Monday, April 5, 2010

Leraikan Hati...


Assalamualaikum / Good Day.....

Entah kenapa hati ini terasa sayu, sedih dan pilu. Segala yang ada di dalam jiwa meronta. Kepedihan dan kesakitan emosi mendesak dada.

Dicelah riang ada duka.Pengubat rasa tiada di depan mata.
Yang ada hanya La Tahzan - " Jangan Bersedih" - Don't Be Sad -
Sesekali bila aku belek dan baca, ketenangan menyelinap ke dalam jiwa. Terlerai rasa yang terbuku di hati.

Tanpa berhujah berbahas berapi-rapi, aku tangani kesedihan dan amarah yang sering berlaku dengan menelaah buku ini.

Bila emosi dan kata-kata menjadi api,
Panggilan bukan lagi terapi,
Segala ayat menyakitan hati,
Yang terbaik ialah berdiam diri....

Lalu aku capai dan hayati kulit buku ini yang berbunyi...

Semangat dan azam untuk hidup hari ini

tanpa kesedihan,

tanpa keresahan,


tanpa kemarahan,


tanpa kedengkian


dan


tanpa kebencian.





Kelegaan menusuk perlahan di jiwa, minda dan hati...
Alhamdulillah...
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Beib tidak mahu lagi diselubungi...
... rasa sakit kerana sika P
ego dan keras hat I
dalam apa jua isu dan ha L
kerana itu semua sangat menggangg U
*kesabaranku masih tekal kerana sifat sayangku...

Tuesday, March 30, 2010

Tak Mengapa, Aku Beralah...


Assalamualaikum / Good Day.....

Realiti atau Fantasi...?

Bayangkan senario ini:

Perasaan yang teramat sakit bukan kerana ditinggalkan sendirian tetapi dilupakan. Dilupakan oleh insan yang kita tidak boleh lupakan.

Ada ketika kita tidak mahu sesuatu itu berlaku tetapi kita terpaksa menerimanya.

Ada perkara yang kita tidak mahu tahu tetapi terpaksa belajar dan ada insan yang kita tidak boleh hidup tanpanya, tetapi terpaksa melepaskannya.

Awak tak kemana kan?
atau awak memang nak tinggalkan dan pergi jauh dari saya?

Janganlah tinggalkan saya keseorangan.

Temanilah saya.

Buatkan saya gembira
.
Hidupkan saya...
dan tolonglah...
tolonglah buatkan saya gembira, ceria bahagia.

Tapi andaikata, terpaksa pergi jua...
saya rela dan redha.
..
Biar aku beralah...

I'll let you go... if you say so...

Beib terima segala ketentuanNya dengan rela dan redha JIKA semuanya sudah ...
hilang dan pada M
dari hati, jiwa dan mind A
dan jika tiada apa lagi yang leka T
melainkan bagai mimp I
*Hanya Allah Yang Maha Mengetahui...Anugerah adalah dariNya jua...

Tuesday, March 23, 2010

Bila Emosi Itu Berubah....

Assalamualaikum / Good Day.....

Semasa aku berada di Shah Alam menghadiri mesyuarat/bengkel yang berkaitan dengan buku tempoh hari, aku dapat bertemu kawan lama dan bersua kenalan baru. Ianya merupakan sesuatu yang sangat menarik. Pengalaman serta ilmu dikongsi secara tidak langsung.

Tugas aku seperti biasa, memastikan bahan-bahan grafik sesuai dan menepati kehendak dan spesifikasi sesebuah buku. Sudah berbelas kali aku menghadiri sesi seperti ini. Setiap kali datang, aku akan belajar sesuatu yang baru. Ianya memahir dan menambah kecekapanku.

Kata orang practise makes perfect.

Dalam pada itu, kebiasaan juga menjadikan kita alpa. Kita banyak take for granted. Mengandaikan bahawa segala sesuatu itu akan sentiasa diterima dan difahami. Kesilapan mengandai inilah yang kadangkala mencetuskan krisis dan konflik.

Emosi dan mood adakalanya susah dibaca. Apatah lagi jika mata tidak bertentang dan kata-kata tidak didengar. Yang wujud hanyalah perkataan, fon dan mukataip. Dibaca dengan nada dan intonasi yang bebeza.

Inilah antara situasi yang aku hadapi. Cuba memahami dan membuat interpretasi.

Kesilapan akan menyebabkan timbulnya isu. Isu membawa padah.
Sukarnya untuk dimengerti hatibudi manusia walaupun kerap berinteraksi.
Adakah kerana perasaan lain yang lebih menguasai?

Entah bila akan dapat pengertian yang sejati?

Kuserah pada masa.
Kuserah pada Yang Maha Kuasa.

Beib amat menghormati...
...bahan bacaan seperti buku, majalah, jurnal waima kita B
semuanya memberi ilm U
menjadikan kita pandai, bijak dan cerdi K
hingga kini menjadi teman baikk U
*42 jam yang bahagia....entah bila pula..

Sunday, March 21, 2010

Lima Satu - Penghormatan...


Assalamualaikum / Good Day.....

Tidak semua orang suka menyambut hari lahir (HL) jika dia sedar ia sebenarnya meraikan 'ketuaan'nya. Aku sendiri tidak kisah sangat pasal menyambut HL.

Tetapi entah kenapa kali ini disambut secara simbolik dan nostalgik.

Sukar hendak dicerita dan gambarkan bila sesuatu yang tidak disangka berlaku. Mengejutkan dengan element of surprise dan keterujaan yang tak dijangka.
Biarlah ianya menjadi simpanan peribadi.

Buat diri sendiri...
Moga usia yang melangkaui setengah abad menjadi peringatan dan menginsafkan diri.

