keadaan makin mendesak bila cubaan untuk berlembut dan stoop low masih tidak berhasil.

Keras.....sangat keras.

Apa berlaku bila keras bertemu ruas?

Patah...reyoks.

Bye...
Salam..
N!

Beib tak mau lagi rasa ....
...siksa dan jele S
cukuplah apa yang ad A
segalanya amat sebak dan sesa K
menusuk ke dalam jiwa sanubar I
lantas keputusan mesti dibua T
*terimakasihmaafhalal.

Sunday, January 24, 2010

Toksah Maghah, Aku Bagitau jaaa....

Bukan makan angin ... pi buat kheja...

Assalamualaikum / Good Day.....

Ada setengah oghang ghajin pi jalan sana sini, boleh kata selang saghi. Lepaih balik kheja, pi beli belah. Ghajin sungguh. Tak ghasa penat ka?
Depa selalu kata ni cagha nak tenangkan pikighan. Istilah laa ni dipanggey TERAPI. Macam-macam laa.

Lepaih tu haghi minggu pi jalan-jalan lagi. Sampai ujung sempadan negehgi. Pi shopping. Tapi takpa, depa pi shopping buat duit bukan macam kita, pi peghabih duit. Baguihla, rezeki mughah kat depa. Syukoq. Moga depa bertambah bahagia.

Aku bukan nak ngumpat atau nak mengata tapi nak bagitau betapa sesetengah oghang bernasib baik dan betuah dalam hidup. Tak dak gangguan apa-apa, boleh pi jalan meghata bila-bila masa jaa. Sambey santai sambey mengeratkan silaturrahim. Beghuntung sungguh. Pasai apa aku takleh jadi camtu aa? Teghingin sungguh...

Tapi aku besyukoq, rezeki aku Allah Taala bagi kot lain. Walau aku pi sekali sekala, bukan setiap hujung minggu macam oghang yang aku kenai tu, aku ghasa berbaloi. Aku pi dengan niat dan tujuan yang ikhlaih. Bukanla aku nak kata kawan aku tu tak ikhlaih, dia bejalan dengan cagha dia, aku bejalan dengan cagha aku. Maksud aku, dia ada matlamat dia dan aku ada tujuan aku. Itu saja, bukan nak belawan. Aku pun kalau boleh nak jugak pi bejalan macam dia. Kadang-kadang bejalan free saja, boleh pi tengok tempat oghang. Bila aku nak dapat macam tu tatau lah?

Takpalah. Tak baik jeles, cemburu, iri hati. Aku pun tak mau sakit sebab benda-benda macam tu. Rezeki masing-masing. Allah bagi yang terbaik dah.

Esok, aku nak pi bejalan. Tu pun bukan nak pi makan angin. Kena panggey untuk tolong buat kheja. Takpa lah, boleh tolong aku tolong. Aku ghasa tehaghu sebab ada jugak Bahagian di KPM yang maukan khidmat aku. Boleh jugak aku pi Kolumpo. Boleh jugak pi jalan sambey tolong buat kheja. Bukan pi saja-saja.

Aku haghap, aku boleh jadi oghang yang berguna. Boleh bantu anak didik melalui khidmat aku ni. InsyaALLAH.

Aku takut sangat-sangat kalau aku pi, tapi tak buat kheja. Nanti depa kata aku penipu! Aku tak sanggup oghang kata camtu. Ghasa macam jahat sangat aku ni...

Nauzubillah himinzalik....

Nak peghingat sekali lagi.
Aku pi nak buat kheja, bukan nak pi dok saja-saja.
Wallahua'lam...

Beib haghap oghang tak kata dia...
...ni jenih mengela T
atau penting diri sendigh I
biaqlah apa oghang nak caka P
asaikan dia tahu apa dia maU
* sering disalaherti...

Wednesday, January 20, 2010

Acik: Belajar Terus Maju

Acik... reserved tetapi berbakat

Assalamualaikum / Good Day.....

Setelah mendapat keputusan PMRnya lebih kurang sebulan yang lalu, Acik amat berharap agar dapat meneruskan pelajarannya ke Sekolah Menengah Teknik (SMT). Nak jadi arkitek, katanya. Kerjaya yang aku cita-citakan dulu.

Keputusan PMRnya memberansangkan dengan hanya 2 mata pelajaran di bawah tahap A.

Tahniah Acik!

Alhamdulillah. Aku bersyukur. Dia telah mencuba sebaik mungkin. Tiada kekurangan. Itu rezeki dari Allah.

Semalam keputusan permohonannya ke SMT diperolehi. Dukacita. Dia agak terkilan. Sebagai seorang yang bertanggung jawab, aku perlu ikhtiarkan sesuatu untuknya.

Rayuan telah dihantar ke Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM. Menanti keputusan selanjutnya memang mendebarkan. Kata orang waiting is painful. Aku takkan biarkan begitu. Usaha patut digandakan.

