Friday, May 30, 2008

Selamba tukar ang!

Assalamualaikum / Good Day.....
Aku terpaksa menarik diri dari menghadiri mesyuarat di Langkawi minggu ini kerana perlu memenuhi hasrat anak-anak untuk bercuti. Lagipun dah lama tak ke destinasi ni.
Menanti feri di jeti
Hampir 26 tahun tidak menjejakkan kaki di lokasi ini, aku terpegun dengan keindahan yang masih kekal walaupun ada perubahan yang besar dari segi infrastruktur. Kehijauan tumbuhan dan kebiruan laut amat mengujakan.
Berbaloi bersama famili mengharungi Laut China Selatan selama 1jam 20minit menaiki bot dari jeti Syahbandar, Kuala Terengganu ke destinasi ini. Perjalanan dengan bot "Sejahtera" yang didaftarkan di Kuching ini, selesa dan selamat. Cuaca yang baik serta laut yang agak tenang melancarkan perjalanan kami. Kalau dulu aku ke sana menaiki bot nelayan yang disewa dan mengambil masa hampir 3 jam untuk sampai, kini dengan tambang RM30.00 sehala kita boleh bersantai sambil menonton tayangan VCD di dalam bot yang berhawa dingin. Gelombang dan alunan ombak pun tak terasa, sedar-sedar dah pun sampai ke destinasi.


Inilah destinasinya. Pulau Redang, Taman Laut Malaysia yang dilindungi dan salah satu pulau paling popular di Malaysia untuk aktiviti snorkelling dan menyelam kerana banyak dan kayanya kepelbagaian terumbu karang (coral reefs) dan lain-lain hidupan marin.
Waktu cuti sekolah begini ramai pelancong dalam dan luar negara yang aku lihat berbondong-bondong ke pulau ini.
Setelah berehat, solat dan makan tengahari di Pusat Koku JPN Terengganu, kami dibawa ke satu lokasi dekat Tanjung Mak Cantik bersama jurulatih renang pada jam 3 petang untuk aktiviti water confidence. Aktiviti ini ialah bertujuan untuk memastikan kami berupaya
membenamkan kepala dalam air, terapung secara menelentang dan meniarap di atas air dengan menggunakan jaket keselamatan, terjun ke dalam air, berenang di laut dalam dan
menggunakan snorkel dengan betul
Latihan water confidence sangat membantu semasa snorkeling

Kami berlatih hampir 2 jam di dalam air. Banyak tenaga yang diperlukan untuk aktiviti ini. Betullah kata orang, berenang merupakan satu senaman yang baik untuk tubuh badan kita. Malah Nabi Muhammad SAW menuntut agar kita ajar anak-anak kita terutamanya yang lelaki untuk memanah, berenang dan menunggang kuda. Walaupun meletihkan namun, pengalaman ini amat berguna semasa snorkeling nanti.

Berbot mengelilingi pulau - island hopping

Mengelilingi pulau atau island hopping yang mengambil masa hampir 2 jam amat menarik sekali. Biar pun panas membakar kulit, namun semua di atas bot masih ceria menikmati keindahan alam.

Tempat yang tidak akan dilepaskan oleh semua pengunjung ke Pulau Redang ialah Taman Laut. Di sinilah kemahiran snorkeling dipraktikan untuk menikmati keindahan terumbu karang di dasar laut. Pelbagai spesis ikan, hidupan laut serta batu karang yang berwarna-warni dapat dilihat. Kata orang, jika ke Pulau Redang tapi tidak ke Taman Laut maka lawatan ke sini dianggap tidak sah! Memang hebat terumbu karang di sini. Malangnya aku tidak ada Nikon, Subal, Canon, Pentax atau Bonica untuk underwater photography. Yang aku ada hanya Olympus Mju400 digital, itu pun tanpa underwater housing. Maka, tidak dapatlah aku abadikan keindahan alam dasar laut Redang di sini hanya terpahat dalam kotak fikiranku sahaja.

