Thursday, April 30, 2009

Anak Lelaki Mak Akur....

Rumpun buluh untuk buat kail dan tempat aku dan kawan-kawan bermain meriam tanah

Assalamualaikum / Good Day.....

Aku balik kampung lagi.
Panggilan Mak tak mampu aku ingkar.Bila Mak telefon supaya aku balik tengok dia, aku tak membantah. Aku berusaha untuk balik bertemunya.
Inilah satu-satunya Mak aku. Ori lagi!
Terasa baru lagi aku balik kampung. Namun, bila disebut balik kampung aku jadi sangat teruja.
Rujuk sini.
Seperti biasa perjalanan selama 7 jam terasa sekejap kerana yang menanti ialah Mak.
Penat dan letih memandu terubat bila dapat melihat dan memeluk yang disayang.
Memandu secara berhemah dan singgah di beberapa lokasi untuk berehat membuatkan aku lewat sampai di Anak Bukit.
Kata orang, "its better late then never"

Inilah rumah nostalgia. Ada verandah tanpa balkoni.Lain orang, lain rumah dan lain juga nostalgianya.
Rumah arwah Pak yang masih lagi baik, ditinggalkan kosong tanpa penghuni.
Aku biasanya bermalam untuk mengembalikan impian indah bersama arwah Pak.
Kembali ke kampung meredakan perasaan dan mengembalikan ingatan...
Sesungguhnya kepulangan kali ini amat bermakna. Mak dan mereka yang aku temui sentiasa ceria dan manja. Pertemuan selepas sebulan berjauhan mengeratkan lagi rasa kasih sayang. Terasa sangat tidak mahu berpisah.
Masa singkat bersama digunakan sepenuhnya dengan luahan kasih serta sentuhan sayang.
Mak......anak lelaki mu akur!
Beib tetap ingatkan yang disayangi sepanjang....
...perjalanan pulang dan kembali, siang dan malaM
rasa tersemat di dad A
kasih sayang yang tulu S
sehingga ketemu di lain ketik A

Friday, April 24, 2009

Alu, Lesung,Musik dan Agraris ...nostalgik

Assalamualaikum / Good Day.....
Sesekali keluar ke kawasan kampung melihat suasana dan masyarakat di sana memang seronok. Situasi yang nyaman dan tenang selalunya memberi ilham baru dalam diri.
Lingai,dalam daerah Batu Rakit merupakan satu kampung tradisional yang masih kekal dengan adat dan budaya Melayu Terengganu.
Dusun buah-buahan dan kebun getah menjadi latar bagi kampung ini. Redup, sejuk dan nyaman.
Di kampung ini jugalah aku berpeluang meneropong spesies burung Great Hornbill bersama Anuar Abdullah Mc Afee setahun yang lalu. Boleh di baca di sini dan di sini.
Lawatan singkat ke tapak rumah cikgu Asri Muhammad membuka mata dan rasa.
Yang aku temui ialah sejarah dan warisan.
Nostalgik dan sentimental.
Alu dan lesung.
Orang desa atau kampung pada zaman dahulu memiliki lesung dan alu untuk menumbuk padi. Padi, yang kebanyakannya ditanam sendiri, ditumbuk untuk dijadikan beras. Dikatakan beras hasil tumbukan ini, jika ditanak, rasanya sangat enak.
Padi yang dituai dan sudah kering dijemur itu dimasukkan ke dalam lesung sambil dipukul atau hentak dengan menggunakan tongkat kayu bernama alu. Dari hentakkan alu yang kompak itu, dihasilkan bunyi.
Menurut orang dahulu, lesung dan alu bukan sekadar untuk menumbuk padi. Lesung dan alu juga menjadi alat musik yang penting.
Di Perlis, ia dikenali sebagai Alu Bunyi. Popular di kalangan masyarakat petani atau agraris dan biasanya dilakukan ketika sedang mengerjakan sawah.
Lesung dan alu yang biasanya digunakan untuk menumbuk padi, dijadikan alat muzik yang mengluarkan bunyi dan irama yang khusus.
Yang menariknya, lesung dibuat dari kayu yang sudah tua manakala alu diperbuat dari kayu muda.
Tradisi unik ini biasanya dijalankan sewaktu selesai mengambil padi. Di waktu itu, emping dan ringgi ditumbuk.
Selain dari menjadi hiburan, acara menumbuk emping ini juga
berfungsi memangggil 'semangat padi' (roh padi) yang dipercayai dapat menghalau musuh padi seperti tikus, ketam dan burung yang sering merosakan tanaman padi.
Selain dari unsur magis, lesung dan alu turut dikaitkan dengan sosiobudaya rakyat. Situasi di mana masyarakat berhubungan, serta berinteraksi sosial.
Dalam pandangan masyarakat kuno, lesung dan alu menggambarkan nilai kesuburan. Nilai kesuburan tak hanya meliputi persoalan pertanian, tetapi kesuburan pada diri manusia (reproduksi).
Lesung dipresentasikan sebagai unsur yoni (perempuan) dan alu sebagai lingga (lelaki).
Kerana sacred atau suci, orang dewasa biasanya melarang anak-anak duduk di atas lesung. Larangan juga berlaku bagi perempuan yang datang bulan.
Apa sebabnya? Wallahuaklam..