Aku mengatur temujanji dengan Pengetua SMT. Sekolah ini berdekatan dengan kediamanku. Hanya 2km jaraknya. Kami bertemu petang tadi. Perbincangan berjalan lancar dan mesra. Rayuan bertulis dan lisan diajukan. Dokumen dan butiran lengkap, serta memenuhi syarat. Rayuan diterima. Surat tawaran akan dikeluarkan segera. Alhamdulillah!

Aku pulang dengan senyuman gembira kerana berjaya memenuhi hasrat Acik. Dia akan mendaftarkan diri di SMT Terengganu (SMTT) pada 27.01.2010.

SMTT, Alma mater - a school, college, or university which one has attended or from which one has graduated - seorang kenalan terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), sekolah mula-mula aku mengajar pada tahun 1980. Sedikit coretan di sini.


Berita gembira ini membuatkan Acik sangat teruja. Acik bercita-cita untuk tinggal di asrama dan aku yakin dia akan berusaha sebaik mungkin untuk dirinya dan kami. Aku mahu dia buktikan bahawa dia juga berkemampuan dan hebat seperti orang lain.

SMTT sebagai sebuah entiti yang unik diharap dapat merobah caragaya Acik. Ilmu yang dikutip di sana nanti akan dimanfaatkan pada masa depan sebagaimana dimanfaatkan oleh bekas-bekas pelajar yang terdahulu.

Moga quotation yang dikirimkan oleh temanku ini dapat memberi inspirasi pada kita semua.

The difference between school and life.
In school, you're taught a lesson and then given a test.
In life, you're given a test that teaches you a lesson..


Selamat belajar dan berjaya.
Terus Maju... Acik!

Beib doakan yang terbaik untuk...
...semua anak-anak pap A
hidup biar berpelajara N
menjadi panduan di duni A
dan akhirat kela K

Wednesday, January 13, 2010

Tangisan Menginsafkan: Luahan Isihati & Naluri


mata dan airmata

Assalamualaikum / Good Day.....

Secara metafora, mata manusia sering dianggap "jendela jiwa".

Mata, salah satu pancaindera anugerah Allah yang tiada ternilai. Ia adalah organ penglihatan yang mengesan cahaya. Secara mudahnya, yang dilakukan mata tak lain hanyalah mengetahui apakah lingkungan sekitarnya terang atau gelap.

Pancaindera ini juga ialah salah satu saluran untuk menzahirkan rasa dan emosi. Ia boleh mengeluarkan (menitiskan) air mata, atau apa yang kita sebut sebagai menangis, sama ada kerana terlalu gembira atau bersedih.

Bagi aku, sebagai seorang insan, kita tidak mungkin hanya melalui satu episod sahaja dalam hidup. Tidak sedih dan menangis sepanjang masa.

Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan. Anugerah Allah. Kita mesti redha.Segalanya akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal abadi di dunia ini.

Sebagai seorang Muslim, kita patut menjadi insan sederhana dan tidak berlebih-lebihan. Ini termasuk mengungkapkan perasaan dan emosi yang bergelora dalam jiwa. Jadilah orang yang berjiwa zuhud. Tidak terlalu gembira bila mendapat nikmat dan tidak pula terlalu bersedih jika didatangi musibah. Semuanya adalah ketentuan Allah.

Tapi kadangkala, kita tidak mampu mengatasinya. Kita kan manusia? Aku sendiri sedar, aku serba kekurangan serta alpa.Walau cuba sedaya upaya, ada kalanya tewas oleh kelemahan diri. Kata orang "Easier said than done".

Menangis atau menitiskan airmata adalah suatu ungkapan perasaan dan emosi yang normal pada diri manusia. Biasanya manusia menangis atas sebab-sebab tertentu. Kemungkinan berasa sedih dan berduka kerana seseorang yang dikasihi sudah kembali kepadaNya atau kerana rindu yang teramat kepada yang disayangi.

Kita akan juga menangis apabila menahan sakit, sama ada sakit kerana dilukai perasaan ataupun sakit pada zahir tubuh badan. Tentu sahaja ada yang akan menangis kerana kehilangan harta benda, disiksa dan dizalimi, diusir atau dihina peribadinya dan dimalukan.

Ada 10 jenis tangisan pelbagai maksud dan tujuan menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah. Tangisan kasih sayang, ketakutan, gembira, gundah gulana, cinta dan rindu, kesedihan, tidak berdaya, kemunafikan, orang upahan dan tangisan ikut-ikutan.

Keistimewaan tangisan yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita ialah tangisan yang tidak bersifat melemahkan semangat. Ia boleh menghidupkan jiwa yang sudah kosong dan mati. Ia tidak menimbulkan rasa putus asa atau kesakitan. Lelehan air mata ini membangkitkan rasa optimis, cekal dan penuh keazaman untuk kembali bangkit dari kekecewaan atau kegagalan. Sesuatu yang amat positif.

