Monday, July 28, 2008

Ditakdirkan jumpa Qadir

MH1326 bersama Abdul Qadir di tempat duduk 20 A
Assalamualaikum / Good Day.....
Memilih tempat duduk dalam kapal terbang kadang-kadang satu perjudian juga. Maksud aku, adakalanya mendapat jiran yang peramah dan kadangkala sebaliknya.
Penerbangan pagi dari KLIA -KT dua hari lepas menemukan aku dengan Abdul Qadir dari Sudan. Beliau bersama 59 orang rakan, baru tiba dari Khartoum melalui Doha dan KL menuju ke KT. Destinasi mereka ialah Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) yang merupakan salah satu dari dua pusat latihan di bawah kelolaan PETRONAS Management Training Sdn Bhd (PMTSB).
INSTEP yang kampusnya seluas 130 ekar bertempat di Batu Rakit, Kuala Terengganu. Ia bermula sebagai pusat latihan aperantis teknikal pada tahun 1981 dan dulu dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Petroleum (ILPP).
Institut ini menyumbang kepada aktiviti luar negara PETRONAS dengan memberi khidmat kepada rakan kongsi luar negara seperti Premier Oil (Myanmar), PetroVietnam and Sudapet (Sudan).
Abdul Qadir dan rakan-rakan adalah pelatih muda yang dihantar untuk mengikuti latihan selama enam bulan di sini.
Perbualan selama hampir sejam dalam penerbangan memberikan aku pengalaman baru berinteraksi dengan warga Sudan yang beragama Islam ini.
Pelbagai topik yang kami bincangkan dari perihal Omar Hasan Ahmad al-Bashir, Presiden Sudan, matawang Sudanese Pound (SDP)berbanding RM, USD dan Euro dan harga laptop di Malaysia.
Di akhir perbualan, Abdul Qadir menyatakan keinginannya untuk memperisterikan orang Malaysia setelah melihat keayuan beberapa orang pramugari yang melayani kami.
Qadir...Qadir...baru 5 jam di Malaysia dah jatuh hati...
Beib gembira kerana dapat berkenalan dengan warga...
asing tanpa mengira ra S
bertukar fikiran dan menambah ilm U
tanpa ha D
meramaikan kenalan, dalam dan luar negar A
hubungan silaturrahim dapat dijali N

Friday, July 18, 2008

Adeq dah Qatam Al Quran

Majlis Qatam dah masuk era digital.
Bacaan Al-Quran menggunakan perisian dalam laptop

Assalamualaikum / Good Day....
Al-Ghazali berpendapat: "Kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas dari ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang dicenderungkan kepadanya". (Al-Ghazali, 1296H, Dalam Hasan Langgulung, 1979)

Aku masih ingat di masa dulu bila pendidikan agama di laksanakan secara tidak formal di kampung-kampung.
Pengajian Al-Quran dan agama di ajar kepada kami yang berumur 4 tahun ke atas oleh tok-tok guru. Selalunya kami belajar mengaji Al Quran di rumah tok guru. Masa yang di tetapkan untuk mengaji Al Quran adalah mengikut kehendak tok guru. Kebiasaannya pada waktu selepas asar atau pada waktu malam. Kalau bersekolah pada waktu petang, kami akan pergi mengaji dari jam 8.00 hingga 10 pagi.
Aku diajar membaca muqaddam dan Al Quran sehinggalah lancar dan betul. Kebiasaannya kami akan qatam Al Quran sebanyak tiga kali.
Setelah qatam Al Quran, Pak dan Mak akan membuat kenduri pulut kuning sebagai tanda aku telah tamat mengaji Al Quran dan sebagai ucapan terima kasih kepada tok guru yang telah mengajar aku.
Sebenarnya Pak dan Mak juga mengajar ramai anak-anak kampung mengaji Al Quran di rumah. Aku turut diajar mereka sehingga aku masuk sekolah rendah. Kemudian aku diserahkan kepada seorang guru Al Quran di kampung seberang sehingga aku qatam beberapa kali.
Pendidikan agama yang dijalankan secara tidak formal ini masih lagi berlaku sekarang.
Ustaz Hisham memaklumkan majlis bahawa Adeq dah Qatam

Anak-anakku, Acik dan Adeq, dihantar kepada guru mengaji Al Quran yang bertauliah, lulusan Universiti Al Azhar, dan memanggilnya ustaz.
Dengan bayaran RM 50.00 sebulan, Ustaz Hisham menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi mengajar kedua-dua anakku dua kali seminggu.
Cenderamata buat Ustaz Hisham dari Adeq

Teman-teman Adeq yang hadir di Kelas KAFA Fathul Mukmin
Sumbangan nasi kunyit buat yang hadir

Alhamdulillah, selepas dua tahun Adeq telah qatam Al Quran. Majlis Qatam dengan bacaan Surah Lazim dan doa selamat telah selamat dijalankan. Walaupun, Adeq tidak disenaraikan dalam Majlis Qatam ramai-ramai yang diadakan dekat tempat kami, aku tidak terkilan. Cuma doaku agar Adeq dapat mencontohi arwah Tokwan yang telah qatam sebanyak 117 kali. Lantaran itu, Adeq masih meneruskan pengajian Al Qurannya.
Al Fatehah untuk Tokwan.
Beib masih mahu.....
kembalikan yang ha Q
terus membac A
ibu segala Mukjiza T
yang diturunkan kepada Rasullullah yang Muli A
pembawa rahmat ke seluruh ala
M

Wednesday, July 2, 2008

KEMBOJA

Rehat santai di Laman Nyaman
Assalamualaikum / Good Day.....
Ramai juga teman dan kenalan yang bertanya kenapa dah lama tak update blog? Aku sendiri pun tidak pasti kenapa semangat dan keinginan untuk memasukkan entri terbaru pudar. Sepanjang bulan Jun banyak entri yang hanya tinggal sebagai draft. Aku akan post juga nanti walaupun ada yang menganggapnya sebagai basi.
Mungkin juga kerana sibuk dengan tugas dan melayan tetamu di WKH menyebabkan aku terlalu letih untuk menyiapkan entri aku. Dalam pada itu, sempat juga aku bersantai dan bermuhasabah diri.
Mulai 2 - 5 Julai 2008, aku akan berada di Cambodia untuk satu Program Misi Kemanusiaan.
Aku akan cuba update bila pulang nanti.
Doakan keselamatan dan kejayaan kami.

Bunga Kemboja di Laman Nyaman

Beib berharap dapat menjayakan...

matlamat progra M
disamping membantu sesama insan I
yang menderita, memerlukan serta tertinda S
agar mereka juga hidup lebih berert I