Redang menawarkan satu pengalaman snorkeling yang selamat untuk seisi keluarga. Lautnya jernih dan tenang. Kanak-kanak, warga emas dan 'newbies' boleh melakukan snorkeling. Pakai sahaja lifejacket, mask & snorkel terus terjun ke dalam air. Memang asyik semasa berada di dalam air.

Bot biasanya tidak boleh mendarat di jeti ketika air cetek, maka terpaksalah kita turun dan mengharungi air untuk ke pantai.

Selepas 3 hari 2 malam di Redang kami pulang dengan pengalaman baru. Semasa dalam perjalanan pulang aku tertarik melihat plastik berwarna hitam yang digantung dari siling bot. Lama juga memikirkan apa kegunaannya. Kemudian aku tersedar bahawa itulah sebenarnya beg mabuk laut! Itu satu pengalaman yang aku harap tidak akan aku lalui. Keletihan membuatkan hampir semua penumpang bot tertidor. Aku juga terlelap sambil berkhayalkan tentang ikan duyung yang tidak kutemui semasa snorkeling semalam. Mungkin di lain kali kot?

Nak tau lebih lanjut tentang Redang sila ke sini

Beib gembira dapat pergi...

menjalankan aktiviti lua R
mungkin lain kali boleh belajar div E
berenang dan menyelam tanpa ha D
menjelajah dasar laut melihat keindahan ciptaan Yang Maha Kuas A
sambil mengambil iktibar dan pengalama N

dari memerhati ikan, tumbuhan serta batu karan G

Tuesday, May 27, 2008

Dari pulau ke pulau

Mungkin di lain kali
Assalamualaikum / Good Day.....
Sepatutnya aku kini berada di Langkawi menghadiri satu mesyuarat dan penulisan laporan anjuran bahagian KPM dari 26-29 Mei, tapi oleh kerana memenuhi hasrat anak-anak, aku memohon untuk menarik diri walaupun dengan hati yang amat berat. Terima kasih kepada PP di E 13 yang melepaskan aku walaupun tiket penerbangan dan bilik hotel telah siap ditempah. Aku harap mesyuarat akan berlangsung dengan jayanya walaupun tanpa aku. Inilah kali pertama aku minta dikecualikan dari menghadiri mesyuarat seperti ini.
Minggu lepas 19-23Mei, aku telah menghadiri satu mesyuarat anjuran satu lagi bahagian KPM di Johor Bharu.
Sewajarnya aku bersama famili dalam cuti sekolah ni. Anak-anak telah merancang untuk ke satu destinasi idaman mereka. Dah lama sebenarnya aku tidak berkunjung ke destinasi yang akan kami pergi esok. Aku rasa dah hampir 26 tahun. Tentu saja banyak perubahan dan kelainan dari segi infrastruktur serta landskap. Berdasarkan maklumat yang aku dapat dari carian di internet, lokasi ini bertambah maju dan membangun dengan amat pesat sekali. Jauh berbeza di kala aku lawati pada tahun 1981 dan 1982.
Tak sabar rasanya nak melihat sendiri perubahan dan menjejaki semula lokasi tersebut....
Beib tak mahu lepaskan peluang menikmati keindahan...
sebagaimana yang dihara P
melihat dan merasakan pasir, air dan bat U
serta ombak yang berpinta L
merenung langit dan laut dipenjuru mat A
menghayati kebesaran ALLAH yang sat U

Tuesday, May 13, 2008

Siapa ni..?

