Monday, July 27, 2009

Bersama Super Motivator: Motivasi dan Inspirasi

Assalamualaikum / Good Day.....

Bila pihak Yayasan Terengganu (YT) memaklumkan bahawa satu Program Motivasi Pelajar SPM 2009 akan diadakan hari ini di premis kami, aku jadi excited.
4 hari di Melaka dan 2 hari di KL menjadikan aku bagai terputus maklumat mengenai program yang telah, sedang dan akan dijalankan di premis kami.
Pagi semalam, secara tiba-tiba aku dimaklumkan bahawa tenaga aku diperlukan sebagai Pengacara Majlis (MC) program tersebut.
Aku terima jemputan itu dengan hati yang lapang dan profesional.

Bila dinyatakan bahawa Perunding Motivasi yang terlibat ialah YBhg. Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah b. Kamsah (DMFK) dan akan berganding dengan seorang lagi motivator tersohor,

YM Dr. Tg. Asmadi b. Tg. Mohamad (DTA), aku jadi bertambah teruja. Hampir tidak percaya.
Tugas aku menjadi lebih mencabar bila berhadapan dengan beberapa orang kenamaan seperti YB Exco, Pengarah Yayasan Terengganu serta pegawai-pegawainya dan lebih kurang 500 orang pelajar sekolah menengah sekitar Seberang Takir. Walaubagaimana pun, I have to take it easy and try to perform the best.

Sebagai penggemar buku motivasi serta rancangan motivasi di TV dan radio, aku merasakan inilah peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan ikon motivasi Malaysia.
Siapa yang tidak kenal dengan kedua mereka ini?
Dapat menjadi pengacara majlis mereka serta berkomunikasi dengan santai dan ceria semasa minum pagi dan makan tengah hari cukup bermakna.
Bukan senang untuk mendapat peluang bersama kedua-dua ikon ini.


Sebagai pengacara majlis, sedikit homework perlu dibuat. Segala butiran yang berkaitan dengan mereka harus dicari dan sahkan. Ini penting semasa membuka sesi dan pengenalan diri.
Biodata perlu update.
Maklumat mesti tepat.
Huraian dan penyampaian harus bersahaja.
Di waktu ini, ilmu pengacaraan dipraktikkan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Lain-lain yang berkaitan dengan DMFK boleh dibaca di sini dan sini . Mengenai DTA boleh dirujuk di sini dan sini. Moga anda beroleh maklumat serta ilmu sebagaimana juga aku.

Tidak hairanlah kalau DMFK telah berjaya memberi sebanyak 6,000 kursus motivasi dalam perkhidmatan kepada agensi kerajaan dan swasta.
Yang menarik tentang DMFK ialah menjadikan amalan membeli 10 buah buku sebulan serta mempastikan 3 -4 buah buku selesai dibaca dalam seminggu.

Manakala DTA telah mendidik seramai 50,000 orang pelajar melalui teknik Motivasi Alihan Pelajar (MAP). Kaedah yang mempunyai strategi dan teknik yang boleh membantu pelajar menjadi cemerlang dalam pelajaran dan sahsiah.
Kalaulah aku berupaya berbuat demikian!

Tapi kata mereka, kita sebenarnya berupaya dengan kadar kita sendiri.
Semuanya bermula dari dalam. Dalam hati dan minda.
Satu motivasi mudah yang meyakinkan.
Sepanjang 4 jam ceramah mereka, aku berjaya mengutip pelbagai tips yang banyak memberi manfaat pada diri sendiri. Ada di antaranya amat mudah untuk dipraktikan dan hanya memerlukan sedikit istiqamah.

Aku amat tertarik dengan kepetahan kedua mereka memberi ceramah.
Ulasan bernas mereka mengenai isu-isu yang berkaitan pendidikan serta keibubapaan sering disulami dengan lelucon dan jenaka ringan. Unsur kecindan inilah yang melariskan mereka dalam arena atau bidang motivasi ini.
Malah kepetahan mereka mengingatkan aku akan seorang kenalan yang tidak kurang hebatnya berhujah dengan bernas dan kritis. Ada kalanya aku terkedu akan bidasan dan atur bahasanya yang menyengat.
Buat kenalan istimewaku itu, syabas!
Anda memang anak murid Munsyi Dewan yang hebat.