Aku sebenarnya datang untuk mengambil rumput karpet yang hadiahkan oleh cikgu Asri dan tidak ada kena mengena dengan alu dan lesung.Tapi, bila terlihat alu dan lesung lama tersadai di bawah pokok mempelam, terasa macam ada perasaan nostalgik dalam diri.
Masa di Anak Bukit dulu, lesung yang biasa aku gunakan selain lesung dan alu seperti ini ialah lesung kaki atau lesung hindik. Rujuk sini.
Walau apa pun, alat tradisional ini berfungsi dengan berkesan mengikut arus zamannya.
Kini, aku kutip balik tinggalan zaman dan akan aku abadikan di sudut LamanNyaman sebagai ingatan nostalgik.
Kalau lah boleh aku ingin....
...dream... that makes all things possible..
...hope... that makes all things work...
dan membawa aku pulang ke era itu.
Tapi bak kata seorang teman:
......Kita berada dalam situasi mustahil...
Kami sama-sama akur dan menerima bahawa ianya adalah hakikat...
Lesung tidak lagi digunakan...
yang tinggal kini hanyalah lesung pipit.....

Beib sentiasa ingat peranan lesung dan...
...kehidupan semasa zaman remaj A
tempat di mana sanak saudara bergau L
menumbuk padi dan emping yang kemudian ditampi dengan nyiru U

Tuesday, April 21, 2009

Sedangkan lidah lagi tergigit.....


Assalamualaikum / Good Day.....

Dua insan yang mempunyai idea yang berbeza boleh menyebabkan perbalahan dan pertengkaran. Inilah situasi di mana seseorang itu selalu memikirkan bahawa dia mempunyai konsep yang betul manakala yang seorang lagi juga berpendapat dia juga demikian.
Kedua-duanya akan cuba mengatasi kepandaian (outsmart) antara satu sama lain sehingga salah seorang berjaya.
Pecakapan pun bagaikan bertih. Pantas memintas dan bijak berhujah.
Ayat dan istilah mengalahkan peguam.
Egokah keduanya?

Ini ialah konflik yang berkaitan dengan pegangan dan kepercayaan. Tiada dua manusia yang serupa. Kita sebenarnya unik; bukan sahaja dari segi fizikal, malah mental dan emosi.

Banyak ketikanya pendapat dan pandangan kita tidak sehaluan dengan orang lain. Jadi, bagaimanakah manusia dapat menghalang konflik begini dari belaku?

Komunikasi ialah kunci untuk mengatasi kesangsian dan salah faham (misunderstandings).

Kita patut bagi orang lain tahu apa yang ada dalam minda kita. Jangan biarkan mereka tertanya-tanya atau meneka.