Beib akan sentiasa kenangi sambutan hari lahir hingga ke hujung ....
nyawa dan terhentinya aliran dara H
moga kenangan dan nostalgi A
HAPPY BIRTHDA Y
tersimpan dalam jiwa dan mind A
setiap kali ianya disambu T
*besteva

Wednesday, March 3, 2010

Aku, Buku dan Teman Manjaku...


Assalamualaikum / Good Day.....

Sekali lagi aku dijemput untuk memberikan sumbangan kepada KPM. Penghargaan dan penghormatan yang tidak ternilai bagiku. Membantu menerbitkan bahan bacaan untuk anak bangsa membangkitkan rasa gah dalam diri.

Ini bukan riak atau takabbur, cuma rasa bangga teramat kerana diberi peluang yang sehehat ini yang tidak semua orang dapat.
Menjadi salah seorang ahli panel yang bertanggung jawab dalam menentukan bahan bacaan yang bermutu serta melibatkan ratusan ribu anak bangsa dan jutaan ringgit adalah sesuatu yang sangat besar. Amanah yang dipikul juga berat.

Seperti biasa, penerbangan selama sejam KT- KLIA aku penuhi dengan merehatkan minda. Sambil mengimbau kenangan manis dan membayangkan yang indah-indah. Terbang dicelah awan mencari kebahagiaan hidup. Seronok berfantasi begini.

Melihat pembangunan dari udara melalui kacamata burung (aerial view atau birds eye view) merupakan satu terapi minda. Terleka dan teruja. Bukan setiap hari kesempatan ini diperolehi melainkan kita seorang juruterbang atau anak-anak kapal yang bertugas di udara. Bertuahnya mereka.

Perjalanan 28 minit dengan ERL dari KLIA ke KL Sentral aku penuhi dengan berada di talian. Kecanggih teknologi terkini, internet melalui broadband yang mobil, memungkinkan perhubungan antara manusia menjadi lebih dekat dan akrab. Banyak perkara dan urusan yang boleh dibincang, gambar atau dokumen boleh dihantar dan suara boleh didengar dengan hanya mengklik tetikus. Semuanya dalam talian.

Buat masa ini, laptop Aspire yang kecil ini merupakan teman manja yang akrab. Aku kelek dan gendong ke merata tempat.
Bagiku, ada kalanya lebih baik bersahabat dengan laptop dari berkawan dengan sesetengah manusia yang belum tentu hati budinya. InsyaALLAH, laptop tidak mengecewakan.

Sepuluh hari di tempat bertugas pastinya laptop ini akan menjadi bertambah akrab, sentiasa ditatap dan diketuk kibodnya.

To whoever on the other end of the line...be ready...

Beib banyak habiskan masa menggunakan...
interne T
menyelesaikan urusan peribadi dan urusan kerj A
serta lain-lain ha L
setiap har I
walau di mana sahaja berad A
dengan cepat dan efisie N

Sunday, February 14, 2010

Perasaan Saya Lemau...

Widuri...malar segar...
Assalamualaikum / Good Day.....

Di tempat aku, Sambutan Tahun Baru Cina (TBC), seolah-olah tidak dirasai. Jiran tetangga tiada dari ras Cina. Yang ada hanya beberapa orang kenalan Cina yang tinggal agak jauh dari kawasan kediamanku. Jadi, tiadalah letupan mercun atau percikan bunga api yang aku dengar dan lihat sempena Tahun Harimau kali ini.

Paling akhir aku 'menikmati' suasana ini ialah semasa aku menyewa di No.11A, Gerbang Minden, Gelugor, Pulau Pinang pada tahun 1987-1989. Aku percaya ada lagi rakan-rakan yang tinggal di kawasan perumahan yang berjirankan ras Cina akan merasai suasana sambutan TBC yang meriah tetapi bingit. Hakikat yang perlu diterima.

Bagi aku walaupun sudah 20 tahun berlalu, namun dentuman bingit mercun masih terasa. Letupan sepanjang malam yang membuatkan aku tidak nyenyak tidur, sebagaimana yang aku rasai beberapa malam ini. Bukan kerana letupan mercun tetapi kerana 'letusan' emosi.

Dalam situasi yang sangat tertekan ini aku tidak ingin perasaan menguasai diri. Sesuatu harus aku lakukan untuk release and relief.

Oleh kerana anak-anak turut bercuti sempena TBC, aku mengajak mereka menonton persembahan atau 'gig' oleh Adi Jagat yang menjadi resident artiste di Sutra Beach Resort (SBR), Merang. Its a free and easy nite.

Adi seorang guitarist kidal yang hebat. Petikan gitar acoustic dan suaranya yang raspy, husky ala Rod Steward memukau penonton dan tetamu di resort ini.
Aku juga teruja dengan vokalnya yang mantap.

Perkenalan secara tidak formal bermula bila aku sering ke SBR untuk menghadiri mesyuarat dan sesi perbengkelan. Selalunya, apabila selesai sahaja sesi perbengkelan malam lebih kurang jam 10.30, aku akan menyandar di sofa lounge menikmati dendangan Adi. Sepoi angin malam dari Laut China Selatan dan cahaya suram di Rhu Tapai Lounge membuatkan suasana begitu santai.

Beberapa kali aku dipelawa oleh Adi untuk menyumbangkan suara, tapi aku sering menolak walaupun hati meronta. Malu segan pada teman-teman membuatkan aku menggeleng kepada Adi.

Namun kali ini aku tidak menolak. Pelawaan Adi aku sambut walaupun dia sebenarnya belum pernah mendengar suaraku. Untuk pertama kali, Widuri dan Angin Malam gaya aku, berkumandang dengan iringan keyboard Adi.