Tangisan sebegitu dizahirkan sebagai satu janji untuk hidup lebih bererti dengan keinsafan yang dalam. Ia berupaya mencelikkan pandangan mata hati dan menyedarkan kita tentang erti kehidupan.

"..perhaps our eyes need to be washed
by our tears once in a while,
so that we can see LIFE
with a clearer view again.."
Tangisan itu juga sering mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut kepada Allah.

Aku sebagai seorang manusia yang lemah sering juga menangis sendirian mengenangkan kesilapan yang dilakukan. Ada kalanya melewati harapan dan ekspektasi insan tertentu.

Tears are sacred.
Not the mark of weakness, but of power.
Tears speak more eloquently than a million words.
Tears are messengers of overwhelming grief...and unspeakable love and LIFE...

Aku tidak malu untuk terisak jika perlu, kerana ia juga satu terapi. Lega (relieve) dan tenang bila airmata diserap kertas tisu yang kemudiannya ditongsampahkan.
Bagaimana dengan anda?

Beib tidak malu untuk menitiskan air...
...mata bagi melepaskan perasaan terpenda M
suka atau duk A
sama ada musibah atau nikma T
kerana ia dari Allah ju A
*UTHL...beginning of the end...? Only God knows...

Sunday, January 3, 2010

Tergugat Impian Indah: Aku Layan Mak Akhirnya


Assalamualaikum / Good Day.....
(Entry yang sepatutnya terbit pada 1 Disember 2009. Terbengkalai dalam bentuk draf)

Aku sepatutnya berada di luar negara minggu ini atas urusan peribadi namun kekangan dan musaqah kadang-kadang tidak terduga. Perancangan dan penjadualan kita adakalanya tergendala atau terganggu. Itu kuasa Allah. Tak siapa mampu merubahnya.

Rancangan untuk berwisata telah lama dibuat. Ini adalah impianku sejak awal tahun lagi. Cuti sekolah akhir tahun adalah masa yang difikirkan sesuai. Panjang dan agak santai. Namun begitu, tuhan lebih mengetahui dan merencanakan yang lain untuk aku. Tuhan sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa situasi pun.

Aku balik ke Anak Bukit sempena HRAA dan membawa pulang Mak. Sesuatu di luar jangkaanku namun ianya berbaloi dan merupakan satu rahmat.

Aku tidak menyesal tidak dapat berwisata ke luar negara. Mak lebih utama.

Aku pernah dipesan oleh seorang teman mengenai Mak. Dia sering mengingatkan aku betapa Mak perlu diziarah sekerap mungkin sementara Mak masih ada. Aku dikuliahkan mengenai sikapku yang dianggapnya tidak memperdulikan kewujudan Mak. Mengutamakan orang lain dan bukan Mak sendiri.

Terima kasih.
Ingatan dan pesanan teman akan tetap kekal di minda kerana itu adalah benar dan patut.

Ada ketikanya aku tidak berkesempatan untuk menjenguk Mak. Aku tidak berniat atau bertujuan mengenepikan Mak. Mak merupakan prioriti. Namun, kekangan masa dan logistik menghalang aku dari balik menemui Mak.

Sebagai ketua keluarga hal-hal yang berkaitan dengan famili juga perlu diurus dan selesaikan. Inilah yang sentiasa menjadi salah tanggap teman mengenai tanggung jawabku terhadap Mak.


Sesungguhnya teman, Mak tetap di minda dan jiwaku, biar dalam situasi apa pun.Kini Mak berada di kediamanku dan kulayan selayaknya.

Walau pun tidak berkesempatan untuk melangsaikan hajat ke luar negara, aku tetap puas menatap, melayan dan meraikan Mak. Itu yang terbaik Tuhan berikan kepadaku.
Percutian bersama Mak.

"The trip can wait, Mak can't".
For you out there who is on a trip in the near future, enjoy yourself and take care...Its hard to swallow but that's life.
Reality bites!

Beib tidak berupaya untuk pergi ber...
...cuti dan Mak ditingga L
Mak adalah priorit I
Mak juga adalah tanggung jawa B
Itulah nyawa, itulah rat U
Ibu kandung yang tak bisa diganti atau dituka R

*Land of the free for free...how lucky...

Friday, January 1, 2010

Azam dan Harapan


Assalamualaikum / Good Day.....

Hari ini bermulalah tahun baru. 2010 datang bersama umur yang semakin meningkat. Dalam pada itu, kita terkenangkan kejayaan yang telah kita capai sepanjang tahun 2009. Mungkin juga merasa terkilan atas kegagalan yang dilalui.

Kalau azam tahun lepas sudah tercapai, Alhamdulillah, bersyukurlah. Nikmat atau kejayaan itu sepatutnya mendorong kita untuk lebih berjaya lagi. Kita perlu fikirkan bagaimana kejayaan itu boleh diulangi dan digandakan. Kita tidak mahu ianya sekadar kejayaan yang 'fluke' (A lucky or improbable occurrence, with the implication that the occurrence could not be repeated) atau tidak sengaja, yang biasanya tidak kekal lama.