Ada insiden di mana sepasang insan yang hampir berpatah arang berkerat rotan dalam perhubungan tetapi apabila dibincang kembali dengan rasional dan matang, punca utamanya hanyalah silap komunikasi (miscommunication).

Satu tindakan yang bijak dan wajar. Cari sendiri punca isu berkenaan.

Perhatikan senario yang biasa kita hadapi— Sedikit silap faham (misunderstanding) dengan teman mengenai sesuatu perkara, yang kadang-kadang amat remeh, akan membuatkan kita berasa tidak selesa, terganggu dan hilang tumpuan semasa menjalankan tugas, bermesyuarat, bersama ketua atau rakan-rakan. Kita akan menjadi serba salah.

Jika kita memendam emosi yang terganggu itu di dalam benak dan jiwa, kita akan menjadi murung, sedih, pedih, geram dan segala macam perasaan yang berbaur.

Malahan merajuk atau 'majuk' seperti yang sering disebut oleh kenalan saya.

Kita mungkin memikirkan bahawa dengan mengatakan 'tak per lah', ' biarkanlah','apa-apa ajer lah', ' nak buat guaner', 'ikut suka awak la', 'whatever', merupakan jawapan peleraian untuk silap faham dan miscommunications ini tanpa menyedari bahawa isu ini mungkin akan menjadi lebih parah.

Silap faham ini boleh menimbulkan perasaan negatif dan jika tidak ditangani dengan berkesan akan membawa kepada perasaan marah, sakit hati, dendam (resentment), pengasingan (alienation) dan perpisahan (separation).

Kita kadang-kadang tertanya-tanya bagaimanakah sesuatu perhubungan itu menjadi tidak betul, silap atau bermasalah?

Sebab utamanya ialah, kita gagal berkomunikasi dengan jelas, betul dan bermakna (failure to communicate clearly), satu situasi miscommunication akan membawa kearah salah faham dan salah tanggap.

Miscommunication dan kegagalan menyelesaikan isu biasanya akan melibatkan perasaan yang terluka dan gelodak emosi. Ini seterusnya akan menjurus kepada salah menyalah, mencari kesalahan, marah, mempertahan atau membela diri (defensiveness), serangan 'menyekik' - tanya orang Kelantan atau orang Terengganu maksudnya, (sengaja menyakitkan hati atau sinis), justifikasi, merasa dimangsakan, memberi alasan dan sebagainya.

Kesan himpunan dari ketidakupayaan berkomunikasi dengan berkesan akan menyebabkan ketidakselesaan dan emosi terluka dalam perhubungan.

Akibatnya, kita akan hilang perasaan iklas serta luhur yang datang dari hati nubari yang amat penting dalam perhubungan yang sihat dan subur.

Kita akan rasa seolah-olah terhumban dalam kancah emosi yang tak menentu sambil mengharapkan ianya akan menjadi lebih baik.

Kita juga cuba memisahkan antara hubungan peribadi (personal) dengan hubungan profesional, disamping mengharapkan aspek emosi terpelihara.

Yang pastinya, masalah ini sering berlaku dalam semua jenis perhubungan —miscommunication, isu-isu yang sukar diselesaikan, salah tanggap, marah, kecil hati, perasaan ingin mempertahankan diri, dsb.— semuanya akibat dari perhubungan yang dianggap gagal. Ianya amat memeritkan serta menyakitkan mental, emosi dan fizikal.

Manusia sanggup berbelanja wang yang banyak untuk perkahwinan, perniagaan, bercuti serta membeli apa sahaja peralatan yang dimimpikan kecuali untuk satu perhubungan yang mesra.

Selalunya kita akan beranggapan bahawa, ‘Kita orang dewasa dan kita tahu bagaimana untuk berkomunikasi.”

Kenyataannya ialah, ramai orang yang sebenarnya tidak tahu berkomunikasi dengan berkesan!