Gab di petik dari facebook nya
Assalamualaikum / Good Day.....
----------------------
Gabriele König (Austria) wrote at 7:38pm yesterday
Hi Habib! How great to find you on facebook! My friend Peter and me are looking forward to meet you soon in Kuala Terengganu. How's the weather in K.T. at the moment? In Austria it's fine at the moment and we are enjoying the spring - everything is blossoming and the landscapes really look very pretty.
Best regards
Yours
Gabriele from Melk, Austria.
--------------------------------
Inilah mesej yang aku terima semalam dari bakal tetamu WKH yang dijangka tiba pada awal Ogos nanti. Sebenarnya beliau telah pun menghantar e mel pada Januari lalu menempah WKH untuk dua hari sebelum meneruskan percutian mereka ke Pulau Redang.
Itulah 'kuasa' internet, dapat menghubungkan manusia di serata pelusuk dunia. Aku sendiri tidak menyangka bahawa promosi melalui internet boleh mencapai ke tahap begini.
Semalam dan hari ini aku menerima lebih dari 20 panggilan telefon dari bakal tamu dari seluruh tanahair yang ingin menempah bilik di WKH. Malangnya, tarikh yang diminta telah ditempah terlebih dahulu oleh tetamu-tetamu lain. Maaf, mungkin rezeki belum tiba.
Ramai yang ingin ke Terengganu kerana beberapa sebab. Antaranya:
1. Menghadiri majlis kenduri kahwin.
2. Melawat atau bercuti sempena Tahun Melawat Terengganu 2008.
3. Menyaksikan temasya SUKMA.
4. Makan angin kerana cuti sekolah.
Walau apa pun, Terengganu kini telah menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia dan luar negara untuk dikunjungi.
Moga Gabi dan Peter akan gembira berada di sini. Sebagai host, aku dan famili akan pastikan ramai lagi sepertinya akan mengunjungi Malaysia dan Terengganu khususnya.
Beib akan melayan...
tetamu yang datang melawa T
dari dalam negeri atau luar negar A
sambil memberi mereka faha M
betapa indahnya Terenggan U

Sunday, May 11, 2008

Dari belakang rostrum

Jamuan bersama YB En. Ahmad Razif bin Abdul Rahman
Pengerusi JK Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia
Negeri Terengganu
Assalamualaikum / Good Day.....
Minggu ini aku agak padat dengan aktiviti dan program yang melibatkan pendidikan. Semalam aku turut terlibat sebagai Ketua Hakim Public Speaking Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) peringkat Daerah Kuala Terengganu. Seronok juga melihat pelbagai gelagat peserta yang bersungguh-sungguh menunjukkan bakat mereka. Keberanian mereka tampil kedepan untuk menyampaikan hujah patut dipuji. Bukan semua orang berupaya berdiri dengan penuh yakin di depan khalayak. Moga mereka akan menggunakan pengalaman ini sebagai bekalan dalam menghadapi masa depan yang penuh cabaran.Syabas

Salah seorang peserta dari meja Ketua Hakim

Jika semalam aku menghakimi satu pertandingan public speaking, hari ini aku pula menjadi pengacara majlis, Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) yang berkaitan integriti yang diadakan di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Ianya turut dihadiri dan dirasmikan oleh YB En. Ahmad Razif bin Abdul Rahman.

YB sedang berucap merasmikan LADAP

Bagi mereka yang berdarah gemuruh, berhadapan dengan khalayak yang ramai memang menggerunkan. Bagi aku, ini adalah kemahiran yang dipupuk setelah dipaksa menjadi pengacara atau pengerusi majlis suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, skill ini aku cuba manfaatkan sebaik mungkin.

Khalayak dari pandangan aku di belakang rostrum

Melayan pemberita akhbar tempatan

Beib suka menghadiri...

kursus berbentuk profesiona L
bagi meningkatkan kerjay A
serta dapat berkhidmat tanpa ha D
dalam bidang yang sedia ad A
sehingga menjadi lebih ceka
P