Ramai akan berbicara tentang azam tahun baru dalam seminggu dua ini. Aku masih sceptical adakah kita berazam kerana kita memang mahu berazam atau ia hanya satu ikutan. Menjadi klise saban tahun. Oleh kerana bimbang malu jika tiada azam di tahun baru maka kita pun akan nyatakan azam kita bila ditanya. Walhal, kita tidak pun duduk memikir dan merangka apakah azam kita sebenarnya. Lantaran itu, ia hanya sekadar mimpi di siang hari.

Aku juga ada azam yang tersendiri sebagaimana di tahun 2009. Baca sini dan sini. Tidaklah terlalu ambitious kerana aku juga perlu memikirkan keupayaan dan pendekatan untuk mencapai azam tersebut. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri.

Apa jua azam dan cita-cita yang hendak digapai dan dicapai tentu sahaja ada pilihan pendekatan. Bagi setiap pilihan pendekatan yang dibuat, ada bermacam-macam lagi pilihan lain yang wujud.

Meletakkan azam samalah juga dengan membuat sasaran (set target). Adakalanya ia agak sukar untuk dicapai. Pelbagai kekangan dan masalah akan timbul di sepanjang jalan untuk mencapai azam tersebut. Faktor lain yang perlu diambil kira ialah ketekalan kita mengharungi kekangan tersebut.

Azam boleh di kategorikan. Diatur mengikut tahap - jangka pendek dan jangka panjang. Dibuat jadual perlaksanaan, supaya lebih sistematik dan kemas.

Namun ada masanya setelah beberapa bulan berlalu, kita dapati azam itu tidak begitu mudah dicapai. Pelbagai kaedah digunakan, telah banyak pendekatan dicuba, tetapi masih lagi gagal. Akibatnya, ada di antara kita berhenti di tengah jalan. Kecewa, terkilan, putus asa, hampa, menggigit jari dan hancur hati.

Bila ditanya, kebanyakkan mereka akan mengatakan sudah mencuba semua kaedah tetapi masih tidak berjaya. Adakah benar semua cara telah dicuba dan diaplikasikan?

Jika benar semua telah dicuba tetapi masih juga gagal, kita perlu menerima hakikat dan bersyukur kerana itu adalah ketentuanNya. Qada dan qadar Allah tidak boleh disangkal. Kita perlu redha dan berlapang dada.

Mungkin juga kaedah kita walaupun banyak, tidak berkesan. Kita perlukan transformasi. Kita perlu guna kaedah lain yang lebih berani. ‘Dare to be different and use a completely different approach!

Jika satu cara tidak boleh digunakan, banyak lagi alternatif lain yang mungkin ada yang belum dicuba.

Sebagai seorang yang sudah mencecah separuh abad, aku sedar, aku tidak begitu berani untuk menukar cara menyelesaikan masalah. Kita tidak nafikan di umur sebegini biasanya dianggap sudah matang dan ada wisdom. Tetapi dalam beberapa isu ini tidak berlaku. Aku sudah berada di zon selesa dan ingin kekal di situ.

Keberanian untuk berfikir di luar kotak minda (thinking outside the box) adalah sesuatu yang akan merubah situasi. Kalau ini dijadikan azam ia akan merubah caragaya hidup kita. Tentu sekali ke arah yang lebih positif.

Caragaya lama lebih merujuk kepada mengulangi cara yang sama. Ulang dan ulang. Kita sekadar mengharap dengan cara yang sama itu akan mengubah hasil yang diinginkan. Ramai yang beranggapan begitu termasuk aku. Kebanyakan kemajuan dan kejayaan yang kita kecapi sekarang terjadi setelah kita sedar yang kita selalu ulangi cara yang lama dan sama. Natijahnya, kemajuan dan kejayaan terbatas.

Jika kita mencuba cara yang baru, InsyaAllah, hasil yang baik akan muncul juga.

Dengan merujuk dan melihat semula hasil azam tahun lepas, mari kita sama-sama fikirkan, adakah kita masih mahu menggunakan cara yang biasa (rutin / klise) atau beranikah kita merubah kepada sesuatu yang ‘completely, entirely different’. Benar, kita tidak pernah atau berani lakukan sebelum ini tetapi untuk azam baru tercapai, kita mesti lakukan juga.

Beranikah anda?

Aku sendiri, beranikah?

Benar kata seorang teman:
sukarnya bila terpaksa memilih.. peluang datang di kala tiada kesempatan.. kesempatan ada namun tiada keberanian dan usaha..

Selamat berjaya mencapai azam tahun 2010.
Moga tahun ini membawa lebih berkat, rahmat dan ketenangan dalam diri kita. Amin.