Seperti kata DMFK dan DTA " Kita sebenarnya hebat!"

Beib pun ingin jadi manusia....
...yang berguna, sopan dan berhema H
bukan yang sombong, angkuh, berlagak atau gedeb E
atau suka melenting marah tanpa seba B
kerana ianya takkan memberi makn A
sebaliknya mahu diingat, dikenang serta dihorma T

Sunday, July 26, 2009

Teringin...

Izz Dayana Habib

Assalamualaikum / Good Day.....

Sebaik saja selesai mesyuarat selama 4 hari di Melaka, aku bertekad untuk singgah di Villa Pavilion, Taman Bukit Serdang untuk melihat anak saudara yang baru. Umurnya kini sudah 5 hari. Rujuk sini.


Adik lelaki aku mendapat cahayamata kedua setelah 7 tahun dikurniakan seorang anak lelaki.
Kehadiran bayi ini menjadikan 7 orang kesemuanya cucu perempuan Mak dan cuma 2 cucu lelaki.
Aku turut gembira kerana mendapat seorang lagi anak saudara perempuan. Moga Ibu dan anak akan terus sihat dan selamat.


Dah agak lama tidak menimang bayi kecil. Teruja rasanya. Aku sendiri teringin memiliki anak kecil, namun keadaan tidak mengizinkan. Jangan anggap aku tidak mampu!
Malah teman baikku sering mengatakan " Pakcik memang hebat".
Nah! apa lagi yang lebih baik dari itu?

Jari kecil kiut inilah yang akan menggoncang dunia suatu hari nanti.
Lentik, lembut dan panjang.


Nyenyak tidur umpama masih di dalam rahim ibunya.

Dua hari lepas, dalam kegembiraan menerima berita mengenai anak saudaraku, seorang teman baik memaklumkan bahawa dia juga ingin menimang seorang cahaya mata.

Aku terkejut kerana 3 bulan lepas semasa kami bertemu, dia masih kelihatan seperti biasa. Lansing dan cute. Cuma pipi sahaja yang chubby. Tiada tanda hamil.
Mungkin dirahsiakan kepada aku atau dia baru sahaja mendapat tahu bahawa dia berbadan dua.
Namun segalanya terjawab bila dia menjelaskan bahawa anak yang ingin ditimangnya ialah anak angkat.

Kami berbincang panjang. Aku hanya dapat memberi pandangan dan nasihat mengenai beberapa prosedur yang perlu dipatuhi jika ingin mengambil anak angkat. Dia mengerti. Teruja sangat bila dimaklumkan oleh kawannya bahawa bayi itu memang sihat.

Proses rundingan antara orang tengah (kawan teman aku) dengan ibu bapa bayi tersebut dijalankan dengan baik.
Akhirnya, ibu bapa bayi tersebut mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan anak mereka ke tangan orang lain.
Temanku agak terkilan, namun menerima dengan hati terbuka.
Setelah diberi pengharapan, dia terpaksa akur bahawa rezeki tidak menyebelahinya lagi kali ini.

InsyaALLAH.....
ALLAH akan makbulkan dalam masa yang terdekat ini. Berdoa dan bertawakkallah.
Memetik serangkap kata-kata yang aku terima melalui sms:
...jalan Tuhan, indah pada masanya!
Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan,
tapi IA memberi apa yang kita perlukan.
Kadang-kadang kita sedih, kecewa, terluka.
Tapi jauh di atas segalanya IA sedang mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita.

Moga kerukunan rumah tangga tetap utuh bersama sebagaimana utuhnya kasih dan sayang.
Anak sebagai penyambung zuriat pengikat kasih.

Beib teringin sekali lagi menimang....
...cahaya mat A
lelaki maupun perempua N
pada usia begini dewas A
agar bertambah zuriat dan ana K

Tuesday, July 21, 2009

Dapat anak..... lagi..

Besar nanti jadi seorang solehah ok!?

Assalamualaikum / Good Day.....