Kita membayar harga yang mahal akibat dari kejahilan kita. Kegagalan dalam perkahwinan, famili yang bercerai-berai, perniagaan yang gagal, kepedihan emosi dan stres, yang seterusnya mengakibatkan masalah kesihatan fizikal - tekanan darah tinggi, ulcers, serangan jantung, strokes, migraine dan berbagai lagi.

Ini tidak sepatutnya berlaku. Ada rahsia dan strategi yang boleh kita pelajari bagaimana untuk megendalikan satu perhubungan yang suci dan berkualiti samada personal atau profesional, yang tidak diajar dimana-mana sekolah.

Rahsia dan strategi ini sebenarnya tidak mahal tapi berharga.

Ianya boleh di pelajari melalui pengalaman serta pemikiran yang waras dan wajar. Kata bijak pandai, " kita perlu belajar dari pengalaman. Pengalaman adalah guru yang sejati".

Ayuh! sedikit common sense akan menyelamatkan kita dari terjerumus ke kancah perselisihan faham yang menyakit dan memeritkan.

Aku serik mengalami situasi begini.

Aku mahu melihat wajah chubby dan cute terpampang di depan mata.

Aku ingin terus senyum serta respons dengan matang dan kecindan.

Aku sayang pada perhubungan ini....

Communication is a gift. Use it wisely for everyone's advantage.

Beib harap komunikasi dan hubungan akan sentiasa kekal.....
....mesra serta akra B
tidak diganggu gugat oleh apa jua angkar A
saling sayang menyayang I
moga tercapai hasrat dan kehenda K
* ada yang nak kena sekeh ni?

Saturday, April 18, 2009

Aku,Guru: Menjunjung Budi

Mesyuarat mengeratkan

Assalamualaikum / Good Day.....
Bergegas balik dari KB, aku terus menghadiri Mesyuarat JK Urusetia Program Menjunjung Budi Guru Pedalaman Sempena Perayaan Hari Guru Kebangsaan 2009 di Bilik Gerakan Balairaya Teluk Ketapang.
Program ini melibatkan 124 orang guru dari kawasan pedalaman yang akan menginap di Homestay Teluk Ketapang (HSTK) selama 2 hari.
Aku turut terlibat sebagai Ketua JK Pengurusan Meja Makan Malam VVIP serta menjadi hos kepada 3 orang guru angkat tersebut. Pasti ianya menarik nanti. Pengalaman baru dan bermakna.
Program yang julung kali diadakan ini ialah untuk memberi peluang kepada guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman merasai suasana sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan secara langsung.
Mereka yang terpilih akan diterbang dan dibawa khas ke program ini dari Sabah, Sarawak, Pahang, Ulu Kelantan serta dari kalangan guru-guru Orang Asli mulai 14 Mei 2009.
Sambutan secara tradisional akan diberikan oleh penduduk dan peserta HSTK pada pagi tersebut dan ikuti dengan penyerahan anak angkat (guru-guru tersebut) kepada keluarga angkat oleh KPPM dan TKPPM.
Pelbagai acara disediakan untuk mereka.
Majlis Sambutan:
Bunga Manggar
Kompang
Paluan Rebana Ubi
Bunga Telur
Pulut Kuning
Sirih Junjung
Bunga Rampai
Iringan Hulubalang
Persembahan Silat Pulut
Di Laman Budaya pelbagai aktiviti pertontonkan:
Batik canting
Ukiran kayu
Menyusun sirih
Pameran kuih-kuih tradisional
Menyirat (menagait) jala
Membuat wau
Anyaman tikar
Anyaman daun kelapa
Urutan Refleksologi (OKU)
serta persembahan pentas yang menarik turut dipersembahkan:
Tarian Selamat Datang
Anok Itik Tok wi
Dikir Barat
Gamelan
Nyanyian solo
Permainan Tradisional Terengganu - Cak Kekok kaki Ayam, Ek Lok Ek, Tok Tok Na dan Cak Cilik Cilang Ong.