Beib berharap dapat mencapai...
...cita-cit A
berkecimpung dalam bi Z
sebelum bersar A
sebagaimana yang diida M

Tuesday, December 29, 2009

Let's Incommunicado Now...


Assalamualaikum / Good Day.....

INCOMMUNICADO

In a state or condition in which one is unable or unwilling to communicate.

...If that's what you want
and
if that's the best for you...

May ALLAH bless us.

Beib's only feeling right now is...

...miserable and sa D
I feel s O
sorro W
for something that should'nt happe N
*apologies and thanks for everything...

Tuesday, December 22, 2009

Petikan Stanza Laksemi


Assalamualaikum / Good Day.....


Hakikat kita
adalah sesuatu yang memedihkan
tapi
kasih sayang yang wujud
adalah satu keabadian...

Beib teruja dengan bait-bait...
... indah yang digara P
yang adakalanya menusuk kalb U
mengusik hat I
dengan bahasa kudu S
mencari erti dir I
*Laksemi - sl cantik, elok, molek.

Tuesday, December 15, 2009

Aku Leka Mak Ada

saat saat manis bersama

Assalamualaikum / Good Day.....

Sudah hampir 2 minggu Mak berada dikediamanku. Kehadirannya amat bermakna. Sukar pada mulanya bagiku untuk meyakinkan Mak supaya bertandang lebih lama di sini.

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya. Terasa bahagia sekali kerana hajatku dimakbulkan.

Aku hanya mahu Mak tenteram dan selesa disampingku. Segala kemahuannya akan aku penuhi setakat yang termampu.


Makan minumnya akan aku jaga. Tidur rehatnya akan kupastikan cukup. Amal ibadatnya terlaksana.

Mak, sebagaimana insan yang disayangi, akan kubelai dan tatang sepenuh hati. Jika kita kasih dan sayangkan seseorang, kita akan lakukan apa sahaja bagi menzahirkan rasa itu. Sanggup melampaui batas kebiasaan.

Rutin Mak menceriakan semua, termasuk ikan-ikan koi dan 4 ekor kura-kura terutamanya 'Albert", di LamanNyaman.

Antara jam 7- 9 pagi dan 6- 7 petang ikan dan kura-kura ini akan menanti kedatangan Mak yang akan memberi mereka makan.


Aku teruja melihat Albert, si kura-kura, yang seolah-olah kenal Mak. Ketukan yang lembut dilantai deck merupakan isyarat yang paling berkesan untuk memanggil Albert. Dia akan terapung berenang menghampiri Mak dengan matanya yang jernih menantikan makanannya ditabur oleh Mak.


Albert ialah dari spesies box turtle lebih tepat, The Amboina Box Turtle or Southeast Asian Box Turtle (Cuora amboinensis).


Melayani Mak setiap hari tidak membosankan, malah membahagiakan. Tidak ada yang lebih utama di waktu itu melainkan Mak.

Segala urusan yang tidak penting aku abaikan kerana Mak. Tidur malam bersama Mak, sambil membantunya ke bilik air. Mengurut bahagian tubuhnya yang lenguh dan sakit. Melayan waktu makan dan minumnya adalah kebahagiaan yang tak terucap.

Mak banyak menghabiskan waktunya bersantai dan rehat di tepi kolam. Merenung kenang dalam kotak fikirnya. Aku jadi sendu melihat gelagatnya. Mak kelihatan tenang dan tenteram. Aku mahu Mak begitu dan aku rasa aku berjaya membuatnya bahagia.


Sudah lama aku ingin melihat Mak bersantai di tepi kolam di rumahku. Malah aku terkilan kerana Pak pergi sebelum aku sempat menyiapkan kolam ini. Menjadi satu impian yang indah melihat Mak dan Pak berada di tepi kolam.

Pernah satu waktu dulu, aku menceritakan hasratku untuk membina sebuah kolam di dalam rumahku kepada Pak dan Mak. Mereka agak skeptik tetapi teruja. Kekangan kewangan melambatkan projek ini. Tapi bila semuanya dalam proses, Pak pergi dulu. Aku yakin kolam, ikan dan penghuninya dapat meredakan hati yang resah dan gundah. Mententeramkan.

Ini terbukti dengan kehadiran Mak.

Tidak ada yang lebih mengasyikkan dari melihat Mak tenang dan lega. Hari-hari tua dipenuhi dengan rehat dan ibadat.

Mengimami Mak dalam solat membuatkan dia menitiskan airmata. Hatiku terusik dengan sentuhan salamnya. Kucupan di dahi, pipi dan tangan membuatkan aku terasa bahawa Mak adalah insan yang paling mulia dalam hidupku. Tanpa Mak siapalah aku.

Memberi yang terbaik yang termampu olehku, adalah niatku untuk Mak. Tiada apa lagi yang menggembirakan aku, selain dari menzahirkan rasa kasih sayang melalui perbuatan dan tutur kata. Itu aku laksanakan dengan sepenuh hati.