Nyata Adi berpuasa hati dan meminta aku nyanyikan Getaran Jiwa, lagu kegemaranku. Namun, oleh kerana lagu itu tiada dalam himpunan lirik Adi, aku menolak. Dua lagi tadi sudah cukup sebagai permulaan.

Qaqaq, Acik dan Adeq turut gembira menikmati persembahan dan berpeluang beramah mesra dengan Adi yang kebetulan membawa familinya bersama. Minat mereka pada muzik sentiasa aku pupuk.

Kata Henry Wadsworth Longfellow, Outre-Mer
, Music is the universal language of mankind. Benar katanya dan bagi aku ia adalah satu cabang seni yang perlu dihargai.

Muzik ialah salah satu bidang/cabang seni yang turut memperkembangkan daya intelek. Muzik juga menenangkan hati dan membolehkan kita melahirkan ekspresi diri apabila mendengarnya.

Dan malam ini, aku telah cuba release dan relief. Bak kata Berthold Auerbach, Music washes away from the soul the dust of everyday life. Cervantes pula berkata, He who sings scares away his woes.

Kendatipun, isu pokok masih berakar kuat. Entah bagaimana hendak direlaikan. Segalanya berubah dengan sekelip mata. Berubah dengan hanya satu panggilan.

Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Beib cuba bertenang dengan.....
... membaca buku dan berdia M
rasa tidak mahu digangg U
adakala lebih baik mendengar lagu sentimental atau jaz Z
sambil cuba mengekspresi dir I
agar rasa tertekan dapat diela K
* Ada kala manusia melakukan sesuatu di luar jangka.
Konspirasi dan komplot menjerat anggota sendiri.

Saturday, February 13, 2010

...Lantaran Satu Panggilan...

..merenung implikasi...

Assalamualaikum / Good Day.....


Minggu yang 'meletihkan'.
Konflik diri dan peribadi muncul tiba-tiba. Salah faham dan salah tafsir menjadi isu yang menekan.

Aku merasakan bahawa ianya tidak harus berlaku. Apatah lagi, kematangan berada di peringkat tertinggi. Slow talk atau bermuzakarah ialah cara terbaik tetapi itu tidak berlaku. Kata orang "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".

Yang dikatakan terlibat di 'grill' hingga berpeluh sejuk, menggeletar dan bingung. Disoal siasat bagai berhadapan dengan FBI, CIA atau Special Branch. Berjam-jam dalam tekanan dan keperitan. Natijahnya, penafian.

Aku lebih rela berdiam diri. Bukan bererti mengaku kalah atau mengiyakan tuduhan. Aku punya cara untuk difuse kan situasi.

Kita kadang-kadang terkedu bila sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Ada juga tindakan seseorang itu yang memang luar dari kotak fikiran dan tidak terduga oleh kita. Itulah keunikan manusia.

Dalam beberapa hari ini aku terasa sangat impaknya. Aku juga percaya kesannya akan berlanjutan terus. Mungkinkah hingga infiniti?. Yang mampu aku lakukan ialah bersabar, berdoa dengan redha.

Doa dan harapanku agar semua kembali normal walaupun tidak seratus peratus. Kata orang, nasi sudah menjadi bubur tetapi masih boleh dimakan. Larangan dan sekatan yang dibuat adalah pengekang. Terpaksa diterima dengan rela dan redha. Masihkah ada ruang dan peluang?

Sesungguhnya Tuhan lebih mengetahui...

Beib memang tidak gemarkan...
...perkara-perkara yang melibatkan komplot dan konspiras I
yang dibuat dengan tuduhan yang tidak berasa S
untuk menjerat sesuat U

Wednesday, February 3, 2010

Acik: Lulus Masuk Asrama...

hidup baru di suasana baru

Assalamualaikum / Good Day.....

Dah beberapa hari Acik meneruskan persekolahannya di SMTT. Dia nampak gembira di sana. Aku pula terpaksa keluar awal untuk menghantarnya setiap pagi dan petangnya, jam 3, bergegas menjemputnya balik.

Rutin aku mula berubah. Masa makin rigid.

Acik sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk merasa pengalaman tinggal di asrama. Aku tidak menghalang tetapi mamanya agak skeptikal. Bagi aku pengalaman ini perlu supaya dia dapat belajar menguruskan diri dan masa dengan lebih baik.

Bila surat tawaran ke asrama diterima dan sedikit pep talk, kami bersetuju untuk melepaskan Acik ke asrama.

Adeq agak terkilan kerana dia akan kehilangan kakak, teman dan soulmate nya yang setia selama ini. Sejak beberapa hari Adeq sering meluahkan rasa bosannya kalau dia terpaksa bersendirian di rumah. Selama ini mereka sangat rapat dan sering melakukan aktiviti bersama. Aku faham situasinya.

Dalam masa yang sama Adeq masih menanti peluang untuk bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Cita-cita itu ditanam sebelum mengambil peperiksaan UPSR lagi. Mungkin rezekinya belum tiba. Tapi, kalau dia juga terpaksa pergi untuk tinggal di asrama nanti, aku pula yang tiada orang untuk disakat.

Tersedar kini bahawa bila anak-anak sudah mula dewasa mereka akan pergi seorang demi seorang, keluar meninggalkan rumah samada melanjutkan pelajaran atau berkerjaya. Abang dan Qaqaq sudah melangkah keluar. Kini Acik. Esok lusa Adeq pula. Hakikat yang harus diterima.

Walau apa pun, temanku yang setia di waktu ini ialah laptop. Mengikut ke mana sahaja aku pergi sama ada ke tempat kerja, bermesyuarat, berkursus atau bersantai di kopitiam. Peneman dan penghibur hati.

kalau dah anak perempuan...

