Thursday, August 21, 2008

Arigato! Misaki....

Adeq, Qaqaq, Misaki Yamamoto dan Acik

Assalamualaikum / Good Day.....
Bila diberitahu bahawa satu rombongan pelajar dari Jepun akan tiba di KT dan tinggal bersama keluarga angkat selama 4 hari aku rasa amat teruja.
Panggilan telefon dari Syed, S/U Belia Teluk Ketapang aku panjangkan kepada KakWan dan anak-anak. Mereka setuju. Acik dan Adeq tak sabar menunggu kehadiran kakak angkat mereka. Qaqaq, yang sedang menghabiskan cuti semesternya pun
turut gembira nak sambut ahli keluarga sementara yang baru.
Sebelum ni kami belum pernah mengambil anak angkat samada dalam negeri atau luar negara. Peluang yang diberikan oleh Persatuan Alumni Malaysia Japan (PAMAJA) dengan kerjasama Persatuan Belia Teluk Ketapang amat kami alukan. Bila ditawarkan seorang anak angkat, aku terus menerima.

Aku diberitahu bahawa anak angkat yang akan datang ke KT ialah seramai 10 orang dan berumur antara 13 – 17 tahun. Mereka terdiri dari pelajar pelbagai sekolah – Junior dan High School di Toyokawa.

Aku memilih pelajar perempuan yang berumur 13 tahun. Sebaya dengan Adeq dan Acik.

Sesampainya mereka dari KL, Majlis penyerahan anak angkat diadakan. Aku sendiri saspen untuk mengetahui siapakah anak Jepun yang akan aku jaga selama 4 hari.

Akhirnya terjawab juga bila MISAKI YAMAMOTO, 13 diserahkan kepada kami sefamili.

Baru sejam sampai dah mesra dengan famili menjamu selera di meja Jepun

Berasal dari Ikebata, Kanazawacho. Toyokawa City, Aichi Prefecture, Misaki boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan baik. Ini memudahkan komunikasi.

Dalam sekejab masa sahaja Misaki diterima baik oleh ahli keluarga aku.

Orangnya berdisiplin dan lembut.

Adeq menerima cenderamata dari Misaki

Pelbagai hadiah dan cenderamata yang kami terima darinya. Rupanya dia telah dimaklumkan mengenai latar belakang keluarga kami. Berapa dewasa, lelaki, perempuan dan peringkat umur.

Selama empat hari kami mempelajari pelbagai karektor dan budaya insan Jepun ini.

Mempamerkan budaya Melayu dan menerapkan nilai murni Islam, membuatkan dia amat tertarik bersama kami. Hinggakan dia menyatakan hasratnya untuk terus berada di sini. Kami sekeluarga amat terkesan.

Menikmati kemeriahan Pasar Malam, Pak Tuyu

Aku katakan, jika dia ingin kembali ke sini di masa akan datang, dia amat dialukan.

Tambahan pula pelbagai barangan Jepun yang ada di sini yang membuatkan dia terasa seperti berada di tempat sendiri. Apa tidaknya kami bawa dia menaiki Toyota Vios, menonton TV Sony, mengambil foto menggunakan Nikon DSLR. Dia mandi dengan hot shower Panasonic dan berada dalam bilik dengan pendingin hawa National. Menghantar e mel kepada ayahnya menggunakan lappie Acer. Membasuh bajunya dalam mesin basuh Hitachi, makan menggunakan meja Jepun dan yang paling istimewa menyarung selipar Jepun berjalan disekitar rumah. Apa lagi yang tidak diJepunkan?

Beli belah di Pasar Payang

Bagi Acik, Adeq dan Qaqaq, pengalaman berinteraksi dengan Misaki menjadikan mereka lebih matang dan terbuka.

Banyak juga yang diajar dan dipelajari oleh Misaki mengenai adat resam dan budaya Melayu. Makan nasi tanpa chopstick, merasakan pelbagai masakan dan buah-buahan tempatan, duduk bersimpuh, memakai baju kurung serta bertudung, malah turut mengaminkan doa sebelum makan.

Mencuba baju kurung

Adat resam Melayu cuba diamalkan

Main selambut bersama cucu saudara

Durian....oh! tak sanggup dijamah langsung

Aku harap pengalaman ini memberi keyakinan diri yang tinggi kepada anak-anak aku untuk lebih mengenali manusia dari pelbagai budaya serta latar belakang seperti firman ALLAH dalam Al Qur'an yang ertinya:

"Wahai Manusia, Kami ciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia diantaramu disisi Allah adalah yang paling takwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal". Al Hujuraat: 13

Tiga lagi sahabat dari Jepun yang turut bertandang ke rumah

Salah satu pokok perintah yang secara jelas dapat kita lihat dalam Surat Al Hujuraat ayat 13 adalah perintah agar kita saling mengenal dengan masyarakat sekeliling kita, tanpa harus membezakan bangsa, agama, suku ataupun dari golongan mana individu tersebut berasal. Dengan kata lain salah satu kewajiban yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk hidup bermasyarakat, yang tentunya tidak dapat lepas dari konsep tentang hubungan antara manusia sebagai individu yang merupakan unsur terkecil dalam membangun sebuah masyarakat.