Moga kedatangan Mak kali ini bukan yang terakhir.

Sesiapa sahaja inginkan yang tersayang berada di depan mata sepertimana aku inginkan insan yang disayangi berada bersama disisi. Dapat disentuh, belai, manja dan usap dengan penuh kasih. Makan minum dihidang bersuap. Tidur baring dilayan dengan penuh mesra.

Mak...
Kediamanku bercahaya dengan kehadiranmu selama ini..
Terima kasih Mak.
Aku sayang, kasih, cinta Mak.
Moga Mak terus dalam peliharaan Allah.

Beib terlalu sayang....
...insan yang mengandungkannya dalam rahi M
membesarkan dan memberikan ilmu bergun A
agar dapat disumbangkan yang terbaik suatu hari kela K

Sunday, December 13, 2009

Pertemuan: Sekian Lama

1980 - dah besar panjang semuanya kini

Assalamualaikum / Good Day.....

Cuba bayangkan setelah 25 tahun berpisah. Banyak perubahan yang semestinya berlaku. Fizikal, mental, emosi, sosial dan nilai hidup.
Itulah gambaran pertama yang menyelinap di minda.

Bila jemputan untuk bertemu dan meraikan sempena Reunion Jubli Perak (25 Tahun SESMA84 - pelajar SESMA lepasan SPM 1984), aku jadi kaget dan teruja. Tidak dapat nak dibayangkan bagaimana rupa bentuk bekas pelajar aku yang terpisah sekian lama.

Pelawaan melalui mesej, panggilan telefon dan catatan di Facebook tidak boleh diabaikan. Aku amat hargai jemputan ini.

Aku sedang menghadiri mesyuarat penting di KL sehingga hari ini. Oleh kerana segalanya selesai dengan jayanya, ahli panel mesyuarat dilepaskan satu hari awal. Ruang inilah yang membolehkan aku hadir untuk meraikan majlis ini.

Dalam pada itu, ada satu lagi urusan yang amat mendesak yang terpaksa aku harungi. Namun, dengan hati yang amat berat, aku terpaksa lepaskan kerana kekangan logistik dan ruang masa. Terkilan sebenarnya, amat terkilan. Pilihan dan peluang yang bertembung sebagaimana yang dicoretkan di sini. Hanya jutaan maaf dan ampun yang mampu aku pohonkan. Harap dimengertikan.Walau bagaimanapun, aku sangat yakin akan tiba peluang lain, dengan kuasa Allah.

Lihatlah saiz masing-masing
Pertemuan dengan bekas pelajar yang rata-rata berusia 42 tahun amat mengujakan. Kebanyakkanya sudah berkeluarga dan berkerjaya hebat. Bermustautin di serata ceruk negeri hasil didikan yang sempurna. Tahniah untuk semua.

Pertama kali bersua setelah 25 tahun berpisah merupakan saat yang sayu dan nostalgik.

Bekas anak murid sudah menyamai dan melebihi guru dalam profesion juga berkeluarga. Zuriat lebih ramai dari bekas guru sendiri. Lihatlah bagaimana takdir dan masa menentukan kehidupan. Perubahan yang tak terjangka dan di luar kotak minda.

Mendengar celoteh dan pengkisahan sewaktu di alam persekolahan 25 tahun dahulu menjentik nostalgia. Segalanya masih segar dan jelas. Ingatan seorang teman sebagaimana yang aku catatkan dalam entry semalam terbukti kebenarannya.

Masa adalah sesuatu yang amat bernilai malah lebih berharga dari emas permata. Masa adalah nyawa walaupun Einstein mengatakan bahawa time is relative.

Kata bijak pandai enjoy the moment. Aku cuba ingati dan nikmati detik-detik indah 25 tahun yang lalu bersama mereka ini. Alangkah syahdu bila membandingkan mereka dahulu dan kini. Perbezaan yang sangat ketara. Usia dan masa merubah segala.

Peluang untuk bertemu yang datang sesekali begini tidak harus dilepaskan. Walaupun terpaksa mengorbankan satu lagi urusan yang tidak kurang pentingnya.

Moga pertemuan ini akan menjalinkan silaturrahim yang lebih erat antara bekas guru dan pelajar.

Untuk penganjur Reunion Jubli Perak 25 Tahun SESMA84, aku ucapkan SYABAS dan TAHNIAH.

Buat bekas-bekas pelajar, aku doakan kesihatan dan kesejahteraan agar dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Kadang-kadang terfikir, setelah 30 tahun aku di sini (KT) baru terjadi pertemuan yang simbolik dan nostalgik. Ia berlaku ketika usia makin meningkat dan segalanya berada di tempatnya.

Ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menyekat. Allah berikan apa yang kita perlu bukan apa yang kita hendak. Dia sebaik-baik pengatur.