Assalamualaikum,
Syukur kehadrat Allah SWT dan berkat doa sanak saudara serta rakan-rakan, cahaya mata kami yang ke 2,
a girl telah selamat dilahirkan pada
hari Selasa 21 Julai 2009

bersamaan
28 Rejab 1430 H pada pukul 3.20 petang tadi.
Ibu dan bayi berada di dalam keadaan sihat walafiat.

Terima kasih dari kami sekeluarga di atas doa dari semua ahli keluarga, saudara mara dan rakan sahabat sekelian.
Sekian. Wassalam.

Itulah sms dari adik aku, Sony, yang menimang cahayamatanya yang kedua hari ini. Sms ini aku terima semasa aku masih lagi bermesyuarat di Melaka.
Tahniah!
InsyaAllah, dalam perjalanan balik ke KT nanti aku akan singgah meziarahi anak penakan (anak saudara) yang baru ini.
Nak dia tengok dan kenal bapa saudaranya yang seorang ini.
Namanya belum pasti lagi. Tentu sahaja sudah disepakati oleh kedua ibu bapanya. Yang penting ia memberi makna baik seperti nama Papanya yang bermaksud Kekasih ALLAH dan nama bapa saudaranya Kekasih Agama.

mama dan papa menilik baby girl yang baru melihat dunia

menangis dalam dukungan papanya

Buat kenalan yang belum dikurniakan cahaya mata, bersabar dan bertawakkallah. Pasti akan tiba rezeki dan habuan dari Allah suatu hari nanti. Doaku agar penantian itu berakhir dengan keceriaan dan kepuasan.

Mananalah tau Allah bagi rezeki seorang baby BOY..
apatah lagi menyerupai Pakciknya....hehehe..

Impian dan harapan tetap abadi.
Mungkin lewat tetapi bukan mustahil.
Ketentuan dan hakikat berlaku seiring.
Kita terimalah dengan hati terbuka...

Beib turut teruja bila mendapat....
...khabar gembir A
ibu selamat bersali N
anak sihat sejahter A
dan kali ini, bapa menjadi sibu K

Monday, July 20, 2009

Aku ke negeri Hang Tuah untuk Seni tapi teringat Sejarah

Assalamualaikum / Good Day.....

Kapal Dagang Dari Seberang
Sarat Muatan Kayu Meranti

Dari Jauh Tuan Datang
Orang Melaka Sedia Menanti

Sudah hampir 2 tahun aku tidak ke Bandar raya Bersejarah Melaka.
Kali terakhir ialah ketika bersama Bahagian Buku Teks (BBT) menjadi panel penilai Buku Bahasa Arab Tahun 1 di Mahkota Hotel Melaka, Mac 2007.
Fax yang aku terima minggu lepas dari BPK akan membawa aku kembali ke negeri asal Hang Tuah ini selama 4 hari (20-23 Julai 2009).

Ini adalah lanjutan Pemurnian Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) SV Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Seni (SS) yang kami bengkelkan di KB pada bulan Mei lalu. (baca di sini)


Seingat aku sejak tahun 1991 hingga 1995, aku sering bermesyuarat di Melaka.
Hotel yang selalu menjadi tempat penginapan kami ialah Hotel Metropole, bersebelahan sebuah pusat membeli belah dan stesen bas utama Bandaraya Melaka.
Ketika itu aku dijemput sebagai panel menghasilkan sebuah buku khusus untuk program Self Acess Learning Centre (SALC). Ianya juga anjuran PPK (Pusat Perkembangan Kurikulum nama asal BPK).


Teringat lagi teman-teman panel seperti Cik Mokulus Rowter (BPK), Mustakim Ishak (P.Pinang), Arif (Batu Pahat) dan Rahmah (JB) baru terjumpa blognya di sini . Kami masih berhubungan walaupun tidak kerap kecuali Mokulus yang terputus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Moga komunikasi kembali pulih dan bermakna. Hubungan siber dan wireless dalam era ini memungkinkan pelbagai.

Melaka merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan budayanya yang tersendiri.

Negeri yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396 yang menamainya bersempena pokok Melaka. Sejak itu, Melaka mula menjadi tumpuan negara-negara timur dan barat dari segi perdagangan.