Pagi tadi, setelah selesai menguruskan pendaftarannya ke asrama, segala keperluan peribadinya disiapkan. Aku tidak sangat merasa bimbang kerana jika ada apa sahaja yang diperlukan waima kecemasan, jarak antara sekolah dan rumah hanya 2 km sahaja. Dekat dan accessible.

Kemasukannya Acik ke asrama pada sebelah petang berjalan lancar. Ditempatkan di dorm Gamma 2 di tingkat satu. Segalanya selesai dalam masa 45 minit setelah
membuat pembayaran yuran asrama sebanyak setengah ribu RM dibuat.


bangunan blok Gamma

Bila melihat bangunan asrama ini, aku teringat di awal tahun 9o an di mana aku pernah menjadi hakim pertandingan kebersihan asrama peringkat daerah KT. Bersama beberapa orang rakan kami memeriksa dan menilai tahap kebersihan, keselamatan, keselesaan serta aspek-aspek lain yang berkaitan.

Gamma 2...kediaman rasmi untuk tahun ini

Meninjau blok bangunan dan mengintai dorm Acik, semuanya seolah-olah seperti sebelum millenium 2000. Masih katil bunk bed atau dikenali sebagai double decker sebagaimana terdapat di barrack tentera serta almari kayu yang agak lusuh tanpa kunci.

Hampir 2 dekad, prasarananya masih jumud. Keselesaan terbatas. Aku cuba membayangkan susunletak bilik dan kelengkapannya yang lebih kondusif dan selesa. Maksima 4 orang sebilik, tidak seperti sekarang masih 14 hingga 20 orang sebilik. Mungkin juga matlamat kenapa dibuat begini ialah untuk membentuk dan menguatkan esprit de corps di antara penghuni asrama. Mungkin juga kerana faktor kos dan penyelenggaraan. Apa pun, kena terima dengan positif.

Ramai bekas pelajar dan teman yang pernah tinggal di asrama. Malah ada juga teman yang menginap di asrama ini, kini telah berjaya dalam hidup dan kembali bernostalgia bersama rakan-rakan asrama melalui Facebook, blog serta lain-lain social networking maya. Jalinan persahabatan yang kembali hidup dan berterusan. Malah ada juga yang bertemu jodoh kerana asrama. That is another story!

Sewaktu belajar dahulu, aku juga berpengalaman menginap di dorm yang memuatkan 12 orang dan di bilik, berdua. Semuanya membuatkan aku bertambah matang dari segi pergaulan dan bersosialisasi. Ini sebenarnya memanusiakan kita.

Buat Acik, walaupun privacy agak terbatas di asrama, namun belajarlah berkomunikasi dengan berhemah. Bergaul dengan baik, berinteraksi dengan berkesan, hidupkan semangat kerjasama, toleransi dan persaingan yang sihat. Moga pengurusan masa Acik tambah berkesan dan bermakna. Get the best out of it.


Penghubung jalinan dengan famili...

Ini semua akan mematangkan Acik dalam tempoh 2 tahun berada di asrama SMTT.
All the best my sweetie.

Beib teringat zaman menginap di...
... dorm dan asram A
yang menjadikan aku cerdas dan cerga S
bersama teman-teman bersaing belaja R
melakukan aktiviti di asrama bersam A
siang dan mala M
hingga kami semua berjaya dalam hidup dan berkerjay A

Tuesday, January 26, 2010

Panggilan: Satu Lamaran...

tawaran...adakah pilihanku tepat?

Assalamualaikum / Good Day.....

Sejak menerima panggilan telefon dari seorang pegawai di KPM, Putrajaya semalam, aku masih merasa teruja dan bagai bermimpi.
Aku dimaklumkan tentang sesuatu yang tidak terduga. Katanya resume aku berada ditangannya. Resume aku? Hmm....

Entah dari mana dia mendapat resume itu, aku tidak pasti.
Seingat aku, tidak pernah aku panjangkan resume kepada sesiapa melainkan kepada unit Seni, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK) sahaja. Itu pun kerana aku dicadangkan sebagai ahli panel penggerak Sekolah Seni Malaysia.

Pegawai berkenaan mengusulkan lamaran untuk satu jawatan di KPM, Putrajaya. Aku terkedu tetapi teruja.

Aku? Bertugas di KPM, Putrajaya?
Pelbagai perkara berlegar di minda. Bermacam implikasi difikirkan. Justifikasi harus dibuat.
Jawatan.
Tanggung jawab.
Logistik.
Kewangan.
dan lain-lain yang berkaitan.

Menjawat jawatan di Putrajaya menjadi idaman kebanyakkan orang. Satu lonjakan dalam bidang perkhidmatan awam. Tawaran yang sangat baik tetapi bagi aku, banyak benda yang harus diambilkira.

Dalam keadaan tidak bersedia dan sedang tergesa menuju ke lapangan terbang, aku memberi keputusan untuk tidak menerima tawaran tersebut. Satu keputusan yang direspons oleh pegawai tersebut dengan kata-kata, "Confirm?".

Beliau menyatakan andai kata aku bersetuju, surat tawaran akan terus di fax ke premis tempat kerja aku, pada waktu itu.

Aku menjadi serba salah. Adakah aku silap membuat keputusan?. Segalanya datang dari gerak hati dan minda pada waktu itu. Aku berharap keputusan ini betul dan tepat.

Penolakan yang dibuat there and then sebenarnya punya implikasi yang pelbagai. Aku terpaksa membuat keputusan walaupun ada waktunya aku merasa sedikit ralat.

Dalam penerbangan selama sejam ke KLIA, aku menjadi seakan keliru namun, keputusan sudah dibuat.