Beib terharu dengan layanan bekas-bekas pelajar...
...yang tidak mengira pangkat atau statu S
menjalankan aktiviti ONE for ALL and ALL for ON E
dalam suasana sangat harmoni S
membuat persiapan siang dan mala M
agar majlis sempurna dana ceri A

Saturday, December 12, 2009

Keputusan Cukup Kritikal : Pilihan Hanguskan Peluang


Assalamualaikum / Good Day.....

Life is the sum of all your choices
- Albert Camus

Mesyuarat yang aku hadiri selesai lebih awal dari masa yang ditetapkan. Aku terbang pulang hari ini dengan perasaan yang berbaur.

Sejak jam 11 pagi, selepas laporan akhir siap diserahkan, aku diasak untuk membuat pilihan. Pilihan yang datang bersama peluang.
Keputusan adalah kritikal dan drastik seperti yang pernah aku luahkan di sini.
Dilema.
Perit dan sakit.

Pilihan dan keputusan ini seolah-olah menggambarkan samada aku pengambil risiko yang hebat atau dianggap seorang yang gagal mengambil peluang keemasan yang mungkin datang sekali seumur hayat.

Kita membuat keputusan setiap hari; apa sahaja yang kita kata dan lakukan adalah natijah dari keputusan yang kita buat secara sedar atau pun tidak. Bagi setiap keputusan, besar atau kecil, tiada formula yang pasti untuk mendapat yang terbaik atau betul. Yang paling afdal ialah meneliti sesuatu isu itu dari pelbagai sudut pandangan atau perspektif dan pilihlah hala tuju yang dianggarkan seimbang dan berpatutan.

Dengan pilihan yang amat terhad, aku terpaksa mencari alternatif. Brainstorm dan menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan yang ada, aku cuba mencari penyelesaian kreatif tanpa melibatkan risiko yang besar.
Adakah mengambil risiko itu berbaloi terutamanya untuk jangka panjang?

Pendapat serta idea dari teman turut diminta. Aku bertanya, apakah tindakan yang akan diambil jika dia berada dalam situasi aku sekarang? Tiada jawapan yang pasti.

Aku amat sedar, pengharapan dan keinginan sangat meluap. Peluang terbuka luas. Namun pilihan mesti tepat dan sejajar.

Aku juga perlu memikirkan risiko dan backlash yang mungkin datang dari pelbagai penjuru. Halangan dan kekangan perlu diambil kira. Aku hanya sanggup mengambil calculated risk dan ini bukan waktu yang tepat.

Aku tidak pernah pertikaikan satu mesej yang aku terima dari seorang teman akrab.

Three things in life once gone will never come back:
WORDS

OPPORTUNITY

TIME

Aku mohon maaf. Keputusanku yang tidak selaras dengan kehendak dan kemahuanmu bukan bererti aku pengecut. Penjelasanku ku anggap wajar diterima.
Ia bukanlah helah tetapi hemah.
Moga dimengertikan.

Beib berpendapat, kita harus bijak mengambil...
...peluang dan membuat pilihan agar tidak tersasa R
dan memakan dir I
keputusan juga perlu berna S
sesuai dengan situas I
dan kehenda K
bukan dibuat secara semberon O
*moga tugasan beres...kampung dan famili menenangkan hati...masa terbaik untuk lupakan segala keperitan.

Wednesday, December 9, 2009

Pasti Saya Lakukan...

dari jendela hidup....harapan tinggi melangit

Assalamualaikum / Good Day.....

Hari ini aku ke KL lagi menghadiri mesyuarat dari 9-13 Disember. Jemputan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) amat sukar untuk ditolak. Penghargaan yang besar padaku. Terima kasih di atas kepercayaan.

Kehadiran dalam mesyuarat ini tentu sahaja memberi peluang kepadaku untuk memberi sedikit sumbangan ke arah memartabatkan Pendidikan Seni Visual (PSV) dalam sistem pendidikan negara.

Undangan ini tidak terduga. Pertemuan dengan pegawai-pegawai DBP dan rakan seperjuangan dalam subjek PSV tentu sahaja membuka ruang percambahan idea dan membuka jendela ilmu.


Aku amat berharap dapat merealisasikan sesuatu dalam mesyuarat dan sesi perbengkelan nanti. Harapanku tinggi melangit. Misi besar untuk anak-anak yang nanti akan mewarisi negara.

Mak dan keluarga terpaksa ditinggalkan beberapa hari untuk sedikit bakti kepada anak bangsa walaupun ketika ini cuti sekolah.

Kepada teman yang sedang berlibur santai di pulau dan pantai, bercuti di luar negara, aku doakan selamat dalam perjalanan. Kata orang, jauh perjalanan, banyak pengalaman. Moga pengalaman yang ditimba dan emosi yang rasa memberi banyak manfaat pada diri.

Aku belum berpeluang bercuti. Mungkin di lain waktu. Buat masa ini aku menerima tugasan ini kerana teruja untuk memberi sumbangan sambil menggarap sedikit pengalaman.