Persiapan yang rapi dan mantap dibincangkan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
27 JK Kecil akan berganding tenaga dalam menjayakan program ini.
Masing-masing punya peranan yang khusus dan penting.
Kejayaan program ini akan membantu merealisasikan satu lagi program peringkat antarabangsa yang akan berlangsung pada pertengahan bulan Jun nanti iaitu 2nd Malaysia-ASEAN School Linkages 2009.
Sila rujuk di sini.

Sesungguhnya, keterlibatan ini adalah sesuatu yang sangat mengujakan.
Sesuatu yang baru akan dipelajari.
Seseorang yang baru akan dikenali.
Semangat yang baru akan kentali.
Keakraban, kesepakatan dan keeratan AJK dalam melaksanakan tanggungjawab diharap akan menepati maksud Hadis yang berbunyi:
"Seseorang mukmin dengan mukmin yang lain laksana rumah batu yang satu menguatkan yang lain"

Ini ialah impian indah setiap insan dalam taman budi.
Terkesan, terangsang dan menggunung.
Dan aku mau menjadi sebahagian darinya.
Bagaimana anda...?

Beib gembira kerana menjadi.....
.....ahli yang turut sert A
menjayakan program dan pake J
yang melibatkan warga pendidi K

Seni dan turunan Cik Siti Wan Kembang...


Assalamualaikum / Good Day.....

Teruja bila aku dijemput untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran JPNT yang ada kaitan dengan Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Seni Visual (SV) di Kota Bharu (KB), Kelantan dari 16-18 April.
Sebenarnya kami kerap bertemu dan berbincang mengenai halatuju dan kecemerlangan PSV dan SV di negeri Terengganu.
Bacaan tambahan di sini dan sini.
Aku terpaksa meninggalkan Kem Chorasical yang sedang belangsung di BTPN (15-17 April). Sebenarnya kedua-duanya penting.
Mesyuarat PSV untuk anak didik di Terengganu sementara Kem Chorasical untuk pendidikan nasional.
Sudah agak lama tidak menjejakkan kaki di KB Bandaraya Islam, yang sering aku kunjungi kerana ber shopping atau menziarahi sanak saudara di sana.
Baru sebulan lalu aku melintasi tanah jajahan Kelantan melalui Wakaf Lichong, Machang, Tanah Merah ,Bukit Bunga, Jeli, Batu Melintang, memasuki Jalanraya Timur Barat untuk balik ke kampung di Anak Bukit, Kedah.
Satu rutin yang aku lalui selama hampir 25 tahun. Boleh dibaca di sini.


KB sudah kelihatan maju dan membangun dengan pesat.
Negeri Cik Siti Wan Kembang semakin ayu dan anggun, terus matured mengikut arus zaman sebagaimana penghuni atau anak watannya. Samada ditanah airnya atau yang diperantauan.
Aku tidak terkecuali.
Kenapa pulak aku?
Sebab aku juga punya darah Kelantan dari turunan datuk, arwah Hj. Jusoh bin Yunus (ayah mak) yang berasal dari Kampung Mentuan, Gertak Kecupu, Kelantan.
Hingga kini masih ramai cucu saudara yang masih ada di kampung tersebut dan di sekitar Kelantan.
Mungkin akan aku kisahkan kemudian.
Perbincangan mengenai kecemerlangan seni visual di negeri Terengganu

Mesyuarat kali ini melibatkan 2 orang pegawai dari JPNT dan 14 orang termasuk 5 muka baru dalam kumpulan AKRAM (Angkatan Kerja Rajin dan Mulia) PSV/SV.
En. Ahmad Puad bin Abdul Aziz - JPNT
En. Wan Razali bin Wan Nawang - JPNT
9 orang Guru AKRAM senior:
Tn. Hj. Mohd Zukifli bin Ariffin
Tn. Hj. Muhd Suib bin Senin
Tn. Hj. Habibuddin bin Hj. Rejab
En. Ridzuan bin Ghazali
En. Ahmad bin Abd. Ghawi
En. Naim bin Lasiman
En. Amra bin Ismail
Pn. Rohana bt. Hussein
Cik Salbiah bt. Yahya
5 orang Guru AKRAM lantikan baru:
Pn. Aliza binti Abdul Rahman
Cik Norafizah binti Ngah
En. Rosli bin Sayuti
En. Zulkifli bin Ngah
En. Azmi bin Sulaiman