Jam 3.30 petang tadi, aku menerima satu lagi panggilan telefon yang tidak disangka. Kali ini, dari satu lagi bahagian KPM. Ianya berkaitan dengan kelulusan akademik aku yang akan dipanjangkan ke satu lagi bahagian KPM.

Pegawai yang bertanggung jawab itu memaklumkan bahawa dia diarahkan untuk mendapatkan butiran itu bagi melengkapkan satu tawaran yang dikhususkan untuk aku.

Aku jadi makin teruja mengatasi apa yang aku rasakan pagi tadi. Penantian selama hampir 4 bulan nampaknya berbaloi. Tawaran yang sukar dilepaskan.

Aku berharap ianya menjadi kenyataan. Impian indah selama ini berada di depan mata. Aku akan terus berdoa dan bertawakkal. Moga Allah perkenankan.

Ada teman yang bertanya dan ingin tahu mengenai entry ku yang ini. Aku sebolehnya mengelak untuk menjelaskan kerana ianya masih di peringkat awal. Kebarangkaliannya juga pelbagai. Biarlah masa yang menentukan.

Kini masa hampir tiba. Dalam sedikit waktu, teman yang bertanya pasti akan mendapat jawapan, first hand dariku.

Jika tawaran pertama tadi ialah untuk satu 'jawatan', tawaran kedua pula ialah satu 'gelaran'.

Kedua-duanya mempunyai nilai yang tersendiri. Pilihan bergantung kepada gerak hati dan justifikasi.

Sebagaimana coretan seorang teman dalam entry beliau...
..keputusan A, B atau C..
bergantung pada pilihan, peluang dan kesempatan..

Pilihanku ialah 'gelaran'.
Kenapa?
...Allah jua yang Maha Mengetahui

Alhamdulillah...

Beib harapkan pilihan terbaik dari rasa gerak...
... naluri yang ampu H
tidak menyesal dan rasa gulan A
menolak tawaran yang dibua T
kerana setiap keputusan ada nilai dan implikasi tersendir I
*Impian indah makin menjelma...

Monday, January 25, 2010

Aku Letih Menahan Amarah...

...redha...

Assalamualaikum / Good Day.....

Ceritera fantasi diri...

Bayangkan senario ini:

Hubungi seseorang dari lapangan terbang. Perbualan agak singkat dan tegang. SMS juga seakan sinis dan ala menyindir. Bagi orang Terengganu ia lebih bersifat 'menyekik' ( bersifat mengejek atau bersifat menyindir ). Sakit dan pedih bagi mereka yang tidak biasa. Bagi yang biasa, ianya sudah mula menjadi mangli dan kalis.

Sejam penerbangan menimbulkan rasa kurang tenteram kerana cuba menjangkakan apakah yang akan muncul di skrin handphone bila dihidupkan semula nanti.

Kata-kata sinis atau manis?

Sesampai di KLIA, handphone dihidupkan semula. Berderet SMS masuk yang kebanyakkannya sinis dan menyakitkan. Apa matlamat dan tujuan, hanya Allah jua yang tahu.

Terima dengan berlapang dada. Emosi mungkin terganggu atau nyata keliru.

Hingga larut petang masih berlarutan dengan sinis dan prasangka. Terkedu dan mula tertekan.

Keadaan makin mendesak bila cubaan untuk berlembut dan stoop low masih tidak berhasil.

Keras.....sangat keras.

Apa berlaku bila keras bertemu ruas?

Patah...reyoks.

Bye...
Salam..
N!

Beib tak mau lagi rasa ....
...siksa dan jele S
cukuplah apa yang ad A
segalanya amat sebak dan sesa K
menusuk ke dalam jiwa sanubar I
lantas keputusan mesti dibua T
*terimakasihmaafhalal.

Sunday, January 24, 2010

Toksah Maghah, Aku Bagitau jaaa....

Bukan makan angin ... pi buat kheja...

Assalamualaikum / Good Day.....

Ada setengah oghang ghajin pi jalan sana sini, boleh kata selang saghi. Lepaih balik kheja, pi beli belah. Ghajin sungguh. Tak ghasa penat ka?
Depa selalu kata ni cagha nak tenangkan pikighan. Istilah laa ni dipanggey TERAPI. Macam-macam laa.

Lepaih tu haghi minggu pi jalan-jalan lagi. Sampai ujung sempadan negehgi. Pi shopping. Tapi takpa, depa pi shopping buat duit bukan macam kita, pi peghabih duit. Baguihla, rezeki mughah kat depa. Syukoq. Moga depa bertambah bahagia.

Aku bukan nak ngumpat atau nak mengata tapi nak bagitau betapa sesetengah oghang bernasib baik dan betuah dalam hidup. Tak dak gangguan apa-apa, boleh pi jalan meghata bila-bila masa jaa. Sambey santai sambey mengeratkan silaturrahim. Beghuntung sungguh. Pasai apa aku takleh jadi camtu aa? Teghingin sungguh...

Tapi aku besyukoq, rezeki aku Allah Taala bagi kot lain. Walau aku pi sekali sekala, bukan setiap hujung minggu macam oghang yang aku kenai tu, aku ghasa berbaloi. Aku pi dengan niat dan tujuan yang ikhlaih. Bukanla aku nak kata kawan aku tu tak ikhlaih, dia bejalan dengan cagha dia, aku bejalan dengan cagha aku. Maksud aku, dia ada matlamat dia dan aku ada tujuan aku. Itu saja, bukan nak belawan. Aku pun kalau boleh nak jugak pi bejalan macam dia. Kadang-kadang bejalan free saja, boleh pi tengok tempat oghang. Bila aku nak dapat macam tu tatau lah?