Moga dirahmati dan diberi hidayat oleh Yang Maha Esa.
Yang pasti, aku akan lakukan sebaik mungkin...

Beib ingin berikan sedikit...
...khidmat atas dasar tanggung jawa B
dalam membantu anak bangs A
juga pendidi K
supaya ilmu ini dapat dimanfaa T
untuk agama, bangsa dan diri sendir I

Monday, December 7, 2009

...Lintasan Haiku...


Assalamualaikum / Good Day.....

"...kau hilang sepi,
mencari gajah putih,
yang tinggal, rindu..."


Beib cuba luahkan rasahati melalui...
...ungkapan inda H
bait puitis bahasa saster A
dalam puis I
untuk menghilangkan rasa seba K
yang mendesak dalam kalb U
* apa itu haiku?

Saturday, November 28, 2009

Bila Emosi Itu Bersatu, Lantas Intim Nian

Di pusara Pak di pagi HRAA

Assalamualaikum / Good Day.....

Lima hari berada di sisi Mak terasa sangat singkat. Sambutan HRAA juga berlalu dengan pantas. Berbual, menemaninya makan, istirehat dan tidor tidak cukup untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang aku kepadanya.

Mak tidak uzur cuma kekuatan fizikalnya agak terhad lantaran bongkok akibat terjatuh kerusi beberapa tahun dahulu.

Hasratku ialah untuk membawanya pulang bersamaku ke KT. Bersantai rehat di kediamanku selama beberapa minggu, kalau dia sudi.

Memujuk insan sepertinya memanglah sukar. Di usia 85 tahun, rumah dan kampung sendiri bagai sudah sebati dan susah untuk ditinggalkan.

Puas aku berusaha slow talk dan membelai Mak dengan kata-kata manis agar Mak mahu mengikutku balik ke KT.

Sehingga lewat pagi tadi, aku masih belum mampu mengumbuk Mak supaya masuk ke dalam keretaku.

Tiba-tiba, sesudah sarapan pagi dan selesai aku memasukan beg pakaian ke dalam kereta, Mak dilihat bersedia dengan beg pakaian kegemarannya.

Betul ke ni..?
Bila masa dia berubah hati?
Ada anak cucu lain yang meyakinkan dia untuk ikuta aku balik KT?
Syukur...

Hatiku berbunga. Akhirnya, Mak akan menemaniku selama 7 jam berkereta balik ke KT.

Emosiku berbaur.
Gembira.
Terharu.

menyelesakan diri dalam perjalanan
Aku akan pastikan Mak selesa di tempat duduk belakang kereta, berehat dan menikmati suasana sepanjang perjalanan sejauh 500 km. merentasi 4 buah negeri serta Banjaran Titiwangsa.

Satu kemenangan yang besar bagiku dapat memujuk dan membawa Mak ikut balik kekediamanku setelah beberapa tahun berusaha. Kali terakhir Mak mengunjungi kediamanku ialah lebih kurang 5 tahun dahulu sebelum Pak kembali ke Rahmatullah.

Sesungguhnya pengorbanan Mak untuk berjauhan dari rumah dan kampungnya membuatkan aku sebak.

Sebagai balasan pengorbanan Mak, aku akan pastikan Mak dalam keadaan sihat, selesa, bahagia, tenang dan tenteram selama bersamaku.

Perjalanan ini amat bermakna sekali. Jauh dari jangkaan.
Orang yang kusayangi ada bersama, precious cargo yang tak ternilai harganya. Akan ku jaga, belai dan tatang bagai minyak yang penuh. Itu janjiku.

bermakna... terkesan

Lebih bermakna bila Mak dapat dipertemukan dengan insan tersayang. Segalanya bagaikan fantasi. Impian indah yang didambakan selama ini menjadi kenyataan dan akan kekal abadi dalam ingatan. Semuanya dengan kehendak Allah.

Kelunakan azan maghrib dari masjid di tepi sungai menambahkan syahdunya suasana. Aku yakin ianya akan berbekas dan terkesan kekal sepanjang hayat. Ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menduga.

Untuk insan yang menyambut HRAA di kampung halaman, segala pengorbanan yang dilakukan menjadi sangat bermakna jika dihayati sepenuhnya. Kesempatan yang amat terhad ini dimanfaatkan sebaik mungkin. Ia mungkin datang sekali dalam hidup.

Moga sentuhan tangan meleraikan rindu dendam yang terkumpul dibenak selama ini. Pelukan mesra mengeratkan silaturrahim. Sapaan lembut menguntum senyum. Keintiman terserlah.

Aidiladha kali ini ialah pengorbanan, Takbir dan takdir.

Siapa pun tidak menyangka.
Waima aku sendiri.
Bertuah...

Beib bangga dan terharu kerana masih ada...
...insan yang ingin bertemu dan bersala M
memeluk dan menyap A
Mak yang membuatkan hati aku menjadi seba K