Tuesday, December 15, 2009

Aku Leka Mak Ada

saat saat manis bersama

Assalamualaikum / Good Day.....

Sudah hampir 2 minggu Mak berada dikediamanku. Kehadirannya amat bermakna. Sukar pada mulanya bagiku untuk meyakinkan Mak supaya bertandang lebih lama di sini.

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya. Terasa bahagia sekali kerana hajatku dimakbulkan.

Aku hanya mahu Mak tenteram dan selesa disampingku. Segala kemahuannya akan aku penuhi setakat yang termampu.


Makan minumnya akan aku jaga. Tidur rehatnya akan kupastikan cukup. Amal ibadatnya terlaksana.

Mak, sebagaimana insan yang disayangi, akan kubelai dan tatang sepenuh hati. Jika kita kasih dan sayangkan seseorang, kita akan lakukan apa sahaja bagi menzahirkan rasa itu. Sanggup melampaui batas kebiasaan.

Rutin Mak menceriakan semua, termasuk ikan-ikan koi dan 4 ekor kura-kura terutamanya 'Albert", di LamanNyaman.

Antara jam 7- 9 pagi dan 6- 7 petang ikan dan kura-kura ini akan menanti kedatangan Mak yang akan memberi mereka makan.


Aku teruja melihat Albert, si kura-kura, yang seolah-olah kenal Mak. Ketukan yang lembut dilantai deck merupakan isyarat yang paling berkesan untuk memanggil Albert. Dia akan terapung berenang menghampiri Mak dengan matanya yang jernih menantikan makanannya ditabur oleh Mak.


Albert ialah dari spesies box turtle lebih tepat, The Amboina Box Turtle or Southeast Asian Box Turtle (Cuora amboinensis).


Melayani Mak setiap hari tidak membosankan, malah membahagiakan. Tidak ada yang lebih utama di waktu itu melainkan Mak.

Segala urusan yang tidak penting aku abaikan kerana Mak. Tidur malam bersama Mak, sambil membantunya ke bilik air. Mengurut bahagian tubuhnya yang lenguh dan sakit. Melayan waktu makan dan minumnya adalah kebahagiaan yang tak terucap.

Mak banyak menghabiskan waktunya bersantai dan rehat di tepi kolam. Merenung kenang dalam kotak fikirnya. Aku jadi sendu melihat gelagatnya. Mak kelihatan tenang dan tenteram. Aku mahu Mak begitu dan aku rasa aku berjaya membuatnya bahagia.


Sudah lama aku ingin melihat Mak bersantai di tepi kolam di rumahku. Malah aku terkilan kerana Pak pergi sebelum aku sempat menyiapkan kolam ini. Menjadi satu impian yang indah melihat Mak dan Pak berada di tepi kolam.

Pernah satu waktu dulu, aku menceritakan hasratku untuk membina sebuah kolam di dalam rumahku kepada Pak dan Mak. Mereka agak skeptik tetapi teruja. Kekangan kewangan melambatkan projek ini. Tapi bila semuanya dalam proses, Pak pergi dulu. Aku yakin kolam, ikan dan penghuninya dapat meredakan hati yang resah dan gundah. Mententeramkan.

Ini terbukti dengan kehadiran Mak.

Tidak ada yang lebih mengasyikkan dari melihat Mak tenang dan lega. Hari-hari tua dipenuhi dengan rehat dan ibadat.

Mengimami Mak dalam solat membuatkan dia menitiskan airmata. Hatiku terusik dengan sentuhan salamnya. Kucupan di dahi, pipi dan tangan membuatkan aku terasa bahawa Mak adalah insan yang paling mulia dalam hidupku. Tanpa Mak siapalah aku.

Memberi yang terbaik yang termampu olehku, adalah niatku untuk Mak. Tiada apa lagi yang menggembirakan aku, selain dari menzahirkan rasa kasih sayang melalui perbuatan dan tutur kata. Itu aku laksanakan dengan sepenuh hati.

Moga kedatangan Mak kali ini bukan yang terakhir.

Sesiapa sahaja inginkan yang tersayang berada di depan mata sepertimana aku inginkan insan yang disayangi berada bersama disisi. Dapat disentuh, belai, manja dan usap dengan penuh kasih. Makan minum dihidang bersuap. Tidur baring dilayan dengan penuh mesra.

Mak...
Kediamanku bercahaya dengan kehadiranmu selama ini..
Terima kasih Mak.
Aku sayang, kasih, cinta Mak.
Moga Mak terus dalam peliharaan Allah.

Beib terlalu sayang....
...insan yang mengandungkannya dalam rahi M
membesarkan dan memberikan ilmu bergun A
agar dapat disumbangkan yang terbaik suatu hari kela K

2 comments:

Rashid said...

salam..
Beib, terharu amat.
Mulianya hati beib..
Benar beib senyuman mak adalah doanya utk kita.. dan jalan akan dipermudahkanNya kerna rasa suka dan gembiranya insan tersayang bernama mak..

Makin tua emak makin pelbagai ragamnya dan moga kita semua sbg anaknya makin bertambah sayang dan sentiasa senyum untuk mak..

BEiB said...

Cg Rashid...
sebagaimana disebut, kesimpulan mudah:
SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI IBU..
Moga cg Rashid juga berkesempatan membahagiakan Mak.