Takpalah. Tak baik jeles, cemburu, iri hati. Aku pun tak mau sakit sebab benda-benda macam tu. Rezeki masing-masing. Allah bagi yang terbaik dah.

Esok, aku nak pi bejalan. Tu pun bukan nak pi makan angin. Kena panggey untuk tolong buat kheja. Takpa lah, boleh tolong aku tolong. Aku ghasa tehaghu sebab ada jugak Bahagian di KPM yang maukan khidmat aku. Boleh jugak aku pi Kolumpo. Boleh jugak pi jalan sambey tolong buat kheja. Bukan pi saja-saja.

Aku haghap, aku boleh jadi oghang yang berguna. Boleh bantu anak didik melalui khidmat aku ni. InsyaALLAH.

Aku takut sangat-sangat kalau aku pi, tapi tak buat kheja. Nanti depa kata aku penipu! Aku tak sanggup oghang kata camtu. Ghasa macam jahat sangat aku ni...

Nauzubillah himinzalik....

Nak peghingat sekali lagi.
Aku pi nak buat kheja, bukan nak pi dok saja-saja.
Wallahua'lam...

Beib haghap oghang tak kata dia...
...ni jenih mengela T
atau penting diri sendigh I
biaqlah apa oghang nak caka P
asaikan dia tahu apa dia maU
* sering disalaherti...

Wednesday, January 20, 2010

Acik: Belajar Terus Maju

Acik... reserved tetapi berbakat

Assalamualaikum / Good Day.....

Setelah mendapat keputusan PMRnya lebih kurang sebulan yang lalu, Acik amat berharap agar dapat meneruskan pelajarannya ke Sekolah Menengah Teknik (SMT). Nak jadi arkitek, katanya. Kerjaya yang aku cita-citakan dulu.

Keputusan PMRnya memberansangkan dengan hanya 2 mata pelajaran di bawah tahap A.

Tahniah Acik!

Alhamdulillah. Aku bersyukur. Dia telah mencuba sebaik mungkin. Tiada kekurangan. Itu rezeki dari Allah.

Semalam keputusan permohonannya ke SMT diperolehi. Dukacita. Dia agak terkilan. Sebagai seorang yang bertanggung jawab, aku perlu ikhtiarkan sesuatu untuknya.

Rayuan telah dihantar ke Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM. Menanti keputusan selanjutnya memang mendebarkan. Kata orang waiting is painful. Aku takkan biarkan begitu. Usaha patut digandakan.

Aku mengatur temujanji dengan Pengetua SMT. Sekolah ini berdekatan dengan kediamanku. Hanya 2km jaraknya. Kami bertemu petang tadi. Perbincangan berjalan lancar dan mesra. Rayuan bertulis dan lisan diajukan. Dokumen dan butiran lengkap, serta memenuhi syarat. Rayuan diterima. Surat tawaran akan dikeluarkan segera. Alhamdulillah!

Aku pulang dengan senyuman gembira kerana berjaya memenuhi hasrat Acik. Dia akan mendaftarkan diri di SMT Terengganu (SMTT) pada 27.01.2010.

SMTT, Alma mater - a school, college, or university which one has attended or from which one has graduated - seorang kenalan terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), sekolah mula-mula aku mengajar pada tahun 1980. Sedikit coretan di sini.


Berita gembira ini membuatkan Acik sangat teruja. Acik bercita-cita untuk tinggal di asrama dan aku yakin dia akan berusaha sebaik mungkin untuk dirinya dan kami. Aku mahu dia buktikan bahawa dia juga berkemampuan dan hebat seperti orang lain.

SMTT sebagai sebuah entiti yang unik diharap dapat merobah caragaya Acik. Ilmu yang dikutip di sana nanti akan dimanfaatkan pada masa depan sebagaimana dimanfaatkan oleh bekas-bekas pelajar yang terdahulu.

Moga quotation yang dikirimkan oleh temanku ini dapat memberi inspirasi pada kita semua.

The difference between school and life.
In school, you're taught a lesson and then given a test.
In life, you're given a test that teaches you a lesson..


Selamat belajar dan berjaya.
Terus Maju... Acik!

Beib doakan yang terbaik untuk...
...semua anak-anak pap A
hidup biar berpelajara N
menjadi panduan di duni A
dan akhirat kela K

Wednesday, January 13, 2010

Tangisan Menginsafkan: Luahan Isihati & Naluri


mata dan airmata

Assalamualaikum / Good Day.....

Secara metafora, mata manusia sering dianggap "jendela jiwa".

Mata, salah satu pancaindera anugerah Allah yang tiada ternilai. Ia adalah organ penglihatan yang mengesan cahaya. Secara mudahnya, yang dilakukan mata tak lain hanyalah mengetahui apakah lingkungan sekitarnya terang atau gelap.

Pancaindera ini juga ialah salah satu saluran untuk menzahirkan rasa dan emosi. Ia boleh mengeluarkan (menitiskan) air mata, atau apa yang kita sebut sebagai menangis, sama ada kerana terlalu gembira atau bersedih.

Bagi aku, sebagai seorang insan, kita tidak mungkin hanya melalui satu episod sahaja dalam hidup. Tidak sedih dan menangis sepanjang masa.

Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan. Anugerah Allah. Kita mesti redha.Segalanya akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal abadi di dunia ini.

Sebagai seorang Muslim, kita patut menjadi insan sederhana dan tidak berlebih-lebihan. Ini termasuk mengungkapkan perasaan dan emosi yang bergelora dalam jiwa. Jadilah orang yang berjiwa zuhud. Tidak terlalu gembira bila mendapat nikmat dan tidak pula terlalu bersedih jika didatangi musibah. Semuanya adalah ketentuan Allah.

