Saturday, September 20, 2008

YUKATA dari MISAKI

Assalamualaikum / Good Day...


Adeq melonjak gembira bila mendapati satu bungkusan dari Jepun tiba. Sejak khamis lepas Adeq sentiasa bertanyakan kedatangan wakil dari syarikat kurier.

Tak sabar dia sejak beberapa hari ini menantikan bungkusan istimewa itu.

Adeq dan Misaki dah sangat rapat. Hampir setiap hari berbalas e mel. Masalah yang timbul ialah Misaki tidak berapa mahir menaip dalam Bahasa Inggeris walaupun dia agak ok bila bertutur. Walaupun broken English yang digunakan oleh Misaki namun maksudnya masih kesampaian.

Bila Misaki bersama kami 3 minggu lalu, Adeq amat tertarik dengan pakaian tradisional Jepun yang pernah dipakai oleh Misaki. Hasratnya untuk memiliki sepasang Yukata ditunaikan oleh Misaki.

Dia memaklumkan kepada aku bahawa Misaki telah mengirimkan tiga pasang Yukata untuk Qaqaq, Acik dan dia.

Yukata sedikit berbeza dengan Kimono, yang dipakai pada musim sejuk. Yukata khas untuk musim panas, agak kasual dan biasanya diperbuat dari kain kapas.Yukata juga dipakai oleh ahli-ahli sumo Jepun.

Bila saja sampai bungkusan yang ditunggu-tunggu, Adeq terus membuka dan benar seperti katanya, ada tiga pasang Yukata dengan warna yang terang dan rekacorak yang menarik.

Acik memakaikan Adeq

Terdapat juga obi, tali pinggang khusus untuk dipakai bersama Yukata dan geta , iaitu terompah atau sandal kayu yang melengkapkan set Yukata ini.

Berdasarkan kepada catatan Misaki, harga bagi tiga pasang Yukata ialah 3,600 Yen; Geta,1,500 Yen dan Obi 2,000 Yen . Boleh tahan juga harganya.

Adeq bercita-cita untuk memakai Yukata semasa Hari Raya Aidilfitri nanti. Pastinya di Hari Lebaran ini Misaki akan diingati.

Posing bersama bonsai satu lagi hasil tradisi Jepun

Obi yang berbunga besar di belakang

Beib thinks Adeq looks great in..

the dress, looking at any other wa Y
the colour and design suits yo U
even from the bac K
Hope you will enjoy wearing Yukata during Hari Ray A
and startled everybody that you mee T
with that lovely dress, obi and get A

Saturday, September 13, 2008

Berpiknik buka puasa?

Mencari diri
Assalamualaikum / Good Day.....
Sesekali berbuka puasa ala picnic seronok juga. Malah, memberi pengalaman baru pada aku sefamili.
Semasa menunaikan umrah di bulan Ramadan pada tahun 2003 kami sempat menyaksikan orang-orang Arab berbuka puasa di tepi pantai di Jeddah mengadap Laut Merah.
Sesudah berbuka mereka terus menunaikan solat maghrib samada di tepi pantai tersebut atau di Masjid Terapung(Floating Mosque) yang berdekatan. Mungkin ini sesuatu yang pelik di tempat kita, tetapi tidak di sana.Bila mendapat tahu bahawa di Masjid Kristal, Pulau Wan Man diadakan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan Terawih, kami terasa ingin ke sana.
Berbekalkan popia goreng, tamar, murtabak dan beberapa gelas air jagung kami mencari tempat duduk yang strategik di tepi laluan atau waterfront bersebelahan sungai Terengganu.
Angin petang terasa nyaman. Air sungai tenang. Langit biru. What a perfect location.
Bila tiba waktu berbuka, kami sama-sama menjamah juadah seadanya. Hanya kami satu famili sahaja yang berada di laman Masjid Kristal tersebut beratapkan langit petang dan berlantaikan cow grass .
Azan maghrib berkumandang dari minaret Masjid Kristal bukan pada waktu berbuka tetapi ketika solat maghrib hendak ditunaikan. Selesai berbuka selama sepuluh minit kami bergegas mengambil wuduk untuk menunaikan solat.
Selain dari Imam, makmum yang ada hanya 10 orang termasuk aku. Namun keheningan berada di dalam masjid yang berhawa dingin mengkhusyukkan lagi solat kami.
Sementara menantikan solat Isyak dan Tarawih aku sempat photo shoot di sekitar masjid. Sambil memetik shutter release button aku memikirkan tidak berbaloi rasanya masjid yang gah yang dianggarkan berharga RM200 juta ini hanya dipenuhi oleh 6 saf semasa solat sunat Tarawih.
Walau bagaimanapun, kami sefamili telah sekurang-kurangnya mengimarahkan masjid. Pengalaman berbuka puasa, solat dan moreh di sini patut dirasai oleh penduduk sekitar. Ia amat berharga. Percayalah!
Masjid Kristal di kala senja
Menanti waktu berbuka puasa
azan maghrib untuk berbuka datang dari beberapa masjid dan surau sekitar dan tidak dari Masjid Kristal
Menjamah makanan yang dibawa
Lampu chandelier yang menarik
Solat sunat sebelum Terawih
Moreh kueteow dan teh O
Sinaran bulan penuh di puncak kubah Masjid Kristal
Lampu di Jambatan Sultan Mahmud meninggalkan cahaya dipermukaan Sungai Terengganu

Beib dan famili teruja berbuka puasa di laman Masjid....
yang gah dan canti K
sambil menghayati alam sekita R
nyaman serta berser I
melihat pemandangan lua S
serta menunaikan sola T
di dalam masjid yang harga berjut A
moga jemaah bertambah dan terus keka L

Friday, September 5, 2008

Aku, Bintang Filem?