Melaka mempunyai tarikannya yang tersendiri. Di antaranya ialah menaiki beca di tengah-tengah kota, menaiki bot menyusuri Sungai Melaka ataupun bersiar-siar di kawasan bersejarah yang mengimbau tentang peperangan dan penyeksaan, percintaan dan penyesalan.

Berada di negeri bersejarah Melaka, membuka jendela nostalgia sekukuh kubu A Famosa dan segagah Stadhuys.

Perbalahan epik Hang Jebat- Hang Tuah akibat difitnah dan salah sangka serta episod cinta terlarang Tun Teja dengan Hang Tuah terimbas diingatan.

Hang Tuah yang meneruskan khidmatnya kepada Sultan Mansur Shah selepas kematian Hang Jebat telah diutuskan untuk meminang seorang puteri yang tinggal di puncak Gunung Ledang, Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah.
Antara dialog menarik Laksamana Tun Tuah dengan Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah sebagaimana yang dituturkan dalam filem Puteri Gunung Ledang:

"Kanda lupa cinta dinda seagung maya" - Hang Tuah
"Cinta kanda? Bukan semesta luasnya?" - Gusti Putri
"Masih kecil berbanding cinta dinda!" - Hang Tuah
"Tapi kanda ke mari juga" - Gusti Putri
"Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga" - Hang Tuah


Cinta sejati, menjangkau hakikat dalam pertemuan yang terlewat.
Satu impian yang indah di taman yang abadi.

Beliau dikatakan gagal dalam tugas itu, dan disebabkan perasaan malu, Hang Tuah terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Aku teringat juga kata-kata Hang Tuah yang agung,

"Tak Melayu Hilang di Dunia"

tetapi beliau sendiri yang hilang tanpa jejak.

Melaka yang juga dikatakan tempat bermulanya sejarah kesultanan Melayu kini tidak lagi diperintah oleh seorang Sultan Melayu.

Ironis!

Yang tinggal hanya sejarah dan kenangan.

KT-KL-Melaka-KL-KT

'kecelaruan- kenangan-kesepian'

Beib cuba menerapkan nilai murni dari satu episod...

...epik yang heba T
diabadikan dalam kalb U
kisah teladan, taat setia, kasih sayang dan cint A
yang termaktub dalam lipatan sejara H

Saturday, July 11, 2009

Jom pi kenduri naik rumah impian...

Nak pi kenduri ni...
Assalamualaikum / Good Day.....

Kenduri dalam kehidupan bermasyarakat di kalangan orang Melayu adalah sesuatu yang lumrah. Kita sering mendapat jemputan kenduri, terutamanya kenduri kahwin. Ada kalanya dalam sehari, dua atau tiga jemputan diterima terutama pada musim cuti sekolah.

Pada umumnya, kenduri atau jamuan terbahagi kepada dua jenis, iaitu kenduri kahwin dan bukan kenduri kahwin.

Kenduri atau jamuan kesyukuran, berkhatan, sambut menantu, arwah serta jamuan hari raya ialah jenis yang kedua.

Mengikut ajaran Islam, menghadiri majlis kenduri , jika dijemput, adalah satu kewajipan. Kalangan ulama menghuraikan dengan panjang lebar mengenai jenis kenduri dan hukum menghadirinya sama ada wajib, makruh, haram atau harus berdasarkan hadis Rasulullah.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud:
"Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya."
Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."

Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib.
Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.
Apa-apa pun, kita sebolehnya tidak menguzurkan diri jika dijemput.
Dalam keadaan ada musaqqah tentu saja undangan tidak mampu ditunaikan. Kita serahkan hukum itu kepada ALLAH.

Memiliki rumah baru adalah suatu rezeki yang besar dan hebat, apatah lagi sebuah rumah sendiri buat pertama kali. Ianya merupakan suatu nikmat yg tidak terperi. Jika sebelum ini menumpang di rumah ibu bapa/keluarga atau menyewa sekian lama, mendiami rumah sendiri adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan.

Oleh itu, untuk menzahirkan rasa kesyukuran, pemilik rumah baru akan mengadakan sedikit kenduri.
Membuat kenduri naik rumah atau masuk rumah baru adalah tanda kesyukuran pemilik rumah.