Tapi kadangkala, kita tidak mampu mengatasinya. Kita kan manusia? Aku sendiri sedar, aku serba kekurangan serta alpa.Walau cuba sedaya upaya, ada kalanya tewas oleh kelemahan diri. Kata orang "Easier said than done".

Menangis atau menitiskan airmata adalah suatu ungkapan perasaan dan emosi yang normal pada diri manusia. Biasanya manusia menangis atas sebab-sebab tertentu. Kemungkinan berasa sedih dan berduka kerana seseorang yang dikasihi sudah kembali kepadaNya atau kerana rindu yang teramat kepada yang disayangi.

Kita akan juga menangis apabila menahan sakit, sama ada sakit kerana dilukai perasaan ataupun sakit pada zahir tubuh badan. Tentu sahaja ada yang akan menangis kerana kehilangan harta benda, disiksa dan dizalimi, diusir atau dihina peribadinya dan dimalukan.

Ada 10 jenis tangisan pelbagai maksud dan tujuan menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah. Tangisan kasih sayang, ketakutan, gembira, gundah gulana, cinta dan rindu, kesedihan, tidak berdaya, kemunafikan, orang upahan dan tangisan ikut-ikutan.

Keistimewaan tangisan yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita ialah tangisan yang tidak bersifat melemahkan semangat. Ia boleh menghidupkan jiwa yang sudah kosong dan mati. Ia tidak menimbulkan rasa putus asa atau kesakitan. Lelehan air mata ini membangkitkan rasa optimis, cekal dan penuh keazaman untuk kembali bangkit dari kekecewaan atau kegagalan. Sesuatu yang amat positif.

Tangisan sebegitu dizahirkan sebagai satu janji untuk hidup lebih bererti dengan keinsafan yang dalam. Ia berupaya mencelikkan pandangan mata hati dan menyedarkan kita tentang erti kehidupan.

"..perhaps our eyes need to be washed
by our tears once in a while,
so that we can see LIFE
with a clearer view again.."
Tangisan itu juga sering mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut kepada Allah.

Aku sebagai seorang manusia yang lemah sering juga menangis sendirian mengenangkan kesilapan yang dilakukan. Ada kalanya melewati harapan dan ekspektasi insan tertentu.

Tears are sacred.
Not the mark of weakness, but of power.
Tears speak more eloquently than a million words.
Tears are messengers of overwhelming grief...and unspeakable love and LIFE...

Aku tidak malu untuk terisak jika perlu, kerana ia juga satu terapi. Lega (relieve) dan tenang bila airmata diserap kertas tisu yang kemudiannya ditongsampahkan.
Bagaimana dengan anda?

Beib tidak malu untuk menitiskan air...
...mata bagi melepaskan perasaan terpenda M
suka atau duk A
sama ada musibah atau nikma T
kerana ia dari Allah ju A
*UTHL...beginning of the end...? Only God knows...

Sunday, January 3, 2010

Tergugat Impian Indah: Aku Layan Mak Akhirnya


Assalamualaikum / Good Day.....
(Entry yang sepatutnya terbit pada 1 Disember 2009. Terbengkalai dalam bentuk draf)

Aku sepatutnya berada di luar negara minggu ini atas urusan peribadi namun kekangan dan musaqah kadang-kadang tidak terduga. Perancangan dan penjadualan kita adakalanya tergendala atau terganggu. Itu kuasa Allah. Tak siapa mampu merubahnya.

Rancangan untuk berwisata telah lama dibuat. Ini adalah impianku sejak awal tahun lagi. Cuti sekolah akhir tahun adalah masa yang difikirkan sesuai. Panjang dan agak santai. Namun begitu, tuhan lebih mengetahui dan merencanakan yang lain untuk aku. Tuhan sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa situasi pun.

Aku balik ke Anak Bukit sempena HRAA dan membawa pulang Mak. Sesuatu di luar jangkaanku namun ianya berbaloi dan merupakan satu rahmat.

Aku tidak menyesal tidak dapat berwisata ke luar negara. Mak lebih utama.

Aku pernah dipesan oleh seorang teman mengenai Mak. Dia sering mengingatkan aku betapa Mak perlu diziarah sekerap mungkin sementara Mak masih ada. Aku dikuliahkan mengenai sikapku yang dianggapnya tidak memperdulikan kewujudan Mak. Mengutamakan orang lain dan bukan Mak sendiri.

Terima kasih.
Ingatan dan pesanan teman akan tetap kekal di minda kerana itu adalah benar dan patut.

Ada ketikanya aku tidak berkesempatan untuk menjenguk Mak. Aku tidak berniat atau bertujuan mengenepikan Mak. Mak merupakan prioriti. Namun, kekangan masa dan logistik menghalang aku dari balik menemui Mak.

Sebagai ketua keluarga hal-hal yang berkaitan dengan famili juga perlu diurus dan selesaikan. Inilah yang sentiasa menjadi salah tanggap teman mengenai tanggung jawabku terhadap Mak.


Sesungguhnya teman, Mak tetap di minda dan jiwaku, biar dalam situasi apa pun.Kini Mak berada di kediamanku dan kulayan selayaknya.

Walau pun tidak berkesempatan untuk melangsaikan hajat ke luar negara, aku tetap puas menatap, melayan dan meraikan Mak. Itu yang terbaik Tuhan berikan kepadaku.
Percutian bersama Mak.

"The trip can wait, Mak can't".
For you out there who is on a trip in the near future, enjoy yourself and take care...Its hard to swallow but that's life.
Reality bites!

Beib tidak berupaya untuk pergi ber...
...cuti dan Mak ditingga L
Mak adalah priorit I
Mak juga adalah tanggung jawa B
Itulah nyawa, itulah rat U
Ibu kandung yang tak bisa diganti atau dituka R

*Land of the free for free...how lucky...

