Tuesday, February 15, 2011

Pendidik Sangat Luhur: Aku Bangga!

 puas... dapat memahamkan konsep Seni kepada murid seawal usia 10
Assalamualaikum / Peace be upon you...
"Bila turun ke Sekolah Rendah (SR)?"
"Jadi Guru Besar SR?"
" Seronok dok SR..?"
Inilah antara soalan yang aku hadapi bila ramai orang mendapat tahu bahawa aku telah ditempatkan di sekolah rendah (SR).
Pelbagai reaksi, pandangan serta tanggapan yang aku terima. Segalanya kuserapkan secara positif. Tidak ada apa yang hendak dimalukan.
Ada ketika soalan yang di kemukakan seolah-olah mengherdik, sinis dan merendahkan. Macamlah SR ni lekeh dan leceh.
Ada yang bernada terkejut serta hairan dan aku tahu ianya iklas kerana ramai kenalanku selama ini tahu aku betugas lebih dari 30 tahun di sekolah menangah (SM). Aku pernah menjadi pensyarah di sebuah Maktab Perguruan atau kini dikenali sebagai IPG selain dari menjadi tutor kepada mahasiswa di sebuah IPT sejak 1990 hingga saat ini.
Sebenarnya sifat inkuiri atau inquisitive ini lumrah dalam kehidupan kita seharian. Aku terima sebagai sesuatu yang positif dan mematangkan aku.
Namun, aku agak terkilan apabila perkataan 'turun ke SR' digunakan.
Apakah jika kita berada di SR bererti jatuh darjat?
Hilang pangkat?
Tidak glamour?
Tidak setaraf dengan mereka yang mengajar di SM, IPG atau di IPT?
Ada ketikanya aku membidas pertanyaan sinis ini dengan membetulkan ayat soalan.
" Bukan saya diturunkan ke SR tapi saya ditempatkan di SR"
"Kalau tidak ada SR, takkan ada SM dan IPG malah IPT sendiri.." Itulah yang sering aku tegaskan.
Teringat seseorang yang mengajar di SR selama lebih sepuluh tahun dan bergelumang dengan kanak-kanak istimewa dalam kelas Pendidikan Khas (PK).
Ramai yang memandang remeh dan menganggap dia berada dalam kelas atau kelompok guru yang tidak setaraf dengan guru yang mengajar di arus perdana.
Bagiku, orang yang berfikiran serong dan kolot begini yang sebenarnya tidak ada 'kelas', jumud dan dhaif.
Tahukah mereka, boleh dikatakan semua guru yang terlatih boleh mengajar di kelas arus perdana, sedangkan untuk mengajar di kelas PK memerlukan kepakaran khusus yang ramai dari kalangan guru arus perdana tidak memilikinya.
Kelebihan dan kepakaran ini cuma ada pada segelintir guru yang terpilih, iaitu guru PK.
Inilah yang sering aku peringatkan kepada anak keduaku yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PK.
"You should be proud of yourself....you are the selected one!"
Begitu juga dengan aku.
Ditempatkan di SR setelah lebih setengah abad mendidik pelajar di SM terutamanya di Tingkatan 4 dan 5, membuka lembaran baru dalam mendidik anak bangsa.
Pengalaman terbaru selama  5 bulan ini berada di SR dan mendidik murid tahun 4, 5 dan 6 lebih mematangkan aku.
Sehingga saat ini, aku masih dalam zon teruja dalam mencurahkan ilmu kepada anak didik di SR. Aku bangga dengan kelebihan yang ada padaku.
Maksudku, bukan semua orang berpeluang mendalami dan mempraktikkan kurikulum SR, SM selain dari di IPT. Aku bersyukur kerana aku diberi peluang itu.
Biarlah mereka yang skeptik bertanggapan herot. Mereka sebenarnya adalah golongan yang kurang  intelektual dan profesional. Membuat tanggapan tidak berdasarkan sifat keilmuan.
Aku, sehingga kini amat berbangga dan terus bersemangat untuk mendidik  anak bangsa yang aku tahu amat dahagakan ilmu.
Aku amat tahu kedudukan dan fungsiku selaras dengan gelaran yang aku terima dari KPM. Malah aku berbangga kerana aku adalah salah seorang dari berpuluh ribu di kalangan pendidik dalam negara yang terpilih untuk tugasan ini. Syukur kepada Illahi kerana anugerah ini.
Inilah yang memacu aku untuk terus berbakti kepada anak didik.
Biarlah Luncai terjun dengan labu-labunya.
Buat teman dan rakan yang mengajar di mana-mana jua dan di peringkat apa pun, anggaplah tugas mendidik ini sesuatu yang sangat mulia.
Bak kata pendita, "Teaching is a noble profession"
Begitu juga buat anda yang mengajar di kelas PK. Anda sangat tinggi darjatnya.
Kita mesti berbangga menjadi pendidik.
Ini tersemat kuat dalam diriku dan aku abadikan di tie clip ku.

Beib tidak pernah menyesal menjadi seorang...
...pendidik apatah lagi bila digelar Cemerlan G
dalam usaha mencurahkan ilm U
kepada anak didik dan juga pelaja R
moga diamalkan sepanjang hidupm U
*...aku berbangga dan sangat teruja kerana kita sebenarnya sangat berharga...

2 comments:

saya.. said...

Salam..

Anda sebenarnya membuat pilihan yang sangat tepat..tahniah..

semat di jiwa sehingga ke akhir hayat..
"...aku berbangga dan sangat teruja kerana kita sebenarnya sangat berharga..."

BEiB said...

saya:
Wkmsalam...
terima kasih. Sesungguhnya saya selalu berdoa dan sgt berharap saya telah membuat pilihan yg tepat. Sejauh ini...ianya amat tepat..anugerah dari ALLAH. Saya bersyukur...
Benar...itulah yg saya sematkan selama ini...
terima kasih sekali lg.