Kehadiran Misaki membuatkan anak-anak aku lebih memahami hidup bermasyarakat. Sifat bertolak ansur, berdisiplin, hormat menghormati serta nilai-nilai murni yang sarankan oleh semua pihak diterapkan secara tidak langsung.

Tahun depan mungkin kami akan cuba dapatkan anak angkat dari negara lain pula bagi merealisasikan ayat 13 Surah Al Hujarat di atas.

Misaki (kanan sekali) telah menjadi sebahagian dari famili kami

Beib berharap dapat melawat Misaki dan negaranya...

walaupun bersama pake J

untuk menghayati kabuki, yukata, sushi, mangga, origami serta anim E

Aku sangat berhara P

Disuatu wakt U

Malaysia juga akan seperti NIPPON, terus mapa N

Sunday, August 17, 2008

Permatang Pauh @ Pasar Payang?


Assalamualaikum / Good Day.....
Membeli belah sambil photo shoot di Pasar Payang, KT menemukan aku dengan signage menarik. Kehangatan bahang pilihanraya kecil (PRK) di Permatang Pauh menjalar hingga ke Pasar Payang.
Yang menarik tentang signage ini ialah PP yang bermaksud Pasar Payang juga sinonim dengan Permatang Pauh. Manakala 44, ialah nombor kedai yang bersamaan dengan kawasan Parlimen 44.
Di Pasar Payang pembeli harus bijak memilih barangan,tetapi di Permatang Pauh pengundi perlu bijak membuat pilihan. Masa depan negara tidak harus digadaikan, seperti kata Nabil Raja Lawak "Lu pikirla sendiri".
Terkilan juga kerana tak dapat merasakan suasana PRK yang terhebat di abad ini.
Beib berharap pemilih di Permatang Pauh tidak akan mensia-siakan ....
peluang untuk memilih wakil rakyat bar U
yang akan mengekalkan perpaduan serta membawa perubaha N
berkhidmat kepada rakyat sebagai satu jiha D
tanpa memikirkan kepentingan dir I

Monday, August 11, 2008

BIBIR MANIS

Tengok papan tanda pun dah terliur
Assalamualaikum / Good Day.....
Antara makanan kegemaranku ialah satay. Selain dari itu, koayteow.
Satay yang dianggap popular di Malaysia ialah Satay Kajang Haji Samuri (SKHS). Biasa juga aku pekena samada di Kajang berhampiran dengan Stadium Kajang, di Putrajaya atau di R&R Awan Besar jika aku bermesyuarat di Putrajaya.
Oleh kerana SKHS nun jauh dari tempat aku, maka pilihan yang terdekat ialah Satay Bibir Manis. Walau tidak sehebat SKHS namun ianya menepati selera kami anak beranak.
Dengan harga RM1.00 untuk tiga cucuk/batang, satay ini menjanjikan kepuasan. Memang harganya murah teramat jika dibandingkan dengan SKHS atau lain-lain satay. Yang pasti, kualiti rasanya boleh dibanggakan.
Jika ingin mencuba Satay Bibir Manis bolehlah ke Gong Badak atau bertandang ke rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri aku nanti.
Jumpa di sana......
Beib suka makan satay...
tapi tidak melebihi ha D
kerana kesihatan mesti dijag A
bimban G
takut dapat darah tingg I
nanti bergantung pada ubat-ubatan N
selain dari pelbagai pantan G

Wednesday, August 6, 2008

Dari AUSTRIA penuh ceria...

Peter dan Gabi dengan air gelas besar
Assalamualaikum / Good Day.....
Setelah sekian lama menanti dan saling berutus e mel akhirnya kenalan internet aku ni selamat sampai di Malaysia, Terengganu dan Gong Badak (rumah aku).
Jam 9 malam aku dan seisi keluarga telah menanti mereka di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu.
Siangnya aku cuba hubungi MAS untuk mendapat kesahihan mengenai penerbangan mereka berdua namun nama mereka tiada dalam pangkalan data penumpang. Aku cuba hubungi Airasia, gagal kerana telefon tidak dijawab. Jadi, aku cuma tawakkal dan berharap mereka akan sampai di LTSM pada malamnya sebagaimana yang diberitahu oleh Gabi .
Sesampainya aku di depan pintu Balai Ketibaan, ternampak aku akan wajah yang aku kenali dalam e mel. Gabi dan Peter dah betul-betul sampai. Mereka terkejut bila mendapati aku menanti mereka kerana hasrat mereka ialah untuk menaiki teksi sahaja ke rumah kami.
Di tangan Gabi ialah salinan entry blog dan alamat rumah kami untuk rujukan mereka dan pemandu teksi. Bersungguh nampaknya mereka.
Setelah bersalaman dan bertanya khabar, aku bawa mereka ke kereta untuk dibawa pulang ke rumah. Oleh kerana dahaga, aku terus membawa mereka menikmati Air Gelas Besar Piyor yang masyhur di Seberang Takir, KT.
Sambil minum kami bertanya khabar dan mengalu-alukan kehadiran mereka yang pertama kali ke Malaysia. Aku amat berharap Terengganu akan meninggalkan kenangan yang manis buat mereka nanti. Kehadiran mereka selama 3 hari 2 malam juga memberi seribu makna kepada keluarga kami dan Wankay Homestay(WKH)
Tekun mendengar perihal sirih dan bunga melur (Jasmine) yang ada di Laman Nyaman
Beib teruja mendapat tamu dari..