Friday, May 9, 2008

OKU dan AKU

Tekanan 65% di tapak kakiku
Assalamualaikum / Good Day.....
Aku ni sebenarnya dah lama sakit pinggang tapi masih boleh bertahan lagi. Bila Kak Wan tahu, dia syorkan aku pergi mengurut kaedah refleksologi kat seorang hamba ALLAH OKU, 7 km dari rumah kami. Aku sebenarnya agak skeptikal mengurut cara ini.
Pernah 5 tahun dulu aku pergi mengurut dengan seorang hamba ALLAH yang gunakan kaedah ini, selepas tu sakitnya ALLAH saja yang tahu. Mungkin juga kerana tindak balas urutan atau alat urutan yang digunakan iaitu sejenis kayu seperti senduk.
Bila dimaklumkan bahawa pengamal ini lain sedikit, aku bersedia untuk mencuba sekali lagi. Setelah temujanji dibuat, aku sefamili bertandang ke premisnya di Kampung Baru, Seberang Takir, KT.
Sebagai seorang graduan perakaunan lepasan UUM, Mohd Fauzi Mansor, adalah seorang insan yang bijak, petah dan cekal. Aku tertarik dengan riwayat hidupnya. Lahir sebagai seorang insan yang normal, Fauzi hilang penglihatan secara beransur-ansur semasa dia bertugas di USM sebagai Pembantu Penyelidik. Kata doktor saraf matanya bermasalah.
Dengan penuh kecekalan beliau berusaha menjadi seorang manusia OKU yang berguna pada diri, famili dan masyarakat. Lantas beliau belajar kaedah urutan ini dan telah mengamalkannya selama lebih kurang lapan tahun.
Pengalaman 8 tahun boleh mengenal pasti punca masalah penyakit
Sebagai seorang yang aktif dalam NGO seperti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Wilayah Terengganu dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM),Cawangan Terengganu, Fauzi begitu meyakinkan.
Banyak perkara mengenai refleksologi yang diceritakannya sehingga 1 jam 20 minit masa urutan terasa begitu singkat sekali. Aku pulang setelah 2 jam 45 minit bersamanya dari pukul 8 malam.
Malam itu, tubuhku terasa lebih segar kerana pengaliran darah bertambah baik akibat dari tekanan jari-jari mahir Fauzi di kedua telapak kakiku.
Abaikan betis dan lututku
Acik dirawat kerana masalah selera makan

Moga Fauzi bertambah rezeki merawat kami yang kurang upaya merawat diri sendiri.

Beib tetap hormati dan hargai...

kaedah rawatan kun O
yang turut memberi impa K
dalam perubatan Melay U

Friday, May 2, 2008

Kembara Kuching

Tak ada di tempat lain hanya di Satok, Kuching
Assalamualaikum / Good Day.....
Sejak sampai di Bandaraya Kuching pada 28 April hari tu aku tak sempat nak memasukkan entri baru sebab sibuk dan line internet sering putus-putus. Tak nak salahkan sesiapa. Cuma terkilan tak boleh nak update serta merta. Walau bagaimana pun, seronok dapat bersama kawan dan kenalan baru di sini.
Penerbangan dari KT-KLIA seperti biasa mengambil masa lebih kurang 50 minit. Cuaca baik sepanjang penerbangan. Sempat juga aku snap foto Kompleks Sukan Terengganu ( Stadium Gong Badak) yang sedang rancak disiapkan untuk penganjuran SUKMA pada 31 Mei-9 Jun 2008. Diharap kehebatan kontigen SUKMA Terengganu sama dengan hebatnya bangunan ini yang menelan belanja lebih kurang RM500 juta!
Putrajaya juga menarik dilihat dari udara sebelum pesawat mendarat di KLIA.