Friday, January 1, 2010

Azam dan Harapan


Assalamualaikum / Good Day.....

Hari ini bermulalah tahun baru. 2010 datang bersama umur yang semakin meningkat. Dalam pada itu, kita terkenangkan kejayaan yang telah kita capai sepanjang tahun 2009. Mungkin juga merasa terkilan atas kegagalan yang dilalui.

Kalau azam tahun lepas sudah tercapai, Alhamdulillah, bersyukurlah. Nikmat atau kejayaan itu sepatutnya mendorong kita untuk lebih berjaya lagi. Kita perlu fikirkan bagaimana kejayaan itu boleh diulangi dan digandakan. Kita tidak mahu ianya sekadar kejayaan yang 'fluke' (A lucky or improbable occurrence, with the implication that the occurrence could not be repeated) atau tidak sengaja, yang biasanya tidak kekal lama.

Ramai akan berbicara tentang azam tahun baru dalam seminggu dua ini. Aku masih sceptical adakah kita berazam kerana kita memang mahu berazam atau ia hanya satu ikutan. Menjadi klise saban tahun. Oleh kerana bimbang malu jika tiada azam di tahun baru maka kita pun akan nyatakan azam kita bila ditanya. Walhal, kita tidak pun duduk memikir dan merangka apakah azam kita sebenarnya. Lantaran itu, ia hanya sekadar mimpi di siang hari.

Aku juga ada azam yang tersendiri sebagaimana di tahun 2009. Baca sini dan sini. Tidaklah terlalu ambitious kerana aku juga perlu memikirkan keupayaan dan pendekatan untuk mencapai azam tersebut. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri.

Apa jua azam dan cita-cita yang hendak digapai dan dicapai tentu sahaja ada pilihan pendekatan. Bagi setiap pilihan pendekatan yang dibuat, ada bermacam-macam lagi pilihan lain yang wujud.

Meletakkan azam samalah juga dengan membuat sasaran (set target). Adakalanya ia agak sukar untuk dicapai. Pelbagai kekangan dan masalah akan timbul di sepanjang jalan untuk mencapai azam tersebut. Faktor lain yang perlu diambil kira ialah ketekalan kita mengharungi kekangan tersebut.

Azam boleh di kategorikan. Diatur mengikut tahap - jangka pendek dan jangka panjang. Dibuat jadual perlaksanaan, supaya lebih sistematik dan kemas.

Namun ada masanya setelah beberapa bulan berlalu, kita dapati azam itu tidak begitu mudah dicapai. Pelbagai kaedah digunakan, telah banyak pendekatan dicuba, tetapi masih lagi gagal. Akibatnya, ada di antara kita berhenti di tengah jalan. Kecewa, terkilan, putus asa, hampa, menggigit jari dan hancur hati.

Bila ditanya, kebanyakkan mereka akan mengatakan sudah mencuba semua kaedah tetapi masih tidak berjaya. Adakah benar semua cara telah dicuba dan diaplikasikan?

Jika benar semua telah dicuba tetapi masih juga gagal, kita perlu menerima hakikat dan bersyukur kerana itu adalah ketentuanNya. Qada dan qadar Allah tidak boleh disangkal. Kita perlu redha dan berlapang dada.

Mungkin juga kaedah kita walaupun banyak, tidak berkesan. Kita perlukan transformasi. Kita perlu guna kaedah lain yang lebih berani. ‘Dare to be different and use a completely different approach!

Jika satu cara tidak boleh digunakan, banyak lagi alternatif lain yang mungkin ada yang belum dicuba.

Sebagai seorang yang sudah mencecah separuh abad, aku sedar, aku tidak begitu berani untuk menukar cara menyelesaikan masalah. Kita tidak nafikan di umur sebegini biasanya dianggap sudah matang dan ada wisdom. Tetapi dalam beberapa isu ini tidak berlaku. Aku sudah berada di zon selesa dan ingin kekal di situ.

Keberanian untuk berfikir di luar kotak minda (thinking outside the box) adalah sesuatu yang akan merubah situasi. Kalau ini dijadikan azam ia akan merubah caragaya hidup kita. Tentu sekali ke arah yang lebih positif.

Caragaya lama lebih merujuk kepada mengulangi cara yang sama. Ulang dan ulang. Kita sekadar mengharap dengan cara yang sama itu akan mengubah hasil yang diinginkan. Ramai yang beranggapan begitu termasuk aku. Kebanyakan kemajuan dan kejayaan yang kita kecapi sekarang terjadi setelah kita sedar yang kita selalu ulangi cara yang lama dan sama. Natijahnya, kemajuan dan kejayaan terbatas.

Jika kita mencuba cara yang baru, InsyaAllah, hasil yang baik akan muncul juga.

Dengan merujuk dan melihat semula hasil azam tahun lepas, mari kita sama-sama fikirkan, adakah kita masih mahu menggunakan cara yang biasa (rutin / klise) atau beranikah kita merubah kepada sesuatu yang ‘completely, entirely different’. Benar, kita tidak pernah atau berani lakukan sebelum ini tetapi untuk azam baru tercapai, kita mesti lakukan juga.

Beranikah anda?

Aku sendiri, beranikah?

Benar kata seorang teman:
sukarnya bila terpaksa memilih.. peluang datang di kala tiada kesempatan.. kesempatan ada namun tiada keberanian dan usaha..

Selamat berjaya mencapai azam tahun 2010.
Moga tahun ini membawa lebih berkat, rahmat dan ketenangan dalam diri kita. Amin.

Beib berharap dapat mencapai...
...cita-cit A
berkecimpung dalam bi Z
sebelum bersar A
sebagaimana yang diida M