Keperluan ini makin terdesak kerana tenaga muda akan dilatihbimbing untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh ahli senior selama ini.
Barisan pelapis perlu. Idea dan tenaga baru serta muda akan menjamin kesinambungan halatuju PSV dan SV negeri.
Mesyuarat kali ini merangka satu strategi merangsangkan PSV.
Diharap ianya akan membawa PSV ke mercu kecemerlangan. Pencapaian 98% dalam SPM dan STPM pada tahun ini menjadi penjana kepada matlamat sifar gagal dalam peperiksaan tersebut di tahun hadapan.
Moga kemasukkan tenaga baru akan merangsang kemajuan PSV dan SV di Terengganu.
Kita kesampingkan jumud, tepu dan beku.

Beib amat berharap tenaga baru akan menyemarakkan.....

...seni dan meningkatkan statu S
melalui karya dan isme-ism E
menjadikan subjek ini bertambah mapa N
dan sanjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk insan yang bukan sen I

*
Memilih kain baju dan kasut juga perlu ada intuisi seni waima mengecat rumah sekali pun.
Aku sering nyatakan ini pada teman sahabat yang ingin tahu fungsi seni.

Friday, April 10, 2009

Aku jadi ayah lagi.....

Misaki Yamamoto (Jepun), Lia dan Nia (Indonesia)
merupakan anak-anak angkat yang pernah bertandang


Assalamualaikum / Good Day.....

Dalam sibuk mengendalikan kem Chorasical di BTPN, Marang aku menerima sms untuk satu mesyuarat penting iaitu Mesyuarat JK Kerja
peringkat Homestay Teluk Ketapang bagi Program 2nd Malaysia-ASEAN School Linkages 2009.
Program antarabangsa ini melibatkan lebih seratus orang pelajar dari 10 buah negara ASEAN yang akan bertandang ke Malaysia dan menginap di KT khususnya di lokaliti kami (Teluk Ketapang/ Seberang Takir/Gong Badak) dari 17-21 Jun 2009.
Ini akan berlangsung sebulan selepas 124 orang guru dari kawasan pedalaman yang akan menginap di Homestay Teluk Ketapang.
Aku juga terlibat menjadi hos kepada 3 orang guru angkat sempena Program Menjunjung Budi KPM sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009.
Ini akan aku perincikan kemudian.
Sementara itu, antara aktiviti Program 2nd Malaysia-ASEAN School Linkages 2009 ialah:

‘Homestay’ Programmes

‘One Day At School’ Programme

Cultural Presentation and Sharing of Experiences

Aku difahamkan bahawa objektif program ini ialah:

"to promote an exchange of culture, ideas and knowledge among Asean students.

Ini juga satu kaedah mendedahkan kepada pelajar-pelajar dari negara ASEAN tentang budaya dan nilai hidup masyarakat Malaysia.
Selain dari itu, ianya adalah salah satu cara memanjangkan kolaborasi di bidang pendidikan antara negara-negara ASEAN.
Turut hadir ialah beberapa orang pegawai dari KPM, selaku JK Induk Program ini.
Kehadiran mereka adalah untuk mendapatkan gambaran jelas tentang rumah-rumah yang akan diinapi oleh pelajar-pelajar tersebut.
Kejayaan dan keberkesanan program ini bergantung kepada kerjasama antara Ibubapa Angkat, pengelola serta peserta program.
Aku sebagai salah seorang AJK Kerja dan bakal ayah angkat pelajar akan memastikan program ini berjaya dan bermanfaat pada semua pihak.
Pengalaman mengambil anak angkat antarabangsa dari Jepun dan Indonesia pastinya membuatkan aku lebih bersedia menerima 3 orang anak angkat dari negara ASEAN nanti.

Kewarasan dan kewajaran terhimpun dari pengalaman.