Dari KLIA-Kuching delay hampir 45 minit. Yang bengangnya pihak MAS tidak sedikit pun memaklumkan sebab musabab kelewatan penerbangan MH2534 itu.
Pun begitu, Alhamdulillah, aku selamat sampai. Kata orang putih, tiba "in one piece" selepas puas berangan-angan di seat 6A selama 1 jam 45 minit.Semasa di Kuching, aku menginap di Regency Rajah Court Hotel, Jalan Pending. Biliknya sederhana dan selesa. Konon ceritanya 'pending' ini berasal dari perkataan Inggeris pending yang bermaksud tertangguh, menunggu. Khabarnya jalan ini dulunya dibina separuh sahaja dan sambungannya akan dibuat kemudian dan sementara itu ia dianggap pending. Unik juga namanya.
posing nak pi meeting
Lima hari empat malam di Kuching rasanya tidak mencukupi untuk menjelajah Bandaraya yang dipenuhi bulatan atau roundabout ini. Itulah uniknya Kuching. Persekitaran yang bersih dan nyaman mempersonakan aku.
Sepanjang tiga hari dari jam 8.00 pagi sehingga 5.30 petang aku terlibat dengan mesyuarat dan moderasi penilaian kesenian. Lewat petang dan waktu malam aku bersama teman-teman keluar makan dan bersiar sekitar bandaraya. Riverside antara tempat yang menarik. Aku harap Kuala Terengganu akan dapat dimajukan seperti ini juga nanti bila siap sepenuhnya Riverside dekat Pulau Kambing.
Kami berehat pada 1 Mei sempena Hari Pekerja. Kesempatan ini diambil oleh pihak tuan rumah, Sekolah Seni Kuching, untuk membawa kami melawat Kampung Budaya Sarawak di Santubong. Perjalanan selama 50 minit menyegarkan mata dengan suasana tenteram sepanjang jalan sambil melihat gunung lagenda Santubong diliputi awan. Nampak mysterious.
Menikmati 45 minit persembahan nyanyian serta tarian pelbagai etnik Sarawak amat mengujakan. Kena datang sendiri untuk merasainya.Sejam menjenguk Rumah-rumah Melayu, Melanau, Bidayuh, Iban, Penan, Orang Ulu dan Melanau aku dan teman-teman bercadang ke Serikin di sempadan Kalimantan untuk mencuba nasib kalau-kalau pekan itu dibuka pada hari cuti umum ini. Jauh juga rupanya tempat ini. 2 jam perjalanan. Kereta yang dipandu oleh Ashari, anak jati Kuching, dipenuhi oleh cerita dan jenaka sepanjang jalan. Mungkin itu satu-satunya pengubat kekecewaan bila kami dapati pekan koboi Serikin tidak beroperasi seperti tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad.Katanya banyak barangan seperti pakaian, hiasan, barangan dapur, cenderamata, kain, makanan eksotik, pokok hiasan, sayuran dan lain-lain dijual di sini. Kami hanya melihat gerai-gerai kosong tanpa orang dan barang. Hampa juga bila wang penuh di kocek tapi tiada barang yang boleh dibeli.
Berhenti minum sekejap di kedai kopi Porog Manak, Serikin, kami meneruskan perjalanan ke pekan Bau dan singgah di Fairy Cave (Gua Bidadari?). Mungkin kerana terlalu letih, lapar dan panas aku jadi pening. Hanya separuh jalan sahaja di dalam gua itu. Teman-teman lain mendaki dan memasuki ke beberapa ruang gua. Dingin dan menarik tempatnya.
Satu lagi persinggahan kami ialah Tasik Biru, Bau. Bekas lombong emas di tahun 1921 yang telah ditenggelami air. Warna airnya yang biru memang memukau tapi amat merbahaya kerana kandungan toksik arseniknya sangat tinggi dan boleh membunuh. Pun begitu ada legendanya yang tersendiri di tasik ini.
Selesai menjamu selera di pekan Bau kami terus pulang ke hotel, kepenatan.
Malamnya kami diraikan dengan majlis jamuan makan malam dan sesi karaoke. Aku? sempat juga 8 lagu...hehehehe...
Tapi yang paling manis ialah dapat bertemu sahabat se kampus yang terpisah selama 30 tahun!
Moga bersua lagi di lain kesempatan.
Bersama Hjh Fatimah bt. Hamid dari JPNS, ketemu semula di Pasar Satok selepas 30 tahun.
Beib seronok jika dapat pergi ...
mesyuarat atau kursu S
boleh belajar banyak perkar A
sambil bertugas boleh bersia R
melawat, melancong merata-rat A
lots of places I've toured and sa W
jadi pengalaman di hari tu A
boleh dikongsi bersama anak-ana K