Berbuka puasa bersama Din CJ
Assalamualaikum / Good Day.....
Semalam aku terima satu SMS dari Bro Din CJ, seorang kenalan yang terkenal dalam dunia perfileman. Terkejut juga bila dia menyuruh aku membaca 2 buah skrip drama terbaru yang akan diarahkannya dalam Ramadan ini.
Antara telemovie yang disasarkan untuk Aidilfitri nanti ialah From Uganda With Love dan Seputih Salju yang akan dibintangi oleh pelakon-pelakon handalan tanahair.
Aku difahamkan lokasi penggambarannya ialah di Kampala, Uganda dan di Kuala Terengganu.
Dia meminta pendapatku tentang lokasi yang sesuai bagi beberapa babak di Terengganu.
Kami akan sama-sama meninjau lokasi tersebut bila dia tiba di sini nanti.
Inilah peluang aku mempromosi Terengganu. Kalau ada rezeki, mungkin promosi diri dalam satu atau dua scene drama tersebut....hehehe.
Rosyam Nor, here i come!
Antara filem, drama dan telefilem yang pernah disutradarakannya ialah seperti Cinderella, Romeo dan Juliet, Bigami, Bigami2, Virus, Virus, Janjiku 2, Mr Cinderella 2, Seputih Salju Sebening Kasih dan banyak lagi. Bacalah artikel mengenainya disini.
Perkenalan kami sebenarnya bermula di satu Forum Seni di Johor Bharu pada Julai 2007. Hubungan melalui fon dan SMS pun sekali sekala.
Apa yang membuat aku paling tersentuh ialah kepercayaan beliau terhadap aku.
Bukan sahaja e mel peribadinya yang diberikan kepadaku malahan username dan password nya sekali!
Kalau itulah kepercayaan yang diberikan kepadaku maka aku akan memegang amanah itu.
Aku jadi bimbang bila diberi amanah dan kepercayaan begini. Bimbang aku tak dapat menahan atau menolak kemungkinan menyalahgunakan kepercayaan itu.
Hanya ALLAH jua yang aku harap dapat mengawalku dari memungkiri amanah yang diberi.
InsyaALLAH.

Beib teringin juga nak berlakon
apa-apa watak yang setara F
hanya sebagai pengalaman peribad I
disamping pelakon-pelakon yang handa L
dalam filem, drama atau telemovi E
untuk menzahirkan minat yang lama terpenda M

Thursday, September 4, 2008

Phoenix bangkit...

Assalamualaikum / Good Day.....
Bila aku terima e mel dari kenalanku mengenai kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki yang telah dibom oleh Amerika pada Ogos 1945, aku teringatkan Misaki Yamamoto, anak angkatku yang telah sepuluh hari kembali ke negaranya.
Empat hari Misaki bersama kami sefamili memberi gambaran tentang disiplin dan kekuatan mental orang-orang Jepun.
Tidak hairanlah jika kemusnahan akibat bom atom 62 tahun dulu telah dipulihkan dengan kekuatan ekonomi, mental dan spiritual rakyat Jepun. Saksikanlah perubahan dan perbezaan yang berlaku pada bandar tersebut.
Selama ini kita tidak pernah terbayangkan bagaimana kemusnahan dan kehancuran boleh dibangunkan semula sebegitu hebat. Seperti mitos Phoenix bangkit dari abu....
Beib ingin menjejakan kaki dan merasakan kehebatan negara...
Matahari Terbit, Jepu N
yang berteknologi tingg I
serta canggi H
mengatasi negara-negara di dunia seanter O
melihat bagaimana mereka membina insa N

Monday, September 1, 2008

Puasa.... bukan putus asa


Assalamualaikum / Good Day.....

Tiada apa yang hendak dicoretkan melainkan Selamat Berpuasa semoga segala amalan yang dilakukan sepanjang bulan ini akan diterima oleh ALLAH.
Sabda Rasulullah SAW:
"Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah dia mengatakan... Aku ini puasa." - Sahih Bukhari.
Kepada semua rakan bloggers Muslim,
Janganlah seperti SMS yang aku terima petang tadi yang berbunyi:
Carilah olehmu Lailatul Qadar di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan dan janganlah kamu cuma mencari Laila Nasi Kandar di siang hari di sepanjang bulan Ramadan.
Beib berdoa agar dapat menunaikan...
ibadat dengan penuh hara P
diterima ALLAH setiap wakt U
dibebaskan dari azab api nerak A
penuh tanggungjawab serta ikhla S
diredai sepanjang mas A