Beib merasa seronok terlibat dalam aktitivi mengambil anak.....
...dari luar negar A
selain dapat berkenala N
boleh juga berbincang tentang pelbagai bidan G
tentu serono K
bertukar fikiran dan ide A
serta memberi pendapa T

Tuesday, April 7, 2009

Membenarkan kata-kata Joseph Goebbels

Assalamualaikum / Good Day.....

Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Nazi German, pernah berkata sebagaimana yang sering diungkapkan "if a lie were repeated publicly often enough, it becomes the truth."
Inilah yang berlaku sejak beberapa hari yang lalu.
Manusia memang suka 'membawa mulut', gemar menceritakan hal-hal orang, terutamanya yang negatif atau yang dianggap negatif tanpa usul periksa dan bukti yang sahih.
Tokok tambah dan memanjanglebarkan sesuatu yang belum tentu atau tidak nyata, merupakan intipati perbualan segelintir manusia yang tiada nilai dan harga diri.
Golongan yang bertopengkan manusia ini, adalah parasit yang bertenggek dan bergelumang dengan najis fitnah.
Rasa hormat pada golongan ini terhapus sama sekali.
Betullah tindakanku bila ditegur seseorang tempohari.
" Sorang saja, mana kawan?"
"Lebih baik bersahabat dengan laptop dan buku dari berkawan dengan orang yang belum tentu boleh dinilai hatibudinya. Setidak-tidaknya buku tidak memfitnah, malahan ia memberi ilmu", ujarku.
Muhasabah diri bermula....
Hell with them!
Beib berdoa agar Allah berikan yang.....
sahih, bersandarkan sebab musaba B
dalam menangkis kata nist A
gosip, fitnah dan tuduhan ikut sedap hat I
golongan parasit, bebal dan penyanga K

Sunday, April 5, 2009

SMS: not to be forwarded....

Grafik hanya hiasan


Assalamualaikum / Good Day.....

Kali ini aku hanya ingin berkongsi kandungan sms yang aku terima dari seorang kenalan yang sangat istimewa. Kebanyakan smsnya meransang minda dan memberi makna baru dalam kehidupan seharian.
Moga ianya juga memberi pengertian dan manfaat pada kalian.

'...Kawan yang paling baik
ialah
seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian

dan
berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun

dan
kemudian berjalan pulang dengan perasaan
bahawa

itulah perbualan yang paling hebat yang pernah anda alami...'


"...adakalanya kita perlu MENANGIS
agar kita tahu hidup ini bukan sekadar KETAWA
dan adakalanya kita perlu KETAWA
agar kita tahu mahalnya nilai AIRMATA.."


'...bersyukur pada orang yang MENYAKITI
kamu kerana dia yang MENABAHKAN kamu,
bersyukur pada orang ynag TAK MENGENDAHKAN kamu
kerana dia yang MEMUPUK kamu BERDIKARI,
bersyukur pada orang yang MENJATUHKAN kamu
kerana dia orang yang MEMPERHEBATKAN
kemampuan kamu,
bersyukur pada orang yang MENYIKSA kamu
kerana dia yang menguji KESABARAN dan KETABAHAN kamu..'

Tiga sms yang meruntun jiwa, menggamit rasa dan membuka minda.
Pengertiannya mendalam. Silalah buat tafsiran sendiri. Kebenaran terserlah, hakikat terdedah.
Justifikasi dan wajaran perlu seiring.
Moga sms sebegini terus terpapar di skrin telefon bimbit kita dan menjadikan kita lebih matang.
Membuatkan minda kita tidak kaku, tepu dan
beku.
Ayat-ayat yang terus memanusiakan manusia.
Terima kasih kenalan.
Harap persahabatan berkekalan di sepanjang jalan kehidupan.

Beib amat teruja bila menerima.....
.....mesej berunsur nasihat, pedoman dan tazkirah yang puiti S
menjadikan hidup lebih bermakna, aman dan tentera M
mematangkan fikiran, minda lebih luwe S