Dalam pada memikirkan tentang buat kenduri naik/masuk rumah, kita kadang-kadang tidak lepas dari bertanyakan:
Apakah pengisiannya?
Menu apa untuk jemputan?
Berhidang atau buffet?
Doa selamat sahaja?
Tahlil?
Solat hajat macamana?
Nak baca Yaasin?
Siapa nak jemput?
Ramai mana?

Semua ini melibatkan kos dan logistik. Tapi kalau sudah bertekad untuk membuat kenduri, laksanakanlah seikhlas hati.

Selain dari itu, peranan imam, pak lebai, tok guru, ustaz atau orang yang dianggap ada ilmu agama di kalangan penduduk setempat
juga penting.
Di pundak merekalah diletakkan tanggung jawab untuk memimpin majlis. Biasanya pakej standard ialah solat hajat berjamaah, tahlil, doa selamat dan kesyukuran serta disusuli dengan jamuan.
Jamuan pula berdasarkan kepada bajet.

Ada majlis kenduri disediakan nasi serta lauk pauk yang beraneka
ala kampung dan ada juga hanya makanan ringkas dan ringan seperti mee goreng, laksa, kuih muih, roti canai dll. Dihidangkan atau dalam bentuk buffet.

Setahu aku di negara Arab, kenduri naik/masuk rumah baru hanya diserikan dengan jamuan makan sahaja, tidak ada tahlil dan doa selamat. Mungkin hanya di Malaysia, apa jua kenduri mesti ada acara bacaan do'a selamat atau tahlil.

Pada aku ianya tidak sampai ketahap bidaah kot. Bukankah itu untuk kesejahteraan dan kebaikan?
Rasanya budaya ini tidak perlu dipertikaikan malah lebih baik dari mengadakan pesta house warming.

Seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak:

Majlis Tahlil dan doa arwah boleh dilakukan dan tidak bertentangan dengan sunnah. Adapun mengadakannya pada masa dan hari-hari tertentu seperti 1,2,3,7,40 dan 100 hari tidak ada nas dan bahkan Bid'ah semata-mata.

Sila dirujuk di sini.
Aku sendiri kurang arif dalam hukum hakam ini. Tak mau membuat tafsiran dan menjatuhkan hukum.

Kalau dilihat dari segi positifnya, mengadakan kenduri naik/masuk rumah ada kebaikannya. Selain dari menjemput sanak saudara dan rakan taulan kita sebenarnya memberi khabar kepada jiran tetangga yang baru tentang perpindahan kita. Secara tidak langsung kita memanjangkan silaturrahim.

Majlis yang kecil pun akan dapat mengeratkan persahabatan dan membolehkan kenalan kita mengenali antara satu sama lain. Jaringan sahabat akan bertambah.
Lebih bermanfaat kenduri naik rumah itu membolehkan rakan-rakan kita mengetahui lokasi rumah baru kita. Ini memudahkan lagi urusan-urusan yang berkaitan kelak. Jika ada sakit demam atau situasi yang memerlukan bantuan rakan-rakan, mereka akan cepat dapat mengenal pasti rumah. Bantuan boleh segera dihulurkan.

Selain dari itu, doa dan solat hajat adalah untuk memanjatkan harapan kepada ALLAH agar diberikan berkat, kesejahteraan, murahkan rezeki serta dijauhkan mala petaka di premis yang baru kita.

Akhir kata, buat teman yang nak mengadakan majlis naik/masuk rumah, terima kasih kerana menjemput aku. Moga majlis yang diadakan lancar, selamat dan mendapat keberkatan.
Kalau aku tidak dapat hadir secara fizikal, pastinya aku hadir secara spiritual.
Selamat naik/masuk rumah baru.
Aku dah buat kenduri tu 18 tahun yang lalu.

Eh...terasa pulak nak pergi kenduri awak, kat mana rumah.?
Makan ala kampung ek.?
Mesti best kan? hehehe...

Beib doakan agar bahagia dan selesa dapat naik/masuk....
...premis yang luas dan besa R
tidak lagi menyewa seperti dahul U
boleh dihias, diwarna luar dan dala M
mengikut selera, kehendak juga citaras A
puas dan selesa punyai ruma H