luar negar A
berkongsi pengetahuan dan ilm U
menambah pengalaman dalam tuga S
sambil memperkenalkan pelbagai tempa T
budaya tempatan turut diaja R
agar mereka lebih mengenal I
hati budi rakyat Malaysi A

Sunday, August 3, 2008

Dengar ke tak ni?

Berhadapan lebih 250 orang
Assalamualaikum / Good Day.....
Bila saja aku menerima fax dari pihak JPNT yang memohon aku untuk memberi taklimat mengenai Sekolah Seni Malaysia (SS), aku berasa sangat teruja kerana hasrat untuk menyampaikan maklumat yang telah lama tersimpan ini akan dapat dilaksanakan.
Matlamat utama ialah untuk menerangkan dasar, proses permohonan, kemasukan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan SS. Bacaan lanjut sini dan sini.
Majlis yang berlangsung dari jam 2.00 petang telah dihadiri oleh lebih kurang 250 orang GPK II dan HEM sekolah rendah dari seluruh negeri Terengganu.

Sebahagian peserta yang mula memenuhi dewan

Perjalanan taklimat lancar walaupun sedikit panas akibat dari bahang cuaca. Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) hampir padat dengan hadirin yang datang dari seluruh pelusuk negeri.

Aku amat terharu bila mendapati ramai yang berminat dan tekun mendengar taklimat yang turut disampaikan oleh wakil dari Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK)KPM.

Moga penjelasan mengenai SS akan membuka mata dan minda guru serta ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap kerjaya dalam bidang seni.

Sepertimana yang pernah aku nyatakan dulu bukan senang berhadapan dengan pelbagai karenah pendengar dari belakang rostrum. Namun , Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan aku berpuas hati dengan komitmen dan perhatian yang diberikan oleh audiens.

Kepada teman-teman yang belum pernah mencuba berada di belakang rostrum, why not try once? Masa itu barulah kita tahu betapa siksanya berada di situ. Hanya melalui latihan, keyakinan serta keberanian kita akan dapat melakukan dengan jayanya.

Beib kepingin menjadi seperti...

ahli pidat O
yang berupaya menarik pendenga R
menghayati angka dan fakt A
yang terbit dari minda serta mulu T
pemidat O
yang tersoho R

Saturday, August 2, 2008

Acik marah Pa lagi...?

Acik menerima sijil dari YB Datuk Rahin b. Dato' Hj. Muhd Said
EXCO Belia dan Sukan Negeri Terengganu
Assalamualaikum / Good Day.....
Siapa yang tidak gembira jika anakandanya berjaya dalam pelajaran. Aku tak terkecuali. Acik, yang masih di Tingkatan 2, menerima anugerah kerana pencapaiannya yang cemerlang dalam Bahasa Inggeris. Tahniah Acik!
Dalam mata pelajaran lain, perbezaan markah yang tipis menyebabkan dia terkeluar dari senarai penerima anugerah. Walau bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana ada peningkatan yang ketara menjelang PMR tahun 2009.
Harapan kami sefamili agar Acik akan terus maju jaya menandingi Abang dan Qaqaq yang mencapai 9A dan 8A dalam PMR mereka.
Qaqaq turut menerima anugerahnya tahun lepas. Lihat sini.
Menyusul nanti ialah Adeq yang akan mengambil UPSR tahun depan.
Hari Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Mesyuarat Agung PIBG kali ke 6 SMK Kompleks Gong Badak ini juga turut melibatkan aku sebagai AJK PIBG.

Tekun mendengar soalan ahli PIBG

Pelbagai isu berkaitan kecemerlangan pelajar dibincangkan. Ahli mesyuarat begitu komited dalam memastikan peningkatan dan kemajuan akademik serta kokurikulum pelajar.

Moga prestasi pendidikan terus diangkasakan dalam memartabatkan modal insan.
Beib ingin terus menyumbang dalam...
pendidikan sebagaimana yang dihara P
membantu meningkatkan prestas I
akademik, kokurikulum dan ada B
menjadikan pelajar Cemerlang, Gemilang dan Terbilan G